Sunday, December 1, 2013

Fiqh al-Ghina’ wa al-Musiqi fi Dhaw’ al-Quran wa al-Sunnah


Kitab Fiqh al-Ghina’ wa al-Musiqi fi Dhaw’  al-Quran wa al-Sunnah (فـقـه الـغـنـاء و الـمـوسـيـقـى في ضـوء الـقـرآن و الـسـنـّة) merupakan sebuah karya al-‘Allamah Dr. Muhammad Yusuf al-Qaradhawi (1926-). Dalam kitab ini, al-Qaradhawi menjelaskan secara terperinci mengenai hukum nyanyian dan muzik menurut perspektif al-Quran dan al-Sunnah. Karya al-Qaradhawi ini telah diterbitkan dengan cetakan pertamanya oleh Maktabah Wahbah di Kaherah, Mesir.

 
Faktor yang mendorong al-Qaradhawi menyusun kitab ini…

Sebenarnya, kitab ini disusun oleh al-Qaradhawi bagi menanggapi secara khusus kritikan Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani (1914-1999)[1] terhadap tulisan beliau mengenai  “ nyanyian dan muzik ” dalam kitab al-Halal wa al-Haram fi al-Islam[2].

Dalam kitabnya Ghayah al-Maram Fi Takhrij Ahadits al-Halal wa al Haram , Syaikh al-Albani telah meneliti derajat hadis-hadis yang dimuatkan oleh al-Qaradhawi di dalam karyanya al-Halal wa al-Haram tersebut. Namun begitu, Syaikh al-Albani bukan sekadar membuat penelitian terhadap hadis atau rujukan yang digunakan oleh al-Qaradhawi, malahan telah membuat kritikan terhadap beberapa pandangan al-Qaradhawi di dalam kitab tersebut[3].

Di antara yang dikritik hebat oleh Syaikh al-Albani adalah pandangan al-Qaradhawi yang membolehkan umat Islam mendengar nyanyian dan muzik. Berkata Syaikh al-Albani dalam kitab al-Ghayah al-Maram;

Penulis kitab itu (maksudnya: al-Qaradhawi) hanyalah mengulang-ulang pendapat dengan mengutip pandangan Ibn Hazm dan Ibn al-Arabi… padahal empat imam mazhab sepakat akan keharaman nyanyian dan muzik. Sunnah yang shahih juga menguatkan akan keharamannya. Oleh kerana itu, tidak sepatutnya seorang alim yang mulia (maksudnya: al-Qardhawi) melakukan yang sebaliknya.

Dalam kitab Fatawa al-Mu’ashir-nya, ketika menjawab persoalan dari seorang pembaca mengenai kritikan al-Albani tersebut, beliau menyatakan hasrat beliau untuk membuat satu penyanggahan khusus terhadap al-Albani mengenai persoalan nyanyian dan muzik tersebut. Kata beliau;

“ Seandainya saya mahu menjawab komentar beliau atau menyanggah pendapat beliau, niscaya saya perlu menyusun sebuah kitab tersendiri yang membahas topik tersebut dengan mendiskusikan dalil-dalil orang yang memperbolehkan dan yang mengharamkannya, serta memperkuat pendapat yang saya pandang lebih kuat dan lebih tepat dalilnya. Dan saya akan melakukannya jika Allah mamberikan kemudahan untuk itu”.[4]

 
Kandungan kitab ini…..

Sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini,  dalam kitab ini, al-Qaradhawi telah menjelaskan secara terperinci mengenai hukum nyanyian dan muzik menurut perspektif al-Quran dan al-Sunnah. Kitab setebal 255 halaman ini, dilengkapi dengan pandangan para sahabat, tabi’in, tabi’ al-tabi’in, dan imam-imam mazhab terhadap nyanyian dan muzik. Pada bahagian penutup karya beliau ini, al-Qaradhawi menuliskan daftar karya-karya ulama tentang nyanyian dan muzik, - mulai dari ulama terdahulu sampai ulama masa kini.

Penjelasan yang dikemukakan oleh al-Qaradhawi dalam kitab ini, jelas menunjukkan kedalaman ilmu beliau dalam menanggapi kritikan Syaikh al-Albani. Syaikh al-Qaradhawi berjaya menjelaskan bagaimana kedudukan sebenar nyanyian dan muzik dalam syariat Islam. Semoga Allah merahmat dan memanjang usianya.

 
Terjemahan kitab ini…..

Sekadar maklumat yang saya perolehi, kitab ini telah diterjemahkan dalam bahasa Indonesia dan diterbitkan oleh Media Insani, Indonesia dengan judul “ Menempatkan Lagu & Musik Dalam Timbangan Quran Dan Sunnah ”.

Semoga bermanfaat.


[1] Beliau merupakan seorang ahli Hadis yang terkenal masa kini, yang menjadi rujukan para ulama dalam bidang takhrij hadis, khusus mereka yang beraliran Salafiyyah.
 
[2] Telah saya paparkan maklumat ringkasnya dalam blog ini.
 
[3] Mengenai perkara ini, berkata al-Qaradhawi dalam kitab Fatawa al-Mu’ashir-nya;         Syaikh al-Albani tidak hanya ahli hadits, hanya mentakhrij hadits dan menetapkan kedudukannya, menshahihkan, dan melemahkannya, kemudian selesai peranannya. Tetapi, beliau adalah seorang tokoh yang memiliki banyak pandangan dan fiqihnya yang tersendiri. Hal ini dapat dilihat dalam takhrij-nya, sehingga mau tidak mau mempengaruhi pendapat beliau dalam masalah hadits yang di-takhrij-nya itu, seperti komentar beliau terhadap pendapat penulis yang beliau anggap kuat dan beliau setujui, atau beliau mengganggap pendapat beliau yang lebih kuat (yang berbeda dengan pendapat penulis). Misalnya terhadap masalah “nyanyian dengan alat muzik dan tanpa alat muzik”. Keterlibatan beliau dalam masalah ini lebih dekat kepada peranan ahli fiqh daripada ahli hadits. Lihat - Fatawa al-Mu’ashir, hal. 107.
 
[4] Ibid.

4 comments: