Wednesday, August 14, 2013

Tafsir al-Misbah


Kitab Tafsir al-Misbah merupakan tafsir al-Qur'an yang lengkap 30 juz karya ahli tafsir terkemuka Indonesia, Prof. Dr. M. Quraisy Shihab, seorang ahli tafsir al-Qur’an alumni Universiti al-Azhar, Kaherah.


Pengenalan pengarang Kitab al-Misbah

M. Quraish adalah seorang ahli tafsir kontemperari abad ini khasnya di Nusantara. Beliau telah menghasilkan begitu banyak karya dalam berbagai bidang yang harus dimanafaatkan khususnya kepakaran beliau dalam bidang ulum al-Quran dan juga tafsir.  

Beliau dilahirkan di Rappang, Sulewesi Selatan pada 16 Februari 1944, dan beliau berasal dari keturunan Arab. Ayahnya Prof. KH Abdulrahman Shihab (1905-1986), adalah seorang ulama dalam bidang tafsir. Beliaulah antara yang telah mengasas Universiti Muslim Indonesia (UMI) dan Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Alauddin, di Ujung Pandang, dan pernah menjawat jawatan Rektor di dua dua pusat Pengajian Tinggi tersebut iaiti di (UMI) pada 1959-1965, dan (IAIN) pada 1972-1976.

Quraish Shihab mendapat didikan peringkat awalnya dari ayahanda beliau, dan seterusnya belajar di Sekolah Dasar dan lanjutan di Kota (Bandar) Malang, Jawa Timur, dan pada masa yang sama belajar di Pondok Pasentren Darul Hadith al-Faqihiyyah. Seterusnya pada tahun 1958 diusia 14 tahun, beliau dihantar melanjutkan pelajarannya ke Mesir dengan memasuki thanawiyyah al-Azhar, seterusnya memasuki Universiti al-Azhar dalam Fakulti Usuluddin (Jabatan Tafsir Dan Hadith). Pada tahun 1969 beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat Master dalam bidang yang sama. Pada tahun 1973 beliau dipanggil balik oleh ayahandanya untuk membantu pentadbiran di IAIN, dan beliau telah diamanahkan untuk menjawat jawatan timbalan Rektor sehingga tahun 1980. Pada tahun yang sama beliau menyambung kembali pengajiannya keperingkat Ph.D di Universiti al-Azhar. Beliau hanya memerlukan masa selama dua tahun untuk mendapat ijazah Ph.Dnya.

Sekembalinya dari Mesir beliau bertugas semula di IAIN, dua tahun kemudian diminta ke Jakarta sebagai Dosen di Jabatan Usuluddin dan Jabatan Psca sarjana IAIN Sharif Hidayatullah, selain menjadi pensyarah utama Pasca Sarjana IAIN Yogyakarta, dan al-Raniri, Aceh. Pada tahun 1997, beliau dilantik oleh Soeharto sebagai pembantu Presiden dan menjawat jawatan menteri di Kementerian Agama Republik Indonesia. Setelah jatuhnya Soeharto (1998), Presidenn Habibi melantiknya sebagai Duta Besar Republik Indonesia ke Mesir.


Pengenalan ringkas Kitab Tafsir al-Misbah
 

Nama tafsir ini sebenarnya diambil dari ayat 35, Surah al-Nur, dan berkebetulan nama tersebut juga sama dengan nama penerbitnya iaitu Lentera Hati yang maksudnya juga sama dengan al-Misbah mengikut bahasa Indonesia. Tafsir ini adalah tafsir yang lengkap 30 juzuk, mengandungi 15 jilid tebal, setiap satunya  mengandungi lebih kurang 600 mukasurat. Tafsir ini sebagaimana yang dinyatakan oleh pengarangnya sendiri ditulis apabila beliau dilantik menjadi duta besar Indonesia ke Mesir pada masa pemerintahan Bapak Habibi menjadi Presiden Republik Indonesia. Tafsir ini mulai ditulis pada hari Jumaat 4 Rabi’ul Awal 1420H bersamaan 18 Jun 1999M dan tamat pada 8 rejab 1423H bersamaan 5 September 2003M.

Faktor yang mendorong beliau menulis tafsiran tersebut juga adalah disebabkan tidak wujud lagi tafsir terbaru selepas tafsir al-Azhar oleh Prof. HAMKA pada tahun 1979. Selepas itu belum lahir tafsir lain sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk menulis tafsir tersebut. Beliau juga menyatakan mengapa beliau dapat menyiapkan tafsir tersebut dalam masa yang singkat iaitu selama lebih kurang 3 tahun adalah disebabkan telah di 'penjara' oleh Bapak Habibi di bumi Mesir dan secara lebih khusus lagi di Pejabat Kedutaan Besar Indonesia di Mesir, yang memberi banyak ruang kepada beliau untuk menyiapkan tafsir tersebut dan beliau telah memperuntukkan tujuh jam sehari untuk menulis tafsirnya tersebut.             

Dengan kedalaman ilmu dan kepiawaian penulisnya dalam menjelaskan makna sebuah kosakata dan ayat al-Qur’an, tafsir ini mendapat tempat di hati khalayak. Keindonesiaan penulis memberi warna yang menarik dan khas serta sangat relevan untuk memperkaya khazanah pemahaman dan penghayatan kita terhadap rahasia makna ayat-ayat Allah.

 
Metode penulisan kitab Tafsir al-Misbah

Berdasarkan kajian terhadap metode penulisan Tafsir al-Mishbah didapati bahawa pengarang menulis terlebih dahulu ayat-ayat dalam setiap surah yang ingin ditafsirkan, kemudian menterjemahkan seluruh ayat tersebut di samping mengemukakan latar belakang turunnya ayat yang bersangkutan serta menyatakan munasabah dengan ayat atau surah sebelumnya. Berikutnya beliau mentafsirkan setiap surah dengan mengikut kumpulan ayat-ayat yang jumlahnya adalah berbeza pada setiap kumpulan. Manakala Metode tafsirannya adalah campuran di antara metode Tafsir bi al-Ma’thur dengan metode Tafsir bi al-Ra’yi, tetapi kecenderungan kepada tafsiran akal agak meluas jika dibandingkan dengan tafsiran Tafsir bi al-Ma’thur. Beliau juga menjelaskan mufradat ayat serta terdedah kepada menganalisis permasalahan fiqh semasa.

Dalam penyusunan tafsirnya, pengarang juga menafsirkan al-Quran secara tahlîlî, iaitu ayat per ayat berdasarkan tata urutan al-Qur’an. Inilah yang membezakan tafsir ini dengan karya M. Quraish Shihab lainnya seperti; Lentera Hati, Membumikan al-Qur’an, Wawasan al-Qur’an, Mukjizat al-Qur’an, Pengantin al-Qur’an, dan selainnya yang menggunakan pendekatan tematik (mawdhû‘î), menafsirkan ayat-ayat al-Qur’an berdasarkan topik tertentu, bukan berdasarkan tata urutannya dalam mushaf.

Ada beberapa prinsip yang dipegangi oleh M. Quraish Shihab dalam karya tafsirnya, baik tahlîlî maupun mawdhû‘î, di antaranya bahawa al-Qur’an merupakan satu kesatuan yang tak terpisahkan. Dalam al-Mishbâh, beliau tidak pernah luput dari pembahasan ilmu al-munâsabât yang tercermin dalam enam hal:

  1. keserasian kata demi kata dalam satu surah;
  2. keserasian kandungan ayat dengan penutup ayat (fawâshil);
  3. keserasian hubungan ayat dengan ayat berikutnya;
  4. keserasian huraian awal/mukadimah satu surah dengan penutupnya;
  5. keserasian penutup surah dengan huraian awal/mukadimah surah sesudahnya;
  6. keserasian tema surah dengan nama surah.

Tafsir al-Mishbah banyak mengemukakan ‘huraian penjelas’ terhadap sejumlah mufassir ternama sehingga menjadi referensi yang mumpuni, informatif, argumentatif.

Tafsir ini tersaji dengan gaya bahasa penulisan yang mudah dicerna oleh semua peringkat, sama ada ahli akademik maupun masyarakat umum. Penjelasan makna sebuah ayat tertuang dengan tamsilan yang semakin menarik perhatian pembaca untuk menelaahnya.

Begitu menariknya huraian yang terdapat dalam banyak karyanya, pemerhati karya tafsir Nusantara, Howard M. Federspiel, merekomendasikan bahawa karya-karya tafsir M. Quraish Shihab patut dan wajib menjadi bacaan setiap Muslim di Indonesia sekarang.

Dari segi penamaannya, al-Mishbah bererti “lampu, pelita, atau lentera”, yang mengindikasikan makna kehidupan dan berbagai persoalan umat diterangi oleh cahaya al-Qur’an. Penulisnya mencitakan al-Qur’an agar semakin ‘membumi’ dan mudah difaham.

Kitab Tafsir al-Misbah yang terdiri dari 15 jilid ini, masing-masing jumlah halaman dan surahnya adalah seperti berikut;

Jilid/ Volume 1 : Surat Al-Fatehah s/d Al-Baqarah ( Tebal : 624 + xxviii Halaman )

Jilid/ Volume 2 : Surat Ali-‘Imran s/d An-Nisa ( Tebal : 659 + vi Halaman )
Jilid/ Volume 3 : Surat Al-Ma’idah ( Tebal : 257 + v Halaman )
Jilid/ Volume 4 : Surat Al-An’am ( Tebal : 367 + v Halaman )
Jilid/ Volume 5 : Surat Al-A’raf s/d At-Taubah ( Tebal : 765 + vi Halaman )
Jilid/ Volume 6 : Surat Yunus s/d Ar-Ra’d ( Tebal : 613 + vi Halaman )
Jilid/ Volume 7 : Surat Ibrahim s/d Al-Isra’ ( Tebal : 585 + vi Halaman )
Jilid/ Volume 8 : Surat Al-Kahf s/d Al-Anbiya’ ( Tebal : 524 + vi Halaman )
Jilid/ Volume 9 : Surat Al-Hajj s/d Al-Furqan ( Tebal : 554 + vi Halaman )
Jilid/ Volume 10 : Surat Asy-Syu’ara s/d Al-‘Ankabut ( Tebal : 547 + vi Halaman )
Jilid/ Volume 11 : Surat Ar-Rum s/d Yasin ( Tebal : 582 + vi Halaman )
Jilid/ Volume 12 : Surat Ash-Shaffat s/d Az-Zukhruf ( Tebal : 601 + vi Halaman )
Jilid/ Volume 13 : Surat Ad-Dukhan s/d Al-Waqi’ah ( Tebal : 586 + vii Halaman )
Jilid/ Volume 14 : Surat Al-Hadid s/d Al-Mursalat ( Tebal : 695 + vii Halaman )
Jilid/ Volume 15 : Surat-Surat pendek/ Juz ‘Amma ( Tebal : 646 + viii Halaman )

Semoga bermanfaat

Artikel di atas diubahsuai dari
http://mizansmartbook.blogspot.com/2011/05/tafsir-al-misbah.html dengan beberapa tambahan.

No comments:

Post a Comment