Saturday, August 3, 2013

Mukhtashar al-Muzani (مختصر المزني)


Kitab Mukhtashar al-Muzani (مختصر المزني) merupakan sebuah kitab fiqh utama dalam mazhab al-Syafi’i. Ia merupakan karya Imam Abu Ibrahim, Ismail bin Yahya bin Isma’il al-Mishri al-Muzani  (175-264H), yang terkenal dengan gelaran Imam al-Muzani. Beliau merupakan murid dan sahabat utama kepada Imam al-Syafi’i ketika di Mesir. Beliau terkenal sebagai seorang yang warak, zuhud, menjauhi keduniaan dan seorang yang mustajab doanya.

Beliau diberi gelar “Nashir al-Mazhab” (Penolong Mazhab) dan “Badr al-Mazhab” (Bulan Purnama Mazhab). Gelaran beliau itu berdasarkan pengakuan Imam al-Syafi‘i yang berkata: “الْمُزَنِى نَاصِرُ مَذْهَبِى - al-Muzani adalah penolong mazhabku ”. Beliau salah seorang murid Imam al-Syafi‘i  yang disebut sebagai gunung ilmu, banyak menulis, menyebarkan ilmu di bumi Mesir dan tidak pernah pergi ke mana-mana tempat lain sehinggalah meninggal. Ini bertepatan dengan kata-kata Imam al-Syafi‘i kepada al-Muzani semasa hidupnya; “Adapun engkau wahai Muzani akan tetap tinggal di Mesir ini.” Sesuai dengan gelaran Penolong Mazhab Syafi‘i, al-Muzani mewariskan banyak kitab mazhab ini.  Antara lain al-Jami’ al-Kabir, al-Jami’ al-Shaghir, al-Mukhtashar, al-Mantsur, al-Masa’il al-Mu‘tabarah, al-Targhib fi al-‘Ilm, Kitab al-Watsa’iq, Kitab al-‘Aqarib, dan Kitab Nihayah al-Ikhtishar.


Pengenalan Kitab al-Mukhtashar;

Kitab Mukhtashar al-Muzani fi Furu’ al-Syafi’iyyah (مختصر المزني في فروع الشافعية), merupakan sebuah kitab rujukan utama dalam Mazhab al-Syafi’i. Secara umumnya jika disebutkan istilah al-Mukhtashar – oleh para ulama mazhab al-Syafi’i, maka yang dimaksudkan adalah kitab Mukhtashar al-Muzani ini.

Imam al-Nawawi mengkategorikan kitab ini di tingkat yang pertama antara lima buah kitab rujukan utama mazhab, iaitu;

  1. Mukhtashar al-Muzani, karya Abu Ibrahim al-Muzani,
  2. al-Muhazzab,  karya Abu Ishaq al-Syairazi
  3. al-Tanbih, karya Abu Ishaq al-Syairazi,
  4. al-Wasith, karya Abu Hamid al-Ghazali,
  5. al-Wajiz, karya Abu Hamid al-Ghazali.

Kandungan kitab ini, adalah satu himpunan isi pengajaran yang disampaikan Imam al-Syafi’i dalam sesi pengajaran beliau ketika di Mesir. Ucapan dan kata–kata al-Syafi’i tersebut dicatat dan diolah kembali oleh Imam al-Muzani menjadi sebuah kitab yang sangat besar manfaatnya kepada generasi selepasnya. al-Muzani menyelesaikan penyusunan kitab ini dalam tempoh dua puluh tahun. Setiap kali hendak menyusunnya beliau berpuasa terlebih dahulu tiga hari dan sembahyang sunat beberapa rakaat.

Perkara ini dicatatkan oleh al-Muzani di muqaddimah kitab al-Mukhtashar-nya;

Saya ringkaskan dalam kitab ini (suatu pengetahuan) yang berasal dari ilmu Muhammad bin Idris al-Syafi’i rahimahullah dan dari makna ucapan-ucapannya. Untuk mendekatkan (pemahaman) kepada yang menginginkannya. Disertai dengan penjelasan larangan untuk bersikap taqlid (fanatisme membabi buta) terhadap beliau (al-Syafi’i) ataupun selainnya. Untuk dilihat hal itu dalam agamanya, dan agar dijaga untuk dirinya (Mukhtashar al-Muzani fi Furu’ al-Syafi’iyyah hal 7 cetakan Daarul Kutub al-Ilmiyyah Beirut Lebanon) 


Perhatian Ulama terhadap kitab al-Mukhtashar;

al-Hafiz al-Baihaqi menyatakan:

Aku tidak mengetahui adanya suatu kitab yang ditulis dalam Islam yang lebih besar manfaatnya, lebih luas keberkahannya, lebih banyak buahnya. Bagaimana tidak, (hal itu didukung oleh) akidahnya (yang benar) dalam agama Allah, dan ibadahnya kepada Allah, kemudian (kesungguhannya) dalam menyusun kitab ini (Manaqib al-Syafi’i (2/328) dan Isma’il bin Yahya al-Muzani wa Risaalatuh Syarh al-Sunnah hal 44).

Para ulama mazhab al-Syafi’i yang terkemudian telah memberikan perhatian yang besar kepada kitab al-Mukhtashar, dengan menyusun berbagai kitab berdasarkan kitab al-Mukhtashar, sama ada dalam berbentuk syarah dan mukhtashar. Pada dasarnya daripada kitab al-Mukhtasar inilah muncul kitab-kitab besar mazhab Syafi‘i yang dikarang ulama-ulama besar mazhab yang datang kemudian. Sebagai contoh, kitab ini telah disyarahkan oleh Imam al-Juwaini al-Haramain (478H) dalam kitabnya yang berjudul al-Nihayah (Nihayah al-Mathalib fi Dirayah al-Mazhab).  Kitab al-Nihayah pula telah  diringkaskan oleh muridnya Imam Abu Hamid al-Ghazali (505H) melalui kitabnya al-Basith. Kemudian al-Ghazali telah meringkaskan al-Basith  pula dalam kitabnya  yang berjudul al-Wasith. Kemudian al-Ghazali telah meringkaskan lagi kitab al-Wasith dalam kitabnya yang berjudul al-Wajiz.

Kitab al-Wajiz disyarahkan oleh Abu al-Qasim al-Rafi’i (624H) dalam kitabnya  yang dikenali dengan al-Syarh al-Kabir (al-‘Aziz Syarh al-Wajiz).  Kitab al-Syarh al-Kabir telah diringkaskan dan diulas pula oleh Imam Muhyiddin al-Nawawi (676H) dalam kitabnya yang berjudul Rawdhah al-Thalibin. Kitab Rawdhah al-Thalibin diberi hawasyi (hasyiah) pula oleh beberapa ulama antara al-Azra‘i (783H), Ibn ‘Imad, al-Isnawi (772H) dan Sirajuddin al-Bulqini (705H). Keempat-empat kitab ini telah dikumpulkan oleh Imam al-Zarkasyi (794H) dalam kitabnya yang dikenali dengan kitab Khadim al-Rawdhah.

Kitab Rawdhah al-Thalibin telah diringkaskan oleh al-Syarf al-Muqri (837H) dalam kitabnya yang berjudul al-Rawdh (Rawdh al-Thalib). Kitab al-Rawdh disyarahkan pula oleh Syaikh al-Islam Zakariya al-Anshari (926H) melalui kitabnya Asna al-Mathalib Fi Syarh Rawdh al-Thalib. Syarh al-Rawdh ini diringkaskan pula oleh Ahmad bin ‘Umar al-Mazjad al-Zabidi (930H) dalam kitab yang berjudul al-‘Ubab. Kitab al-‘Ubab ini telah disyarah oleh al-Sayyid ‘Alawi bin Ahmad al-Saqqaf (1335H), pengarang kitab Sab‘ah Kutub Mufidah sehingga bab al-Wakalah. Manakala kitab al-Rawdh di atas juga telah diringkaskan lagi oleh Imam Ibn Hajar al-Haytami  (974H) dalam kitabnya al-Nu-‘aim.

Catatan di atas, hanyalah sebagai contoh kronogi penyusunan kitab-kitab fiqh dalam mazhab al-Syafi’i yang mempunyai pertalian di antara satu sama lain, yang berakhir dengan kitab Mukhtashar al-Muzani. Sebenarnya setiap kitab yang disebutkan di atas, masing-masing mempunyai syarah, hasyiah dan mukhtashar tersendiri yang disusun oleh para ulama mazhab al-Syafi’i.

Kitab-Kitab Syarah bagi Kitab al-Mukhtashar;

Berikut disenaraikan antara kitab-kitab syarah bagi kitab al-Mukhtashar;

1.       al-Intiqad ‘ala al-Mukhtashar, karya Abu Bakr, Ahmad bin al-Husain bin Sahl al-Farisi (305H).

2.      al-Ta’liqah, karya Abu Hamid al-Maruzi (326H). Kitab ini kemudiannya telah diringkaskan oleh Abu Ishaq al-Syirazi dalam kitabnya al-Tanbih.

3.      Syarh Mukhtashar, karya Abu Ishaq Ibrahim bin Muhammad al-Marwazi (340H). Kitab ini telah dikomentar oleh muridnya al-Jawbaqi (340H) melalui kitabnya al-Nukat ‘ala Syarh Mukhtashar.

4.      Syarh Mukhtashar al-Muzani, karya Ibn. Abu Hurairah, al-Qadhi Abu ‘Ali al-Hasan bin al-Husain al-Baghdadi (345H). Beliau mempunyai dua syarah bagi kitab al-Mukhtashar iaitu al-Ta’liq al-Kabir ‘ala al-Mukhtashar  dan al-Ta’liq al-Shaghir ‘ala al-Mukhtashar.

5.      al-Ifshah fi Syarh al-Mukhtashar, karya Abu ‘Ali al-Husain bin Qasim al-Thabari (350H).

6.      Syarh Mukhtashar al-Muzani, karya al-Qadhi Abu Hamid, Ahmad bin Bisyr bin ‘Ami al-Amiri al-Marwarruzi (362H).

7.      al-Intishar ‘ala Mukhtashar al-Muzani, karya Ibn al-Qaththan, al-Hafiz Abu Ahmad Abdullah bin ‘Adi bin Abdullah al-Jurjani (365H).

8.     Syarh Mukhtashar al-Muzani, karya Ibn al-Daqqaq, Abu Bakr Muhammad bin Ja’far al-Baghdadi (392H).

9.      Syarh Mukhtashar al-Muzani, karya Abu Ali Husain bin Syu’aib bin Muhammad al-Sinji (406H).

10.  al-Ta’liqah fi al-Fiqh ‘ala Mukhtashar al-Muzani, karya al-Syaikh Abu Hamid al-Isfirayini (406H).

11.   Syarh Mukhtashar al-Muzani / al-Ta’liqah, karya Abu al-Thayyib, Thahir bin Abdullah al-Thabari (406H).

12.  al-Hawi al-Kabir Syarh al-Mukhtashar, karya Abu al-Hasan ‘Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi al-Bashri (462H). Kitab ini merupakan kitab syarah yang paling terkenal di kalangan ulama mazhab al-Syafi’i. Ia telah dicetak dan menjadi rujukan para ulama dan pelajar pusat pengajian tinggi.

13.  al-Ta’liqah / Syarh Mukhtashar al-Muzani, karya al-Qadhi  Husain, Abu ‘Ali al-Husain bin Muhammad bin Ahmad al-Marwarruzi (462H).

14.  Nihayah al-Mathalib Fi Dirayah al-Mazhab, karya Imam Haramain, Rukn al-Din Abu al-Ma-‘ali Abdul Malik bin Abdullah al-Juwaini (419-478H).

15.   Bahr al-Mazhab, karya Imam Fakhr al-Islam Abu al-Muhasin Abdul Wahid bin Ismail bin Ahmad al-Thabari al-Ruyani (502H). Kitab ini dikatakan sebagai syarah bagi kitab al-Mukhtashar.

16.  Syarh al-Mukhtashar, karya Syaikh al-Islam, al-Qadhi Zaynuddin  Abu Yahya Zakariya bin Muhammad bin Ahmad al-Anshari al-Sunaiki al-Mishri (926H).

Kitab Ziyadah

          Ziyadat al-Muzani, karya Ibn Ziyad, Abu Bakr Abdullah bin Muhammad bin Ziyad bin Wasil al-Naisaburi (324H). Kitab ini terkenal sebagai Ziyadat Ibn Ziyad. Dalam kitab ini Ibn Ziyad telah menambah kandungan asal kitab al-Mukhtashar dengan beberapa tambahan yang dianggapnya perlu bagi menyempurnakan kitab al-Mukhtashar.

Kitab al-Mukhtashar  ini boleh dimuat turun di SINI / SINI.

4 comments: