Monday, July 29, 2013

Misykat al-Masabih karya Imam al-Tabrizi

 
Pengenalan ringkas Imam al-Tabrizi
 
Nama penuh beliau ialah Waliyuddin Abu Abdillah Muhammad bin Abdullah al-Khatib al-‘Amri al-Tabrizi. Digelarkan al-Tabrizi kerana dinisbahkan kepada Tibriz iaitu satu kampung yang terletak di Azerbaijan sekarang ini. Beliau merupakan seorang ulama yang mahir di dalam permasalahan hadith yang sering dipuji oleh orang-orang sezamannya. [ Waliyuddin Abu Abdillah Muhammad bin Abdullah al-Khatib al-‘Amri al-Tabrizi (2003), Misykat al-Masabih, tahkik : al-Syeikh Jamal ‘Ainaiya , Dar Kutub al-Ilmiah, Beirut, Lubnan, j.1, hal 12 ]

Tidak banyak dapat diperkatakan mengeni beliau kerana terlalu sedikit maklumat mengenai latar belakangnya. Cuma apa yang dapat diperkatakan ialah mengenai pujian beberapa orang ulama kepadanya. Antaranya Syeikh al-Allamah Hassan bin Muahmmad al-Tibu di dalam kitab beliau Baqiyyah al-Auliya’ wa Qatb al-Sulha’ menganggap beliau sebagai seorang alim yang sukar ditandingi. Begitu juga tanggapan al-Mala Ali al-Qari dan al-Kittani. Di antara karangan beliau yang sampai ke tangan generasi terkemudian ialah Misykat al-Mashabih dan al-Ikmal fi Asma’ al-Rijal. Beliau wafat pada 737H iaitu pada tahun beliau menyempurnakan penulisan kitab Misykat al-Masabih pada hari Jumaat terakhir di bulan Ramadhan.

 
Pengenalan al-Imam al-Baghawi

Oleh kerana kitab ini merupakan syarah kepada kitab Mashabih al-Sunnah karangan Imam al-Baghawi, maka penulis merasakan amat perlu untuk turut diperkenalkan beliau selaku penulis asal kepada kitab yang disyarahkan oleh Imam Tabrizi.

Beliau ialah Abu Muhammad al-Husayn bin Mas’ud bin Muhamad bin al-Farra’ al-Baghawi. Digelar sebagai Muhyissunnah atau orang yang menghidupkan sunnah kerana kesungguhannya di dalam mempertahankan sunnah Rasulullah SAW. Beliau dilahirkan pada 433H di satu kampung bernama ‘Bagh’ yang terletak di Khurasan. Oleh kerana itu, nama beliau dinisbahkan kepada kampung ini dan digelar sebagai al-Baghawi.

Ketika berumur 27 tahun, beliau bermusafir ke Marwu al-Ruzz Tempat ini terletak lebih kurang 5 hari perjalanan dari kampung asalnya untuk menuntut ilmu daripada syeikh-syeikh hadis di sana. Beliau merupakan seorang pelajar yang tekun di dalam menuntut ilmu. Berkata Imam al-Zahabi mengenai dirinya, “Beliau tidak akan belajar kecuali di dalam keadaan suci (berwudhuk)..” [ Muhamad bin Husayn al-Zahabi (t.t) Siyar a’lam al-Nubala’, j.19, hal 441 ].

Di antara guru-gurunya ialah Abu Salih Ahmad bin Abdul Malik al-Naysaburi (m. 470H), Abu Ali al-Husayn bin Muhammad bin Ahmad al-Maruzi (m.352H), Abu Turab Abd al-Baqi bin Yusof bin Ali bin Salih bin Abd al-Mulk al-Maraghi (m492H) dan ramai lagi. Manakala di antara murid-muridnya ialah saudaranya Hassan bin Mas’ud al-Baghawi (m529H) dan  Umar bin Hassan bin Husayn al-Razi (m606H) iaitu ayah kepada al-Imam al-Razi penulis al-Tafsir al-Kabir.

Beliau menghasilkan banyak karya, antaranya 40 Hadis, al-Anwar fi Syamail al-Nabiyy al-Mukhtar, Turjumah al-Ahkam fi al-Furu’ (bahasa farsi), al-Tahzib fi al-Fiqh, al-Jam’u bayna al-Sahihain dan lain-lain. Beliau akhirnya meninggal dunia pada bulan Syawwal tahun 510H. [ Waliyuddin Abu Abdillah Muhammad bin Abdullah al-Khatib al-‘Amri al-Tabrizi (2003), Misykat al-Masabih, tahkik : al-Syeikh Jamal ‘Ainaiya, Dar Kutub al-Ilmiah, Beirut, Lubnan, j.1, hal 10 ]
 

Pengenalan Kitab Misykat al-Masabih

Kitab ini merupakan huraian kepada kitab Mashabih al-Sunnah yang disusun oleh Imam al-Baghawi. Ia merupakan kitab hadith yang memuatkan hadis-hadis berkaitan persoalan iman (Penyusunan bab di dalam kitab ini mirip kepada penyusunan Imam al-Bukhari di dalam sahihnya), ilmu dan seterusnya persoalan ibadat, muamalat, munakahat dan jinayat. Di dalam menyusun kitab ini, Imam al-Baghawi pada asalnya meletakkan hadis-hadis tanpa sanad dan tidak dijelaskan sumber ambilannya. Menyedari hakikat ini, Imam al-Tabrizi yang dilahirkan beberapa ratus kemudian telah mengambil inisiatif untuk menyusun semula hadis-hadis ini, diletakkan sanad, dinyatakan sumber ambilannya dan diberikan sedikit komentar.  Ini dinyatakan sendiri oleh Imam Tabrizi di dalam mukaddimahnya. Karya ini dicetak di dalam pelbagai edisi. Manakala karya yang terdapat di tangan penulis berjudul Misykat al-Mashabih  karangan Waliyuddin Abu Abdillah Muhammad bin Abdullah al-Khatib al-‘Amri al-Tabrizi. Ia diterbitkan sebanyak 3 jilid pada 2003 oleh Dar Kutub al-Ilmiah, Beirut, Lubnan dan telah ditahkik oleh al-Syeikh Jamal ‘Ainaiya.

Isi Kandungan Kitab

Kitab yang telah ditahkik ini dimulakan dengan muqaddimah daripada pentahkik yang juga menyebut pengenalan ringkas kitab Misykat al-Mashabih. Seterusnya ia diikuti dengan riwayat hidup Imam al-Baghawi dan Imam al-Tibrizi. Seterusnya pentahkik menjelaskan metodologinya di dalam mentahkik kitab ini. Antara metodologinya ialah :
 
ü  Membuat perbandingan naskhah asal (makhtutat) kitab ini dengan kitab yang telah dicetak yang terdapat di perpustakaan.
ü  Membuat perbandingan hadith-hadith yang terdapat di dalam kitab ini dengan naskhah asal Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Mashabih oleh al-Malla Ali al-Qari al-Harwi. Menurut pentahkik, beliau menemui beberapa perbezaan.
ü  Membuat takhrij hadith-hadith yang terdapat di dalam kitab ini
-Meletakkan tanda baca.
ü  Meletakkan nombor bilangan hadith.[Metode ini dijelaskan sendiri oleh pentahkik di dalam muqaddimahnya]
ü  Kemudian ia diikuti dengan muqaddimah daripada Imam al-Tibrizi yang menjelaskan sedikit sebanyak faktor-faktor yang mendorong penulisan kitab ini. Beliau seterusnya meletakkan hadith yang berkaitan dengan niat yang berbunyi :
 إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
Hadith ini diriwayatkan hampir kesemua ulama hadis dan ia mencapai taraf sahih mutawatir sebagai hadis yang pertama sekalipun ia bukanlah merupakan yang pertama di dalam naskhah asal Masabih al-Sunnah.

Mengenai penyusunan bab-bab di dalam kitab ini, Imam Tibrizi mengekalkan susunan yang dilakukan oleh Imam Baghawi. Ia dimulakan dengan kitab Iman diikuti dengan kitab ilmu, taharah, solat, janaiz, zakat, puasa, kelebihan al-Quran, doa, manasik, jual beli, faraid dan wasiat, nikah, ‘itq, sumpah dan nazar, qashash, hudud, imarah dan qadha’, jihad, buruan dan sembelihan, makanan, minuman, pakaian, perubatan, mimpi, adab, riqaq, fitan, hal ehwal kiamat, fadhilat dan akhir sekali manaqib.

Secara keseluruhannya, Misykat al-Mashabih ini mengandungi 30 kitab yang dipecahkan masing-masing kepada beberapa bab. Jumlah keseluruhan bab yang terdapat di dalam karya ini lebih kurang 350 buah bab. Manakala jumlah keseluruhan hadith di dalam karya ini ialah 6285 buah hadith.

Kelebihan Kitab

Kitab ini boleh diibaratkan sebagai ringkasan kepada Sahih Bukhari di mana penyusunan isi kandungannya hampir sama dengan sahih tersebut. Apa yang membezakan di antara keduanya ialah bilangan hadis yang lebih banyak terdapat di dalam Sahih Bukhari dan juga taraf hadis. Pembaca kitab ini akan dapat menghayati tuntutan hidup seorang muslim berdasarkan sunnah Rasulullah SAW.
Selain dari itu, perbahasan dipecahkan kepada beberapa fasal mengikut orientasi isi kandungan hadith memudahkan pembaca membuat rujukan kepada mana-mana hadith yang dikehendaki.

Kelemahan

Penulis iaitu Imam Imam Baghawi dan Imam Tibrizi ternyata tidak meletakkan hadith-hadith yang dianggap sahih sahaja di dalam kitab mereka. Ini menyebabkan bercampurnya hadith-hadith yang dhaif dan tidak boleh dijadikan hujjah dengan hadith-hadith yang sahih. Menurut Sheikh Nasiruddin al-Albani, jumlah hadith dhaif di dalam kitab ini ialah sebanyak 773 buah hadith dan hadith maudhu’ pula sebanyak 19 buah [ Merujuk kepada perisian Maktabah Syamilah] Ini boleh menyebabkan pembaca yang tidak mempunyai asas ilmu hadith akan terpengaruh dan menjadikan sandaran mereka ke atas hadith-hadith yang lemah malah palsu.
 
 

4 comments:

  1. Mana boleh dpt kan kitab ni..boleh tolong ke..

    ReplyDelete
  2. Mane nk dapat kitab yg ade syarah

    ReplyDelete
  3. Boleh cari kitab Midrajul Fawatih Syarah Misykatul Masobih oleh Maulana Hasnul Hizam - ditulis dalam bahasa Malaysia

    ReplyDelete
  4. kenapa ada nasiruddin al bani menyusup, dan men do'ifkan hadiat

    ReplyDelete