Friday, May 16, 2014

al-Isti’ab fi Ma'rifat al-Ashhab (الإستيعا ب في معرفة الأصحاب)


Kitab al-Isti’ab fi Ma'rifat al-Ashhab (الإستيعا ب في معرفة الأصحاب) ini disusun oleh Abu ‘Umar Yusuf bin ‘Abdullah bin Muhammad bin ‘Abd al-Barr al-Andalusi (w. 463H).

Kitab ini mengandungi lebih kurang 3,500 biografi para sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Ia juga merupakan sebuah kitab terbaik dalam lapangan biografi para sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, jika tidak disebutkan perselisihan di kalangan para sahabat serta mementingkan penjagaan dari aspek periwayatan sesetengah orang yang tidak terkenal dan juga cerita-cerita yang tidak diketahui.

Hal ini dijelaskan oleh al-Nawawi apabila dinyatakan tentang kitab biografi ini, jelasnya: “Seandainya ia tidak menyebutkan kisah pertelingkahan para sahabat dan cerita-cerita yang dibawa oleh tukang cerita, pasti ia lebih menarik dan boleh didapati banyak faedah daripada kitab ini”.

Beliau menyatakan sumber ambilan daripada penceritaannya ini dari beberapa buah kitab seperti hasil karya Musa bin ‘Uqbah, Muhammad bin Ishaq, al-Waqidi, Khalifah bin Khayyath, al-Zubair bin Bakkar, kitab Tarikh al-Kabir oleh al-Bukhari, Tarikh ibn Khaitsamah, Zail al-Muzil oleh al-Thabari, al-Maulid wa al-Wafat oleh al-Dulabi, kitab al-Ahad oleh Ibn al-Jarud, al-Tasanif karya Ibn Abi Hatim al-Razi, karya al-‘Uqaili dan juga al-Baghawi mengenai para sahabat radhiyallahu ‘anhum.

Namun, penulisan di dalam lapangan ini lebih sistematik yang dipergunakan dengan sebaiknya oleh penulis di dalam kitab ini sebagaimana berikut:

  1. Hanya mengandungi biografi sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.
  1. Beliau turut menyebutkan sahabat yang pasti dan sahih bertemu dengan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Malah beliau juga turut menyebutkan di kalangan para sahabat yang bertemu dengan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam walaupun hanya sekali.
  1. Diterangkan juga mengenai keturunan (nasab) para sahabat serta peristiwa yang disaksikan oleh mereka pada zaman Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.
  1. Kadangkala dia turut menceritakan beberapa hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh periwayat tersebut serta mereka iaitu anak-anak muridnya yang meriwayatkan hadis tersebut daripadanya secara langsung.
  1. Penyusunan dan penulisan nama perawinya berdasarkan susunan huruf Hija`iyyah (huruf Mu’jam) dan dalam rangkaian penulisannya pun tidak terlalu memperhatikan susunan huruf keduanya, hanya melihat huruf awal dari nama perawi saja, seperti berikut:
a)     Menyebutkan perawi dari kalangan Sahabat.
b)  Menyebutkan perawi Sahabat yang lebih dikenal dengan nama Kuniyahnya seperti Abu al-Darda`, Abu Hurairah, Abu Salamah dll.
c)      Menyebutkan nama dari kalangan Sahabiyat.
d)     Menyebutkan perawi sahabat wanita yang lebih dikenal dengan Kuniyahnya seperti Umm Sulaim, Umm Salamah dll.

Unsur-unsur yang terdapat dalam penyusunannya antara lain adalah dengan menerangkan tentang biografi dan sejarah ringkas kesahabatannya dengan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Kitab ini telah dicetak dengan pelbagai cetakan dan penerbitan, tetapi antara cetakan terbaik yang diberitahu oleh guru saya iaitu Dr. Abu Yasir Hasan al-Alamie ialah cetakan yang ditahqiq (disemak terlebih dahulu) oleh Syeikh Muhammad al-Bijawi.

Moga kita beroleh sedikit pengetahuan dari hal ini…



No comments:

Post a Comment