Kitab Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi-in
(نهاية الزين في إرشاد المبتدئين) merupakan
sebuah kitab fiqh dalam mazhab al-Syafi’i yang menjadi rujukan para
ulama. Kitab ini adalah antara karya bermutu yang disusun oleh
al-‘Allamah Muhammad Nawawi bin Umar al-Jawi al-Tanari al-Bantani (1314H).
Kitab ini disusun bagi menghuraikan kandungan kitab Qurrah al-‘Ain bi Muhimmat al-Din (قرة العين بمهمات الدين)[1],
iaitu sebuah matan fiqh yang ringkas karya al-‘Allamah Zaynuddin bin Abdul
‘Aziz bin Ali al-Malibari al-Fanani (987H).
Sebagai pengenalan ringkas kitab Nihayah al-Zain ini,
saya bawakan petikan muqaddimah penyusunnya;
فيقول العبد الفقير الراجي من ربه الخبـير، غفر الذنوب والتقصير: محمد نووي
ابن عمر، التناري بلداً، الأشعري اعتقاداً، الشافعي مذهباً، هذا شرح على «قرة
العين بمهمات الدين» للشيخ العلامة: زين الدين ابن الشيخ عبد العزيز ابن العلامة
زين الدين بن علي بن أحمد المليباري الفناني، قصدت به نفع إخواني القاصرين مثلي،
وسميته نهاية الزين في إرشاد المبتدئين.
ولم يكن لي مما سطر في هذا الكتاب شيء، بل جميعه مأخوذ من عبارات المؤلفين،
نفعنا الله بهم آمين، وغالب ما فيه من «نهاية الأمل» للشيخ العلامة محمد بن
إبراهيم أبـي خضير الدمياطي فإنها عين غديقة، ومن «نهاية المحتاج، وتحفة
المحتاج»للإكليلين محمد الرملي، وأحمد بن حجر؛ فإنهما عمدتان للمتأخرين من العلماء
الشافعية، ومن «فتح الجواد والنهاية: شرح أبـي شجاع، ومن الحواشي»، فما كان فيه من
صواب فمنسوب إلى هؤلاء وما كان من خطأ فمن ذهني الكليل ، فالمرجو ممن اطلع عليه أن
يصلحه بلطف واحتياط، والله أسأل، وبنبـيه الكريم أتوسل، أن ينفع به كما نفع
بأصوله، وأن يحله محل القبول، إنه أكرم مسؤول.
Sebagaimana yang disebutkan dalam muqaddimah di atas,
Syeikh Muhammad Nawawi telah menyenaraikan beberapa kitab rujukan beliau ketika
menyusun kitab ini, antaranya;
a) Nihayah al-Amal (نهاية الأمل)[2] karya
al-Syaikh Abu Khudhair Muhammad bin Ibrahim al-Dimyathi al-Madani al-Azhari[3].
b) Nihayah al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj (نهاية المحتاج),
karya al-Imam Syamsuddin Muhammad bin Syihabuddin Abu al-Abbas Ahmad al-Ramli (919-1004 H
)
c) Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj (تحفة المحتاج) dan Fath
al-Jawad karya al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin
Ali bin Hajar al-Makki al-Haytami (909-973H )
Kitab Nihayah al-Zain dalam file PDF boleh dibaca dan
didownload di pautan berikut http://www.feqhweb.com/dan3/uploads/13641506922.pdf. Ebook
ini berdasarkan kitab Nihayah al-Zain yang diterbitkan oleh Darul Kutub
al-Ilmiyyah, Beirut bagi cetakan pertama pada tahun 2002. Ia telah
ditahqiq oleh Abdullah Mahmud Muhammad Umar.
Semoga bermanfaat.
[1] Kitab ini merupakan ringkasan kepada kitab Manhaj al-Thullab karya
Syaikhul Islam al-Imam Abu Yahya Zakariyya al-Anshari (823-926H). Syaikh
Zaynuddin al-Malibari sendiri telah menyusunkan sebuah kitab dengan judulnya
Fath al-Mu’in bagi menghuraikan kitab beliau ini. Lihat
pengenalan ringkas kitab Fath al-Mu’in di pautan http://abusyahmin.blogspot.com/2012/06/kitab-fath-al-muin.html,
dan juga kitab I’anah al-Thalibin yang menjadi kitab
komentarnya (hasyiah) karya al-‘Allamah Abu Bakr Syatha al-Diyamthi di pautan http://abusyahmin.blogspot.com/2013/01/ianah-al-thalibin.html.
[2] Iaitu kitab Nihayah al-Amal li man raghiba fi shihhah
al-‘aqidah wa al-‘amal. Syaikh Muhammad Nawawi banyak mengambil isi
kandungan kitab ini dalam menyusun kitab beliau. Hal ini boleh dilihat
beberapa petikannya yang terdapat di awal kitabnya hingga kitab al-Bai’ (jual
beli).
[3] Beliau seorang ulama mazhab Syafi’i
lepasan al-Azhar al-Syarif. Di antara gurunya ialah Syaikhul Islam dan Syaikhul
Azhar Ibrahim al-Bajuri. Beliau amat menguasai ilmu fiqh sehingga digelar
sebagai “ al-‘Umdah ” yakni tiang atau sandaran dalam ilmu
fiqh di kalangan pengikut mazhab al-Syafi’i yang mutaakhirin. Beliau wafat
sekitar tahun 1304H di Madinah al-Munawwarah dan dikebumikan di Perkuburan
al-Baqi’.
No comments:
Post a Comment