Buku “ Isu-Isu Fiqh Halal & Haram Semasa ”
merupakan sebuah karya fiqh yang sangat luas dan mendalam yang membicarakan
persoalan halal dan haram semasa, meliput persoalan ilmu, akidah, syariah dan
akhlak. Sekadar pengamatan dan pengetahuan
saya, buku ini merupakan satu-satunya karya dalam bahasa Melayu yang
membicarakan persoalan halal dan haram begitu menyeluruh sekali. Buku disusun
Dr. Basri bin Ibrahim al-Hasani al-Azhari, iaitu pensyarah di Universiti Terengganu
Darul Iman.
Buku ini telah diterbitkan oleh Al-Hidayah
Publication, Selangor – berdasarkan cetakan pertamanya pada tahun2009 - dalam
dua jilid yang agak tebal. Jilid pertama setebal 790 halaman, manakala jilid
kedua setebal 759 halaman.
Buku ini dibahagikan kepada 20 bab, yang membincangkan
berbagai isu-isu semasa yang berkaitan dengan kehidupan manusia, bermula
daripada asas-asas penting di dalam mengenal halal dan haram sehinggalah kepada
persoalan halal dan haram yang berkaitan dengan akhlak. Setiap isu dibincangkan
dengan mengemukakan dalil-dalil dari al-Quran, al-Sunnah, al-Ijmak, pendapat
ulama mujtahidin dan para ulama yang wibawa dari berbagai mazhab, sama ada
ulama terdahulu maupun ulama semasa.
Dalam buku ini, penyusunnya telah menegaskan bahawa
konsep halal dan haram tidak hanya tertumpu kepada lapangan minuman, makanan, dan
juga pinjaman (hutang-piutang) sahaja, bahkan lebih luas daripada itu,
merangkumi lapangan ilmu, akidah, ibadah, makanan dan minuman, pakaian dan
perhiasan, perkakas rumah, kerjaya dan mata pencarian, muamalah, kekeluargaan,
siasah dan jenayah, hubungan kemasyarakatan, sukan dan seni, perubatan dan
akhlak. Cua persoalan makanan, minuman dan juga pinjaman merupakan perkara yang
banyak melibatkan umat Islam hari ini, kerana itu ia menjadi tumpuan yang lebih
berbanding dengan isu-isu halal dan haram yang lain.
Buku ini amat baik untuk dijadikan rujukan oleh
masyarakat Islam, dari semua lapisan masyarakat, sama ada pelajar, ibu bapa,
guru, para pemimpin masyarakat dan lain-lain. Perbahasannya cukup menarik,
kerana melibatkan nas-nas al-Quran, al-Sunnah, logik akal dan juga
pendapat-pendapat ulama terdahulu dan semasa.
Sesiapa yang berminat untuk memiliki buku ini, sila
kunjungi kedai-kedai buku yang berdekatan dengan tempat tinggal masing-masing
atau boleh juga membelinya secara online melalui pautan berikut;
http://www.hidayah.com.my/site/index.php?option=com_virtuemart&Itemid=60&category_id=7&page=shop.browse&limit=20&limitstart=20
Semoga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment