Thursday, January 28, 2021

Wujub Takhmis al-Ghanimah wa Qismah Baqiha

Kitab Wujub Takhmis al-Ghanimah wa Qismah Baqiha (وجوب تخميس الغنيمة وقسمة باقيها) merupakan sebuah karya yang agak kecil yang disusun oleh al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H).

Kitab ini disusun oleh Imam al-Nawawi sebagai jawapan kepada permasalahan yang ditanya kepada beliau mengenai hukum mengambil harta ghanimah alih (الغنيمة المنقولة) seperti hamba perempuan, kanak-kanak, binatang ternakan dan peralatan asas sebelum dilakukan pembahagian yang sepatutnya.

Secara umumnya kandungan kitab ini menerangkan kewajipan pembahagian harta ghanimah alih (الغنيمة المنقولة) sebanyak 1/5 kepada 6 golongan yang ditetapkan syarak dan bakinya sebanyak 4/5 kepada para tentera Islam, sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat 41, surah al-Anfal yang bermaksud;

Dan ketahuilah, Bahawa apa sahaja Yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka Sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir Yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa Yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada "Hari Al-Furqaan", Iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Dalam kitab ini disebutkan hadis-hadis yang berkaitan dan dibawakan pandangan para ulama mazhab Syafi’i mengenai permasalahan pembahagian ghanimah tersebut. Di samping itu, dalan kitab ini juga Imam al-Nawawi mengemukakan hujah beliau bagi menolak pandangan mereka yang mengharuskan pengambilan  harta ghanimah alih ini sebelum pembahagiannya.

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan https://ebook.univeyes.com/?download_books=128412-2705c26cf6545a8f695ebbe4b29c118e.

Semoga bermanfaat

Wednesday, January 27, 2021

al-Durrah al-Yatimah Syarh al-Subhah al-Tsaminah Nazm al-Safinah

Kitab al-Durrah al-Yatimah Syarh al-Subhah al-Tsaminah Nazm al-Safinah  (الدرة اليتيمة شرح السبحة الثمينة نظم السفينة) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Syeikh Muhammad bin Ali Muhammad Ba ‘Athiyyah al-Du’ani ().

Kitab al-Durrah al-Yatimah ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi sebuah nazam fiqh yang disusun Sayyid al-‘Allamah Ahmad Masyhur bin Thaha al-Haddad (1416H) yang berjudul al-Subhah al-Tsaminah (السبحة الثمينة). Manakala nazam al-Subhah al-Tsaminah pula disusun berdasarkan kitab Safinah al-Najah (سفينة النجاة فيما يجب على العبد لمولاه), iaitu matan fiqh yang disusun oleh al-‘Allamah Syaikh Salim bin Abdullah bin Sa’ad bin Sumair al-Hadhrami ().

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan الدرة اليتيمة شرح السبحة الثمينة نظم السفينةManakala matan nazam al-Sabhah al-Tsaminah boleh muat turun di pautan  السبحة الثمينة.

Semoga bermanfaat.

Saturday, January 23, 2021

Manahij al-Imdad Syarh Irsyad al-‘Ibad

Kitab Manahij al-Imdad Syarh Irsyad al-‘Ibad (مناهج الإمداد شرح إرشاد العباد) adalah sebuah karya al-‘Allamah Syaikh Ihsan bin Muhammad Dahlan al-Jamfasi al-Kediri al-Jawi (1372H) seorang ulama yang terkenal dari Indonesia. Di antara karya beliau yang lain ialah kitab Siraj al-Thalibin Syarh ‘ala Minhaj al-‘Abidin Ila Jannat Rabb al-‘Alamin Syarh ‘ala Minhaj al-‘Abidin Ila Jannat Rabb al-‘Alamin (سراج الطالبين شرح على منهاج العابدين إلى جنة رب العالمين.

Syaikh Ihsan al-Jampasi menyusun kitab Manahij al-Imdad ini sebagai huraian (syarah) bagi kitab Irsyad al-'Ibad ila Sabil al-Rasyad (إرشاد العباد إلى سبيل الرشاد), iaitu sebuah karya Syaikh Zaynuddin Ahmad bin Abdul Aziz bin Zaynuddin bin ‘Ali al-Ma’bari al-Malibari al-Fanani (987H).

Berdasarkan kitab yang telah diterbitkan, ia telah dicetak dalam dua jilid. Semoga bermanfaat. 

Thursday, January 7, 2021

Kasyifah al-Saja Fi Syarh Safinah al-Naja

Kitab Kasyifah al-Saja Fi Syarh Safinah al-Naja (كاشفة السجا في شرح سفينة النجا) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Syeikh al-Imam al-'Alim Abu Abd al-Mu'thi Muhammad Nawawi bin Umar al-Jawi, atau yang lebih dikenal dengan nama Syeikh Nawawi bin Umar al-Jawi al-Bantani (1230 – 1314H). Beliau  merupakan seorang ulama Melayu (Jawi) dari Jawa Barat, Indonesia yang terkenal sebagai tokoh ulama mazhab Syafi’i di Makkah pada zamannya.

Kitab Kasyifah al-Saja ini disusun oleh Syeikh Muhammad Nawawi al-Jawi sebagai huraian (syarah) bagi Safinah al-Naja fi Ushul al-Din wa al-Fiqh ( سفينة النجا في اصول الدين والفقه ), iaitu sebuah karya Syeikh al-'Alim al-Fadhl Salim bin Samir al-Hadhrami ().

Kitab ini merupakan di antara huraian kitab Safinah al-Naja yang terawal dan agak tebal. Berdasarkan kitab yang ditahkik oleh Bassam Abdul Wahhab al-Jabi  dan diterbitkan Dar Ibn Hazm –dengan isi kandungan merangkumi  adalah 575 halaman.

Dalam pendahuluan kitab ini, Syeikh Muhammad menyebutkan; “ Dalam syarah ini, aku menerangkan isi kitab Safinah al-Naja dalam bentuk susunan yang terdiri dari fasal-fasal dan lain-lainnya (spt; tanbih, far’un, faedah, khotimah, dll) dengan tujuan mengikuti [bentuk susunan] al-Quran yang juga diterangkan dan ditampilkan dalam bentuk fasal dan surat demi surat dan dengan tujuan agar lebih mudah untuk dipelajari dan dipahami. Aku memasukkan fasal puasa di dalam kitab syarah-ku ini, in syaa Allah, agar lebih memberikan tambahan manfaat kepada orang-orang awam. Aku menyusun syarah kitab Safinah an-Naja ini dengan perantara pertolongan Allah Yang Maha Merajai dan Mengetahui. Aku menyusunnya dengan bentuk susunan sebagaimana umumnya, yakni, seperti susunan sebuah kitab matan dengan kitab syarahnya dari segi hubungannya, agar bentuk cabang sesuai dengan bentuk asalnya, karena syarat tabik atau sesuatu yang mengiringi harus sesuai dengan matbuk atau sesuatu yang diiringi ”.

Kitab Kasyifah al-Saja ini boleh dimuat turun di pautan كاشفة السجا في شرح سفينة النجا)Manakala Terjemahan kitab Kasyifah al-Saja dalam bahasa Melayu (Indonesia) boleh dimuat turun di pautan Jilid 1Jilid 2,  Jilid 3.

Semoga bermanfaat.

Wednesday, January 6, 2021

Tanwir al-Hija Nazhm Safinah al-Naja

Kitab Tanwir al-Hija Nahm Safinah al-Naja (تنوير الحجا نظم سفينة النجا) merupakan sebuah karya  fiqh mazhab Syafi’i yang disusun dalam bentuk nazam. 

Kitab ini disusun oleh Syeikh al-‘Allamah Ahmad bin Shiddiq bin Abdullah al-Lasemi al-Fasuruani al-Jawi berdasarkan kitab Safinah al-Naja (سفينة النجا), iaitu sebuah matan fiqh yang disusun oleh Syeikh Salim bin Abdullah bin Sa'd bin Samir al-Hadhrami al-Syafi’i (1271H). Nazam ini selesai disusun pada tahun 1343H.

Dalam menyusun kitab ini Syeikh Ahmad al-Fasuruani telah membuat beberapa penambahan yang bermanfaat. Beliau telah memulai kitab ini dengan muqaddimah ilmu Tauhid dan diikuti di akhir kitab dengan bab puasa, haji, umrah dan ditutup dengan beberapa nasihat.

Kitab Tanwir al-Hija ini telah diberikan huraian (syarah) oleh Syeikh Muhammad bin Ali bin Husain al-Maliki al-Makki (1287-1368H), iaitu  seorang ulama dan mufti mazhab Maliki di Makkah al-Mukarramah - yang sangat ahli dalam berbagai ilmu agama, melalui karyanya yang berjudul Inarah al-Duja Syarh ‘ala  Tanwir al-Hija Syarh Safinah al-Naja (انارة الدجى شرح على تنوير الحجا نظم سفينة النجا).

Kitab Tanwir al-Hija boleh dimuat turun di pautan https://drive.google.com/file/d/0B1IHCzo63G05VmMyc2QzdXFpa3c/view?usp=drivesdk

Semoga bermanfaat.

Monday, January 4, 2021

al-Ihathah bi Ahamm Masa’il al-Hidh wa al-Nifas wa al-Istihadhah

Kitab al-Ihathah bi Ahamm Masa’il al-Hidh wa al-Nifas wa al-Istihadhah (الإحاطة بأهم مسائل الحيض والنفاس والاستحاض) merupakan sebuah karya fiqh disusun oleh Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki ().

Kitab  ini disusun secara khusus membahaskan berkenaan persoalan-persoalan berkaitan haid, nifas dan istihadah serta hukum hakam yang dengannya - merangkumi hukum taharah, sembahyang, puasa, tawaf, membaca  al-Quran, talak, pergaulan suami isteri dan sebagainya.

Kitab ini sangat perlu dibaca dan dipelajari kerana persoalan darah wanita adalah persoalan yang amat penting kerana ia membabitkan keabsahan ibadat utama yang dilakukan seperti solat dan puasa. Kejahilan seorang wanita tentang hukum-hukum yang berkaitan darah yang dilaluinya akan menyebabkan kedudukan ibadatnya tidak menentu sama ada sah atau tidak, dan apatah lagi mendapat penerimaan di sisi Allah S.W.T.

Perbincangan isi kandungan kitab ini adalah berdasarkan pandangan mazhab Syafi’i, namun begitu pandangan para ulama mazhab lain juga turut dikemukakan sebagai perbandingan.

Kitab ini telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu dengan judul Hukum & Persoalan Darah-Darah Haid, Nifas Dan Istihadah oleh al-Fadhil Ustaz Muhammad Ramzi Omar dan diterbitkan  oleh Sinar Media Services pada tahun 2007 dengan  151 halaman.

Semoga bermanfaat.


Nasiim al-Hayah Syarh Safinah al-Najah

Kitab Nasiim al-Hayah Syarh Safinah al-Najah ( نسيم الحياة شرح سفينة النجاة ) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i. Ia disusun oleh  Syeikh al-‘Allamah al-Faqih al-Qadhi Abdullah bin ‘Awad bin Mubarak Bukair, seorang ulama kenamaan yang ahli dalam bidang fiqah di Hadramaut Yaman. Beliau di­lahirkan di desa Ghail Bawazir tahun 1314H (1897M). Sejak kecil beliau sangat gemar mendalami ilmu syari'at dari berbagai ulama di antaranya adalah al-Imam Habib Ali bin Muhammad al-Habsyi, Syeikh Umar bin Mubarak Badubbah, Syeikh Umar bin Salim Bawazir dan lain-lain. Setelah tersebar keilmuannya, beliau menjadi qadhi di Mukalla sejak tahun 1351 H (1933 M) hingga tahun 1386 H (1967 M). Syeikh Abdullah meninggal dunia pada tahun 1399 H (1979 M) di kota Mukalla setelah memberikan pengabdiannya yang tulus kepada umat Islam.

Kitab Nasiim al-Hayah ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab Safinah al-Najah (سفينة النجاة), iaitu sebuah matan fiqh yang disusun oleh Syeikh Salim bin Abdullah bin Sa'd bin Samir al-Hadhrami al-Syafi’i (1271H).

Semoga bermanfaat.


Friday, January 1, 2021

Inarah al-Duja Syarh ‘ala Tanwir al-Hija


Kitab Inarah al-Duja Syarh ‘ala  Tanwir al-Hija Syarh Safinah al-Naja (انارة الدجى شرح على تنوير الحجا نظم سفينة النجا) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang unik kerana ia disusun oleh Syeikh Muhammad bin Ali bin Husain al-Maliki, iaitu  seorang ulama mazhab Maliki yang sangat ahli dalam berbagai ilmu agama. Beliau juga sangat ter­pandang dalam bidang ilmu bahasa dan sastra Arab. Beliau dilahirkan di Makkah pada tahun 1287 H/1870 M) dan meninggal dunia tahun 1368 H (1948 M). Puncak kemasyhurannya adalah ketika beliau diangkat sebagai Mufti Mazhab Maliki di kota suci Makkah a1-Mu­karramah.

Kitab Inarah al-Duja ini disusun oleh Syeikh Muhammad Ali al-Maliki sebagai huraian (syarah) bagi kitab  Tanwir al-Hija Nazhm Safinah al-Naja (تنوير الحجا نظم سفينة النجا), iaitu sebuah karya  fiqh dalam bentuk nazam yang disusun oleh Syeikh al-'Allamah Ahmad bin Shiddiq al-Lasemi al-Fasuruani berdasarkan kitab Safinah al-Naja (سفينة النجا). Oleh itu, secara tidak langsung kitab Inarah al-Duja ini merupakan huraian bagi kitab Safinah al-Naja, yang asalnya disusun oleh Syeikh Salim bin Abdullah bin Sa'd bin Samir al-Hadhrami al-Syafi’i (1271H)

Menurut Syeikh Muhammad Ali al-Maliki,  nazam Safinah al-Naja berjudul Tanwir al-Hija ini telah menjadi hafalan di kalangan kanak-kanak dan para pelajar bangsa Melayu (Jawi). Beliau telah diminta oleh penyusun nazam (Syeikh Ahmad al-Fasirwani) agar menyusun sebuah huraian (syarah) bagi nazam tersebut sebagai penjelasan yang bermanfaat bagi para pelajar permulaan (mubtadi’). Judul asal yang diberikan oleh beliau bagi huraian ini ialah Inarah al-Duja bi Tanwir al-Hija bi Nazhm Safinah al-Naja (انارة الدجى بتنوير الحجا بنظم سفينة النجا).

Sekadar maklumat yang diperolehi kitab Inarah al-Duja ini pernah dicetak dengan cetakan kali keduanya pada tahun 1959 di Mesir oleh Syarikat wa Matba`at Mustafa Baba al-Halabi.

Semoga bermanfaat.