Monday, May 5, 2014

Kitab al-Tahqiq (التحقيق)


Kitab al-Tahqiq (التحقيق) adalah sebuah kitab fiqh yang menjadi rujukan utama di kalangan ulama mazhab al-Syafi’i. Kitab ini merupakan antara kitab fiqh karya al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H).

Menurut pendapat ulama mazhab al-Syafi’i, kitab al-Tahqiq dikategorikan sebagai kitab fiqh yang berkedudukan yang paling tinggi di antara kitab-kitab karya al-Nawawi. Jika terdapat perbezaan pendapat Imam al-Nawawi dalam sesuatu permasalahan hukum yang terdapat kitab-kitab karyanya, maka yang didahulukan adalah pendapat beliau yang terdapat dalam kitab al-Tahqiq.

Menurut al-‘Allamah al-Kurdi, sebagaimana yang disebutkan dalam kitab al-Maslak al-‘Adl  dan kitab al-Fawaid al-Madaniyyah;

Jika terdapat perbezaan pendapat al-Nawawi  dalam beberapa kitabnya, maka pendapat yang muktamad ialah yang terdapat dalam kitab al-Tahqiq”.

Kemudian al-Kurdi menyenaraikan kitab-kitab karya al-Nawawi yang menjadi rujukan mazhab mengikut susunan keutamaannya, iaitu;    

         a)     al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab,
         b)     al-Rawdhah al-Thalibin,
         c)      Minhaj al-Thalibin,
         d)     al-Fatawa
         e)     Syarh Muslim
         f)       Tashhih al-Tanbih.

Menurut al-Nawawi, beliau menyusun kitab al-Tahqiq ini sebagai sebuah ringkasan bagi menghimpunkan perbincangan mengenai permasalahan fiqh terdapat dalam kitab-kitab mazhab al-Syafi’i, sama ada dari kitab-kitab aliran Qadim ataupun Jadid.

Di antara kitab-kitab yang menjadi rujukan al-Nawawi ketika menyusun kitab al-Tahqiq ialah;

        a)     Al-Imla’
        b)     Al-Umm
        c)      Al-Bahr al-Muhith
        d)     ‘Uyun al-Masail
        e)     Al-Risalah
        f)       Al-Jami’ al-Kabir
        g)     Mukhtashar al-Buwaithi
        h)     Mukhtashar al-Muzani

Selain kitab-kitab fiqh, beliau juga ada merujuk kepada kitab-kitab hadis, syarah hadis, ushul, kitab mengenai thabaqat dan kitab-kitab lain yang ada membincangkan permaslahan fiqh di dalamnya secara tidak langsung seperti kitab tafsir dan sebagainya.

Untuk membaca kitab ini, pembaca boleh men-download-kannya di pautan;

https://archive.org/download/tahqeeq_nawawee/tahqeeq_nawawee.pdf .  Kitab versi file PDF ini adalah berasal dari kitab al-Tahqiq yang diterbitkan Dar al-Jail, Beirut, dalam satu jilid - dengan cetakan pertamanya pada tahun 1992. Kitab ini ditahqiq oleh Syaikh ‘Adil ‘Abdul Mawjud dan Syaikh ‘Ali Mu’awwidh.  Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment