Friday, May 6, 2016

DAQA-IQ AL-MINHAJ (دقائق المنهاج)


Kitab Daqa-iq al-Minhaj (دقائق المنهاج) merupakan sebuah karya Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H), seorang tokoh utama mazhab Syafi’i yang terkenal dengan gelaran al-Nawawi.

Ketika Imam al-Nawawi menyusun kitab Minhaj al-Thalibin  sebagai ringkasan bagi kitab al-Muharrar karya Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad bin Abdul Karim al-Rafi‘i al-Qazwaini (624H), yang terkenal dengan gelaran al-Rafi’i, beliau juga telah menyusun sebuah kitab lain yang mempunyai kaitan dengan kitab al-Minhaj dan al-Muharrar. Kitab inilah yang beliau berikan judul Daqa-iq al-Minhaj. Perkara ini ada disebutkan sendiri oleh Imam Nawawi dalam muqaddimah kitab Minhaj al-Thalibin-nya.

Sesuai dengan namanya, kitab kecil ini merupakan penjelasan bagi beberapa permasalahan dan istilah yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi ketika penyusunan kitab al-Minhaj. Dalam kitab Daqa-iq al-Minhaj ini, Imam Nawawi menerangkan faedah penambahan atau pengurangan beberapa kalimat yang beliau lakukan  terhadap kandungan kitab Muharrar. Selain itu, Imam Nawawi juga ada menerangkan maksud beberapa lafaz atau perkataan yang terdapat dalam kitab al-Muharrar.

Walaupun kitab ini agak kecil berbanding karya-karya Imam al-Nawawi yang lain, namun isi kandungannya sangat penting dalam bidang fiqh mazhab Syafi’i, khususnya dalam memahami isi kandungan kitab Minhaj al-Thalibin dan al-Muharrar. Kitab ini ada diterbitkan oleh Dar Ibn Hazm, Beyrut dalam satu jilid setebal 96 halaman.

Kitab Daqaid al-Minhaj ini telah diberikan huraiannya oleh Imam al-Nawawi sendiri melalui karyanya yang berjudul Durr al-Wahhaj Syarh Daqa-iq al-Minhaj (الدر الوهاج شرح دقائق المنهاج). Selain Imam al-Nawawi, Syaikh Nuruddin Mahmud bin Ahmad bin Muhammad al-Hamdani al-Fayyumi, yang terkenal dengan nama Ibn Khathib al-Dahsyah al-Hamawi (834H) juga ada menyususun sebuah kitab sebagai huraian bagi kitab Daqa-iq al-Minhaj ini..

Kitab Daqaiq al-Minhaj boleh dibaca secara online di pautan;

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment