Monday, May 12, 2014

Hasyiah al-Syarqawi 'ala Syarh al-Tahrir


Kitab " Hasyiah al-Syarqawi 'ala Syarh al-Tahrir " (حاشية الشرقاوي على شرح التحرير ) adalah antara karya fiqh yang terkenal menjadi rujukan para  ulama al-Syafi’iyyah yang mutakhirin. Kitab ini ditulis oleh Syaikh al-‘Allamah ‘Abdullah bin Hijazi bin Ibrahim al-Syarqawi (1150-1226H).

Kitab kitab merupakan hasyiah (komentar) terhadap kitab Tuhfah al-Thullab bi Syarh Tahrir Tanqih al-Lubab (تحفة الطلاب بشرح تحرير تنقيح اللباب), iaitu sebuah kitab karya Syaikhul Islam Abu Yahya Zakariya al-Anshari (823-926H). Kitab Tuhfah al-Thullab atau lebih dikenali sebagai kitab Syarh al-Tahrir ini disusun oleh Syaikhul Islam al-Anshari sebagai huraian (syarah) bagi kitab beliau sendiri yang berjudul Tahrir Tanqih al-Lubab (تحرير تنقيح اللباب). 

Sebenarnya, Syaikhul Islam al-Anshari menyusun kitab al-Tahrir sebagai ringkasan terhadap sebuah kitab mukhtashar (ringkasan) di bidang fiqh Syafi’i yang lain, iaitu kitab Tanqih al-Lubab (تنقيح اللباب) karya Waliyuddin Abu Zur’ah Ahmad bin al-Hafizh Abdul Rahim al-‘Iraqi (762-826H). Manakala kitab Tanqih al-Lubab pula adalah ringkasan terhadap kitab al-Lubab fi al-Fiqh al-Syafi’i (اللباب في الفققه الشافعي), iaitu sebuah karya Imam Abu al-Hasan Ahmad bin Muhammad al-Mahamili al-Syafi’i (368-415H).

Kitab ini telah dicetak berulang kali dan edisi yang terbaik adalah cetakan Dar al-Kutub al-‘Illmiyyah di Beirut. Cetakan pertamanya tahun 1418H/1997M yang dilengkapi dengan komentar oleh Syaikh Mustafa bin Hanafi al-Zahabi dengan ketebalan 4 jilid.

Kitab Hasyiah al-Syarqawi ‘ala Syarh al-Tahrir ini boleh dimuat turun di pautan berikut;


Kitab versi ebook (file pdf) ini merupakan salinan kepada kitab Hasyiah al-Syarqawi yang dicetak di al-Mathba’ah al-Amiriyah pada cetak ketiganya.  Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment