Sunday, July 29, 2012

Perhimpunan Amal Ibadat


Kali ini saya ingin membicarakan sebuah kitab / buku karya ulama atau penulis  tempatan yang berjudul “ Perhimpunan ‘Amal Ibadat ”. 

Kitab “ Perhimpunan ‘Amal Ibadat ” ini disusun oleh al-Syaikh ‘Ali bin ‘Abdullah Baldran atau disebut sebagai ‘Ali Baldran sahaja. Beliau adalah bekas Ahli Majlis Mesyuarat Ugama Islam, Pulau Pinang dan Seberang Prai.

Kitab ini, mungkin selesai penyusunannya pada tahun bulan Oktober 1962. Ini  berdasarkan tarikh yang ditulis oleh penyusunnya selesai di akhir kata pengatar kitab, iaitu “ termaktub pada 14 Oktober 1962 bersamaan dengan 21 Jamadil Awal 1382 ”. Kitab ini setebal 171 halaman, tidak termasuk halaman iklan kitab di halaman akhirnya. Kitab “ Perhimpunan ‘Amal ‘Ibadat ”  dalam koleksi saya dicetak  dan diterbitkan dalam tulisan jawi oleh Sulaiman Press, sebuah syarikat penerbitan di Pulau Pinang. Tiada tahun terbitan dicatatkan.

Ada dua buah kitab jawi  menjadi bacaan dan rujukan kami sekeluarga pada ketika itu, iaitu Kitab Perhimpunan Amal ‘Ibadat dan Kitab Perukunan. Kedua kitab ini, mungkin boleh dianggap kitab agama pertama, yang saya kenal  dan menjadi bacaan dan rujukan saya ketika umur masih kanak-kanak dahulu.
Mengenai tujuan penyusunan buku ini, saya bawakan petikan kata pengatar penyusunnya sendiri;

Menurut kepastian saya, ada banyak di antara kaum musliminberkehendak sebuah buku ringkas dan lengkap dalam perkara amal ibadat. Maka di atas kepastian itulah saya menghimpunkan buku ini dengan penuh harapan akan jadi sebuah buku panduan yang mudah lagi berfaedah kepada kaum muslimin kea rah mengerjakan amal ibadatyang diwajibkan pada setiap hari

Isi kandungan buku;
Buku ini dimulai dengan bahagian aqidah yang menerangkan rukun iman dan rukun Islam. Menerangkan secara ringkas mengenai najis dan amalan yang berkaitan taharah seperti mandi dan wuduk serta mengenai jenis-jenis air. Penerangan fasal yang berhubung dengan sembahyang, sembahyang dalam musafir, sembahyang jumaat, solat terawih, witir, dan pengurusan jenazah dll. Ada juga diterangkan mengenai puasa, zakat dan haji. Dilampirkan juga beberapa contoh doa seperti doa tahlil, doa selamat, doa awal dan akhir tahun, nisfu Sya’ban, dan beberapa doa yang lain. Penyusun juga memasukkan penerangan mengenai ilmu tajwid dan ibadat korban. Buku ini diakhiri dengan beberapa kisah para nabi seperti kisah Nabi Nuh a.s, Nabi Ibrahim ‘a.s., Nabi ‘Isa ‘a.s. dan Nabi Muhammad saw.

Amalan Mandi Safar
Satu tajuk yang agak memeranjatkan saya yang dimasukkan oleh penyusun dalam buku ini ialah mengenai amalan mandi safar. Di mana amalan dan kepercayaan ini dianggap suatu perkara khurafat dalam Islam.
Berikut petikan dari kitab tersebut:
Daripada Syeikh Syarafuddin di dalam kitab yang bernama Ta’liqah, bahawa segala bala yang diturunkan oleh Allah Ta’ala pada tiap-tiap setahun dua belas ribu, berpindah daripada Lawh Mahfuz kepada langit dunia pada malam al-Arbi’ak akhir bulan Safar, maka hendaklah dituliskan doa ini tujuh ayat kemudian ditaruhkandia ke dalam air serta diminumkandia dengan niat minta selama daripada segala bala yang tersebut, inilah doanya……”
Saya pernah melihat cetakan kitab ini dalam ejaan rumi di kedai buku, namun saya tidak pasti syarikat yang menerbitkannya. Wallahu a’lam . Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment