Thursday, August 30, 2018

al-Nihayah Syarh al-Ghayah wa Taqrib


Kitab al-Nihayah[1] Syarh al-Ghayah wa al-Taqrib (النهاية شرح الغاية والتقريب) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i  yang disusun oleh al-Imam Abu al-Fadhl Waliyuddin al-Bashir al-Syafi’i, iaitu seorang ulama yang hidup pada kurun ke 10 Hijrah. 

Kitab ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Ghayah wa al-Taqrib (الغاية والتقريب), iaitu sebuah  matan fiqh yang disusun oleh karya Imam Abu Syuja’ Ahmad bin al-Husain  al-Asfahani (593H).

Berdasarkan edisi cetakan yang diterbitkan oleh Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah – Beirut,(cet. 2) pada tahun 2010, ketebalan kitab ini merangkumi 392 halaman. Kitab ini boleh dimuat turun di pautan https://ia802300.us.archive.org/25/items/uvtp2/uvtp2.pdf.




[1]Selain kitab ini, terdapat kitab lain yang berkaitan dengan matan al-Ghayah wa al-Taqrib, yang juga berjudul al-Nihayah. Kitab ini berjudul al-Nihayah fi Ikhtishar  al-Ghayah (النهاية في اختصار الغاية), karya Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (). Kitab ini disusun sebagai ringkasan bagi matan Abu  Syuja’ al-Ashbahani (). Kitab al-Nihayah ini kemudiannya telah dihurai (syarah) oleh Imam al-Hishni. Wallahu a’lam.

Tuesday, August 28, 2018

al-Mahshul fi 'Ilm Usul al-Fiqh


Kitab al-Mahshul fi 'Ilm Usul al-Fiqh  (المَحْصُول فِي عِلْم أُصُول الفِقْه)[1], merupakan sebuah karya dalam bidang usul fiqh  yang disusun oleh Imam Fakhr al-Din al-Razi, Abu 'Abd Allah Muhammad al-Razi al-Syafi’i (606H). Kitab al-Mahshul ini merupakan ringkasan (intisari) dan gabungan dari 4 buah kitab usul fiqh yang  utama sebelumnya, iaitu;

a) Kitab al-'Umad (العُمَد), karya al-Qadhi Abdul Jabbar al-Mu’tazili (415H),
b)     Kitab al-Mu'tamad fi Ushul al-Fiqh (المعتمد), karya Abu al-Husayn al- Bashri al-Mu’tazili al-Syafi’i (435H) 
c) Kitab   al-Burhan fi Ushul al-Fiqh,(), karya al-Imam Haramain al-Juwayni (478H),
d)     Kitab al-Mustashfa (المستصفى), karya Imam al-Ghazali (505H).

Secara umumnya, karya-karya  ushul fiqh yang disusun setelah kitab al-Mahsul adalah merujuk kepada kitab ini. Ramai ulama pasca Imam Fakhruddin al-Razi yang  membuat komentar dan huraian tambahan bagi kandungan kitab al-Mahshul. Ada pula para ulama yang meringkas kitab al-Mahshul sehingga lebih mudah difahami oleh pelajar peringkat rendah.

Di antara kitab huraian (syarah) bagi kitab al-Mahshul adalah;

a)     Kitab al-Kashif  'an al-Mahshul, karya  Imam Syams al-Din Muhammad bin Mahmud al-Asbahani (678H),
b)     Kitab Nafa-is al-Ushul  fi Syarh al-Mahshul, karya Imam Syihab al-Din Abu al-'Abbas Ahmad al-Qarrafi al-Maliki (684H).

Berikut adalah antara kitab ringkasan bagi kitab al-Mahshul ;


         a)   Kitab al-Muntakhab atau Muntakhab al-Mahshul, karya Imam Fakhruddin al-Razi  sendiri,
b)   Kitab al-Hashil min al-Mahshul (الحاصل من المحصول), karya Imam Taj al-Din Abu Abdullah Muhammad bin al-Husain al-Armawi (653H). Imam al-Armawi kemudiannya telah menghurai kitab al-Hashil ini melalui karya beliau yang lain, yang berjudul Syarh Armawi. Menurut Imam al-Asnawi (772H), kitab al-Hashil ini telah diringkaskan pula oleh  Imam al-Baydhawi melalui kitabnya yang berjudul Minhaj al-Wushul ila 'Ilm al-Ushul (منهاج الوصول إلى علم الأصول).
c)      Kitab  al-Hashil min al-Mahshul, karya Imam Dhiya al-Din Hussain.
d)     Kitab al-Tahshil min al-Mahshul, karya Sirajuddin al-Armawi ()
e)     Kitab Tanqih al-Fushul fi Ikhtishar al-Mahshul, karya Imam Shihab al-Din Abu al-'Abbas Ahmad al-Maliki (684H). Imam al-Qarafi kemudiannya telah menyusun kitab Syarh Tanqih al-Fushul , sebagai huraian bagi kitab Tanqih al-Fushul ini.
f)       Kitab Tanqihul Mahshul, karya al-Tabrizi ().

Kitab al-Mahsul fi 'Ilm Usul al-Fiqh   ini boleh dimuat turun di pautan المَحْصُول فِي عِلْم أُصُول الفِقْه

Semoga bermanfaat.                                                                                   



[1] Selain kitab al-Mahshul karya Fakhruddin al-Razi ini, terdapat sebuah lagi kitab usul fiqh yang juga mempunyai judul yang sama, iaitu kitab al-Mahshul fi Ushul al-Fiqh karya al-Qadhi Ibn al-‘Arabi, Muhammad bin Abdullah bi al-‘Arabi  al-Maliki (468-543H).  Beliau adalah seorang ulama terkenal dalam mazhab Maliki. Kitab ini boleh dimuat turun di pautan http://archive.org/download/ElMahsol_FilOssol/ElMahsol_FilOssol.pdf

Sunday, August 26, 2018

Tafsir al-Quran al-Hakim,


Kitab Tafsir al-Quran al-Hakim, sebuah karya  tafsir yang disusun oleh seorang mufassir tanah air, iaitu al-Fadhil al-Ustaz Mustafa Abdul Rahman bin Mahmud (1918-1968). Karya tafsir ini ditulis dalam 27 penggal, setiap penggal mewakili satu juzuk al-Quran. Ia ditulis dalam tulisan Jawi dan bahasa yang digunakan adalah mudah difahami dan tidak terlalu klasik, malah bahasanya masih releven sehingga hari ini. 

Ustaz Mustafa Abdul Rahman dilahirkan di Gunung Semanggol, Perak pada tahun 1918 dalam sebuah keluarga yang berketurunan ulama. Beliau banyak meyumbangkan tenaga dan idea dalam perkembangan dakwah dan keilmuan Islam di Malaysia. Sumbangannya disalurkan menerusi penulisan karya-karya, di samping penglibatan secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan. Beliau meninggal dunia di Gunung Semanggol pada 28 Oktober 1968 bersamaan 6 Syaaban 1338H ketika berusia 51 tahun. 

Berdasarkan tarikh dii akhir pendahuluan pengarangnya, kitab tafsir ini mungkin selesai ditulis pada tahun 1949. Kitab tafsir ini telah disemak semula oleh pengarangnya pada tahun 1959 dengan beberapa pembaikan dan penambahan keterangan serta huraiannya yang lebih memuaskan.

Tuan Guru Syaikh Haji Abdullah Fahim, iaitu guru kepada  penulis kitab tafsir ini telah memberikan kata pengantar untuk Tafsir al-Quran al-Hakim ini, serta mengemukakan pengiktirafan dan pujian kepada pengarang dengan katanya;

Sesungguhnya, saya telah dapati di dalam sepanjang perhatian saya bahawa tafsir yang tersebut adalah sangat munasabah lagi memuaskan oleh kerana susunan dan keterangannya pertengahan  ”.

Dalam pendahuluan kitab ini, pengarang menjelaskan tentang kelebihan al-Quran dan tafsir al-Quran secara umum. Beliau memberikan gambaran secara umum berkaitan penterjemahan al-Quran di dunia mengikut bahasa masing-masing. Gambaran ini menunjukkan bahawa bangsa di dunia sudah mengetahui isi kandungan al-Quran secara ilmiah. Kemudian menyatakan bahawa di Tanah Melayu, ramai orang tidak dapat mengetahui isi kandungan al-Quran kerana ketiadaan tafsir yang ringkas dan mudah difahami. Inilah faktor yang mendorong beliau untuk menghasilkan sebuah karya tafsir dengan berpandukan karya tafsir terdahulu dan semasa dengannya.

Beliau menjelaskan tentang metodologi tafsir yang digunakan dalam pendahuluan karya ini dengan menyatakan;

Dan untuk memudahkan para pembaca yang terhormat, maka sengaja diringankan kandungannya untuk diterangkan pada mula-mulanya makna ayat-ayat, kemudian diterangkan pula kesimpulan faham dan maksud yang terkandung di dalam ayat-ayat itu dengan cara yang sedehana, moga tuan-tuan pembaca akan dapat menerima tafsir ini dengan tangan terbuka .... ”.

Dalam menghuraikan sesuatu ayat, pengarang banyak mengguna pakai metode Tafsir bi al-Ra’y. namun begitu, metode Tafsir bil-Ma'thur masih digunakan di sesetengah tempat. Tafsiran dan huraian terperinci  dipersembahkan oleh pengarang dengan bahasa yang mudah difahami kerana tafsir ini disasarkan untuk orang awam seperti disebutkan sendiri olehnya dalam pendahuluan kitab. Dalam tafsir ini juga, diselitkan pengajaran  yang berkaitan dengan akidah, ibadat, akhlak dan kemasyarakatan.

Dalam menyempurnakan tafsir ini, pengarang telah merujuk kepada beberapa buah kitab, antaranya Tafsir al-Maraghi, Tafsir al-Nasafi, Tafsir al-Thabari, Tafsir al-Jalalayn. Al-Tafsir al-Munir li Ma’alim al-Tanzil, Tafsir al-Thanthawi al-Jawhari, Nayl al-Maram, Tafsir Ruhul Ma’ani, Tafsir al-Quran al-‘Azhim, Tafsir li Ahkam al-Quran dan Tafsir al-Razi dan Ihya’ ‘Ulum al-Din.

Artikel di atas dipetik dan diubahsuai dari buku Khazanah Tafsir Nusantara, yang diselenggara oleh Dr. Mustafa Abdullah. Penerbit Universiti Malaya (2011).

Artikel berkaitan; 

http://rmc.kuis.edu.my/irmic/wp-content/uploads/2014/12/015-SUMBANGAN-MUSTAFA-ABDUL-RAHMAN-DALAM-TAFSIR-AL-QURAN.pdf 

http://ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/11/08-Sentuhan-Sains-Mustafa-Abdul-Rahman-Nor-Syamimi-Mohd.pdf

Tuesday, August 14, 2018

Kuliah Subuh Pada membicarakan Hadis 40


Buku Kuliah Subuh Pada membicarakan Hadis 40 merupakan sebuah karya dalam bidang hadis yang disusun oleh al-Marhum Syed Ahmad Semait (1933-2006) , seorang ulama dan karyawan yang produktif dari Singapura.

Buku ini disusun sebagai huraian bagi kitab hadis yang berjudul al-Arba’in al-Nawawiyyah (الأربعين النووية), yang terkenal nama Hadis Arba'in Nawawi ataupun Hadis Empat Puluh. Ia merupakan karya Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676/1277), yang memuatkan 42 buah hadis yang bersifat komprehensif yang menjelaskan dasar-dasar Syari'at Islam.

Menurut penyusun buku Kuliah Subuh ini, beliau menamakan buku ini sebagai Kuliah Subuh sebagai cadangan bagi dirinya dan pembaca untuk menatapnya setiap Subuh, sesudah selesai menunaikan sembahyang Subuh di pagi hari.

Kitab Kuliah Subuh ini mula ditulis pada tahun 1976 dan diterbitkan jilid pertamanya pada tahun 1977. Manakala jilid kedua diterbitkan pada tahun 1978 dan jilid ketiga pula pada tahun 1979. Bermula dari tarikh tersebut, buku ini telah banyak kali diulang cetak dan diterbitkan oleh Pustaka Nasional, Singapura.

Pada tahun 1991, Syed Ahmad Semait mengemaskini kembali karya beliau ini dengan menggunakan huruf yang lebih besar dan menggabungkan ketiga-tiga jilidnya dalam satu jilid besar sahaja, tanpa perubahan isi kandungannya yang asal. Buku edisi baru ini telah diterbitkan pada tahun 1994. Edisi terkumpul ini kemudiannya terus diulang cetak pada tahun 1996, 2000 dan 2003. Berdasarkan cetakan kesembilan tahun 2003, ketebalan buku ini ialah 741 halaman, termasuk halaman Prakata Edisi baru (2 halaman), Pendahuluan Jilid 1 (3 halaman), pendahuluan Jilid 2 (2 halaman) dan Pendahuluan Jilid 3 (2 halaman).

Sumber rujukan utama buku Kuliah Subuh ini ialah kitab yang berjudul Fathul Mubin Li Syarhil Arba’in (فتح المبين لشرح الأربعين) , iaitu sebuah karya al-Imam Ahmad Ibn Hajar al-Haytami al-Syafi’i (907-974H) seorang tokoh ulama terkenal yang menjadi tonggak kepada mazhab Syafi’i.

Di samping menterjemahkan fakta-fakta dan butiran-butiran yang dikutip dan disadur dari matan al-Arba’in dan kitab Fathul Mubin tersebut, pengarang juga ikut membicarakan, membuat ulasan serta mendalami masalah-masalah yang dibincangkan, dan hujjah-hujjah dikemukakan, lalu diolah dan dibicarakan semula secara terperinci dengan hal dan keadaan zaman kita sekarang.

Selain itu, tedapat banyak fakta-fakta penting yang menurut pengarang masih perlu dikaji terus oleh generasi masa kini dan masa depan dari kalangan pelajar pusat pengajian tinggi dan guru-guru yang ahli dalam bidang syariat untuk mencungkil hakikat hukum yang diperlukan sezaman.

Buku ini juga baik untuk dibaca guru agama yang mencari bimbingan terhadap beberapa permasalahan yang belum terhurai, dan oleh para pelajar yang hauskan pelajaran agama yang teliti dan mendalam. Banyak fakta-fakta yang ditonjolkan pengarang yang masih samar-samar lagi dalam bidang pengkajian hari ini, yang patut diteliti semula dan dibahaskan untuk mencari solusi dan penghuraiannya yang tepat dan jitu. 

Sumber:  Buku Kuliah Subuh pada membicarakan hadis 40, cetakan kesembilan 2003.

Monday, August 13, 2018

Fatwa Imam al-Nawawi


Buku “Fatwa Imam al-Nawawi” yang ingin dikongsi bersama pembaca ini adalah sebuah karya terjemahan bahasa Melayu bagi kitab  Fatawa al-Imam al-Nawawi (فتاوى الإمام النووي) , iaitu sebuah kitab yang menghimpunkan beberapa fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H).

Karya asal (edisi Arab) buku ini adalah disusun oleh salah seorang murid Imam al-Nawawi sendiri, iaitu Imam al-Hafizh 'Alauddin 'Ali bin Ibrahim Ibn al-'Aththar al-Dimasyqi (654-724H),  yang menunaikan baktinya buat gurunya sebagai janji setia kebaktian demi meneruskan jariah ilmu yang berkekalan.

Manakala bagi edisi terjemahan yang diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn. Bhd ( Cetakan 1-2018) ini pula diterjemahkan oleh Izham Hakimi bin Redzan, Ahmad Arif bin Zulkefli dan Ahmad Afiq Irshad bin Omar. Ketebalan buku ini merangkumi 304 halaman. 

Edisi terjemahan bahasa Melayu ini cuba untuk mendekatkan masyarakat kepada satu seni penulisan fatwa yang malar segar dan dipersembahkan dengan bahasa yang lebih mudah untuk dihadam kefahamannya.

Sunday, August 12, 2018

Asas-Asas Fiqah Untuk Orang Awam


Buku “Asas-Asas Fiqah Untuk Orang Awam”  adalah sebuah buku mengenai asas  fiqh (القواعد الفقهية) yang disusun oleh Ustaz Ahmad Sabiq Abdul Rahman. Buku ini merupakan karya terjemahan dan huraian (syarahan) bagi sebuah karya mengenai Asas fiqah yang berjudul al-Manzumah al-Sa’diyah di al-Qawa-‘id al-Fiqhiyyah (المنظومة السعدية في القواعد الفقهية), iaitu matan qawa’id fiqh yang disusun dalam bentuk manzumah (syair) oleh al-‘Allamah al-Syaikh Abdul Rahman bin Nashir ak-Sa’diy (1307-1376H), seorang ulama terkenal dari Arab Saudi.

Dalam buku ini terdapat 34 asas fiqh yang dihuraikan oleh penyusun buku ini secara ilmiah dengan penggunaan laras bahasa yang ringan, mudah difahami oleh segenap masyarakat tanpa mengira latar belakang pengajian.

Menurut penyusunnya, asal buku ini adalah gabungan daripada terjemahan nota-nota pengajian beliau di Universiti Islam Imam Muhammad bin Saud, Riyadh – serta tambahan dengan contoh-contoh semasa dan soalan-soalan yang sering ditanya – merangkumi semua aspek seperti ibadah, munakahat, kekeluargaan, muamalat dan jenayah.

Di akhir huraiannya, penyusun menyatakan bahawa masyarakat sering bertanya; “ Ustaz,apa hukum perbuatan ini? ”. Sewajarnya mereka patut bertanya; “ Ustaz, apa hukum perbuatan ini dan kenapa hukumnya begitu? ”.

Justeru, buku Asas-Asas Fiqah ini adalah sebuah karya yang membicarakan “kenapa hukumnya menjadi begini dan begitu”. Di situlah sedikit sebanyak hikmat dan objektif syariat dapat diserlahkan serta keindahannya dapat dirasai. Kita mengamalkan ilmu bukan sekadar ikut-ikutan sahaja, tetapi perlu tahu mengapa kita melakukan begini dan begitu. 

Semoga bermanfaat.

Wednesday, August 8, 2018

PATI MUNYATUL MUSOLLI


Kitab Pati Munyatul Musolli adalah sebuah karya fiqh yang secara khusus membicarakan ibadat sembahyang. Kitab ini disusun oleh Tuan Guru Haji Nik Abdullah bin Ahmad al-Jambuwi al-Fathani () sebagai ringkasan bagi kitab Munyatul Musollikarya al-‘Allamah Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani (1769-1847). Berdasarkan cetakan Mathba’ah Ben Halabi, Patani – ketebalan kitab ini merangkumi 76 halaman.

Sebenarnya kitab ini bukan sekadar ringkasan kitab Munyatul Musolli, bahkan juga merupakan penjelasan kepada beberapa ibarat kitab musolli yang agak susah difahami oleh generasi sekarang. Perkara ini dinyatakan oleh penyusunnya dalam muqaddimah kitab;

Kemudian sahabat saya yang sangat kasih minta saya hurai semula ibarat Musolli supaya mudah. Maka dicampak ke dalam hati saya bersetuju dengan pintaan itu kerana serata tempat kitab berkat ini ada mengajar dan mengaji di pondok-pondok,  juga di kampung-kampung tetapi mereka menyungut-nyungut musolli ini payah ”.

Seterusnya penyusun kitab menerangkan metode penyusunan kitab Pati Musolli ini, katanya;

Dengan itu qalam saya pun menulis mengikut bagaimana susunannya yang asal pada mendahulu dan kemudian dan setengah-setengah ibaratnya yang terang juga saya ikutkan (kekalkan) ”.

Kemudian penyusun menerangkan kelebihan karya beliau ini, katanya;

Tetapi Pati (Munyatul Musolli) ini mudah (difahami) tidak sangat berkehendak kepada tadah (belajar berguru), patut benar bagi orang-orang tua lelaki perempuan serupa, bagus benar bagi orang-orang pondok, terus kepada budak-budak. Cara baru susunannya, pertengahan ibaratnya ”.

Dari pembacaan saya terhadap kitab Pati Munyatul Mushalli ini, saya dapati keseluruhan isi kandungan utama (tajuk yang dibincangkan) dalam kitab Munyatul Musolli dikekalkan dalam kitab ini.

Manakala bagi tema akhir yang disebutkan dalam kitab ini yang berkaitan dengan jenis-jenis sembahyang sunat, penyusun telah menyebutkan 5 jenis sembahyang sahaja, iaitu sunat rawatib, sembahyang hari raya, sembahyang hajat, sembahyang terawih dan sembahyang  sunat mutlak. Sedangkan dalam kitab asalnya terdapat sebanyak 24 jenis sembahyang sunat.

Bagi sembahyang terawih, penyusun telah membuat penambahan huraian mengenai tatacara sembahyang terawih dan sembahyang witir, serta kaifiat bacaan selawat yang biasa dilakukan oleh umat Islam di negeri Jawi (Nusantara). Disebutkan juga doa selepas sembahyang terawih dan doa selepas sembahyang witir. 

Sekadar ini saja catatan saya mengenai kitab Pati Munyatul Musolli ini. Semoga bermanfaat.

Tuesday, August 7, 2018

Fiqh Solat (فقه الصلاة) : Memahami Ibadat Sembahyang


Kitab Fiqh Solat (فقه الصلاة)  : Memahami Ibadat Sembahyang - merupakan sebuah karya fiqh mengenai ibadat solat berdasarkan mazhab Syafi’i. Kitab ini disusun oleh Haji Engku Ali bin Engku Endut (Muhammad) al-‘Idrusi (). Kitab ini telah menjadi teks pengajian khusus mengenai sembahyang di masjid-masjid  di negeri Terengganu khususnya dan seluruh Malaysia umumnya.

Menurut penyusunnya, kitab ini pada asalnya dicadangkan atas nama روح الصلاة    (Jiwa Sembahyang), tetapi kemudiannya setelah hampir selesai penulisannya diubah kepada Fiqhus Shalah atas cadangan anaknya yang merasakan bahawa nama itu yang lebih tepat kerana isi kandungan merangkumi keseluruhan ibadat sembahyang, sama ada dari segi hukum hakamnya, falsafahnya, didikannya, zahir dan batinnya.

Kitab ini selesai disusun pada bulan Jun tahun 2000, dan telah diterbitkan banyak kali dengan tulisan Jawi. Pada tahun 2001, kitab ini telah dibuat beberapa tambahan, pembetulan dan penyusunan semula agar lebih teratur baik dan mudah difahami. Edisi baru ini kemudiannya telah diterbitkan dalam tulisan Jawi dan juga tulisan Rumi sebagai memperkenankan permintaan para pembaca yang kurang mahir membaca tulisan Jawi.

Sekadar maklumat yang diperolehi, kitab ini telah diterbitkan oleh Syarikat Jaffar Rawas  Sdn. Bhd. Kota Bharu, Kelantan dengan edisi Jawi dan Rumi. Berdasarkan kitab edisi Jawi cetakan ke 9, tahun 2015 ketebalan kitab ini merangkumi 657 halaman.

Kandungan kitab ini dimulai dengan “Pengenalan Ibadat Sembahyang” dan diakhiri pembicara mengenai “Sembahyang Mayat” yang diikut dengan huraian mengenai “ Talqin Mayat ”.

Kemudian dilampirkan pula keterangan ringkas mengenai;

a)     Sembahyang Sunat (12 halaman).
b)     Hubungan Asmaul Husna dengan sembahyang (5 halaman).
c)      Rampaian mengenai kesempurnaan sembahyang (7 halaman).

Pada tahun 2007, di akhir kitab ini ditambah lagi dengan satu lampiran baru, iaitu Ulangkaji (24 halaman). Di mana penyusun mengajak para pembaca memuhasabah diri dan membuat penilaian kembali tehadap amalan sembahyang masing-masing dari segi zahir dan batinnya. Adakah sembahyang yang telah dilakukan menepati tatacara yang telah diajar oleh Rasulullah saw, yang melayakkan kita mendapat kelebihan pahala dan manfaat yang dijanjikan oleh Allah SWT ?. 

Semoga bermanfaat.

Monday, August 6, 2018

RISALAH AL-TAWHID (رسالة التوحيد)

Kitab Risalah al-Tawhid (رسالة التوحيد) yang ingin dibicara di sini ialah sebuah kitab yang pernah digunakan sebagai salah satu daripada teks pengajian untuk sistem persekolahan agama Kerajaan Johor pada ketika dulu. Hingga kini ia masih menjadi teks pengajian akidah di masjid-masjid – bukan sahaja di Johor, bahkan tersebar luas ke negeri-negeri lain di Malaysia.

Kitab yang tersebar dalam masyarakat sekarang ialah sebuah kitab yang disusun oleh Haji Abdul Ghani Yahya dan Omar Yusof. Menurut penyusunnya kitab ini merupakan suntingan kepada terjemahan asal oleh Matan Yang Dipertua Jabatan Agama Johor Dato' Abdullah Abdul Rahman daripada sebuah kitab tauhid dari Mesir. Matlamat asal penyuntingan semula kitab ini oleh kedua-dua penyunting (penyusun) ialah untuk menambahbaikkan aspek bahasa Melayu dalam naskhah terjemahan asal yang telah digunakan sebagai silibus pengajaran dan pembelajaran tauhid sejak tahun 1907. Susunan (suntingan) baru telah diterbitkan pada 1953 sebagai membaiki jalan bahasa yang digunakan agar lebih mirip kepada lenggok bahasa Melayu dalam tulisan Jawi.

Kitab edisi Jawinya telah diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan antara Mathba'ah Muhammad al-Nahdi wa Awladih- Pulau Pinang dan Mathba'ah Ben Halabi - Pattani, Thailand.

Kini, kitab ini telah dialih tulisan daripada tulisan jawi ke tulisan rumi  dan telah diterbitkan oleh Al-Hidayah Publications  dan Syarikat Perniagaan Jahabersa - Johor.


Bagi maklumat lanjut mengenai kitab al-Tawhid ini, keterangan berikutnya adalah nukilan dari artikel susunan Dr Shafie Abu Bakar yang diambil dari pautan Risalah Al-Tauhid Jabatan Agama Islam Johor Diguna Meluas Ke Luar Johor

Negeri Johor adalah antara negeri yang mewujudkan sekolah agama sejak zaman sebelum kemerdekaan lagi, selepas negeri-negeri lain meniadakan sekolah agama (biasanya sebelah petang), kerana diintegrasikan dengan Sistem Kebangsaan, Johor masih mempertahankan sekolah agama sedemikian.

Bagi melaksanakan pengajian agama ini negeri-negeri mewujudkan kurikulum pengajian keagamaan masing-masing termasuklah Johor. Bagi pengajian akidah misalnya kitab  Risalah al-Tauhid adalah begitu terkenal dan turut digunakan di sekolah-sekolah agama di luar Johor. Walaupun sekolah-sekolah agama tidak ada lagi, tetapi kitab ini popular dan terus digunakan pada pengajian-pengajian tradisi dan keagamaan.

Kitab Risalah al-Tauhid dimaklumkan pada asalnya diterjemahkan (1325H./ 1907M.) oleh Al-Marhum Yang Berhormat Dato` Haji Abdullah bin Abdul Rahman Mantan Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Johor dari sebuah Kitab Tauhid Dalam Bahasa Arab yang kitab berkenaan adalah menjadi kitab yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Mesir menjadi kurikulum bagi pengajian akidah di sekolah-sekolah di Mesir.

Adalah didapati bahawa kitab yang telah diterjemahkan oleh Dato` Haji Abdullah bin Abdul Rahman itu, berasal dari karangan  di dalam bahasa `Arab itu ialah karangan  Syeikh Muhammad `Abduh (1849-1905), seorang tokoh intelektual Mesir dan pemimpin pembaharuan dunia Islam yang kesannya sampai ke Malaysia dan juga Indonesia.

Kitab Risalah Tauhid yang dikarang Syeikh Muhammad Abduh yang pernah diterjemahkan ke bahasa Indonesia oleh Kiyai Haji Firdaus dan diterbitkan Cetakan Pertama 1963 Bulan Bintang, Jakarta adalah panjang (264 hlm.). Dinyatakan bahawa terjemahan yang dilakukan oleh Dato` Hqji Abdullah bin Abdul Rahman pada peringkat awal adalah bersifat matan sahaja dan agak ringkas, lantaran itu pada (1345H./1926M.) beliau telah membuat syarah terhadap matan terjemahan asalnya dan dikenali dengan judul `Sharh al-Risalat al-Tauhidiyyah`. Kitab inilah dipersetujui oleh Jawatankuasa Penasihat Pelajaran Agama Islam Johor menjadi kitab bagi kurikulum akidah bagi sekolah-sekolah Agama Kerajaan Johor. Kitab ini disusun kembali dari segi bahasa dan pemudahfahaman permasalahan oleh Abdul Ghani Yahya dan Umar Yusuf sebagai edisi mutakhir yang telah diterbitkan sejak 1372H./1952M.

Memang jika dibandingkan dengan teks terjemahan Indonesia, maka kitab Al-Risalah al-Tauhid Johor adalah merupakan intisari dari kandungan kitab Risalah Tauhid yang asal karangan Muhammad `Abduh. Istimewanya Risalah al-Tauhid Johor, bahawa ianya disusun menurut pecahan-pecahan teratur yang memudahkan fahaman terutama bagi pelajar-pelajar yang baru mula untuk mempelajari ilmu akidah.

Walau bagimana melihat kepada kandungan Risalah al-Tauhid pada dasarnya adalah menurut pola-pola yang sama dengan kitab-kitab tauhid yang beraliran Sunni dari berbagai-bagai kitab yang telah dibicarakan.

Dari segi format dan pendekatan bahawa Risalah al-Tauhid (88 hlm.)  dipecahkan kepada  87 pecahan bertolak pembicaraan mengenai apa itu ilmu tauhid dan bermula dengan prinsip asal bagi ilmu tauhid ialah mengenai `Hukum Akal` dan pecahan-pecahannya, iaitu  wajib akli, mustahil akli dan harus akli.

Selepas membicarakan hukum akal dibicarakan  Bahagian Awal `Mengenal Tuhan dan Mengetahui sifat-sifatNya -  Sifat yang wajib, sifat mustahil dan harus diikuti dengan dalil-dalil akli dan naqli bagi sifat-sifat dua puluh.

Kemudian diikuti pembahagian sifat dua puluh kepada kelompok nafsiyyah, salbiyyah, ma`ani dan ma`nawiyyah dan kemudian dibicarakan tentang ta`alluq bagi sifat ma`ani. Kemudian dihuraikan mengenai konsep Uluhiyyah dan konsep Istighna` dan iftiqar.

Pada bahagian Kedua dibicarakan tentang Rasul, bermula dengan pengenalan rasul, siapa itu nabi dan siapa rasul, hikmah diutuskan rasul, kepercayaan terhadap rasul, bilangan nabi dan rasul dan kategori-kategori mereka. Seterusnya dibicarakan tentang sifat-sifat yang wajib bagi Rasul, mustahil dan harus.

Kitab Risalah al-Tauhid membicarakan kesemua yang berkait dengan rukun iman yang enam.  Walau bagaimana tumpuan utama pembicaraan ialah terhadap Allah dan Rasul. Selepas tumpuan utama dibicarakan tentang ketuhanan dan kerasulan dibicarakan tentang:

a)      Percayakan kepada kitab dengan jumlah kitab diturunkan. Keistimewaan Al-Qur`an.
b)      Kepercayaan kepada mala`ikat
c)       Kepercayaan terhadap hari kiamat
d)      Soal Munkar dan Nakir
e)      Syurga dan neraka
f)       Kepercayaan terhadap qada` dan qadar

Persoalan-persoalan di atas dianggap sebagai pecahan dari kepercayaan terhadap Allah dan Rasul yang terkumpul di bawah dua Kalimah Shahadah yang dianggap induk utama bagi bidang akidah.

Lantaran itu pembicaraan ditutup dengan `aqa`id yang terkandung di bawah dua kalimah shahadah `La ilah illa Allah Muhammad Rasul Allah`. Dengan demikian lengkaplah perbicaraan berkenaan dengan aqa`id di bawah dua kalimah shahadah di dalam Risalah Tauhid

Sebagaimana dibicarakan kandungan pembicaraan adalah mengikut pola pembicaraan kitab-kitab akidah  Sunni yang lain. Tapi yang istimewa kitab ini disusun dengan cara teratur yang memudahkan pembelajaran dan kefahaman.

Kitab ini terus releven dipelajari baik pada peringkat sekolah, maupun pada pengajian seperti masjid-surau dan pengajian-pengajian yang lain. Sekian. 

Semoga bermanfaat.


al-Hawasyi al-Madaniyyah 'ala al-Manhaj al-Qawim (الحواشي المدنية على المنهح القويم)


Kitab al-Hawasyi al-Madaniyyah ‘ala al-Manhaj al-Qawim (الحواشي المدنية على المنهح القويم) adalah sebuah karya fiqh dalam mazhab Syafi’i, yang disusun oleh al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi al-Madani al-Syafi’i (1127-1194H).

Kitab ini disusun sebagai hasyiah (komentar) bagi kitab al-Manhaj al-Qawim Syarh Masa-il al-Ta’lim (المنهج القويم شرح مسائل التعليم), iaitu sebuah karya al-Imam Ahmad Ibn Hajar al-Haytami (909-973/974H). Sedangkan kitab al-Manhaj al-Qawim pula merupakan kitab syarah (huraian) bagi kitab  Masa-il al-Ta’lim (مسائل التعليم), karya l-Imam Jamaluddin Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhal al-Sa’di al-Hadhrami (850-918H).

Di kalangan ulama mazhab Syafi’i, kitab al-Hawasyi al-Madaniyyah ini juga dikenali dengan judul yang lain, iaitu;

a) al-Hawasyi al-Madaniyyah ‘ala Syarh al-Muqaddimah al-Hadharamiyyah (الحواشي المدنية على شرح المقدمة الحضرمي)
b)    Hasyiah al-Kurdi ‘ala al-Manhaj al-Qawim (حاشية الكردي على المنهج القويم).
c)    Hasyiah al-Shughra ‘ala al-Manhaj al-Qawim  (حاشية الصغرى على المنهج القويم).

Selain kitab al-Hawasyi al-Madaniyyah ini, al-‘Allamah al-Kurdi juga mempunyai hasyiah lain yang lebih tebal  (lebih banyak halamannya). Kitab yang kedua ini dikenali sebagai Hasyiah al-Kubra (الحاشية الكبرى) atau judul asalnya al-Mawahib al-Madaniyyah 'ala Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah.

Berdasarkan terbitan Darul Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan 2012 – kitab ini diterbitkan dalam 2 jilid. Kitab al-Hawasyi al-Madaniyyah (versi lama) boleh dimuat turun di pautan http://al-mostafa.info/data/arabic/depot3/gap.php?file=i000408.pdf

Semoga bermanfaat.

Sunday, August 5, 2018

Senjata Tok Haji Dan Tok Lebai


Kitab Senjata Tok Haji Dan Tok Lebai adalah sebuah kitab Jawi karya Syaikh Abdul Qadir bin Abdul Muttalib bin Hasan al-Mandili al-Indonesi (lahir di Tapanuli Selatan, 31 Disember 1910 – meninggal di Makkah, 31 Disember 1965 pada umur 55 tahun), seorang ulama dari Nusantara yang mengajar di Masjidil Haram, Makkah. Kitab ini selesai disusun pada 10  bulan Ramadan 1368 H bersamaan 6 Julai 1949 M. Kitab ini telah dicetak oleh al-Thiba’ah al-Marbawiyah, Kaherah pada tahun 1955 M/1375 H.

Tujuan penyusunan kitab ini disebutkan oleh Syaikh Abdul Qadir al-Mandili dalam muqaddimahnya;

Maka sungguhnya telah menyuruh akan hamba beberapa orang daripada saudara-saudara yang baik sangka dengan hamba bahawa hamba tulis bagi mereka itu doa sembahyang dan kenduri dan khutbah Jumaat dan wirid-wirid dan lain-lainnya. Maka kerana tiada dapat hamba menyalahi suruhan mereka itu terpaksalah hamba menulis dan menghimpunkan akan ini risalah yang kecil yang mengandungi ia akan permintaan mereka itu sekalipun hamba tiada ahli bagi yang demikian dan hamba namakan dengan ini risalah dengan ‘Senjata Tok Haji Dan Tok Lebai’ dan hamba pohonkan akan Allah Subahanahu Wa Ta’ala bahawa ada ia ikhlas bagi ‘wajah-Nya’ yang mulia dan memberi manfaat ia bagi hamba dan bagi saudara-saudara yang muslimin.

Di antara kandungan kitab ini ada disebutkan secara ringkas di bahagian hadapan kitab, iaitu;

Yang mengandungi akan wirid-wirid sembahyang dan doa kemudian daripada sembahyang, dan bacaan-bacaan pada ketika kenduri dan doanya, dan kaifiat baca Yasin empat puluh satu dan doanya, dan talkin mayat, dan kaifiat sembahyang terawih dan witir, dan khutbah Jumaat, dan khutbah nikah, dan khutbah hari raya, dan al-Wirid al-Lathif, dan beberapa banyak zikir dan doa dan istighfar dan selawat lain-lainnya

Kandungan kitab ini dimulai dengan “ Ini beberapa wirid yang sayugia dibaca kemudian daripada sembahyang, kerana ia setengah daripada zikir yang ma’tsur, ertinya yang dipindahkan dari Nabi saw

Manakala kandungan terakhir kitab ini adalah contoh khutbah Hari Raya Haji dan Hari Raya Fitrah. Kata penyusun; “ Tamat khutbah yang kedua bagi Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Haji ”.

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan Senjata Tok Haji Dan Tok LebaiSemoga bermanfaat.

Saturday, August 4, 2018

AL-MAWA'IZ FI AL-AHADITS AL-QUDSIYYAH (المواعظ في الأحاديث القدسية)


Kitab al-Mawa’iz Fi al-Ahadits al-Qudsiyyah (المواعظ في الأحاديث القدسية) adalah sebuah karya Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (450-505H).

Kandungan kitab ini mengemukakan 38 maw-‘izah (pengajaran / nasihat) yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali sebagai Hadits al-Qudsi. Namun begitu, hadis-hadis yang disebutkan sebagai hadis Qudsi ini tidak diberikan sanad dan tidak pula disebutkan sumbernya, sama ada kitab-kitab Hadits Kutub al-Sittah (kitab-kitab hadis oleh 6 Imam yang masyhur) atau selainnya. Bahkan dalam kitab ini, Imam al-Ghazali menggunakan sandaran terus kepada Allah SWT dengan menggunakan rangkai kata; “ Berfirman Allah Ta’ala”   (يقول الله تعالى).

Menurut al-Fadhil Ustaz Abdullah al-Qari dalam pendahuluan terjemahan kitab ini dalam bahasa Melayu;

Setelah membuat sedikit kajian, kami mendapati sebahagian kecil isi nasihat yang berupa hadits Qudsi tadi adalah terdapat sedikit persamaannya dengan sebahagian hadits Qudsi yang terdapat dalam sebahagian kitab-kitab Sunan, manakala yang lainnya diambil atau ada persamaan dengan ayat-ayat suci al-Quran.

Namun begitu, ianya lebih merupakan nasihat-nasihat yang bertaburan daripada isi kitab al-Zabur dan al-Tauraah yang menjadi warisan orang-orang Bani Israil. Ini terbukti, antara lain dia menggunakan kata-kata;  يابن آدم , ياأيها الناس , ياموسى بن عمران .

Berdasarkan kitab yang ditahkik oleh Dr. Abdul Hamid Solih Hamdan dan diterbitkan oleh Darul Mishriyyah al-Lubnaniyyah, dengan cetakan pertamanya - tebal kitab ini adalah 88 halaman.

Kandungan kitab al-Mawa’iz Fi al-Ahadits al-Qudsiyyah ini boleh dibaca di pautan   http://www.khatmiya.com/vb/showthread.php?t=5840


Terjemahan kitab ini..

Dalam koleksi saya ada sebuah edisi terjemahan kitab al-Mawa’iz Fi al-Ahadits al-Qudsiyyah ini. Buku yang berjudul “ 529 Pengajaran Samaawi Penggerak ‘Amal ” ini merupakan sebuah karya terjemahan oleh al-Fadhil Ustaz Abdullah Al-Qari bin Hj Salleh. Terjemahan ini berdasarkan kitab edisi Arab yang ditahkik oleh Dr. Abdul Hamid Solih Hamdan dan diterbitkan oleh Darul Mishriyyah al-Lubnaniyyah (cetakan 1).

Buku setebal 82 halaman ini, diterbitkan sendiri oleh penterjemahnya melalui syarikat penerbitannya Pustaka Angkatan Sayap Islam (ASA), Kubang Kerian, Kelantan dengan cetakan pertama tahun 1992.

Sekadar pengamatan saya, buku ini mungkin belum diterbitkan kembali oleh penterjemahnya atau mana-mana syarikat penerbitan lain.  Semoga bermanfaat.