Sunday, April 26, 2020

al-Ajwibah al-‘Ajibah ‘an al-As-ilah al-Gharibah


Kitab al-Ajwibah al-‘Ajibah ‘an al-As-ilah al-Gharibah  (الأجوبة العجيبة عن الأسئلة الغريبة) merupakan sebuah kitab yang disusun oleh al-Imam Ahmad Zaynuddin bin Muhammad al-Ghazali bin Zaynuddin bin Ali bin Ahmad al-Malibari al-Syafi’i (938-1028H).

Kitab yang disusun dalam bentuk soal-jawab ini merupakan sebuah karya yang menghimpunkan beberapa fatwa yang pernah dikeluarkan oleh beberapa tokoh ulama yang terkenal (كبار من مشاهير علماء الإسلام) mengenai beberapa permasalahan fiqh yang berlaku dalam masyarakat. 

Ketika al-Imam Ahmad Zaynuddin al-Malibari menetap di Makkah al-Mukarramah, beliau telah menjadi murid kepada Syaikhul Islam Ahmad bin Hajar al-Haytami. Keberadaan beliau di kota suci ini, memberi peluang kepada beliau meminta fatwa kepada gurunya dan beberapa  ulama besar pada masa itu seperti kepada Syeikh Islam Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Ramli (1004H), Syeikh Muhammad Khatib al-Syarbini (979H), Imam Abdullah Bamakhramah (972H), dan Imam Abdul Rauf bin Yahya al-Makki yang juga murid dari Syeikhul Islam Ibnu Hajar al-Haytami. Berdasarkan soalan-soalan dan jawapan-jawapan yang dikemukakan oleh para ulama tersebut, maka beliau mengumpulkannya dan diusahakan penyusunan kitab ini. 

Terdapat 177 fatwa dalam kitab ini, yang merangkumi beberapa bab fiqh seperti berkaitan dengan ibadat, muamalat, munakahat dan lain-lain.  Kitab ini sangat bermanfaat kerana sebahagian  besar fatwa-fatwa yang terdapat dalam kitab ini tidak terdapat dalam kitab-kitab  fiqh mazhab Syafi’i yang lain. Sebagai contoh terdapat fatwa yang diberikan oleh Imam Ibn Hajar Haytami dalam kitab ini tidak terdapat dalam kitab fatwanya yang terkenal iaitu al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i (الفتاوى الفقهية الكبرى على مذهب الإمام الشافعي) .

Di bahagian akhir kitab ini, Imam al-Malibari membawa sebuah penutup (خاتمة) yang menerangkan kewajipan beriltizam dengan salah satu daripada empat mazhab yang termasyhur, iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali.  Kemudian beliau menerangkan susunan keutamaan pendapat-pendapat para ulama mazhab Syafi’i yang perlu diikuti, di mana beliau menyebut; “ Ketahuilah bahawa telah sepakat ulama muhaqqiqin bahawa pendapat yang muktamad dalam mazhab ialah apa yang disebutkan oleh dua Syeikh (الشيخان)[1] dan jika berlaku perbezaan pendapat antara mereka berdua, maka didahulukan pendapat Imam al-Nawawi, kerana yang apa yang ditarjihkan oleh beliau adalah lebih banyak, lebih berilmu atau lebih warak. Oleh itu tidak harus bagi seorang hakim yang muqallid berhukum dengan pendapat yang tidak muktamad.....”

Kitab al-Ajwibah al-‘Ajibah ‘an al-As-ilah al-Gharibah ini boleh dimuat turun di pautan الأجوبة العجيبة عن الأسئلة الغريبة.

Semoga bermanfaat.


[1] Iaitu Imam al-Rafi’i dan Imam al-Nawawi. 

No comments:

Post a Comment