Kitab al-Qawl
al-Tam fi Ahkam al-Makmun wa al-Imam ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i (القول التام فى أحكام المأمون والإمام على مذهب الإمام الشافعى) adalah sebuah karya fiqh
lengkap yang menghuraikan tatacara solat berjemaah mengikut mazhab Syafi’i.
Kitab ini disusun oleh al-Hibr al-Himam al-‘Allamah Syihabuddin Abu al-Fath
Muhammad bin Ahmad, yang terkenal dengan Ibn al-‘Imad al-Aqfahsi al-Mishri
al-Syafi’i (867H). Beliau merupakan guru kepada al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani
(773-852H) dalam bidang fiqh.
Secara umumnya, kandungan kitab ini menfokuskan
hampir keseluruhan peraturan-peraturan menjadi imam dan makmum dan
permasalahan-permasalahan berkaitan muwafiq dan masbuq.
Terjemahan kitab ini
dalam bahasa Melayu…
Sekadar pengamatan
penulis terdapat dua edisi terjemahan kitab ini dalam bahasa Melayu. Namun
begitu, kedua-dua edisi terjemahan ini bukanlah terjemahan yang lengkap bagi
kitab al-Qawl al-Tam. Berikut dicatatkan sedikit maklumat mengenai dua
edisi buku terjemahan ini;
a)
Masalah Imam dan Makmum. Buku ini disusun oleh Dato’ Yusuf Zaki Yacob
(1928-1999), seorang ulama dan penulis terkenal di Kelantan. Buku ini telah
diterbitkan oleh Syarikat Dian Darul Naim, Kelantan – dengan cetakan pertamanya
pada tahun 1991 dan cetakan kedua pada tahun 1993. Ia telah diterbitkan dalam
edisi rumi dan jawi.
Menurut Dato’ Yusuf Zaki;
“ Buku ini
disaringkan dari kitab al-Qawl al-Tam fi Ahkam al-Makmum wa al-Imam … Dalam
saringan ini penulis hanya memetik masalah-masalah yang kerap berlaku sahaja
dan meninggalkan masalah-masalah yang jarang berlaku dalam masyarakat kita di
Malaysia, supaya lebih mudah difahami dan dingati oleh para pembaca ”[1].
Kandungan buku ini dimulai dengan menyebutkan
hadis-hadis asas mengenai peraturan solat berjemaah dan diikuti 183 masalah
yang berkaitan imam dan makmum. Ketebalan buku ini merangkumi 82 halaman tidak
termasuk halaman isi kandungannya. Kitab ini masih dicetak dan dijual di
pasaran buku-buku agama.
b)
Terjemahan Kitab Qaulu Tam Fi Ahkam al-Makmum wa
al-Imam (Hukum Makmum &
Imam). Buku ini disusun oleh Datuk Syaikh al-Haj Zakaria bin al-Haj Ahmad Wan
Besar, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah. Buku ini telah diterbitkan dengan
edisi rumi dan jawi oleh Pustaka Darul Salam, Alor Setar – Kedah.
Maklumat lanjut mengenai buku ini, saya bawakan
kata-kata penyusunnya (penterjemah), sebagaimana dalam muqaddimahnya:
“ ..Maka dengan taufik dan hidayah Allah SWT dapat
saya menterjemahkan sebuah kitab fiqh yang terkenal pada zaman silam iaitu
kitab al-Qaul al-Tam ….karya al-Imam ….Syihabuddin Ahmad bin Muhammad – yang
masyhur dengan Ibn al-‘Imad Yusuf al-Mishri al-Aqfahasi. Terjemahan ini pada
mulanya ialah sebagai catitan untuk
kegunaan bagi saya sendiri
semasa menyampaikan pelajaran
(mengajar) di majlis pengajian khas di rancangan takmir masjid dan surau di
negeri Kedah Darul Aman. Dimaklumkan bahawa kitab tersebut tidaklah saya
terjemahkan semua sekali (seratus peratus) dan mana-mana masalah yang jarang
berlaku dalam masyarakat kita saya tinggalkan supaya terjemahan ini tidak
ternampak besar oleh para pembaca yang boleh menjemukan mereka ”[2].
Kandungan buku ini dimulai dengan terjemahan kata
pendahuluan pengarang asal (Ibn al-‘Imad) yang mengandungi hadis-hadis mengenai
solat berjemaah dan diikuti 215 masalah yang berkaitan solat berjemaah.
Ketebalan buku ini merangkumi 202 halaman termasuk halaman isi kandungannya
(berdasarkan buku edisi Jawinya).
Sekadar ini sahaja yang dapat saya catatkan mengenai
kitab al-Qawl al-Tam ini. Semoga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment