Sunday, April 30, 2017

Munyah al-Mushalli wa Ghunyah al-Mubtadi


Kitab Munyah al-Mushalli wa Ghunyah al-Mubtadi (منية المصلي وغنية المبتدي) merupakan antara kitab “matan” fiqh yang muktamad dalam mazhab Hanafi. Ia adalah sebuah karya al-Imam Sadiduddin Muhammad bin Muhammad bin ‘Ali al-Kasyghari (705H). Kandungan kitab ini membicarakan secara khusus mengenai ibadat solat berdasarkan mazhab Hanafi[1]. Berdasarkan edisi yang diterbitkan oleh Maktabah Dar al-Beiruti, kandungan kitab ini merangkumi 192 halaman.

Terdapat beberapa kitab yang disusun khusus bagi menghuraikan matan Munyah al-Mushalli ini, sama ada berbentuk syarah, hasyiah atau ta’liq, antaranya;

a)   Kitab Halbah al-Mujalli wa Bughyah al-Muhtadi Syarh Munyah al-Mushalli wa Ghayah al-Mubtadi (حلبة المجلي وبغية المهتدي في شرح منية المصلي وغنية المبتدي), karya al-Imam Syamsuddin Abu Abdullah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad (879H), yang terkenal dengan gelaran Ibn Amir Hajj al-Halabi. Kitab ini merupakan kitab huraian terbesar bagi kitab Munyah al-Mushalli ini[2].  Kitab ini boleh dibaca dan dimuat turun di pautan http://www.moswarat.net/books/a575n.pdf.

b)  Kitab Ghunyah al-Mutamalli fi Syarh Munyah al-Mushalli (غنية المتملي في شرح منية المصلي), karya al-Imam Syaikh Ibrahim bin Muhammad bin Ibrahim al-Halabi al-Hanafi (956H). Kitab ini terkenal dengan judul Syarh al-Halabi al-Kabir (شرح الحلبي الكبير). Kitab ini kemudiannya telah diringkaskan oleh penyusunnya dengan karyanya yang dikenali sebagai Syarh al-Halabi al-Shaghir (شرح الحلبي الصغير).

c)   Halbah al-Naji Syarh Mukhtashar Ghunyah al-Mutamalli (حلية الناجي شرح مختصر غنية المتملى), karya Syaikh Mustafa bin Muhammad bin Mustafa Kuzal Hushari[3].

d)   Jawahir al-Mutamalli ‘ala Munyah al-Mushalli (جواهر المتملى على منية المصلى), karya Syaikh Muhammad bin Muhammad Qadhi Zadah al-Anshari al-Hanafi.

e)  Zukhr al-Najah fi Syarh al-Munyah al-Mushalli ( زخر النجاة في شرح منية المصلى), karya Syaikh Muhammad bin Ahmad bin Ibrahim bin Hasan al-Rumi al-Hanafial-Thabib al-Sayyah (1080H).

f)  al-Ta’liq al-Mujalli li ma fi Munyah al-Mushalli (التعليق المجلي لما في منية المصلى), karya Syaikh Washi Ahmad al-Surati (1334H).

g)    Hasyiah Syaikh Bilal Ahmad Syahid.

Semoga bermanfaat.

Rujukan;




[1] Sekadar makluman, ini merupakan karya fiqh yang kedua yang berjudul Munyah al-Mushalli yang saya ketahui. Karya pertama ialah kitab Munyah al-Mushalli, karya Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani, yang membicarakan  ibadat solat berdasarkan mazhab Syafi’i. Kemungkinan pemilihan judul yang diberikan oleh Syaikh Daud bagi kitab beliau tersebut mengambil sempena kitab Munyah al-Mushalli karya al-Kasyghari ini. Wallahu a’lam.

[2] Di antara karya beliau yang terkenal ialah kitab al-Taqrir wa al-Tahbir dan kitab Syarh al-Tahrir, iaitu huraian bagi kitab al-Tahrir karya guru beliau al-Imam al-Kamal Ibn al-Humam.

[3] Iaitu huraian bagi kitab Syarh al-Halabi al-Shaghir (شرح الحلبي الصغير), karya al-Imam Syaikh Ibrahim bin Muhammad bin Ibrahim al-Halabi al-Hanafi (956H).

No comments:

Post a Comment