Sunday, July 29, 2012

al-Syifa bi Ta'rif Huquq al-Musthafa

Kitab al-Syifa ini merupakan sebuah kitab yang cukup terkenal berkaitan dengan hak seorang Islam terhadap diri Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Kitab ini dikemukakan oleh saya setelah melihat ramai di kalangan umat Islam tidak mengetahui hak Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam yang patut dibela dan dipertahankan.
Kaum kuffar, saban hari mencipta sesuatu untuk menyakiti peribadi Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam ada yang melakarkan bentuk kartun seperti dilakukan oleh penjenayah Denmark dan ada pula yang cuba menerbitkan dokumentari untuk mempersendakan Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam seperti yang dilakukan oleh orang Belanda.

Justeru itu, kitab ini yang dikarang oleh Qadhi ‘Iyadh dengan judul ' al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Musthafa atau al-Syifa fi Syaraf al-Musthafa ' yang lebih dikenal sedemikian oleh penduduk Islam sebelah Timur adalah sebuah kitab yang cukup sinonim dalam situasi ini.
Beliau telah lama menerbitkannya demi mempertahankan Rasulullah dan menyatakan setiap bentuk kecintaan dan pembelaan kita kepada orang yang berani mencemuh dan menyakiti Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam sekalipun Baginda sudah tiada lagi. Inilah yang dikatakan iman sepertimana yang dihuraikan oleh beliau di dalam kitabnya ini.

Kitab ini mengupas secara panjang lebar berkaitan dengan keperibadian dan hak-hak yang sepatutnya ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Kitab ini begitu bermutu dan masih digunakan sebagai rujukan hingga kini di negara Islam.
Dan pernah diceritakan, seorang ilmuan bermimpi bertemu dengan Qadhi ‘Iyadh tidak lama selepas kematiannya, lalu ditanya kepadanya: Apa yang Allah buat kepadamu? Beliau menjawab: Tidak ada yang memberikanku faedah melainkan kitab al-Syifa.

Haji Khalifah berkata pula: Kitab tersebut adalah sebuah kitab yang hebat dan cukup berfaedah, tidak pernah ditulis sepertinya dalam dunia Islam. Syukur kepada Allah Taala atas usaha yang dilakukan oleh penulisnya, semoga diterima dengan rahmat dan kemuliannya di sana kelak.

Ulama yang membaca kitab tersebut, berlumba-lumba untuk menghurai dan mengeluarkan hadis-hadisnya. Bahkan mereka turut menulis ringkasan dan huraian berpandukan kitab tersebut sebagaimana kata ‘Abd Allah al-Habsyi: Hampir 80 buah kitab telah ditulis berkaitan dengan kitab al-Syifa ini, antaranya kitab huraian, hasyiah dan juga takhrij.

Ulama turut menceritakan berkaitan manuskrip kitab ini yang telah dicetak buat pertama kalinya di Mesir pada tahun 1276H dan di Ankara pada tahun 1290H, di kota Fes, maghribi pada tahun 1305H. Dicetak pula dengan semakan oleh Muhammad Salim dan Ibrahim Madkur pada tahun 1396H dan diulang cetak semula dengan semakan ‘Ali Muhammad al-Bijawi pada tahun 1397H.

Kitab huraian pada kitabnya ini adalah seperti karya Abu al-Mahasin Ibn al-Dhajjah (w.572H) yang sezaman dengannya, antara kitab lain seperti:
  1. kitab Nasim al-Riyadh oleh Syihab al-Khafaji,
  2. kitab Khulasah al-Wafa bi Syarh al-Syifa (خلاصة الوفا بشرح الشفا) oleh Ibrahim Hanif al-Rumi (w.1199H),
  3. kitab Muzil al-Khafa ‘an Alfazh al-Syifa (مزيل الخفا عن ألفاظ الشفا) oleh Ahmad bin Kamal al-Din al-Syimni al-Misri (w.873H),
  4. kitab al-Riyadh fi Khatm al-Syifa li al-Qadhi ‘Iyadh (الرياض في ختم الشفا للقاضي عياض) oleh al-Sakhawi (w.902H),
  5. kitab Syarh al-Syifa oleh ‘Ali bin Sultan Muhammad al-Qari atau lebih dikenali sebagai Mulla ‘Ali al-Qari (w.1014H),
  6. kitab Hasyiah Ibn Luthf ‘ala al-Syifa oleh Muhammad Hasan bin Luthf ‘Ali (w.1312H),
  7. kitab Manahil al-Safa fi Hill Alfazh al-Syifa (مناهل الصفا في حل ألفاظ الشفا) oleh Ibn Gennoun al-Fasi (w.1333H); dan,
  8. kitab Manahil al-Safa fi Takhrij Ahadits al-Syifa (ومناهل الصفا في تخريج أحاديث الشفا) oleh Jalal al-Suyuthi (w.911H).

Kandungan kitabnya ini terbahagi kepada 4 bahagian:

Bhgn 1 – Mengagungkan Nabi dari aspek perkataan dan perbuatan
Bab 1 – Pujian Allah kepadanya. Terdapat 10 fasal.
Bab 2 – Penyempurnaan Allah pada kejadian dan akhlaknya. Terdapat 27 fasal.
Bab 3 – Berita yang sahih tentang kedudukannya. Terdapat 12 fasal.
Bab 4 – petanda dan mukjizatnya. Ada 30 fasal.
Bhgn 2 – Kewajipan insan terhadap hak Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam
Bab 1 – Kewajipan beriman dan mentaatinya. Ada 5 fasal.
Bab 2 – Kewajipan mengasihi Baginda. Ada 6 fasal.
Bab 3 – Mengutamakan perintahnya. Ada 7 fasal.
Bab 4 – Hukum berselawat dan kelebihannya. Ada 10 fasal.

Bhgn 3 – Apa yang mustahil pada hak Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam
Bab 1 – Apa yang khusus dalam urusan agama. Ada 16 fasal.
Bab 2 – Hal keduniaan dan apa yang harus baginya sebagai manusia biasa. Ada 9 fasal.
Bhgn 4 – Hukum mencela dan mengeji Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam
Bab 1 – Menerangkan celaan dan kejian terhadap Nabi. Ada 10 fasal.
Bab 2 – Hukum bagi orang yang mencela dan menyakitinya. Ada 10 fasal.

Semoga Allah Taala memberikan kita peluang untuk membaca, bukan membaca ketika ada peluang! Insya Allah
 
 
 

Link berkaitan:
 
 

7 comments:

  1. Adakah terjemah asy syifa?
    Klw ada penerbitnya apa?

    ReplyDelete
  2. Kitab ini telah diterjemahkan secara lengkap di Indonesia oleh penerbit Rajawali Press dengab judul "Keagungan Kekasih Allah Muhammad SAW". Dicetak tahun 2001

    ReplyDelete
  3. Kitab ini telah diterjemahkan secara lengkap di Indonesia oleh penerbit Rajawali Press dengab judul "Keagungan Kekasih Allah Muhammad SAW". Dicetak tahun 2001

    ReplyDelete
  4. masyaallah ... kitab ini menurut saya sangat diperlukan oleh kaum muslimin agar kita umat islam lebih mengerti akan memulyaan dan hak kanjeng nabi Muhammad saw , mudah2an bermanfaat bagi kita , amin ....

    ReplyDelete
  5. saya mau beli terjemahnya.... dimana saya bisa mendapatkannya... saya sudah cari dtoko2 buku di kota saya tapi tidak ada buku Keagungan Kekasih Allah Muhammad SAW... mohon info

    ReplyDelete