Wednesday, July 29, 2015

Shahih Shifah al-Shalah al-Nabiy saw


Kitab Shahih Shifah al-Shalah al-Nabiy sawصحيح صفة صلاة النبي صلى الله عليه واله وسلم ) ), merupakan antara kitab fiqh semasa berdasarkan aliran  mazhab Syafi’i yang menjadi rujukan  dan bacaan masyarakat Islam. Ia merupakan sebuah karya al-‘Allamah Syaikh Dr. Hasan Ali al-Saqqaf al-Qurasyi al-Hasyimi, seorang ulama terkenal dari negara Jordan.

Kitab ini selaku judulnya, adalah membicarakan mengenai sifat solat yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw sebagaimana yang disebutkan dalam hadis-hadis yang dinilai sahih oleh para ulama hadis yang muktabar. Kaedah penyusunan buku ini berdasarkan gabungan dua metod, iaitu aliran ahli hadis dan aliran mazhab al-Syafi’i.  Oleh itu, kandungan kitab ini menghuraikan mengenai ibadat solat berdasarkan aliran mazhab Syafi’i, yang dsokong dengan hadis-hadis yang sahih.

Di dalam buku ini, penulis telah sedaya upayanya menjelaskan secara terperinci setiap bahagian dari tata-cara solat, mulai dari takbir hingga salam, dengan gaya (uslub) bahasa yang paling mudah dan ringkas. Di samping itu, dikemukakan dalil-dalil bagi setiap pemasalahan, yang disertakan bersama kupasan hadis-hadis sahih sebagai hujah pendalilannya.

Penulis juga menarik perhatian pembaca terhadap beberapa hadis dhai’if dan hadis yang mempunyai kecacatan (al-‘ilal) yang dijadikan dalil oleh sebahagian ulama. Dalam buku ini juga diterangkan kedudukan hadis-hadis yang sahih  berserta kesesuaiannya dengan bab-bab fiqh, dan cara pengambilan hukum darinya.

Kelebihan buku ini bukan hanya kerana membahaskan pemasalahan solat semata-mata sebagai induk ibadat dalam Islam, tetapi kandungan buku ini sebenarnya sebagai medan bantahan terhadap beberapa pendapatan yang menyelisihinya dengan kaedah ilmiah,  Dengan begitu berani, disanggahnya pendapat yang menyunatkan menggerak-gerakkan jari telunjuk ketika tasyahhud, dengan hujah bahawa dalilnya lemah. Dikemukakannya pula beragam dalil bahawa zikir berjema’ah dengan suara keras adalah dibolehkan, tidak “bid’ah”, dan masalah lain yang diterangkan oleh penulis dengan membawakan dalil penghujahannya.
                                                                                                                                                                   
Walaupun tidak disebutkan secara nyata, sebenarnya buku ini telah disusun oleh penulisnya  sebagai bantahan terhadap sebuah buku yang berjudul; ( صفة صلاة النبي كأنك تراها من التكبير إلى التسليم  )  . Kitab ini  disusun oleh  Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, seorang ulama terkenal yang menjadi rujukan  kebanyakan ulama aliran Salafiyyah dalam bidang ilmu hadis.


Terjemahan kitab ini….

Kitab ini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa di dunia Islam, termasuk dalam bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia. Setakat pengetahuan saya, versi terjemahan dalam Malaysia pertama kali diterbitkan di Malaysia pada tahun 2010, oleh AlHimma Enterprise, Selangor. Terbitan ini berdasarkan terjemahan yang diusahakan Ustaz Haji Zamihan Mat Zin al-Ghari,  seorang pegawai Hal Ehwal Islam, di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan judul “ Sifat Solat Nabi Yang Sahih ”. Buku terjemahan ini telah mendapat sambutan dari masyarakat di negara ini dan menjadi sebagai teks pengajian bagi kuliah-kuliah agama di masjid-masjid dan pusat-pusat pengajian agama.

Kitab versi Arabnya boleh dimuat turun di pautan berikut;  

No comments:

Post a Comment