Karya ulama
yang ingin dikongsi bersama pembaca kali ini adalah sebuah buku karya ilmuan
tempatan berjudul “ Fiqh Perbandingan : Isu-Isu Fiqh Terpilih ”. Buku ini disusun
oleh Dr. Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari, seorang pensyarah di Universiti
Terengganu Darul Iman. Buku ini telah diterbitkan - Al-Hidayah Publishers, Kuala
Lumpur - dengan cetakan pertamanya pada tahun 2007. Ketebalan buku ini
merangkumi 512 halaman.
Buku ini
merupakan sebuah karya fiqh yang mengupas beberapa isu-isu terpilih yang
menjadi amalan dan perbincangan di kalangan masyarakat Islam kini, khusus
masyarakat Islam di Malaysia. Menurut penyusunnya, buku ini merupakan lanjutan
daripada buku “ Himpunan Isu-Isu Feqah Terpilih ” yang telah disusun oleh
penyusun pada tahun 1996, yang diterbitkan oleh Darul Nu’man, Kuala Lumpur.
Memandangkan
buku tersebut mendapat sambutan yang baik dan menggalakkan daripada pembaca,
khususnya dari kalangan penuntut institut pengajian tinggi di tanah air, ia
telah melahirkan satu inisiatif baru kepada penyusun untuk menyambung usaha
murni ini dengan isu-isu yang lain pula. Namun begitu perbahasan isu-isu yang
dibincangkan dalam buku baru ini lebih menjuruskan kepada konsep Fiqh
Perbandingan (al-Fiqh al-Muqaran).
Tujuan
penyusunan buku ini adalah untuk mendedahkan para pembaca dengan
pandangan-pandangan ulama Islam tentang berbagai-bagai isu yang timbul di dalam
masyarakat, dalil-dalil yang menjadi hujah di kalangan mereka, perbahasan ke
atas dalil-dalil tersebut, seterusnya mengetahui pendapat yang terpilih
berdasarkan kepada dalil dan hujah yang paling kuat di antara pendapat yang
diutarakan.
Faedah
paling besar dari mempelajari isu fiqh berdasarkan kepada konsep Fiqh
Perbandingan ini ialah;
1. Menyampaikan seseorang kepada hkum Allah di dalam masalah-masalah yang
menjadi perselisihan di kalangan ulama’.
2. Memudahkan kepada para penuntut ilmu, mengenali hokum-hukum Islam di
dalam satu-satu isu secara lebih dekat dan mantap.
3. Mendedahkan kepada para penuntut ilmu, mana pendapat yang kuat dan mana
pendapat yang lemah.
4. Menghapuskan belenggu jumud dan ta’sub yang keji kepada sesuatu mazhab
fiqh.
5. Mendedahkan sistem yang digunakan oleh para ulama’ di dalam memahami
sesuatu isu.
Kandungan buku ini dibahagikan kepada 4 jilid, dan di dalam setiap jilid tersebut dibentangkan
beberapa isu penting. Terdapat 22 isu yang dibincangkan dalam buku ini - dalam
jilid 1 (7 isu), jilid 2 (5 isu), jilid 3 (5 isu) dan jilid 4 (5 isu).
Dalam kata
pengantar buku ini – penyusunnya mengharapkan buku ini dapat membuka minda umat
Islam (khusus di Malaysia), tentang punca perselisihan pendapat di kalangan
ulama’. Dalam menangani isu-isu yang dibincangkan di dalam buku ini, pembaca perlu
melihat dan meneliti setiap dalil yang dinyatakan oleh setiap golongan ulama’
dan seterusnya melihat manakah pendapat yang paling kuat – yang sewajarnya
untuk diterimapakai.
Buku ini
juga diharapkan dapat menyuntik semangat kepada umat Islam untuk membuat kajian
di dalam satu-satu isu yang timbul di dalam masyarakat dengan mengemukakan dalil-dalil
yang mantap daripada aI-Quran, al-Hadis, ljmak Ulama, kaedah-kaedah fiqh,
pendapat-pendapat ulama yang muktabar dan lain-lainnya. Supaya dengan itu,
tradisi menelaah pendapat-pendapat ulama lain dan mengkaji sebelum menerima
pendapat mereka, dapat disebarluaskan di dalam masyarakat, lebih-lebih lagi di
kalangan para penuntut ilmu dan lulusan institusi pengajian tinggi yang
berlatarbelakangkan pengajian Islam.
Buku masih
ada di pasaran buku agama di Malaysia. Ia telah diterbitkan dengan cetakan baru
oleh Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur. Buku ini boleh juga dibeli secara
online daripada penerbitnya. Jika
berminat untuk memilikinya, sila layari pautan berikut;
Semoga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment