Saturday, November 29, 2014

KHADIM AL-RAWDHAH WA AL-RAFI'I


Kitab al-Khadim li al-Rawdhah atau judul lengkapnya Khadim al-Rafi’i wa al-Rawdhah fi al-Furu’  ( خادم الرافعي والروضة في الفروع) adalah sebuah kitab susunan al-Imam Syaikh al-Islam Badruddin Abu  Abdullah Muhammad bin Abdullah bin Bahadur al-Zarkasyi[1] (745-794H/1344-1392M). Kitab ini merupakan sebuah ensiklopedia fiqh yang disusun kembali oleh al-Zarkasyi berdasarkan himpunan kandungan empat buah kitab ‘Hawasyi’ (komentar) bagi kitab Rawdhah al-Thalibin[2] karya al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H).


Empat buah hawasyi tersebut disusun  oleh  empat[3] orang tokoh terkenal dalam mazhab al-Syafi’i, iaitu;

1)  Jamaluddin Abu Muhammad Abdul Rahim bin al-Hasan bin ‘Ali al-Asnawi al-Mishri[4] (704-772H), dengan karya beliau yang berjudul al-Muhimmat fi Syarh al-Rafi'i wa al-Rawdhah[5]

2)  Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamdan al-Azra’i[6]  (708-783H), dengan karya beliau al-Tawassuth Baina al-Rawdhah wa al-Syarh dalam 20 jilid.

3)  Sirajuddin Abu Hafsh ‘Umar bin Ruslan bin Nashir bin Shalih bin Abdul Khaliq bin Abdul Haq al-Bulqini (724-805H).

4) Syihabuddin Ahmad bin ‘Imad bin Muhammad bin Yusuf al-Aqfahsi, yang terkenal dengan gelaran Ibn al-‘Imad al-Syafi’i[7] (750-808H).

Nisbah kitab ini kepada al-Zarkasyi ada disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam kitab al-Durar al-Kaminah, al-Sayuthi dalam kitab Husn al-Muhadharah, dan Ibn al-‘Imad al-Hanbali dalam kitab al-Syazarat.

Haji Khalifah ada menyebutkan dalam kitab Kasyf al-Zunun; “ Disebutkan dalam kitab Bughyah al-Mustafid bahawa kitab al-Khadim ini di ditulis dalam empat belas jilid, setiap jilid mengandungi 25 lembaran. Kemudian saya pernah melihat jilid pertamanya, yang dimulai dengan; الحمد لله الذى امدنا بنعمائه.... Dan disebutkan bahawa dalam kitab ini dihuraikan perkataan yang susah difahami dalam kitab al-Rawdhah (karya al-Nawawi) dan kitab al-Fath al-‘Aziz (karya al-Rafi’i)…….”.

al-Hafiz  Ibn Hajar al-‘Asqalani ada menyatakan;  “Kitab al-Khadim disusun berdasarkan kitab al-Muhimmat (karya al-Asnawi) dan kitab al-Tawassuth karya al-Azra’i, tetapi ia juga ditambah dengan beberapa faedah dari kitab al-Mathlab dan selainnya ”.

Kitab al-Khadim ini telah diringkaskan oleh al-Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman al-Suyuthi dengan kitab beliau yang berjudul “ Tahsin al-Khadim ”. Menurut Haji Khalifah, kitab al-Suyuthi menyusun kitab Tahsin al-Khadim ini bermula bab zakat hingga akhir bab Haji, namun ia tidak sempat menyelesaikannya.

Sekadar maklumat yang saya perolehi, kitab ini belum lagi diterbitkan oleh mana-mana syarikat penerbitan di Timur Tengah. Ia masih lagi dalam bentuk manuskrip tulisan tangan oleh beberapa penyalin kitab terdahulu. Manuskrip kitab al-Khadim ini ada tersimpan di beberapa buah perpustakaan di dunia Islam dan di barat. Namun, kebanyakan manuskrip itu tidak lengkap kandungannya.

Catatan ringkas mengenai kitab al-Khadim karya al-Zarkasyi ini saya susun berdasarkan beberapa maklumat yang saya perolehi dari laman maya, antaranya dari laman al-Multaqa al-Fiqhi di http://www.feqhweb.com/vb/t15099.html. Jika ada kesilapan maklumat sila maklumkan. Semoga bermanfaat.


[1] Iaitu pengarang kitab al-Burhan fi ‘Ulum al-Quran, sebuah kitab yang membicarakan ilmu-ilmu al-Quran yang terkenal sebagai rujukan para ulama. Lihat ringkasan  riwayat hidup beliau di pautan http://ibnuzayyin.blogspot.com/2009/11/biografi-imam-badr-al-din-al-zarkasyi.html

[2] Kitab Rawdhah al-Thalibin adalah ringkasan bagi kitab al-Syarh al-Kabir (Fath al-‘Aziz) karya Imam Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad al-Rafi’i (557-623H). lihat maklumat ringkas kitab Rawdhah al-Thalibin di pautan http://abusyahmin.blogspot.com/2013/04/rawdhah-al-thalibin.html.

[3] Tiga orang daripada mereka merupakan guru kepada al-Zarkasyi, iaitu Jamaluddin al-Asnawi, Sirajuddin al-Bulqini dan Syihabuddin al-‘Azra’i.


[5] Kitab ini telah diberikan huraian ringkas oleh beberapa ulama, antaranya murid al-Asnawi sendiri iaitu Ibn al-‘Imad al-Aqfahsi dan Zainuddin al-‘Iraqi. Imam al-Azra’i juga ada menyusun kitab yang mengandungi beberapa kritikan ilmiah terhadap kitab ini melalui kitabnya al-Tanbihat ‘ala Awham al-Muhimmat .

[6] Lihat riwayat hidup beliau di pautan http://www.feqhweb.com/vb/t11512.html


[7] Beliau merupakan murid kepada Imam Sirajuddin al-Bulqini dan Jamaluddin al-Asnawi. Beliau ada menyusun kitab al-Ta’liq  ‘ala al-Muhimmat  , iaitu sebuah kitab yang mengandungi huraian bagi kitab al-Muhimmat karya al-Asnawi.


No comments:

Post a Comment