Monday, April 2, 2018

TUHFAH (تحفة)

Dalam catatan ini akan disenaraikan nama-nama kitab yang dimulai dengan perkataan tuhfah (تحفة). Insya Allah, saya akan berusaha menambahkan lagi nama-nama kitab yang lain. Semoga bermanfaat.


1.      Tuhfah al-Thullab

      Kitab Tuhfah al-Thullab (تحفة الطلاب) atau judul penuhnya Tuhfah al-Thullab bi Syarh Tahrir Tanqih al-Lubab  (تحفة الطلاب بشرح تنقيح اللباب) merupakan karya Syaikh al-Islam, al-Qadhi Zaynuddin Abu Yahya Zakariya bin Muhammad bin Ahmad al-Anshari al-Sunaiki al-Mishri (823-926H). Kitab ini adalah huraian (syarah) Syaikh al-Islam Zakariyya al-Anshari bagi sebuah karya beliau sendiri, yang berjudul Tahrir Tanqih al-Lubab (تحربر تنقيه اللباب). Oleh itu, kitab Tuhfah al-Thullab juga lebih dikenali sebagai kitab Syarh al-Tahrir. Baca lagi…. Baca lagi…

2.     Tuhfah al-Zakirin

     Kitab Tuhfah al-Zakirin bi ‘Uddah al-Hishn al-Hashin min Kalam Sayyid al-Mursalin (تحفة الذاكرين بعدة الحصن الحصين من كلام سيد المرسلين ) merupakan sebuah kitab yang menghimpunkan zikir dan doa yang diamalkan oleh Rasulullah saw. Kitab ini adalah sebuah karya Imam al-‘Allamah Muhammad ‘Ali bin Muhammad al-Syawkani (1250H). Baca lagi….

3.     Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj 

Kitab Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj (تحفة المحتاج بشرح المنحـــاج) merupakan sebuah kitab fiqh yang terkenal, yang menjadi rujukan para ulama mazhab al-Syafi’i pada zaman mutaakhir. Kitab ini adalah karya al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Makki al-Haytami (909-973H), yang lebih terkenal dengan panggilannya Ibn Hajar al-Haytami. Baca lagi ,,,,

4.     al-Tuhfah Ithna ‘Asyariyyah (تحفة الاثنى عشرية)

Kitab al-Tuhfah Ithna ‘Asyariyyah (تحفة الاثنى عشريةmerupakan sebuah karya yang menerangkan secara terperinci mengenai kepercayaan yang dianuti pengikut Mazhab Syi’ah Ithna ‘Asyariah (Syiah Imam Dua Belas) atau juga dikenali dengan Mazhab Ja’fariyyah. Kitab ini disusun oleh Imam al-Muhaddith Shah ‘Abdul ‘Aziz bin Ahmad al-Dihlawi (1745-1823M) seorang ulama terkenal dari India. Beliau merupakan anak kepada Shah Waliyullah Ahmad bin Abdul Rahim al-Dihlawi (1762M), seorang tokoh ulama yang terkenal sebagai mujaddid pada masanya. Kitab al-Tuhfah Ithna ‘Asyariyyah telah diringkaskan oleh al-Syaikh Abu al-Ma’ali Mahmud Syukri al-Alusi (1856–1924M) seorang ulama terkenal di ‘Iraq dengan karyanya yang berjudul Mukhtasar al-Tuhfah al-Ithna ‘Ashariyyah (مختصر تحفة الاثنى عشرية)Baca lagi....

5. Tuhfah al-Talibin fi Tarjamah al-Imam Muhyiddin 

     Kitab Tuhfah al-Talibin fi Tarjamah al-Imam Muhyiddin (تحفة الطالبين في ترجمة الإمام محيي الدين) adalah sebuah kitab biografi  al-Imam Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H), yang disusun oleh seorang murid beliau yang bernama al-Imam ‘Alauddin Abu al-Hasan Ali bin Ibrahim bin Dawud bin Salman al-Dimasyqi (654-724H). Kitab ini menjadi rujukan utama para penulis terkemudian ketika menyusun karya-karya mereka mengenai biografi Imam Nawawi r.h. Kitab ini boleh dimuat turun di sini..  

6. Tuhfah al-Habib bi Syarh Nazhm Ghayah al-Tadrib

    Kitab Tuhfah al-Habib bi Syarh Nazhm Ghayah al-Tadribfi al-Fiqh al-Imam al-Syafi’i (تحفة الحبيب بشرح نظم غاية التقريب في فقه مذهب الإمام الشافعي) merupakan sebuah karya al-Imam Syaikh Ahmad bin al-Hijazi bin Badir al-Fasyani (978 H). Kitab ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab Nihayah al-Tadrib fi Nadzm Ghayah al-Taqrib (في نظم غاية التقريب نهاية التدريب ), iaitu sebuah kitab yang disusun dalam bentuk nazam karya Syaikh Syarafuddin Yahya bin Nuruddin bin Musa Bin Ramadhan bin ‘Umairah al-‘Imrithi (988H). Kitab ini  boleh dimuat turun di sini.

7. Tuhfah al-Thullab fi Nazhm Masa-il al-Irsyad 

    Kitab Tuhfah al-Thullab fi Nazhm Masa-il al-Irsyad (تحفة الطلاب في نظم مسائل الإرشاد) merupakan sebuah karya al-Qadhi Shafiyuddin Ahmad bin Umar al-Mazjad al-Zabidi al-Syafi’i (929H). Kitab ini disusun dalam bentuk nazam berdasarkan kitab  al- Irsyad (الإرشاد) atau judul penuhnya Irsyad al-Ghawi ila Masalik al-Hawi (إرشاد الغاوي إلى مسالك الحاوي), iaitu sebuah karya al-Imam Ibn al-Muqri, Ismail bin Abu Bakr bin Abdullah al-Muqri al-Zabidi al-Yamani (755-837H). Kitab Tuhfah al-Thullab fi Nazhm Masa-il al-Irsyad ini mengandungi sebanyak 584 bait nazam. Manuskrip kitab ini boleh dimuat turun di sini.


No comments:

Post a Comment