Thursday, July 25, 2013

Kitab al-Maqālāt al-Islāmiyyīn wa Ikhtilaf al-Musallīn


1.0 PENDAHULUAN

Di antara karya agung yang terawal tulisan ulama silam dalam bidang usul al-din ialah buku yang ditulis oleh Sheikh ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah Abu al-Hassan al-‘Ash‘ari iaitu kitab al-Maqālāt al-Islāmiyyīn wa Ikhtilaf al-Musallīn (مقالات الإسلاميين واختلاف المصلين  ). Kitab ini telah membuat pendedahan yang berharga lagi jujur terhadap golongan-golongan yang seolah-olah mewakili sebahagian umat Islam tetapi hakikatnya golongan-golongan ini jauh menyeleweng dari landasan ‘aqīdah ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Buku ini telah mendapat pujian daripada Ibnu Taimiyyah di dalam kitabnya Muāfaqah sorīh al-Ma‘qūl li sohih al-Manqūl dan menyifatkannya sebagai amat hampir dengan aqidah Imam Ahmad bin Hanbal [1].

 
2.0 BIODATA PENGARANG KITAB

2.1 NAMA PENGARANG KITAB

Nama lengkap pengarang buku ini ialah Abu al-Hassan ‘Ali bin Isma‘il bin Abi Bishr Ishāq bin Salim bin Isma‘il bin ‘Abdillah bin Musa bin Bilal bin Abi Burdah ‘Amir bin Abi Musa Al-‘Ash‘ariy [2]. Abu  Musa Al-‘Ash‘ariy adalah seorang sahabat Nabi SAW yang terkenal.Gelaran Al-‘Ash‘ariy merujuk kepada silsilah keturunan beliau yang sampai kepada keturunan Abu Musa al-Ash’ari [3].

 
2.2 KELAHIRAN DAN KEWAFATAN

Abu Hassan lahir di Basrah (‘Irāq) pada tahun 260 Hijrah iaitu kira-kira 55 tahun sesudah meninggalnya Imam Shafi‘e .Beliau meninggal di Basrah pada tahun 324 Hijrah semasa usia beliau 64 tahun [4].

 
2.3 MENUNTUT ILMU

Secara ringkasnya Abu al-Hassan al-‘Ash’ariy pada mulanya belajar ilmu asas seperti membaca , menulis dan menghafal al-Qur’ān dari orang tuanya sendiri. Namun orang tuanya meninggalkan dunia ini semasa usia beliau masih kecil. Selanjutnya ia mendalami ilmu hadith, fiqh, tafsir dan bahasa arab dari ulama’-ulama’ yang terkenal seperti al-Sāji, Abu Khalifah al-Jumhi, Sahal Ibn Nuh, Muhammad Ibnu Ya’kub, Abd al-Rahman Ibn Khayr dan lain-lain [5]. Mempelajari fiqh Shafi‘e dari Abu Ishaq al-Mawardi (340h) [6].

 
2.4 SEJARAH BELIAU BERSAMA MU‘TAZILAH

Beliau pada mulanya menjadi murid kepada ayah tirinya yang juga seorang pemimpin besar aliran Mu‘tazilah iaitu Sheikh Abu ‘Ali Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab al-Jabā’i (meninggal tahun 303 Hijrah). Namun akhirnya beliau meninggalkan aliran ini dan keluar dari golongan Mu‘tazilah.Semasa beliau masih remaja, aliran Mu‘tazilah telah mendapat tempat di khalayak masyarakat kerana dokongan kuat pemimpin-pemimpin Khalifah ‘Abbasiyyah seperti Ma’mun bin Harun al-Rashid (198-218 Hijrah ), al-Mu‘tasim (218-227 Hijrah) dan al-Wathiq (227-232 Hijrah). Aliran Mu‘tazilah sangat mendominasi budaya keilmuan semasa itu di merata-rata tempat samada di Basrah, Kufah mahupun Baghdad. Sejarah juga mencatatkan perselisihan yang sangat sengit dan tragik sehingga sampai peringkat berlaku pembunuhan ulama’-ulama’ yang tidak sealiran dengan Mu‘tazilah seperti yang berlaku dalam fitnah al-Qur’ān makhluq.

 
2.5 KELUAR DARI ALIRAN MU‘TAZILAH

Abu al-Hassan Al-Ash‘ariy mendapati ada beberapa konsep yang menjadi pegangan aliran Mu‘tazilah ini sangat bertentangan dengan ‘itiqād Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah yang bersumberkan al-Qur’ān dan al-Sunnah sehingga beliau nekad untuk meninggalkan aliran sesat ini bahkan mengambil tanggungjawab berada di barisan hadapan menentang aliran ini.

Beliau menentang aliran Mu‘tazilah dengan lisan dan tulisan. Beliau membawa pendekatan berdebat dengan pengikut-pengikut Mu‘tazilah serta menulis dan mempromosi pegangan Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah dalam kitab-kitab tulisan beliau.Antara buku beliau yang terkenal dalam membahaskan ilmu tauhid ini ialah antara al-Ibanah fi usul al-Diyanah, maqālāt al-Islamiyyin, Pendekatan beliau yang agresif ini menyebabkan beliau sangat dikenali sebagai ulama’ tauhid yang bukan sahaja mampu menghadapi aliran sesat ini bahkan mampu mematahkan hujjah aliran Mu‘tazilah.

 
2.6 KARYA-KARYANYA

Al-Ash’ary sebagai tokoh yang mempertahankan aqidah ahli Sunnah wa al-Jama’ah telah menghasilkan karya-karya hebat khususnya selepas beliau keluar dari aliran Muktazilah dan telah meninggalkan khazanah berharga buat umat Islam.Ada sumber mengatakan kitab karangannya mencapai 300 buah [7]. Sebahagian besar kitabnya adalah bertujuan membantah fahaman muktazilah dan tidak terkecuali juga bantahan kepada golongan sesat yang lain [8]. Di antara karya besar beliau ialah kitab al-Fusul: terdiri daripada 12 buku dan merupakan bantahan terhadap falsafah naturalism, atheism, brahmanisme, Yahudi, Nasrani dan majusi [9]. Antara karyanya yang lain ialah al-Luma‘, al-Mujīz, al-Tabyīn ‘an Usūl al-Din, Sharh wa al- Tafsil fi al-Radd ‘ala Ahl al-Fikr wa al-Tadlil. Beliau juga menyusun buku-buku dalam disiplin ilmu shariah seperti kitab al-Qiyās, kitab al-Ijtihād, Khabar al-Wahid dan kitab al-‘Amd sekitar tahun 320 hijrah  terdiri daripada 68 tulisan lebih dari 10 jilid [10]. Tetapi karya yang paling utama ialah Maqālāt Islamiyyīn wa Ikhtilāf al-Musallīn, al-Ibānah ‘an Usūl al-Diyānah dan al-Luma‘ fi al-Radd ‘ala Ahl al-Zyagh wa al-Bida’.

 
2.7  ANAK MURIDNYA

Di antara anak muridnya yang terkenal dan akhirnya lahir sebagai pembela-pembela aqidah ini adalah seperti, al-Qadi Abu Bakr bin al-Tayyib al-Baqillani [11] , Abu Hasan al-Bahili al-Basri [12], Abu Ishaq al-Isfiraini [13], dan al-Imam Abu Muhammad al-Juwaini [14].

 
3.0 METODOLOGI BELIAU DALAM MEMPERTAHANKAN ‘AQIDAH AHLI AL-SUNNAH WA AL-JAMA‘AH

Keistimewaan Imam Abu Hassan Al-Ash‘ariy dalam menegakkan kefahaman beliau dalam Ahli al-Sunnah wa al-Jamā‘ah ialah beliau mengutamakan dalil-dalil al- Qur’ān dan al-Hadith serta menggabungkannya dengan pertimbangan ‘aqal dan fikiran.

Berbeza dengan pendekatan aliran Mu‘tazilah yang mengutamakan ‘aqal dan fikiran serta falsafah yang berasal dari Yunani dalam membicarakan usul al-din .Pendekatan ini juga sangat berbeza dengan kaum mujassimah (kaum yang menyerupakan Tuhan dengan makhluq) yang sangat terikat dengan makna zahir nas al- Qurān dan al-Hadith.

 
4.0 KITAB  MAQĂLĂT AL-ISLĂMIYYĪN WA IKHTILĂF AL-MUSALLĪN

Kitab ini adalah antara kitab yang terawal dikarang menyentuh masalah kepercayaan Islam dan terbukti menjadi rujukan utama dalam doktrin al-Ashā’ariyyah kerana kejujurannya dan ketelitian pengarangnya.
                                                                                          
Salah satu karya beliau yang sangat penting dan bernilai ialah buku yang akan diperbincangkan ini iaitu kitab yang berjudul Maqālāt al-Islamiyyīn.Kitab ini disusun dalam dua jilid.
 
4.1 DORONGAN PENULISANNYA

Imam Abu Hassan Al-Ash‘ariy menjelaskan secara ringkas dorongannya untuk menulis kitab ini adalah kerana merasakan amat penting bagi sesiapa yang ingin mengetahui pegangan-pegangan dan anutan agama-agama lain dan membuat perbezaan di antara anutan-anutan ini, perlulah mengetahui intipati setiap anutan itu.Mengikut pengamatan beliau ada di kalangan penulis yang cuba membuat pendedahan terhadap pegangan-pegangan songsang ini tetapi tidak mempunyai cukup maklumat ataupun sengaja menyembunyikan maklumat tertentu agar nampak jelas lemahnya anutan saingannya.Beliau sangat tidak bersetuju dengan pendekatan sebegini dan menyifatkannya sebagai bukan pendekatan al-robbāniyyīn. Lantaran itu, itu beliau mengambil inisiatif untuk membuat pendedahan dan pembongkaran terhadap pegangang-pegangan ini secara ringkas dan tidak berjela-jela [15].

 
4.2 METODOLOGI PENULISAN KITAB

Beliau memulakan kitab ini dengan mengimbau sejarah umat Islam dengan mengemukakan faktor utama perselisihan umat Islam adalah berpunca dari masalah al-Imāmah. Masalah ini berlarutan dalam zaman pemerintahan Sayidina Othman r.a dan Saidina Ali r.a.

Jilid pertama, pengarang menyenaraikan al-firaq al-islamiyyah dan pandangan serta pendapat setiap firqah. Dalam menyenaraikan al-firaq al-islamiyyah ini, beliau telah menyenaraikan seperti berikut :-

  1. Puak syi‘ah dan telah menamakan sebanyak 39 puak.
  2. Firqah al-Zaydiyyah dan pecahannya sebanyak 6 puak.
  3. Puak al-kharijīn min āli al-bayt dan memperkenalkan 22 puak.
  4. Puak al-Khawarij sebanyak 35 pecahannya.
  5. Puak al-Murji’ah sebanyak 12 pecahannya.
  6. Maqālāt puak al-Mu‘tazilah.
  7. Puak al-Jahmiyyah
  8. Beliau mengakhiri jilid pertama dengan menyebut firqah yang benar iaitu ahli al-sunnah wa al-jama‘ah .

Dalam membuat pendedahan berkenaan jelas terbukti bahawa Imam Abu Hassan Al-‘Ash‘ariy sangat menguasai intipati ajaran–ajaran firqah serta tokoh-tokoh pemuka firqah berkenaan .Beliau mampu membawakan intipati doktrin firqah-firqah ini secara jujur dan telus.

Dalam jilid kedua beliau menyenaraikan perkara-perkara yang melibatkan isu-isu yang diperselisihkan dari dimensi ilmu al-usuliyyah, al-falsafiyyah, al-siyasiyyah dan al-fiqhiyyah. Sebanyak 301 isu telah diperbincangkan.

Beliau membawa pendekatan berikut ketika membincangkan isu—isu berkenaan :-

  1. Beliau mengenengahkan isu-isu berkenaan dalam bentuk seperti mengemukakan soalan dan memberikan jawapan-jawapan.
  2. Beliau membawakan pandangan-pandangan tokoh-tokoh aliran pemikiran firqah tertentu seperti Abu al-Huzayl, al-Nazzam dan sebagainya tanpa menyebut mereka itu mewakili firqah mana. Tetapi seringkali juga  beliau hanya menyebutkan dengan istilah “al-Qā’ilūn “sahaja tanpa menisbahkan kepada mana-mana tokoh.
  3. Adakalanya beliau mengemukakan jawapan secara ringkas dan ada ketikanya beliau mengemukan jawapannya dengan panjang
  4. Sesuai dengan pendahuluan kitab ini bahawa beliau hanya akan menyentuh setiap isu secara ringkas sahaja, beliau hanya menyebutkan intipati pandangan firqah tertentu tanpa membawakan dalil al-Qurān mahupun Hadith pada setiap isu.

Beliau juga telah mengemukakan perbahasan yang agak ganjil ketika itu seperti;

  1. Pergerakan bumi sebanyak 4 maqālah Berhentinya bumi bukan atas sesuatu
  2. Mengenai manusia sebanyak 19 maqālah.
  3. Makna  pergerakan dan statik
  4. Pengetahuan manusia dari sudut pancaindera
  5. Persoalan samada suara itu kekal atau tidak
  6. Adakah udara berkemungkinan terangkat dari  manusia
  7. Hakikat al-makān (tempat ) sebanyak 5 maqālah.
  8. Adakah berkemungkinan satu waktu untuk dua perkara
  9. Hukum talaq tanpa ‘iddah.
  10. Adakah khilaf ahl al-ahwā’ juga dikira sebagai khilaf juga.
  11. Siapakah orang yang layak berijtihad
  12. Perkara-perkara yang diketahui melalui ijtihad adakah dikira sebagai perintah agama.
  13. Perkara yang dikhtilafkan pada menetapkan sempadan umur baligh serta lain-lain perbahasan lagi.

Beliau mengakhiri karya yang sangat penting dengan perbahasan-perbahasan al-nasikh wa al-mansukh dan ta‘ārudh al-nusus.

 
4.3 KEISTIMEWAAN KARYA INI

Satu keistimewaan yang terserlah apabila membaca buku ini jelas betapa amanahnya Imam Abu al-Hassan Al-Ash‘ariy menceritakan aliran-aliran pemikiran selain dari aliran ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah atau aliran musuh-musuhnya dengan penuh amanah dan ikhlas.

Beliau dikatakan sebagai penyumbang dalam mempertahankan ajaran Islam kerana sebelum beliau, dasar iktiqad Islam tidak tersusun rapi dan lengkap seperti sekarang. Kalau usaha mengumpul hadith didorong dari kebimbangan akan terhapusnya hadith-hadith Rasulullah SAW sesudah ketara dengan kemunculan hadith-hadith palsu, maka usaha menyusun dasar-dasar iktiqad Islam juga didorong oleh kebimbangan bahawa dasar-dasar pegangan yang benar mungkin akhirnya akan dirosakkan oleh unsur-unsur bid’ah yang disebarkan dengan gigihnya oleh guru dan ulama’ Mu’tazilah [16] dan aliran-aliran lain yang masih mengaku sebagai firqah Islam. Karya ini telah memperkenalkan kepada kita dan sekaligus menapis iktiqad yang salah dan akhirnya menatijahkan pegangan iktiqad yang benar.

 
5.0 SARANAN.

Dalam era pertembungan aliran pemikiran yang semakin sengit dewasa ini, ditambahi pula dengan aliran-aliran sesat versi lama dan baru beserta dengan penjenamaan dengan menggunakan nama-nama dan istilah-istilah ala-islamik, pembela-pembela agama perlu menekuni kitab ini kerana ia memberi gambaran dan maklumat yang sangat ensiklopedik terhadap firqah–firqah yang salah walaupun masih mengaku terkelompok dalam golongan muslimin.

Walaupun kitab ini sangat penting untuk ditekuni oleh penuntut, namun pembaca perlu terlebih dahulu perlu memahami metodologi penulis dan mengenali tokoh-tokoh yang sering disebut oleh beliau kerana tokoh-tokoh ini mewakili firqah tertentu tetapi tidak disebutkan secara jelas oleh beliau.

Pembaca juga tidak didedahkan istidlal al-Qur’ān dan al-Hadith dalam hampir kebanyakan persoalan. Ini memerlukan kajian yang lebih lanjut oleh pembaca.

 
6.0 PENUTUP

Sesungguhnya usaha Imam Abu al-Hassan Al-Ash‘ariy memaparkan kepada kita kitab yang sangat berharga ini telah sedikit sebanyak mengubah landskap pemikiran dan tanggapan masyarakat terhadap aliran al-Asha‘irah yang dikatakan telah membawa aliran yang bertentangan dengan aliran ahli hadith tetapi sebenarnya beliau sedaya upaya menggunakan sandaran sumber utama iaitu al-Qur’ān dan al-Sunnah yang diperkukuh dengan penggunaan potensi kekuatan aqal fikiran. Usaha ini telah diperakui sendiri oleh pendokong kuat aliran al-hadith seperti Sheikh al-Islam Ibnu Taimiyyah.

Artikel di atas saya ambil dari pautan http://muis.ismaweb.net/2010/05/karya-utama-usuluddin-maqalaat-al-islamiyyin-wa-ikhtilaf-al-musollin/, dan http://perwadah.blogspot.com/2011/03/karya-utama-usuluddin-maqalat-al.html, dengan sedikit editan persembahannya tanpa merubah isi kandungannya. Semoga bermanfaat.
 
Download edisi Arab kitab ini  di  PDF / DOC.

[1]Abu al-Hassan al-‘Asha‘ri (1990),Maqālāt al-Islāmiyyīn wa ikhtilāf al-Musallīn Bierut: al-Maktabah al-‘Asriyyah jilid 1 hal 3.
[2]Ibn ‘Asakir al-Dimasyq,(1979) , Tabyin Kadhib al-Muftari fi ma Nusiba ila al-Imam Abi al-Hassan al-Ash’ary, Beirut: Dar al-Kitab al-Arabiy hal 34.
[3]Abu Musa al-‘Ash‘ari adalah sahabat Nabi SAW yang terlibat dengan perundingan bersama ‘Amr bin Al-Ash di Daumatul Jandal. Lihat al-Tabari (1965), Tarikh al-Tabari, Kaherah: Dar al-Maarif 1963 Jil5 Hlm 7.
[4]Ahmad Amin(1965), Zuhr al-Islam (1965), Kaherah :al-Nahdah  hal 65.
[5]Abu al-Hasan ibn Ismail al-Ash’ari (1985) , al-Ibanah fi usul al-Diyanah, Beirut ar al-kitab al-Arabiy hal 9.
[6]Ahmad Mahmud Subhi (1982), Fi Ilm al-Kalam, Iskandariah : Muassassa al-Thaqafah al-jam’iyyah Jil 2  hal 36.
[7]Ibn ‘Asakir al-Dimasyq,(1979), Tabyin .op.cit hal 136.
[8]Abu al_Hasan ibn Ismail al-Ash’ari ( 1985), al-Ibanah fi Usul al-Diyanah, Beirut Dar al-Kitab al-‘Arabiy hal 4.
[9]Ibid
[10]Ibid
[11]Imam Abu Bakr Muhamammad bin Tayyib (tt), Tamhid Al-Qahirah: Dar Fikr al-Arabiyy hal 15 ,dan 26.
[12]Ibn ‘Asakir al-Dimasyq,(1979)  ,Tabyin op cit hal 178.
[13]Al-Subki ,Tabaqat al-Shafieyyah(tt) J3 cet 1 Qahirah : al-Husainiyyah al-misriyyah cet 1 Jilid 3 hal 111.
[14]Ali Abdul Fattah al-Maghribi (1987),,al-farq al-kalamiyyah, Maktabah Wahbah hal 293.
[15]Abu al-Hassan al-‘Asha‘ri (1990),Maqālāt al-Islāmiyyīn  .op.cit hal 33.
[16]Mustafa suhaimi(1993), Imam ‘Ash’ariy penyelamat iktiqad ahlussunnah wal jamaah , K.Lumpur:  Progressive Publishing House Sdn Bhd hal 22.
 

No comments:

Post a Comment