Sunday, April 20, 2014

Nihayah al-Amal (نهاية الامل)


Kitab Nihayah al-Amal li man Raghiba fi Shihhatil ‘Aqidah wal ‘Amal (نهاية الامل لمن رغب في صحة العقيدة والعمل) merupakan sebuah kitab lengkap membicarakan tiga asas utama dalam agama Islam, iaitu meliputi bidang akidah (iman), fiqh (ibadah) dan akhlak (tasawuf). 

Kitab ini disusun oleh al-‘Allamah Syamsuddin Abu Khudhair Muhammad bin Ibrahim bin ‘Amir bin ‘Abdul Rahman al-Dimyathi al-Madani al-Azhari. Syaikh Abu Khudhair al-Dimyathi al-Azhari adalah seorang ulama mazhab Syafi’i lepasan al-Azhar al-Syarif. 

Di antara gurunya ialah Syaikhul Islam dan Syaikhul Azhar Ibrahim al-Bajuri. Beliau amat menguasai ilmu fiqh sehingga digelar sebagai “ al-‘Umdah” yakni tiang atau sandaran dalam ilmu fiqh di kalangan pengikut mazhab al-Syafi’i yang mutaakhirin. Beliau wafat sekitar tahun 1304H di Madinah al-Munawwarah dan dikebumikan di Perkuburan al-Baqi’.

Dalam penyusunan kitab ini, penyusun dengan rendah diri menyatakan bahawa kandungan kitab ini hanyalah merupakan himpunan pendapat para ulama terdahulu yang dinukil kembali oleh beliau daripada kitab-kitab mereka. Berikut disenaraikan nama-nama kitab yang menjadi rujukan beliau dalam penyusunan kitab ini, sebagaimana yang disebutkan dalam muqaddimahnya;

a) Kebanyakan permasalahan akidah, dinukilkan dari kitab Syarh al-Bajuri ‘ala Jauharatul Tauhid, iaitu karya gurunya Syaikh Ibrahim al-Bajuri (1276H)[1]

b)   Kebanyakan permasalahan fiqh, dinukilkan dari kitab Syarh al-Khathib ‘ala Matn Abu Syuja’[2] dan Hasyiah al-Bujairimi (Tuhfah al-Habib) ‘ala Syarh al-Khathib[3]. Manakala khusus mengenai ibadat haji dipetik dari beberapa buah kitab yang secara khusus membicarakan haji seperti kitab al-Manasik karya Imam al-Nawawi.

c)   Permasalahan mengenai wirid, zikir dan doa, dinukilkan dari kitab al-Azkar karya Imam al-Nawawi, kitab Mukhtashar al-Azkar karya Imam al-Sayuthi, kitab al-Ihya’ karya Imam al-Ghazali dan kitab Irsyad al-‘Ummal[4].

d)     Permasalahan tasawuf pula dinukilkan dari kitab al-Ihya’ karya Imam al-Ghazali.

Sekadar perkongsian, sebenarnya saya mula mengenali judul kitab Nihayatul ‘Amal ini ketika saya membaca satu artikel mengenai  “ si mati mendapat manfaat pahala yang dilakukan orang hidup ”. Berikut petikan artikel tersebut yang saya nukil dari pautan http://bahrusshofa.blogspot.com/2012_10_01_archive.html ;

Syaikh Nik Mat Kecik rahimahullah dalam karya beliau yang masyhur "Mathla`ul Badrain wa Majmaa`ul Bahrain" pada halaman 141 menukil fatwa Syaikh Muhammad Abu Khudhair bin Ibrahim ad-Dimyathi al-Madani al-Azhari rahimahullah, sebagaimana tercatat dalam karya beliau "Nihayatul Amal li man raghiba fi shihhatil `aqidah wal `amal" yang menyatakan sebagai berikut:


"Bermula yang tetap atasnya oleh hal daripada khilaf yang amat banyak bahawasanya mayyit itu memberi manfaat akan dia barang yang diperbuat baginya pada segala kebajikan kemudian daripada matinya, tetapi tak dapat tiada bahawa diqasad oleh yang memperbuatnya akan pahala demikian itu bagi mayyit; Atau ia mendoa baginya kemudian daripada diperbuatnya dengan hasil pahala baginya; Atau ada ia pada kuburnya. Dan dapat demikian pahala itu pula bagi yang memperbuatnya."

Berikut pula saya bawakan petikan asal dari kitab Nihayatul Amal dalam bahasa Arab[5];

والذى استقرعليه الحال من خلاف كبير ان الميت ينفعه ما يفعل له من الخيرات بعد موته لكن لا بد أن يقصد الفاعلل ثواب ذلك للميت او يدعوله عقب الفعل بحصول الثواب له او يكون عند قبره وبحصل لفاعل ذلك ثواب ايضا

Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani al-Jawi, seorang ulama Nusantara yang banyak menghasilkan karya dalam bahasa Arab ada banyak memetik isi kandungan kitab Nihayatul ‘Amal ini dalam penyusunan kitabnya yang berjudul Nihayatul Zain Syarh Qurratul ‘Ain. Petikan kandungan kitab ini boleh didapati secara meluas dari awal kitabnya hingga kitab al-Bai’ (jual beli).

Kitab Nihayatul Amal ini boleh dimuatturunkan melalui pautan  berikut;

https://archive.org/download/aloquabwwq22_hotmail_201803/%D9%86%D9%87%D8%A7%D9%8A%D8%A9%20%D8%A7%D9%84%D8%A3%D9%85%D9%84%20%D9%84%D9%85%D9%86%20%D8%B1%D8%BA%D8%A8%20%D9%81%D9%89%20%D8%B5%D8%AD%D8%A9%20%D8%A7%D9%84%D8%B9%D9%82%D9%8A%D8%AF%D8%A9%20%D9%88%D8%A7%D9%84%D8%B9%D9%85%D9%84.pdf

Kitab dalam bentuk ebook pdf ini berasal dari sebuah kitab Nihayatul Amal yang telah dicetak  mengikut cetakan lama, iaitu seperti kitab-kitab Jawi yang beredar di pasaran. Dicatatkan di akhir kitab tersebut “ dicetak oleh Matba’ah al-Maimaniyyah Mesir pada tahun 1313H ”. Tebal kitab ini merangkumi 296 halaman, tidak termasuk halaman isi kandungannya.  Semoga bermanfaat.   



[1] Untuk mengetahui biodata beliau, sila layari pautan; http://lbm.mudimesra.com/2014/02/syeikh-ibrahim-al-bajuri.html

[2] Judul asal kitab ini ialah al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’. Kitab ini adalah karya al-Imam Syamsuddin Muhammad bin Muhammad al-Khatib al-Syarbini (977H)

[3] Iaitu karya Syaikh Sulaiman bin Muhammad bin ‘Umar al-Bujairimi al-Azhari (1131-1221H). Judul kitab ini ada juga diringkaskan menjadi al-Bujairimi ‘ala al-Khatib.

[4] Iaitu kitab إرشاد العمال إلى ما ينبغي ف يوم عاشوراء وغيره من الأعمال , karya Syaikh Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Badiri al-Dimyathi al-Syafi’i. Beliau yang  terkenal dengan gelaran Ibn al-Mayyit ini merupakan seorang tokoh terkenal dari kalangan pengikut Tarikat al-Syazali. Beliau wafat pada tahun 1140 H.

[5] Nihayatul ‘Amal, hal. 191.  Kitab rujukan saya ini adalah kitab ebook pdf. 

1 comment:

  1. Assalamualaikum..
    Macam mane sy nak download kitab ni. Ada link lain.harap dapat membantu. terima kasih

    ReplyDelete