Kitab Sirajul Huda (سراج الهدى) Pada Menyatakan `Aqidah Ahl al-Taqwa merupakan sebuah kitab
Melayu (Jawi) dalam bidang akidah (tauhid) yang masih lagi berlegar di pasaran
kitab dan menjadi teks pengajian akidah di masjid atau surau. Kitab ini telah
dikarang oleh seorang ulama asal dari Sumbawa yang bernama Syaikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi al-Sumbawi.
Judul asal kitab ini sebagaimana yang disebutkan sendiri
oleh Syaikh Mummmad Zainuddin al-Sumbawi di akhir kitab adalah Sirajul Huda
ila Bayan ‘Aqa-idi al-Taqwa (سراج الهدى إلى بيان عقائد التقوى), yang diterjemahkan oleh
beliau sebagai “ Pelita Petunjuk Kepada Menyatakan Segala Simpulan Segala
Ahli Takwa ”. Kitab ini ditulis di kota Makkah, namun tidak dinyatakan tarikh bila ia diselesaikan.
Kitab ini adalah huraian (syarah) bagi kitab Umm al-Barahin, karya Imam Muhammad
bin Yusuf bin `Umar bin Syu’aib al-Sanusi al-Maliki al-Hasani al-Tilimsani
(832-895H) dalam bahasa Melayu. Kata al-Syaikh Muhammad al-Sumbawi dalam
muqaddimah kitab ini:
“ Dan kemudian daripada itu maka sungguhnya
telah meminta akan hamba oleh setengah daripada orang yang tiada meluaskan akan
hamba oleh menyalahi akan dia bahawa hamba surat akan risalah yang yang indah
dengan bahasa Jawi hal keadaannya menjadi Syarah atas matan Umm al-Barahin ”.
Berikut dipetik tulisan al-Marhum Tuan Haji Mohd Shaghir
Abdullah mengenai kitab Sirajul Huda ini;
“Kandungan karya Syeikh Muhammad Zainuddin Sumbawa yang
nombor 1, iaitu Sirajul Huda, membicarakan tauhid atau akidah Ahli Sunah wal
Jamaah, perbicaraannya biasa sahaja, sebagaimana kitab-kitab tauhid dalam
bahasa Melayu yang lain-lainnya.
Sungguhpun begitu, ada dua hal yang menarik untuk dipetik,
iaitu pertama terdapat dua tempat bahasa yang bercorak puisi dan yang kedua,
kupasannya yang panjang mengenai satu istilah yang terdapat dalam usuluddin.
Salah satu daripadanya tentang mukjizat Nabi Muhammad s.a.w menghidupkan ayah
dan ibunya, terdiri enam bait, empat bait bahagian akhir sebagai contoh ialah:
Maka
dihidupkan ayah dan bondanya
Supaya dengan dia percaya keduanya
Maka
terima olehmu jangan ingkarnya
Kerana yang demikian itu kuasanya
Telah
datang hadis dalil atasnya
Riwayat
orang pendita rijalnya
Barang
siapa berkata dengan daifnya
Maka
ialah daif, tidak hakikatnya.
Daripada
contoh di atas, dapat dipastikan bahawa Syeikh Muhammad Zainuddin Sumbawa
adalah termasuk ulama ahli penyair dunia Melayu".
Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan dan sampai sekarang masih beredar di pasaran kitab. Kitab ini dianggap antara kitab bidang tauhid yang paling banyak dijadikan teks pengajian di masjid atau surau.
Kitab ini boleh dimuat turun di pautan سراج الهدى atau terus di pautan سراج الهدى. Semoga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment