Monday, January 21, 2013

al-Asybah wa al-Nazhair karya Tajuddin al-Subki


Kitab al-Asybah wa al-Nazhair merupakan sebuah kitab dalam bidang kaedah fiqh (al-Qawa’id al-Fiqhiyyah) yang disusun oleh Imam Tajuddin Abu Nasr ‘Abdul Wahhab bin Taqiyuddin ‘Ali bin ‘Abdul Kafi bin ‘Ali bin Tamam al-Subki (727-771H).

Imam Tajuddin al-Subki mempelajari hadis di Mesir, kemudian berpindah ke Damsyik bersama bapanya Taqiyyuddin al-Subki. Di Mesir, beliau meriwayatkan hadis dari al-Hafiz al-Mizzi dan kemudiannya sentiasa mengikuti majlis ilmu al-Hafiz al-Zahabi.

Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “Beliau bersungguh-sungguh mempelajari hadis, menulis catatan-catatan, bersungguh dalam mempelajari fiqh, usul dan bahasa ‘Arab sehingga mahir dalam usia yang masih muda. Beliau mempunyai ilmu balaghah yang hebat dan pemidato yang baik. Karya-karyanya tersebar ketika hidupnya.”

Di Syam, beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara (Qadhi al-Qudha)’ dan beberapa musibah menimpanya sepanjang menyandang jawatan tersebut, namun beliau tetap bersabar terhadap musibah tersebut. Beliau meninggal kerana sakit taun ketika umurnya 44 tahun.

Di antara karyanya yang besar ialah Jam’u al-Jawami’ fi Usul al-Fiqh, kitab Qawa’id Fiqhiyyah iaitu al-Asybah wan-Nazha-ir, Thabaqat Syafiiyyah al-Kubra (dalam beberapa jilid) dan 2 jilid Syarah Mukhtasar ibn al-Hajib al-Usuli.

Kandungan Kitab al-Asybah wa al-Nazha-ir;

Kitab al-Asybah wa al-Nazha-ir karya Tajuddin al-Subki dianggap di antara karya terbaik dalam bidang kaedah fiqh. Dalam kitab ini, Tajuddin al-Subki menyebut kaedah usul dan fiqh dan menghuraikannya  dengan cukup baik. Perkara ini tidak menghairankan kerana beliau adalah seorang yang mendalam ilmunya dalam kedua-dua bidang - fiqh dan usul. Kehebatan ilmu beliau dimanifestasikan dalam kitab al-Asybah wa al-Nazha-irnya. Walaupun kitab ini tidak membincangkan masalah fiqh, namun ia adalah antara kitab terbaik dalam bidang kaedah fiqh kerana susunan bahasanya yang baik dan kemantapan idea yang dilontarkan ketika membincangkan sesuatu kaedah. Justru itu, ada ulama lain juga menurut metod penulisan Tajuddin al-Subki. Di antaranya Ibn Nujaim dan al-Sayuthi (911H) yang juga menulis kitab kaedah fiqh dengan menggunakan nama al-Asybah wa al-Nazha-ir.

Tajuddin al-Subki juga menyebut antara faktor yang mendorong beliau menulis kitabnya ialah melihat kepada kitab al-Asybah wa al-Nazha-ir karya Ibn al-Wakil atau sebenarnya Abdullah bin al-Murahili (716H) yang memerlukan kepada penjelasan yang lebih mendalam. Beliau telah  menyusun kembali karya Ibn al-Wakil tersebut dengan penyusunan yang lebih baik dari awal kitab hingga akhirnya kerana Ibn Wakil meninggal dalam keadaan isi karyanya itu bertebaran di sana-sini.

Tajuddin al-Subki telah menggunakan metod berikut dalam penulisannya kitab al-Asybah wa al-Nazha-ir, iaitu;

1.      Memulakan kitab dengan 5 kaedah asas dan menghuraikannya dengan cukup baik.

2.      Menyebutkan kaedah-kaedah fiqh yang penting yang dinamakan ‘al-Qawaid al-‘Ammah’ kerana ia tidak khusus kepada sesuatu bab sahaja.

3.      Menyebutkan dhawabit fiqhiyyah dan menamakannya sebagai ‘al-Qawaid al-Khashshah’.

4.      Menyebutkan beberapa masalah Aqidah yang lahir darinya beberapa cabang fiqh yang diperlukan oleh seorang ulama fiqh.

5.      Membincangkan kaedah-kaedah usul dan masalah-masalahnya.

6.      Meletakkan satu bab yang membincangkan beberapa kalimah bahasa Arab dari aspek Balaghah dan Nahu yang muncul darinya beberapa cabang fiqh.

7.      Meletakkan satu bab membicarakan perselisihan pandangan di antara Abu Hanifah dan Imam Shafie.

8.      Beliau mengakhiri kitabnya dengan beberapa perbahasan yang penting dan perkara-perkara yang perlu diberi perhatian.

Tajuddinal-Subki menggunakan metod yang cukup baik dalam penulisannya. Setiap kali beliau memulakan sesuatu bab, beliau akan menyebutkan satu pendahuluan ringkas memberikan gambaran perbincangannya. Dalam metodologi penulisan masakini, mungkin boleh disebut sebagai sinopsis. tajuddin
al-Subki menyebut hampir 60 kaedah dengan huraian yang berbeza panjang dan ringkasnya.

Jika diteliti penulisan al-Subki dalam al-Asybah wa al-Nazha-irnya ini, didapati ciri-ciri berikut:

1.      Pembentangan kaedah dengan ibarat tersendiri yang tidak ada pada orang lain.

2.      Membersihkan beberapa kaedah yang diterima dari ulama terdahulu dan memberikan warna baru dari segi sighah dan ibarat dengan cara yang lebih mantap.

3.      Menyebut sighah berbeza bagi sebahagian kaedah serta merujukkannya kepada mereka yang berkata demikian. Ini dapat membantu memahami perkembangan ilmu kaedah fiqh.

Kesimpulannya, Kitab al-Asybah wa al-Nazha-ir karya Tajuddin as-Subki adalah karya besar yang cukup hebat dalam bidang kaedah fiqh yang memberikan sumbangan cukup berharga kepada khazanah ilmu Islam ketika itu dan zaman selepasnya.

No comments:

Post a Comment