Saturday, December 28, 2019

Misykāt al-Mishbāh fī Syarh al-ʻUddah wa al-Silāh fī Ahkām al-Nikāh


Kitab Misykāt al-Mishbāh fī Syarh al-ʻUddah wa al-Silāh fī Ahkām al-Nikāh (مشكاه المصباح في شرح العدة والسلاح في أحكام النكاح) merupakan sebuah kitab fiqh yang menerangkan secara khusus mengenai hukum-hukum perkahwinan dalam Islam berdasarkan mazhab Syafi’i.

Kitab  Misykat al-Mishbah ini disusun oleh al-Imam Taqiyuddin Abdullah bin ‘Umar Makhramah  (907-972H) sebagai huraian bagi kitab al-‘Uddah wa al-Silah fi Ahkam al-Nikah (العدة والسلاح في أحكام النكاح), iaitu sebuah karya fiqh ringkas yang disusun oleh  al-Imam Muhammad bin Ahmad bin Abdullah Bafadhal al-Hadhrami al-Tarimi al-‘Adani (840-903H).

Kitab Misykat al-Mishbah kemudiannya telah dberikan hasyiah (komentar) oleh Syaikh Muhammad Salim bin Hafizh bin Abdullah bin Abu Bakr bin ‘Aydrus al-‘Alawi al-Husani (), melalui karyanya yang berjudul al-Naqul al-Shahhah ‘ala Misykat al-Mishbah.

Manuskrip kitab Misykat al-Mishbah pula boleh dimuat turun di pautan مشكاه المصباح. Semoga bermanfaat.

Manzhumah Dhaw’ al-Mishbah fi Ahkam al-Nikah


Kitab Manzhumah Dhaw’ al-Mishbah fi Ahkam al-Nikah (منظومة ضوء المصباح في أحكام النِّكاح) merupakan sebuah kitab fiqh yang menerangkan secara khusus mengenai hukum-hukum perkahwinan dalam Islam berdasarkan mazhab Syafi’i. Kitab fiqh ini disusun dalam bentuk nazam oleh al-Imam al-‘Allamah Abdullah bin Ahmad Ba Sudan al-Hadhrami al-Syafi’i (1178-1266H). Matan fiqh yang disusun sebanyak 91 bait ini terkenal di kalangan ulama di Hadhramaut, Yaman. Di mana kitab ini dipelajari dan dihafaz oleh para pelajar di sekolah-sekolah mereka.

Kitab Dhaw’ al-Mishbah fi Ahkam al-Nikah ini telah diberikan huraiannya oleh Imam al-‘Allamah Abdullah bin Ahmad Ba Sudan sendiri melalui karya beliau yang berjudul Zaitunah al-Ilqah Syarh Manzhumah Dhaw’ al-Mishbah fi Ahkam al-Nikah (زيتونة الإلقاح شرح منظومة ضوء المصباح في أحكام النِّكاح).

Kitab Zaitunah al-Ilqah ini telah diberikan hasyiah oleh Syaikh Soleh bin Muhammad al-Asmari (1390H-) melalui karyanya yang berjudul Hasyiah ‘ala Syarh Ba Sudan li Manzhumah al-Nikah[1].

Selain huraian yang diberikan oleh al-‘Allamah Abdullah Ba Sudan, kitab Dhaw’ al-Mishbah juga telah diberikan huraian oleh al-‘Allamah Syaikh Ibrahim al-Bajuri (1276H) melalui karyanya yang berjudul Manh al-Fattah ‘ala  Dhaw’ al-Mishbah.

Matan kitab Daw' al-Mishbah ini boleh dibaca dipautan http://alantologia.com/page/11039/.

Semoga bermanfaat



[1] Oleh kerana pengarang, Syaikh Soleh adalah bermazhab Hanbali, beliau telah memberikan hasyiah (komentar)nya berdasarkan mazhab Hanbali.

Friday, December 27, 2019

Tatimmah al-Tatimmah (تتمة التتمة)


Kitab Tatimmah al-Tatimmah (تتمة التتمة) adalah sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Muntajibuddin Abu al-Futuh, As’ad bin Mahmud bin Khalaf al-‘Ijliy al-Ashbahani (515-600H).

Kitab ini disusun bagi menyempurnakan kitab Tatimmah al-Ibanah fi Fiqh al-Syafi’i (تتمة الإبانة في الفقه الشافعي), iaitu sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i karya al-Imam Abu Sa'id Abdul Rahman bin Ma’mun al-Mutawali al-Naisaburi (478H). Di mana Imam Abu Sa’id al-Mutawali tidak sempat menyempurnakan penyusunan kitab Tatimmah al-Ibanah, beliau hanya sempat disiapkan setakat perbincangan mengenai Kitab al-Hudud dalam bab al-Saraqah (Mencuri).

Kitab Tatimmah al-Ibanah atau terkenal dengan judul ringkasnya al-Tatimmah (التتمة) disusun oleh Imam al-Mutawali sebagai ringkasan bagi sebuah karya gurunya al-Imam Abu al-Qasim Abdul Rahman bin Muhammad Ahmad bin Fawran al-Fawrani (461H), yang berjudul al-Ibanah ‘an Ahkam Furu’ al-Diayanah (الإبانة عن أحكاِم فروع الديانة).

Sebenarnya kitab Tatimmah al-Ibanah ini bukanlah sekadar ringkasan kitab al-Ibanah, kerana selain meringkas kandungan kitab al-Ibanah, Imam al-Mutawali telah membuat penambahan beberapa permasalahan hukum yang tidak terdapat dalam kitab asalnya. Penambahan ini dilakukan sebagai melengkapkan lagi kandungan kitab al-Ibanah, sehingga Imam al-Mutawali menamakan karya beliau ini sebagai Tatimmah al-Ibanah (Pelengkap kitab al-Ibanah).

Semoga bermanfaat.

Friday, December 13, 2019

‘Umdah al-‘Awam fi Syarh Faidh al-Malik al-‘Allam


Kitab ‘Umdah al-‘Awam fi Syarh  Faidh al-Malik al-‘Allam (عمده العوام في شرح فيض الملك العلام) merupakan sebuah kitab yang menerangkan mengenai tatacara ibadat haji dan umrah berdasarkan mazhab Syafi’i.

Kitab ini disusun oleh al-‘Allamah Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani al-Jawi (1230-1314H) sebagai huraian (syarah) bagi karya al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim al-Rayyis (1187-1240H), yang berjudul Faidh al-Malik al-‘Allam (فيض الله الملك العلام).

Selain kitab Umdah al-‘Awam ini, terdapat sebuah karya lain yang juga menghuraikan kitab Faidh al-Malik al-‘Allam, iaitu kitab Irsyad al-Anam ila Syarh Faidh al-Malik al-‘Allam  (إرشاد الأنام إلى شرح فيض الله الملك العلام), yang disusun al-'Allamah al-Sayyid Yusuf bin Muhammad bin Yahya bin Abu Bakr bin Ali al-Baththah al-Ahdal al-Husaini al-Zabidi (1246H). Beliau merupakan murid kepada Allamah al-Syaikh Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim al-Rayyis, iaitu penyusun kitab Faidh al-Malik al-‘Allam.

Kitab ‘Umdah al-‘Awam boleh dimuat turun di pautan عمده العوام في شرح فيض الملك العلام , Manakala manuskrip kitab Faidh al-Malik al-'Allam di pautan فيض الله الملك العلام   dan kitab Irsyad al-Anam ini di pautan إرشاد الأنام إلى شرح فيض الله الملك العلام.

Semoga bermanfaat.

Tuesday, December 10, 2019

Tahzib al-Ushul (تهذيب الاصول)


Kitab Tahzib al-Ushul (تهذيب الاصول) adalah antara karya dalam bidang usul fiqh yang disusun oleh Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (450-505H). Dikatakan kandungan kitab Tahzib al-Ushul ini sangat luas perbincangannya.

Imam al-Ghazali kemudiannya telah meringkaskan kandungan kitab ini melalui karya beliau yang berjudul al-Mustashfa Min ‘Ilm al-Ushul (المستصفى من علم الأصول).

Dalam muqaddimah kitab al-Mustashfa, Imam al-Ghazali menyatakan faktor yang mendorong beliau menulis dan menyusun kitab al-Mustashfa adalah kerana menyahut permintaan para murid beliau agar disusun sebuah kitab usul fiqh yang sederhana tebalnya, berbanding karya beliau yang terdahulu iaitu kitab Tahzib al-Ushul.

Sekadar ini sahaja maklumat yang diperolehi mengenai kitab Tahzib al-Ushul ini. Tiada maklumat yang diperolehi mengenai cetakan kitab ini. Tidak pasti adakah manuskrip kitab ini masih ada tersimpan di mana-mana perpustakaan di dunia atau telah hilang ditelan zaman. Wallahu a’lam.