Tuesday, February 20, 2018

NUR AL-'UYUN FI TALKHISH SIRAH AL-AMIN AL-MAKNUN


Kitab Nur al-‘Uyun fi Talkhish Sirah al-Amin al-Makmun saw (نور العيون في تلخيص سيرة الأمين المأمون صلى الله عليه وسلم) adalah sebuah karya al-Imam al-Hafizh Fath al-Din  Abu al-Fath Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Sayyid al-Nas al-Ya’muri al-Raba’i (671-734H), dalam bidang sirah -  yang menerangkan secara ringkas mengenai riwayat hidup, sifat, akhlak, mukjizat dan keluarga  serta para sahabat Nabi Muhammad saw.

Ulama yang terkenal dengan gelaran Ibnu Sayyidul Nas ini, telah menyusun kitab Nur al-‘Uyun ini sebagai ringkasan bagi karya beliau  yang lain, yang berjudul ‘Uyun al-Atsar fi Funun al-Maghazi wa al-Syama-il wa al-Siyar (عيون الأثر في فنون المغازي والشمائل والسير).

Berkata Imam Sayyidul Nas dalam muqaddimah kitab Nur ‘Uyun;

 فلما وضعت كتابي المسمّى عيون الأثر في فنون المغازي والشمائل والسيـر ممتعًا في بابه، مغنيًا عما سواه لقاصدي هذا العلم وطلابه .. رأيت أن ألخص في هذه الأوراق منه ما قرب مأخذه ونقله، وسهل تناوله وحمله، ليكون للمبتدى تبصرة، وللمنتهي تذكرة

Maka tatkala setelah aku menyusun kitabku yang berjudul   عيون الأثر في فنون المغازي والشمائل والسيـر  yang amat enak dibaca berkenaan babnya (iaitu mengenai ilmu Sirah) sehinggakan orang yang menbacanya tidak memerlukan kepada kitab yang lain, terutama kepada para pengkaji dan para penuntut ilmu sirah ini. Sehingga aku berpandangan patut aku meringkaskannya dalam lembaran-lembaran ini bagi memudahkan orang memahami dan menukilkan ilmu sirah ini. Semoga ia dapat dijadikan sebagai petunjuk bagi mereka yang masih di peringkat permulaan dan sebagai peringatan bagi mereka yang berada di peringkat tinggi ”.

Terjemahan kitab ini…

Terdapat sebuah karya terjemahan dalam Bahasa Melayu  yang saya temui setakat ini.  Karya terjemahan ini berjudul “ Ibraz al-Sirr al-Maknun bi Tarjamah Kitab Nur al-‘Uyun fi Talkhish Sirah al-Amin al-Makmun ”.  Karya terjemahan ini telah disusun oleh  Ahmad Faiz bin Mohd Khalil Al Asmuniy Al Azhariy.

Buku ini diterbitkan oleh Pusat Pemikiran Turath Al-Mustanir, Bangi Selangor, dengan cetakan pertama pada tahun 2017.  Di antara keistimewaan edisi terjemahan buku setebal 118 halaman ini ialah dipaparkan dahulu petikan teks asal kitab Nur al-‘Uyun, kemudian didatangkan terjemahannya.

Kitab asal (Arab) Nur al-‘Uyun boleh dimuat turun di pautan berikut;



Biodata  Imam Ibn Sayyid al-Nas boleh dibaca di pautan  ar.wikipedia.org   

Semoga bermanfaat.  

1 comment: