Wednesday, December 11, 2013

Penulisan Fiqh al-Shafi’i


Buku “ Penulisan Fiqh al-Shafi’i : Pertumbuhan dan Perkembangannya ” merupakan sebuah karya awal dalam bahasa Melayu yang membicarakan mengenai pertumbuhan dan perkembangan penulisan fiqh mazhab al-Syafi’i. Buku ini adalah antara karya ilmiah yang bermutu tinggi yang disusun oleh Prof. Madya Dr. Mat Sa’ad Abd. Rahman (1942-), seorang pensyarah di Jabatan Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Buku ini menjadi bahan bacaan dan rujukan pelajar di pusat pengajian tinggi yang mengikuti beberapa kursus yang berkaitan dengan perundangan Islam.                                                                                                                                                                                                                                                
Buku ini diterbitkan dengan cetakan pertamanya pada tahun 1983, oleh  Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan, Bangi. Buku ini diterbitkan semula dengan cetakan keduanya pada tahun 1986 oleh Penerbitan Hizbi, Shah Alam. Dalam edisi baharu ini , ia telah terbitkan dengan susunan yang lebih kemas dan teratur – dengan sedikit perubahan teknik dan pembetulan terhadap beberapa kesalahan ejaan yang terdapat di dalam edisi sebelumnya. Berdasarkan cetakan keduanya, ketebalan buku ini merangkumi 83 halaman termasuk 2 halaman bibliografinya[1].
 
Kandungan buku ini …
 
Untuk mengetahui secara ringkas kandungan buku ini, saya lampirkan sebahagian petikan pendahuluan penyusun bagi edisi pertamanya[2];
“ Pada peringkat awalnya sengaja saya catatkan sejarah hidup al-Imam al-Shafi’i kerana ia merupakan titik pertama bertolaknya penulisan ini. Sebenarnya sejarah hidup beliau tidaklah sesuai digambarkan seringkas ini, yang tentunya tidak dapat meliputi seluruh aspek hidupnya yang terlalu unik itu. Hanya tujuan catatan ini adalah sekadar memberi gambaran asas kepada tujuan penulisan yang dimaksudkan.
Saya mulakan huraian ini dengan menyentuh penulisan al-Imam al-Shafi’i yang menurut sebahagian pendapat dikatakan bermula di kota Makkah, kemudiannya berkembang luas sewaktu beliau berada di Baghdad dan sesudah itu penulisannya  disemak semula, di samping dilakukan beberapa perombakan penting sewaktu beliau menetap di Mesir.
Hasil dari beberapa perpindahan itu kita akan bersua dengan dua bentuk penulisan beliau, yang menurut pandangan ulama ada perbezaannya, di antara tulisannya semasa di Makkah dan Baghdad dengan tulisan pembaharuannya yang dihasilkannya semasa beliau berada di Mesir.
 
Fatwa-fatwa beliau sama ada yang diucapkannya atau yang dicatatkannya di dua-dua tempat itu adalah berdasarkan kepada dalil dan tradisi semasa tempatan yang berbeda-beda. Sebagai implikasinya timbul beberapa pertentangan pokok pada sebahagian besar di antara kedua-dua kumpulan fatwanya itu. Apa yang difatwakan di Baghdad pada kebanyakannya telah dirombak semula apabila beliau berada di Mesir dengan sebab penemuan beberapa dalil baru, yang tidak ditemuinya sewaktu beliau berada di ‘Iraq, di samping tradisi semasa tempatan sedikit sebanyaknya mempengaruhi fatwanya.
 
Seluruh fatwa beliau di ‘Iraq telah diterima, dicatat, diriwayat dan tersebar luas di kalangan pengikutnya di rantau sebelah sana, di samping telah menjadi amalan mereka seharian. …Perubahan yang beliau lakukan terhadap fatwa-fatwa Baghdadnya kemungkinan ada yang tidak sampai ke pengetahuan mereka yang tinggal di luar Negara Mesir. Dengan ini, tidak hairanlah walaupun al-Shafi’i telah melarang para sahabatnya beramal dengan sebahagian besar fatwa-fatwa itu…., ia masih juga kita dapati tercatat di dalam kitab-kitab mazhab, terutamanya di kalangan pengikut-pengikutnya yang berasal dari daerah Baghdad, Khurasan dan lain-lain.
 
Kewafatan al-Shafi’i dengan meninggalkan dua kumpulan fatwanya; qadim dan jadid, telah memberi satu macam kelonggaran kepada para pengikutnya di dalam mengamalkan fatwanya yang sesuai dengan suasana dan iklim mereka sendiri.
 
Fiqh al-Shafi’i telah didokong dan disebarkan oleh tokoh-tokoh mazhabnya yang terdiri daripada para sahabatnya, murid-murid mereka dan kumpulan-kumpulan  fuqaha selanjutnya hingga ke hari ini. Mereka tidak sahaja memindahkan apa yang tercatat di peringkat awalnya, tetapi beberapa hukum furu’ baru telah mereka tambahkan, yang mana penambahan mereka ini mengkayakan perbendaharaan hukum-hukum fiqh mazhab al-Syafi’i. Di dalam setiap peringkat yang dilalui oleh Fiqh al-Syafi’i, saya catatkan nama sebilangan tokoh yang dirasakan berpotensi dan mempunyai peranan mereka yang jelas di dalam perkembangan mazhab itu.
Di bahagian akhir buku ini, saya pusatkan penulisan mengenai al-Imam al-Nawawi dan kitabnya Minhaj al-Talibin[3] kerana memandangkan kepada ketokohan beliau sebagai seorang ulama mutakhir yang besar dan kemasyhuran kitabnya itu di kalangan masyarakat Islam, terutamanya masyarakat Islam di rantau ini. Saya bahagikan penulisan di bahagian ini kepada dua bahagian; bahagian pertamanya saya khususkan pembicaraannya mengenai sejarah hidup al-Nawawi, sementara bahagian keduanya saya khususkan pembicaraannya mengenai kitab Minhaj al-Talibin yang ditinjau dari beberapa sudut tertentu …”
Berikut adalah pembahagian bab buku ini..
 
Bab 1 : Sejarah Hidup
Bab 2 : al-Shafi’i dan Penulisannya
Bab 3 : Fiqh al-Shafi’i, Perkembangan dan Penulisannya Sesudah Beliau Wafat
Bab 4 : al-Nawawi dan Penulisan Kitab Minhaj al-Talibin
Semoga bermanfaat.
-------------------------------------------------------
[1] Selain dua cetakan /terbitan ini, saya belum mendapat maklumat mengenainya. Semua maklumat mengenai buku ini adalah berdasarkan edisi cetakan keduanya.
[2]Pendahuluan”  ini ada dilampirkan dalam edisi keduanya.
[3] Dr. Mat Sa’ad Abdul Rahman telah menterjemahkan bab Thaharah  dan Solat dari kitab Minhaj al-Talibin ini dan diterbitkan dalam sebuah buku oleh Penerbitan Hizbi, Shah Alam pada 1989. Penulisan beliau mengenai al-Nawawi dan kitab Minhaj al-Talibin dalam buku “Penulisan Fiqh al-Shafi’i” ini telah dilampirkan sebagai bahagian pertama bagi buku terjemahan beliau tersebut.

1 comment:

  1. Salam, saya sedang mencari buku ini tetapi belum menjumpainya.

    Adakah buku ini masih ada dijual di luar sana? Terima kasih.

    queameen[at]gmail.com

    ReplyDelete