Monday, August 19, 2013

Mukhtashar Minhaj al-Qashidin (مختصر منهاج القاصدين)


Kitab Mukhtashar Minhaj al-Qashidin (مختصر منهاج القاصدين) merupakan sebuah kitab yang membincangkan mengenai kaedah dan prinsip “Tazkiyah al-Nafs” ( penyucian jiwa), yang disusun oleh al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi (597-682H), seorang ulama terkenal dalam mazhab Hanbali.

Kitab Mukhtashar Minhaj al-Qashidin ini, merupakan sebuah ringkasan yang dilakukan oleh Ibn Qudamah al-Maqdisi terhadap kitab Minhaj al-Qashidin (منهاج القاصدينkarya Ibn al-Jawziy. Manakala kitab Minhaj al-Qashidin pula merupakan ringkasan bagi sebuah kitab dalam bidang tazkiyah al-nafs yang terkenal, iaitu kitab Ihya ‘Ulumiddinإحياء علوم الدين) , karya Hujjah al-Islam Imam Abu Hamid Muhammad bin Ahmad al-Ghazali al-Thusi (505H).

Sebagaimana yang diketahui umum, bahawa kitab al-Ihya merupakan kitab yang terkenal menjadi rujukan utama dalam bidang tasawwuf, penuh dengan berbagai rinci ilmu yang berkaitan penyucian jiwa dalam beragama. Kandungannya menerangkan berbagai hikmat peribadatan yang disyariatkan Allah, menyelami konsep akhlak, zuhud yang sebenar, rasa cinta yang hakiki, merawat hati serta jiwa dan sentiasa memahatkan sifat ikhlas dalam beragama. Namun begitu, di dalamnya juga mengandungi berbagai bentuk kesilapan dari segi pembawaan dalil dengan mengedepankan hadis-hadis yang palsu (maudhu'), dhaif, dan mauquf. Maka, apabila ini berlaku, ia akan membawa kepada banyak syubhat dan penyimpangan di dalam urusan dan tujuan asal, iaitu penyucian jiwa.

Oleh itu, kitab al-Ihya’ telah diringkaskan dan diolahkembali oleh Ibn al-Jawziy  melalui kitabnya Minhajul Qashidin sebagai alternatif baru bagi memastikan kandungan kitab al-Ihya’ dapat diamalkan oleh umat Islam tanpa keraguan dan jauh dari kekhilafan. Kitab Minhaj al-Qashidin ini kemudiannya telah diringkaskan lagi oleh Ibn Qudamah al-Maqdisi dengan membuangkan tajuk-tajuk yang berkaitan aqidah dan fiqh, yang masih dikekalkan oleh Ibn al-Jawziy. Dalam kitab Mukhtashar Minhaj al-Qashidin, beliau hanya mengekalkan tajuk-tajuk yang khususnya mengenai tazkiyah al-nafs. Beliau telah membuat beberapa pembetulan, semakan dan tambahan bagi menyempurnakan kandungan kitab tersebut..

Di antara kandungan yang dipersembahkan untuk pembaca melalui kitab ini adalah berkenaan wajibnya menuntut ilmu, keutamaan ilmu, bahaya tanpa ilmu, persoalan-persoalan asas dalam ibadah seperti penjagaan thaharah dan solat, adab-adab dengan al-Qur'an, dzikir dan doa, berbagai himpunan adab-adab seorang muslim, hakikat persaudaraan, penawar hati, ketenangan jiwa, bimbingan memperbaiki akhlak, bagaimana mengendalikan syahwat, bahaya lidah, mengawal sifat dengki dan emosi, zuhud, mendidik rasa bersyukur dan sabar, menjauhi sifat sombong, ajakkan sentiasa bertaubat, kepentingan tauhid, pentingnya niat dan kejujuran, konsep muraqabah (mendekat diri kepada Allah), tafakur, mengingati mati dan rahmat Allah, dan mencintai Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam.

Prinsip yang dibawakan oleh penyusun kitab ini adalah dengan prinsip yang sahih lagi ilmiah berpandukan al-Qur'an, al-Sunnah, dan kefahaman yang benar di atas jalan Ahlus Sunnah wal-Jama'ah. Kitab ini patut menjadi rujukan dan panduan umat Islam dalam bidang tazkiyah al-nafs, bagi mengelakkan diri dari konsep penyucian jiwa (tazkiyatun nafs) yang menyimpang lagi menyesatkan dan yang tidak bersumberkan dalil agama yang benar dan jelas.

Kitab ini telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu / Indonesia dan telah diterbitkan oleh berbagai syarikat penerbitan. 

Kitab Mukhtashar Minhaj al-Qashidin (versi arab) ini boleh dimuat turun di pautan http://archive.org/download/WAQ94562WAQ/94562.pdf.

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment