Kitab ‘Aqidah al-Najin fi `Ilm Ushul al-Din (عقيدة الناجين في علم أصولالدين)
merupakan
sebuah karya dalam bidang aqidah dalam bahasa Melayu (Jawi). Kitab ini ditulis oleh
Syaikh Zayn al-‘Abidin bin Muhammad al-Fathani, yang terkenal dengan gelaran
Tuan Minal.
Syaikh Zayn al-‘Abidin al-Fathani menulis kitab ‘Aqidah
al-Najin ini sebagai huraian bagi kitab Umm al-Barahin (أم البراهين), iaitu sebuah
kitab dalam bidang akidah yang terkenal di kalangan para ulama Ahli Sunnah wa
al-Jama’ah dari aliran al-Asya’irah.
Kitab ini adalah sebuah karya al-Imam Muhammad bin Yusuf bin `Umar bin
Syu’aib al-Sanusi al-Maliki al- Hasani al-Tilimsani (832-895H).
Kitab
'Aqidah
al-Najin
adalah sebuah kitab yang boleh dikategorikan sebagai “muktabar” dalam bidang
aqidah, khususnya di Nusantara. Kepentingan dan kedudukan kitab 'Aqidah al-Najin
ini sebenarnya berkait rapat dengan kedudukan dan reputasi teks induknya iaitu
kitab Umm al-Barahin di Nusantara.
Tujuan karya ini ditulis, sebagaimana yang dinyatakan oleh Syaikh
Zayn al-'Abidin al-Fathani, adalah sebagai mengemukakan suatu terjemahan Melayu
bagi kitab Umm al-Barahin karya Shaykh Sanusi untuk bacaan dan panduan pelajar dan
umat Islam umumnya. Dalam hal ini Syaikh Zayn al-`Abidin al-Fathani menyebut
dalam muqaddimah kitabnya;
“ Telah membaiki Allah Ta`ala bagiku dan bagi mereka itu
akan bahawa aku suratkan bagi mereka itu suatu kitab pada menyatakan ilmu
usuluddin pada hal aku terjemahkan daripada Muqaddimah Syaikh Sanusi serta aku
tambahkan atasnya daripada beberapa kalam syarahnya dan hasyiahnya supaya nyata
maksud daripada kalam syaikh itu dan jikalau tiada aku ahli bagi yang demikian
itu sekali pun tetapi i`timadku kepada tawfiq al-Karim al-Wahhab[1]
”.
Dari sini, jelas bahawa 'Aqidah al-Najin bukan sekadar terjemahan
Umm al-Barahin, bahkan lebih dari itu, ia boleh dikategorikan sebagai suatu komentari
dan olahan peribadi Syaikh Zayn al-'Abidin al-Fathani. Sumber olahan dan komentari
ini, sebagaimana yang dinyatakan oleh Syaikh Zayn al-‘Abidin al-Fathani di atas,
diambil dari syarah dan hashiyah Umm al-Barahin itu sendiri, sama ada yang dikarang
oleh Syaikh Sanusi sendiri ataupun karya ulama lain seperti Syaikh Hudhudi dan sebagainya.
Kitab ini telah disempurnakan penulisannya oleh Syaikh Zayn
al-‘Abidin pada hari Sabtu bulan Jamad al-Akhir, tahun 1308 Hijrah.
Kitab 'Aqidah al-Najin fi `Ilm Usul al-Din ini boleh dimuat
turun di pautan عقيدة الناجين في علم أصولالدين atau عقيدة الناجين في علم أصولالدين.
Catatan ringkas di atas dipetik dan diubahsuai dari artikel “ Beberapa Aspek Epistemologi al-Shaykh Zayn al-'Abidin B. Muhammad al-Fatani: Suatu Penelitian Awal Terhadap Karyanya 'Aqidah al-Najin fi `Ilm Usul al-Din”,
karya Wan Suhaimi Wan Abdullah. Semoga bermanfaat.
[1] al-Syaikh Zayn al-`Abidin bin
Muhammad al-Fathani (t.t), `Aqidah al-Najin fi `Ilm Usul al-Din, Thailand:
Matba`ah bin Halabi, h. 2.
D mana saya boleh kitab ni yg versi bahasa melayu
ReplyDeleteSebuah karya ulama besar yg sangat patut dibaca kaum muslimin.
ReplyDeleteAlhamdulillah, syukran Admin..
ReplyDelete