Friday, March 29, 2019

Indahnya Hidup Wanita Bersyariat


Buku Indahnya Hidup Wanita Bersyariat merupakan sebuah karya dalam bidang fiqh yang menghimpunkan huraian para ulama mengenai berbagai permasalahan hukum berkaitan dengan kehidupan harian wanita. Buku ini sangat sesuai untuk dijadikan sebagai rujukan kerana hampir keseluruhan aspek kehidupan wanita disentuh dengan terperinci serta berlandaskan dengan dalil-dalil yang sahih dan tepat. 

Buku ini diterbitkan oleh Crescent News, Selangor dengan cetakan pertamanya pada tahun 2013. Ia diterbitkan dalam satu jilid setebal 1199 halaman.


Beberapa catatan mengenai buku ini.

Berdasarkan maklumat yang terdapat dalam buku ini, penyusunnya adalah Fatimah Hj Omar dan Syawana Aziz. Ia tidak menyebutkan buku ini sebagai edisi terjemahan dan tidak menyertakan nama pengarang asalnya.

Sekadar makluman, saya telah membuat perbandingan isi kandungan buku Indahnya Hidup Wanita Bersyariat ini dengan kandungan sebuah kitab yang disusun oleh Syaikh Abu Malik Kamal bin al-Sayyid Salim, yang berjudul Fiqh al-Sunnah li al-Nisaa’ (فقه السنة للنساء) atau judul lengkapnya Fiqh al-Sunnah li al-Nisaa’ wa Ma yajibu an Ta’rifahu kullu Muslimah min Ahkam (فقه السنة للنساء وما يجب أن تعرفه كل مسلمة من أحكام).

Saya dapati isi kandungannya adalah sama dan dipastikan ia adalah terjemahan bagi kitab Fiqh al-Sunnah li al-Nisaa’ karya Abu Malik Kamal ini. Isi kandungannya meliputi hampir semua kandungan kitab asalnya, hanya bab pewarisan, iaitu bab terakhir dan muqaddimah pengarang serta kata penutup pengarang kitab asalnya tidak lampirkan. Pengubahsuaian bab juga dilakukan, dengan memecahkan sebahagian bab asalnya kepada beberapa bab yang baru. Beberapa nota kaki yang disediakan oleh pengarang yang terdapat dalam kitab asalnya juga dikekalkan dalam buku ini.

Semoga bermanfaat

Monday, March 25, 2019

Pemisah Antara Iman Dan Kufur



Buku yang ingin saya kongsi bersama pembaca kali ini adalah sebuah karya dalam bidang tafsir yang berjudul Pemisah Antara Iman Dan Kufur. Buku ini disusun dan diolah kembali oleh Ustaz Mashhudi Bunyamin berdasarkan kuliyyah tafsir Surah al-Furqan yang disampaikan oleh al-Marhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat (1931-2015). Buku setebal 181 halaman ini, telah diterbitkan  dengan cetakan pertamanya oleh Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur pada tahun 1996.

Isi Kandungan buku ini memuatkan huraian Tuan Guru Datuk Nik Aziz  terhadap 77 ayat surah al-Furqan. Penyusun telah membahagikan kandungan buku ini kepada 8 bab, iaitu;

1.      Al-Quran adalah peringatan untuk seluruh manusia ( huraian ayat 1-3), hal. 1-30.
2.    Tuduhan-tuduhan palsu dari orang-orang kafir terhadap al-Quran (huraian ayat 4-6), hal. 31-37.
3.      Kehairanan orang kafir tentang diutusnya Rasul dari manusia biasa (huraian ayat 7-8, 9-11, 12-16), hal.38-59.
4.     Soal jawab Allah SWT dengan sembahan-sembahan orang kafir di Hari Qiyamat (huraian ayat 17-18, 19-20), hal. 60-65.
5.  Keadaan manusia yang tidak beriman kepada al-Quran pada Hari Qiamah (huraian ayat 21-24, 25-29, 30-31, 32-34), hal. 66-89.
6.   Pengajaran dari kisah umat yang terdahulu (huraian ayat 35-40, 41-42, 43-44), hal. 90-115.
7.    Tanda-tanda kekuasaan Allah dalam alam semesta (huraian ayat 45-52, 53-59, 60-61), hal. 116-148.
8.   Sifat-sifat hamba Allah yang mendapat kemuliaan (huraian ayat 63-71, 72-74, 75-77), hal. 149-181.

Demikianlah ringkasan kandungan buku ini. Berdasarkan pengetahuan penulis catatan ini, buku ini belum lagi diterbitkan kembali oleh penerbit atau penyusunnya. Semoga ia diterbitkan kembali dengan cetakan dan susunan yang lebih menarik untuk tatapan dan rujukan umat Islam.

Semoga bermanfaat.

Wednesday, March 20, 2019

Dosa-Dosa Besar



Dalam koleksi saya ada sebuah buku terjemahan dalam bahasa Melayu diberikan judul “Dosa-Dosa Besar”. Buku ini merupakan terjemahan bagi kitab  al-Zawaajir ‘an Iqtiraaf al-Kaba’ir (الزواجر عن اقتراف الكبائر), iaitu sebuah karya al-Imam Syihabuddin Abu al-'Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Makki al-Haytami (909-973H), seorang tokoh ulama’ mazhab Syafi’i yang terkenal. Tokoh yang terkenal dengan gelaran Ibnu Hajar al-Haytami ini merupakan tonggak mazhab Syafi’i pada zamannya

Buku ini diterjemahkan oleh Drs. Asmaji Aes Muhtar dan diterbitkan oleh  Perniagaan Jahabersa, Johor dengan cetakan pertamanya pada tahun 2005. Isi kandungan buku ini merangkumi 432 halaman, tidak termasuk halaman isi kandungannya.

Kandungan buku ini…

Buku ini dimulai dengan sebuah prakata (Khutbah Kitab) oleh Ibn Hajar al-Haytami yang menerangkan tujuan penyusunan kitab dan ringkasan isi kandungan yang dibincangkan.

Setelah itu didahulukan sebuah “Muqaddimah”, yang menerangkan definisi dosa besar dan pandangan ulama mengenai pembahagian dosa dan jenis-jenisnya. Perbincangan secara umum mengenai akibat melakukan dosa dan kewajipan perlunya sentiasa berhati-hati agar tidak terjerumus dalam perbuatan dosa, sama ada dosa kecil atau besar.

Seterusnya Ibn Hajar al-Haytami membahagi kandungan kitab al-Zawajir kepada dua bab utama. Dalam bab pertama, beliau menjelaskan dosa-dosa besar yang muncul dalam diri (batin) seseorang. Dosa besar ini tidak berkaitan secara langsung dengan pembahasan hukum fiqih. Dalam bab ini dikemukakan lebih kurang 66 jenis dosa besar.

Sedangkan dalam bab kedua, beliau secara khusus membincangkan tentang perbuatan lahir yang menyebabkan dosa besar dan memiliki keterkaitan secara langsung dengan hukum fiqh. Beliau membincangkan permasalahan hukum fiqh berdasarkan metode dan pendapat yang digunakan dalam Mazhab Syafi’i. Penyusunan jenis-jenis dosa besar dalam bab ini juga menurut susunan bab fiqh mazhab Syafi’i, untuk memudahkan penganalisisan masalah, - dimulai dari yang paling buruk seterusnya hingga yang paling ringan. Dalam bab ini dikemukakan lebih kurang 137 jenis dosa besar.

Satu kekurangan buku terjemahan ini yang ingin saya kongsi bersama pembaca ialah tidak dilampirkan terjemahan bahagian penutupnya (al-Khatimah), yang menerangkan keutamaan taubat dan syarat-syaratnya, serta  penerangan mengenai neraka yang penuh dengan berbagai seksaan dan surga  yang penuh dengan berbagai kenikmatan. Saya sangat berharap pihak penerbit dapat mengambil perhatian untuk terbitan akan datang, kerana perbincangan mengenai taubat sangat penting dan sangat berkait-rapat mengenai keseluruhan isi kandungan buku ini. 

Buku terjemahan ini adalah antara koleksi buku mengenai dosa besar yang saya miliki, selain buku Dosa-dosa Besar terjemahan al-Marhum Sayed Ahmad Semait  bagi kitab al-Kaba’ir (الكبائر) karya al-Hafiz al-Zahabi.

Semoga bermanfaat.

Saturday, March 16, 2019

Tahsin Ibadah (تحسين عبادة )


 Tahsin Ibadah (تحسين عبادة )  adalah sebuah karya yang menghimpunkan lebih 130 soal jawab tentang fiqh ibadah yang merangkumi solat, puasa dan bersuci. Isi kandungan buku ini asalnya merupakan hasil transkripsi daripada rakaman satu slot  yang popular di Radio IKIMfm, iaitu slot Tahsinul Ibadah. Slot Tahsinul Ibadah ini disampaikan oleh Allahyarham al-Fadhil Ustaz Syed Muhammad Fadzil bin Syed Ahmad atau lebih dikenali sebagai Ustaz Fadzil al-Yamani (1967-2016). Buku ini diterbitkan bersama oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. Dengan cetakan pertama pada tahun 2017. Ketebalan buku ini merangkumi 213 halaman.

Persoalan yang diutarakan dalam buku ini adalah permasalahan yang sering dihadapi oleh masyarakat Islam pada hari ini seperti cara qadha solat dan puasa, cara solat jamak ketika musafir, isuisu dalam solat berjemaah dan lain-lain lagi. Turut dimuatkan beberapa soalan umum seperti taubat nasuha dan nisfu Syaaban. Setiap soalan dijawab dengan jawapan yang jelas dan mudah difahami selain didatangkan perbandingan untuk mengukuhkan pemahaman pembaca.

Kandungan buku ini dibahagikan kepada sepuluh bahagian. Bahagian 1 (6 soal jawab), 2 (17 soal jawab), 3 (14 soal jawab), 4 (8 soal jawab). 5 (13 soal jawab), 6 (13 soal jawab), 7 (9 soal jawab), 8 (18 soal jawab), 9 (14 soal jawab) dan 10 (17 soal jawab).

Semoga bermanfaat.