Monday, July 9, 2012

Hidayah al-Muta'allim kitab fiqh dalam Mazhab Syafie


ASH-SHIRAT al-Mustaqim, karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri yang diperkenalkan adalah kitab fiqh, iaitu bahagian ibadah pertama dalam bahasa Melayu. Selepas 200 tahun barulah muncul kitab fiqh yang lengkap mengenai Kitab Ibadah, Kitab Munakahat, Kitab Mu’amalat dan Kitab Jinayat yang dikumpulkan dalam satu kitab.

Judul kitab ialah Hidayah al-Muta’allim wa‘Umdah al-Mu’allim. Catatan nama pada halaman kulit al-‘Alim al-‘Allamah wa Bahjatud Din wa Shahibul Karamah asy-Syeikh Daud bin asy-Syeikh ‘Abdullah al-Fathani. Diselesaikan di Makkah, pada 12 Jumadil Akhir 1244 H/20 Disember 1828 M.

Manuskrip asli kitab ini belum ditemui, manuskrip salinan terbaik dilakukan oleh Tok Kelaba al-Fathani. Cetakan ditemui oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1312 H.

Dicetak pula oleh percetakan yang sama pada 1322 H. Cetakan ini atas perbelanjaan Syeikh Muhammad Majid al-Kurdi al-Makki. Tercatat cetakan bahawa pengarangnya dimakamkan di Thaif, bersebelahan dengan Saidina ‘Abdullah bin ‘Abbas R.A. Dicetak pula oleh percetakan yang sama tahun 1331 H. Catatan pada kulit depan sama dengan cetakan pada 1322 H tetapi nama Syeikh Muhammad Majid al-Kurdi al-Makki ditiadakan kerana hak mencetak dikembalikan kepada ahli waris dengan pendaftar pada peraturan Majlis Idarah al-Wilayah, pada 15 Mac 1326 H nombor 8.

Nama ahli waris yang terdaftar ialah Syeikh 'Abdullah Daud dan Syeikh Muhammad Nur Daud, kedua-duanya anak Syeikh Muhammad Daud al-Fathani (maksudnya Syeikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani). Pentashhih asal Hidayah al-Muta’allim ialah Syeikh Ahmad al-Fathani tetapi, pada cetakan dinamakan pentashhih kepada saudara sepupu dan muridnya Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani.

Kandungan utama Hidayah al-Muta’allim ialah membicarakan fiqh lengkap dalam Mazhab Shafie dalam empat judul terdiri daripada Kitab Ibadah, Kitab Munakahat, Kitab Mu’amalat dan Kitab Jinayat. Tetapi pada bahagian awal juga membicarakan 'aqidah.

Pada bahagian akhir pula membicarakan tasawuf. Dinyatakan pada kulit depan kitab, ‘Yang melengkapi atasnya beberapa ilmu. Setengah daripadanya ‘aqaid al-iman, dan ahkam fiqhiyah, dan furu’ yang syar’iyah.’ Pada kulit depan juga ada catatan Syeikh Ahmad al-Fathani mengenai pengarangnya, ditulis dalam gaya puisi Melayu, klasik. Tulisan beliau ialah guru yang mempunyai ketinggian dan kelebihan yang jali.

Yang menzahirkan segala bendaraan ilmunya, akan tiap-tiap rahsia yang khafi. Yang meratakan dengan hujan manfaatnya, akan sekalian anak jenisnya bangsa Melayu dan lainnya. Dan menceracakan kelam jahil mereka itu, dengan cemerlang hidayat-Nya. Dan baginya banyak karangan yang indah, yang tiada ada baginya umpama Mengakulah dengan keelokannya, dan dalam ilmunya oleh segala ulama.

Setengah daripada karangannya, ini kitab yang mempunyai kelebihan yang ‘azhim. Ia mengandung akan fawaid dan masail, yang mempunyai manfaat yang ‘amim.

Sungguh pun sasaran utama Hidayah al-Muta’allim adalah ilmu fiqh, tetapi susunannya dimulai dengan hadis mengenai ilmu. Sesudahnya membicarakan empat puluh hadis dalam pelbagai kategori. Bahagian 'aqidah Syeikh Daud bin‘Abdullah al-Fathani selain membicarakan pengenalan terhadap sifat yang wajib diketahui beliau menyenaraikan pula 77 cabang iman. Sebagai contoh ‘perang sabil’ ditempatkan pada cabang iman yang ketujuh. Mengenai 77 cabang iman tidak ada dalam kitab Melayu/ Jawi membicarakannya.

Bahagian ilmu fiqh dimulai dengan Kitab Thaharah dan berakhir dengan keseluruhan Kitab Jinayat yang mengenai terdiri pelbagai kitab, bab dan fasal. Dalam Hidayah al-Muta’allim banyak juga perkara yang dapat kita kaitkan dengan isu yang terjadi pada zaman ini.

Pendapat yang bercorak nasihat Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani menyebut bahawa ‘jika ada orang itu ikutan orang banyak seperti Qadhi atau Mufti hendaklah sembunyikan diri daripada merokok itu. Peringkat terakhir mengenai merokok, menurut Syeikh Daud 'Abdullah al-Fathani, adalah ‘haram’ terhadap orang yang memberi mudarat pada tubuhnya atau akalnya’ (hlm 128).
 
 

No comments:

Post a Comment