Monday, October 28, 2013

al-Mughni Syarh Mukhtashar al-Khiraqi


Kitab al-Mughni (المغني) karya Imam Muwaffaquddin Ibnu Qudamah (541-620H) adalah kitab fiqh yang menjadi rujukan utama dalam mazhab Hanbali. Nama panjang beliau ialah Muwaffaquddin Abu Muhammad ‘Abdullah bin Muhammad bin Qudamah al-Jamma’ili al-Maqdisi al-Dimasyqi al-Shalihi al-Hanbali. Ibn Qudamah menyusun kitab ini dengan method perbahasan fiqh perbandingan (Fiqh al-Muqaran) antara mazhab - dengan menjadikan mazhab fiqh Imam Ahmad bin Hanbal sebagai keutamaan, kerana ia dilahirkan dari kalangan kelompok mazhab al-Hanbali.

Kitab al-Mughni asalnya disusun oleh Ibn Qudamah sebagai huraian (syarah) bagi Mukhtashar al-Khiraqi (مختصر الخرقي على مذهب الامام أحمد بن حنبل), iaitu sebuah kitab yang menghimpunkan masalah-masalah fiqh menurut mazhab Hanbali yang disusun Imam Abu al-Qasim 'Umar bin al-Husain al-Khiraqi (334H). Namun begitu, dalam kitab ini Ibn Qudamah bukan hanya sekadar menjelaskan ungkapan-ungkapan yang terdapat dalam kitab al-Mukhtashar, bahkan belau juga turut mengemukakan perbezaan pendapat yang berlaku dan berkembang di kalangan para ulama mazhab Hanbali dalam berbagai masalah berserta hujah-hujah dalilnya.

Ibn Qudamah memperluaskan lagi perbahasan fiqh dalam kitab ini, dengan membuat perbandingan dengan pendapat-pendapat dari kalangan ulama mazhab yang lain - sama ada mazhab Malik, Abu Hanifah danal-Syafi'i. Bahkan beliau juga ada menyebutkan pendapat mazhab-mazhab yang sudah tidak berkembang lagi, seperti mazhab Imam Hasan al-Basri, ‘Atha’, Sufyan al-Tsauri dan lainnya. Selain itu disentuh juga beberapa pendapat ulama dari kalangan sahabat dan tabi’in.

Ibnu Qudamah menyebutkan dalil-dalil yang digunakan oleh ulama lainnya yang mengungkap suatu pendapat dalam masalah tertentu kemudian dalil tersebut beliau jelaskan sisi kekuatan dan kelemahannya. Beliau akhiri setiap perbahasan tersebut dengan menjelaskan kesimpulan yang paling tepat berdasarkan ijtihad beliau.
 
Tidak disangsikan lagi, bahawa Kitab al-Mughni ini adalah merupakan kitab kajian fiqh yang dianggap sebagai ensiklopedia fiqh Islam dari zaman salaf yang terbaik yang telah disusun dalam bentuk fiqh perbandingan - yang mana pada ketika itu kitab-kitab seperti ini masih begitu jarang ditemui. Kitab ini dianggap sebaris dengan deretan karya-karya fiqh muqarran (perbandingan) lainnya, seperti al-Majmu’ karya al-Nawawi dan Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtashid karya Ibn al-Rusyd (sekadar contoh).
 
Oleh kerana itu, para ulama yang berasal dari berbagai mazhab pun memandang kitab ini dengan pandangan penuh penghargaan, penelitian, dan dianggap sebagai salah satu rujukan ulung dalam bidangnya. Ini sekaligus memberi sumbangan berharga dalam menangani berbagai isu-isu fanatik kepuakan dan mazhab. Sebagaimana kitab-kitab fiqh lainnya, kitab ini dimulakan dengan perbahasan fiqh thaharah, wudhu', mandi, solat, solat-solat sunnah, pengurusan jenazah, haji dan umrah, zakat, puasa, sehinggalah kepada perbahasan-perbahasan lainnya yang lebih terperinci dalam pelbagai cabang fiqh seperti sembelihan, buruan, pernikahan (dan munakahat), kekeluargaan, mu'amalah, jual beli, wasiat, luqatah, hutang piutang, jihad, peperangan, jihad, pemerintahan, politik, dan banyak lagi yang lainnya.


Berdasarkan terbitan Dar ‘Alam al-Kutub -Riyadh pada tahun 1997, kitab al-Mughni telah dicetakkan dalam 15 jilid. Edisi cetakan ini boleh didownload di pautan berikut; http://www.waqfeya.com/book.php?bid=504  atau  muat turun sekaligus 15 jilid di Sini. Edisi terbitan ini telah ditahqiq oleh Dr. Abdullah bin Abdul Muhsin al-Turki dan Dr. Abdul Fattah Muhammad al-Halu.



Terjemahan kitab ini….

Terjemahan lengkap kitab al-Mughni dalam bahasa Melayu/Indonesia telah diterbitkan oleh Pustaka Azzam – Indonesia dalam 16 Jilid. Kitab ini diterjemahkan berdasarkan kitab al-Mughni edisi Arab yang ditahqiq dan disemak oleh Dr. Muhammad Syarafuddin Khathab, Dr. Sayyid Muhammad Sayyid, dan Prof. Sayyid Ibrahim Shadiq.

Semoga bermanfaat.

3 comments:

  1. Sayang sekali pak, link downloadnya udh rusak gak bisa di download lagi padahal saya sangat butuh !

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana mengunjungi blog ini. Saya telah cuba kembali link di atas, al-hamdulillah masih boleh digunakan. mungkin saudara boleh cuba lagi.

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum, mau nanya ada ngak link untuk download kitab terjemahan lengkap kitab al mughni dalam bahasa melayu/indonesia?

    ReplyDelete