Monday, October 29, 2018

Minhah al-Wahhab bi Nazhm Tahrir Tanqih al-Lubab (منحة الوهاب بنظم تنقيح تحرير اللباب)


Kitab Minhah al-Wahhab bi Nazhm Tahrir Tanqih al-Lubab (منحة الوهاب بنظم تنقيح تحرير اللباب), merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-‘Allamah Sayyid Abu Bakr bin Abu al-Qasim bin Ahmad bin Muhammad al-Ahdal al-Husaini al-Yamani (984-1035H).

Kitab ini disusun dalam bentuk nazam yang melebihi 4 ribut bait berdasarkan kitab Tahrir Tanqih al-Lubab (تحربر تنقيه اللباب), iaitu karya Syaikh al-Islam, al-Qadhi Zaynuddin Abu Yahya Zakariya bin Muhammad bin Ahmad al-Anshari al-Sunaiki al-Mishri (823-926H).

Sayyid Abu Bakr al-Ahdal kemudiannya telah meringkaskan pula kitab Manhah al-Wahhab ini melalui sebuah karya beliau yang berjudul Nafhah al-‘Abir fi Nazhm al-Tahrir (نفحة العبير في نظم التحرير).

Manuskrip kitab Manhah al-Wahhab boleh dimuat turun di pautan منحة الوهاب بنظم تنقيح تحرير اللباب

Semoga bermanfaat.

al-‘Uddah Syarh al-Ibanah (العدة شرح الإبانة)


Kitab al-‘Uddah Syarh al-Ibanah (العدة شرح الإبانة) merupakan sebuah karya fiqh dalam mazhab Syafi’i. Kitab yang dikenali sebagai al-‘Uddah al-Kubra[1] (العدة الكبرى) ini disusun oleh al-Imam Abu Abdullah al-Husain bin Ali al-Thabari (495H) sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Ibanah fi Furu’ al-Syafi’i (الإبانة في فروع الشافعي) , iaitu sebuah kitab fiqh dalam mazhab Syafi’i karya al-Imam Abu al-Qasim Abdul Rahman bin Muhammad Ahmad bin Fawran al-Fawrani (461H).

Ramai para ulama terdahulu memetik kandungan kitab al-‘Uddah ini dan merakamkannya dalam kitab-kitab mereka. Sebagai contohnya, Imam Abu Zakariyya Yahya al-Nawawi (676H) banyak menyebut pandangan Imam Abu Abdullah Husain al-Thabari mengenai sesuatu masalah fiqh di dalam kitab-kitab beliau seperti kitab al-Majmu’ dan Rawdhah al-Thalibin. Jika disebutkan oleh Imam al-Nawawi – Shahibul ‘Uddah (صاحب العدة) di dalam kitab-kitab beliau ini, maka yang dimaksudkan oleh beliau ialah penyusun kitab al-‘Uddah al-Kubra ini[2].

Sekadar ini sahaja maklumat yang diperolehi mengenai kitab ‘al-‘Uddah ini. Semoga bermanfaat.



[1] Terdapat sebuah kitab lagi yang berjudul al-‘Uddah, iaitu al-‘Uddah al-Shughra, karya Abu Ishaq al-Ruyani Ibrahim bin Ali bin al-Husain al-Syaibani al-Thabari  (523H), yang terkenal dengan gelaran Abu al-Makarim al-Ruyani.

[2] Hal ini berbeza dengan Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad al-Rafi’i (623H). Jika beliau menyebutkan Shahibul ‘Uddah (صاحب العدة) dalam karya beliau seperti Syarh al-Kabir (الشرح الكبير) dan Syarh al-Shaghir, maka yang dimaksudkan oleh beliau ialah Imam Abu al-Makarim al-Ruyani (523H), iaitu penyusun kitab al-‘Uddah al-Shughra.

Saturday, October 27, 2018

Syarh Syuruth al-Wudhuk (شرح شروط الوضوء)


Kitab Syarh Syuruth al-Wudhuk (شرح شروط الوضوء) merupakan sebuah karya fiqh yang ringkas yang disusun oleh al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamzah al-Ramli al-Anshari (957H), yang terkenal dengan gelaran al-Ramli al-Kabir.

Risalah ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi sebuah karya fiqh mengenai syarat-syarat sah wuduk yang disusun dalam bentuk nazam (syair). Mengenai penyusun sebenar nazam sebanyak 15 bait ini, tidak diketahui dengan pasti. Bahkan Imam Syihabuddin al-Ramli, di dalam muqaddimah Syarah Syuruth al-Wudhuk ini ada menyebutkan dua nama tokoh mazhab Syafi’i yang berkemungkinan merupakan penyusun bagi nazam ini, iaitu;

a)     al-Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H).

b)     al-Imam Waliyuddin Abu Zur’ah Ahmad bin al-Hafizh Zaynuddin al-‘Iraqi (826H).

Dalam kitab ini, Imam Syihabuddin al-Ramli memberikan penerangan bagi setiap syarat sah wuduk yang disebut dalam nazam tersebut, iaitu sebanyak 15 perkara - berdasarkan pandangan para ulama Syafi'i.

Kitab Syarh Syuruth al-Wudhuk ini boleh dibaca di pautan شرح شروط الوضوء. Manakala manuskripnya boleh dimuat turun di pautan https://al-mostafa.info/data/arabic/depot/gap.php?file=m016454.pdf. Sebenarnya dalam manuskrip ini terdapat dua kitab mengenai syarat sah wuduk. Di bahagian atasnya kitab Syarah Syuruth al-Wudhuk - karya Imam Syihabuddin al-Ramli, manakala di bahagian bawahnya pula adalah sebuah karya al-Imam al-Hafizh Syamsuddin Muhammad bin Abdul Rahman al-Sakhawi al-Syafi'i (831-902H). 

Semoga bermanfaat.

Wednesday, October 24, 2018

Hadiyyah al-Nashih wa Hizb al-Falah al-Najih


Kitab Hadiyyah al-Nashih wa Hizb al-Falah al-Najih fi Ma’rifah al-Thariq al-Wadhih (هدية الناصح وحزب الفلاح الناجح في معرفة الطريق الواضح), merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh  Imam Shihab al-Din Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad al-Zahid (819H).

Secara umumnya, kandungan kitab ini membicarakan perkara berikut;
a)     Mengenai akidah.
b)  Mengenai perkara wajib, rukun  dan syarat sah dan syarat wajib  dalam sesuatu ibadat.
c)   Mengenai perkara-perkara sunat, adab dan makruh dalam sesuatu ibadat.
d)     Mengenai beberapa adab dan hak-hak umum.

Kitab ini telah diberikan huraian (syarah) oleh al-Imam Syamsuddin, al-Jamal Muhammad bin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamzah bin Ahmad Syihabuddin al-Ramli al-Munufi (919-1004 H), melalui karyanya yang berjudul   'Umdah al-Rabih fi Ma'rifah al-Tariq al-Wadhih Syarh Matn Hadiyyah al-Nashih wa Hizb al-Falah al-Najih (عُمْدَةُ الْرَابِحْ فِي مَعْرِفَة الطَّرِيق الوَاضِح شَرْحُ مَتن هَدِيَّةِ النَّاصِحْ).

Manuskrip kitab Hadiyyah al-Nashih wa Hizb al-Falah al-Najih   ini boleh dimuat turun di pautan https://archive.org/download/m-alemam01/535.zip. Semoga bermanfaat

Tuhfah al-Thullab fi Nazhm Masa-il al-Irsyad


Kitab Tuhfah al-Thullab fi Nazhm Masa-il al-Irsyad (تحفة الطلاب في نظم مسائل الإرشادmerupakan sebuah karya al-Qadhi Shafiyuddin Ahmad bin Umar al-Mazjad al-Zabidi al-Syafi’i (929H).

Kitab ini disusun dalam bentuk nazam berdasarkan kitab al- Irsyad (الإرشاد) atau judul penuhnya Irsyad al-Ghawi ila Masalik al-Hawi (إرشاد الغاوي إلى مسالك الحاوي), iaitu sebuah karya al-Imam Ibn al-Muqri, Ismail bin Abu Bakr bin Abdullah al-Muqri al-Zabidi al-Yamani (755-837H). Kitab Tuhfah al-Thullab fi Nazhm Masa-il al-Irsyad ini mengandungi sebanyak 5840 bait nazam. 

Manuskrip kitab ini boleh dimuat turun di sini. 

Semoga bermanfaat.

Tuesday, October 23, 2018

Manzhumah fi al-Shuwar allati Yastahibb Fiha al-Wudhuk


Kitab Manzhumah fi al-Shuwar allati Yastahibb Fiha al-Wudhuk (منظومة في الصور التي يستحب فيها), adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Hafizh Zaynuddin  Abdul Rahim bin al-Husain al-‘Iraqi (806H) dalam bentuk nazam (syair) sebanyak 10 bait. Kandungan nazam ini secara khusus menyenaraikan 40 keadaan yang disunatkan bagi umat Islam mengambil wuduk.

Kitab ini kemudiannya telah diberikan huraian (syarah) oleh al-Imam Waliyuddin Abu Zur’ah Ahmad (826H), iaitu anak kepada al-Hafizh Zaynuddin al-‘Iraqi sendiri.

Kemudiannya, al-Hafizh Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Suyuthi (849-911H) telah menambahkan 6 keadaan lagi yang disunatkan berwuduk, yang tidak disebutkan oleh al-Hafizh al-‘Iraqi, maupun Imam Waliyuddin Abu Zur’ah ketika menghuraikan nazam susunan bapanya itu.

Berikut tambahan keadaan yang disunatkan berwuduk yang disebutkan oleh al-Suyuthi dalam bentuk nazam;

وأبرصَ خُذْ، أو مسِ أصنامٍ اعْدُدِ    #    ومِنْ سيل دمٍّ، أو مسيسٍ لكافر
لدَرِّ جزورٍ للذي قالهُ زد     #     ومِنْ أكلِ ما مسَّته نارٌ، وشربه

Imam al-Suyuthi kemudiannya telah memberikan huraian (syarah) bagi setiap bait nazam tambahan yang disusun oleh beliau tersebut dengan membawakan hadis-hadis sokongan. Baca huraian al-Suyuthi ini di pautan تذييل على منظومة العراقي في الصور التي يُستحبُّ فيها الوضوء للسيوطي.

Kitab Manzhumah fi al-Shuwar allati Yastahibb Fiha al-Wudhuk karya al-'Iraqi dan huraiannya oleh Imam Waliyuddin Abu Zur'ah ini boleh dimuat turun di pautan منظومة في الصور التي يستحب فيها 

Semoga bermanfaat.

Tuesday, October 16, 2018

al-Syamil fi Ushuluddin (الشامل في أصول الدين)


Kitab al-Syamil fi Ushuluddin (الشامل في أصول الدين) merupakan sebuah karya dalam bidang akidah susunan al-Imam Abu al-Ma'ali 'Abdul Malik bin 'Abdillah bin Yusuf bin Muhammad bin 'Abdillah al-Juwaini al-Naisaburi (419-478H), yang terkenal dengan gelaran Imam Haramain al-Juwaini (478H).  

Menurut Dr. Fawqiyyah Husain[1], kitab al-Syamil ini boleh dianggap sebagai huraian bagi kitab Lum’ah al-Adillah fi Qawa’id ‘Aqa-id Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah (لمع الأدلة في قواعد عقائد أهل السنة والجماعة ), iaitu sebuah karya Imam al-Haramain sendiri. 

Kandungan kitab ini dibahagikan kepada beberapa tajuk, yang disebutkan oleh Imam al-Haramain setiap tajuknya dengan nama kitab tertentu, antaranya;

1)      Kitab Teori (النظر)
2)     Kitab al-Tawhid (التوحيد)
3)     Kitab al’Ilal (العلل)
4)     Kitab al-Shifat (الصفات)
5)     Kitab al-Iradah (الإرادة)
6)     Kitab al-Qudrah (القدرة)
7)     Kitab al-Nubuwwat (النبوات)
8)    Kitab Ibthal al-Qawl bi al-Tawallud (إبطال القول بالتولد)
9)     Kitab al-Radd ‘ala al-Thaba-i’iyin (الرد على الطبائعيين)
10) Kitab al-‘Ilal wa al-Tajwiz (العلل والتجويز)

Kitab ini telah diringkaskan oleh al-Imam Ibnu Amir al-Hajj (736H) dengan karya beliau yang berjudul al-Kamil fi Ikhtishar al-Syamil (الكامل في اختصار الشامل ). Kitab ini juga dikenali sebagai kitab al-Kamil fi Ushuluddin (الكامل في أصول الدينatau Mukhtashar al-Kamil fi Masa-il al-Syamil (مختصر الكامل في مسائل الشامل).

Kitab al-Syamil ini boleh dimuat turun di pautan الشامل في أصول الدين 




[1] Lihat Kata pendahuluan tahkik kitab al-Kifayah fi al-Jidal (الكافية في الجدل), karya Imam al-Haramain al-Juwaini, hal. 21.

Monday, October 15, 2018

Lum’ah al-Adillah fi Qawa’id ‘Aqa-id Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah


Kitab Lum’ah al-Adillah fi Qawa’id ‘Aqa-id Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah (لمع الأدلة في قواعد عقائد أهل السنة والجماعة) merupakan sebuah karya mengenai akidah yang disusun oleh al-Imam Abu al-Ma'ali 'Abdul Malik bin 'Abdillah bin Yusuf bin Muhammad bin 'Abdillah al-Juwaini al-Naisaburi (419-478H), yang terkenal dengan gelaran Imam al-Haramain al-Juwaini.

Imam al-Haramain al-Juwaini telah menyusun kitab yang ringkas ini secara khusus bagi menghuraikan konsep akidah menurut Ahli Sunnah wal Jama’ah. Beliau menyusun kitab ini bagi menerangkan hakikat mazhab sunni mengenai akidah, dengan membawakan dalil-dalil yang ringkas dan bukti-bukti aqli. Kemungkinan beliau menyusun kitab ini ketika peringkat awal kehidupannya sebagai rujukan para pelajar yang mendatangi majlis ilmu yang diadakannya.

Kandungan kitab ini dibahagikan kepada 7 tajuk utamanya, iaitu;

1.                Alam dan kebaharuanny a (العالم وحدوثه).
2.               Allah dan Sifat-Sifat-Nya (الله تعالى وصفاته). (12 fasal)
3.               Kehendak Allah dan Kehendak Hamba (إرادة الله وإرادة العبد). (1 fasal)
4.               Melihat Allah (رؤية الله). (1 fasal)
5.               Tuhan dan Makhluk (الرب والخلق). 4 fasal
6.               Kerasulan, Kenabian dan Mukjizat (الرسالة والنبوة والمعجزة). (4 fasal)
7.               Kepimpinan (الإمامة). (3 fasal)


Huraian kitab Lum’ah al-Adillah

Di antara kitab huraian (syarah) bagi kitab Lum’ah al-Adillah ialah kitab Syarh Lum’ah Adillah fi al-Tawhid (شرح لمع الأدلة في التوحيد), karya Abu Muhammad Abdullah Syarafuddin bin Muhammad bin al-Fihri, yang terkenal dengan nama Ibn al-Tilmisani (644H).

Menurut Dr. Fawqiyyah Husain, Imam al-Haramain sendiri ada menyusun sebuah kitab yang boleh dianggap sebagai huraian bagi kitab Lum’ah al-Adillah ini, iaitu kitabnya yang berjudul kitab al-Syamil fi Ushuluddin (الشامل في أصول الدين).

Kitab Lum’ah al-Adillah ini boleh dimuat turun di pautan لمع الأدلة في قواعد عقائد أهل السنة والجماعة

Rujukan:
ar.wikipedia.org/wiki/

Wednesday, October 10, 2018

Bahjah al-Nufus wa Ghayatuha (بهجة النفوس وغايتها)


Kitab Bahjah al-Nufus wa Ghayatuha[1] bi Ma'rifati Ma Laha wa 'Alaiha (بهجة النفوس وغايتها بمعرفة ما لها وما عليها) merupakan sebuah kitab hadis yang disusun oleh al-Imam al-Muhaddith Abu Muhammad Abdullah Sa'ad bin Abi Jamrah al-Azdi al–Andalusi (699H), yang terkenal dengan gelaran Ibnu Abi Jamrah.

Kitab Bahjah al-Nufus ini disusun oleh Ibnu Abi Jamrah sebagai huraian (syarah) bagi karya beliau sebelumnya yang berjudul Jam'u al-Nihayah Fi Bud'i al-Khair wa al-Ghayah (والغاية الخير بدء في النهاية جمع), atau lebih dikenali dengan judul Mukhtashar Ibnu Abi Jamrah (مختصر ابن أبي جمرة).  Manakala kitab Mukhtashar Ibnu Abi Jamrah pula merupakan sebuah ringkasan (mukhtashar) bagi kitab Shahih al-Bukhari (صحيح البخاري ). Kitab ini memuatkan 297 hadis sahih yang disaring daripada 7397 buah hadis yang terdapat dalam kitab Shahih al-Bukhari.

al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani Abu al-Fadhl Ahmad bin Ali bin Muhammad bin Muhammad bin Hajar al-‘Asqalani (852H), ketika menyusun kitabnya yang berjudul Fathl al-Bariy turut mengutip beberapa penjelasan yang terdapat dalam kitab Bahjah al-Nufus ini.               


Semoga bermanfaat.

[1] Setengah cetakan disebutkan dengan Bahjah al-Nufus wa Tahliluha…

Tuesday, October 9, 2018

Tash-hih al-Tanbih (تصحيح التنبيه)


Kitab Tash-hih al-Tanbih (تصحيح التنبيه), atau nama lainnya al-‘Umdah fi Tash-hih al-Tanbih (العمدة في تصحيح التنبيه) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’ yang disusun oleh al-Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H). Kitab ini disusun oleh Imam al-Nawawi bagi mengoreksi beberapa pendapat yang tidak muktamad yang disebutkan oleh al-Imam Abu Ishaq Ibrahim al-Syirazi al-Fairuzabadi (393-476H) di dalam kitab al-Tanbih (التنبيه).
  
Kesahihan penisbahan kitab Tash-hih al-Tanbih kepada Imam al-Nawawi adalah perkara yang tidak perlu diragukan lagi. Tidak ada ulama yang memperdebatkannya. Tidak seperti kitab Daqa-iq al-Akhbar fi Dzikri al-Jannah wa al-Nar  yang diragukan penisbahannya kepada al-Ghazzali, Abu al-Laits al-Samarqandi atau al-Suyuthi.

Kitab-kitab biografi telah menegaskan bahawa kitab Tash-hih al-Tanbih memang karya Imam al-Nawawi. Di antaranya tersebut dalam kitab “Thabaqa al-Syafi’iyyah” karya Tajuddin al-Subki,  “Thabaqat al-Syafi’iyyah” karya al-Isnawi,  “Tuhfah al-Thalibin” karya IbnuaAl-‘Aththar, “Al-Minhaj al-Sawiyy” karya al-Suyuthi, “al-Manhal al-‘Adzbu al-Rawiyy” karya al-Sakhawi, “Hayatu al-Imam al-Nawawi” karya Abdul Ghaniyy al-Daqr, dan “al-A’lam” karya al-Zirikli.

Dalam kitab-kitab fiqh mazhab al-Syafi’i, kitab ini juga dirujuk dan dinisbahkan ke Imam al-Nawawi. Di antaranya seperti yang tercantum dalam kitab “Kanzu al-Raghibin” karya Jalaluddin al-Mahalli, “Nihayatu al-Muhtaj” karya Syamsuddin al-Ramli, “Mughni al-Muhtaj” karya al-Syirbini al-Khathib, “Manhaj al-Thullab” karya Zakariyya al-Anshori, “Hasyiyah al-Jamal”, “Hasyiyah Al-Bujairimi”, “Hasyiyah al-Bajuri”, “Hasyiyah al-Syarqawi”, dan lain-lain.

Kitab ini dikarang oleh Imam al-Nawawi dengan maksud untuk mengoreksi kitab “al-Tanbih” sehingga pembaca boleh mengetahui pendapat-pendapat yang tidak muktamad dalam mazhab Syafi’i yang terdapat dalam kitab tersebut. Oleh itu,  membaca kitab “At-Tanbih” yang dilengkapi dengan kitab “Tash-hih al-Tanbih” karya al-Nawawi ini, pembaca akan boleh mengetahui dan mengamalkan pendapat yang dianggap muktamad dalam mazhab Syafi’i.

Kitab ini tergolong rujukan primer untuk mengetahui pendapat mu’tamad mazhab al-Syafi’i. Dalam tata urutan kekuatan rujukan, kedudukan kitab ini menduduki urutan setelah kitab “al-Minhaj Syarh ‘ala Muslim”. Kitab ini didahulukan daripada kitab al-Nawawi yang lain yang berjudul “al-Nukat ‘ala al-Tanbih[1].

Kata Ibnu Qadhi Syuhbah dalam Thabaqatnya, kitab “Tash-hih al-Tanbih” termasuk kitab awal-awal yang dikarang oleh al-Nawawi. Jadi, jika ada kandungan kitab ini yang bertentangan dengan kitab-kitab al-Nawawi lain yang masyhur, maka kitab ini mesti “dikalahkan”.

Meski demikian, dalam hal kualiti tarjih, isi kitab ini mengungguli semua tarjih ulama al-Syafi’iyyah yang pernah dilakukan oleh para ulama sebelum masa al-Nawawi. Ketika Imam al-Irbili menyalin manuskrip kitab ini dan meminta Ibnu al-‘Aththar untuk membantunya mengoreksi dengan membandingkan naskah yang ada pada dirinya, al-Irbili bersaksi bahawa Imam al-Nawawi telah mencapai pengetahuan tarjih yang belum dicapai oleh Ibnu al-Shalah.

Ukuran kitab ini digolongkan dalam kitab-kitab kecil. Bahkan, Imam al-Nawawi sendiri dalam muqaddimah menyebutnya sebagai “kurrasah (الكراسة)”[2]. Bahasa yang dipakai al-Nawawi dalam kitab ini bersifat ringkas tapi tidak merosakkan makna. Lafaz-lafaznya mudah difahami dan jarang menampilkan lafaz gharib. Ketika menerangkan koreksinya, kebiasaanya al-Nawawi menggunakan redaksi “al-ashah (الأصح)”. Ungkapan “al-shawab (الصواب)” dan “al-mukhtar (المختار)” jarang digunakan.

Adapun metode al-Nawawi dalam menulis, secara ringkas penjelasannya adalah sebagai berikut;

a)     Jika al-Syirazi hanya menjelaskaan ikhtilaf tanpa mentarjih, maka al-Nawawi akan mentarjihnya agar diketahui bahawa itu adalah pendapat mu’tamad.

b)   Jika al-Syirazi menegaskan bahawa suatu pendapat adalah pendapat yang paling sahih (baik beliau memaksudkan bahawa pendapat tersebut adalah pendapat mu’tamad atau ikhtiyarat beliau) padahal kenyataannya pendapat itu bukan pendapat mu’tamad maka al-Nawawi akan menjelaskan mana pendapat yang mu’tamad.

c)  Jika al-Syirazi secara jelas melakukan kesalahan (ghalath) dan kesalahan itu memang diketahui salah tanpa ada ikhtilaf, maka al-Nawawi akan menjelaskannya.

d)    Jika al-Syirazi menyebut pendapat yang sudah sesuai dengan pendapat mu’tamad, maka al-Nawawi akan mendiamkannya (tidak mengomentarinya).

e)  Ketika menyebutkan sesuatu pendapat, al-Nawawi tidak menyebutkan sumber rujukannya dan juga tidak menyebut nama ulama. Penjelasan dalil tidak disajikan.

f)      Pandangan mazhab lain juga tidak dibahas, kerana tujuan utama penyusunan kitab ini hanyalah membincangkan fiqh dalam lingkungan mazhab al-Syafi’i.

Sejumlah ulama telah memberi perhatian terhadap kitab ini dengan cara mensyarah, melengkapi dan memperjelaskan. Antaranya;

a)     Kitab “Tausyih  al-Tash-hih” karya Tajuddin al-Subki (w. 771H)
b)     Kitab “al-Tanqih Fima Yaridu ‘Ala al-Tash-hih dan “Tadzkiratu al-Nabih fi Tash-hih al-Tanbih” karya Jamaluddin al-Isnawi (w. 772H),
c)    Kitab “Irsyad al-Nabih ila Tash-hih al-Tanbih”  dan kitab “Umniyyatu al-Nabih fima Yaridu ‘ala al-Tash-hih wa al-Tanbih” karya Ibnu al-Mulaqqin (w. 804H),
d)     Kitab ‘Umdatu al-Mughni wa al-Thalib al-Nabih fi Tash-hih al-Tanbih”,
e)     “Taqribu At-Tash-hih” dan lain-lain.

Di antara penerbit yang pernah mencetaknya adalah “Mathba’ah at-Taqaddum al-‘Ilmiyyah” pada tahun 1348 H. Dalam cetakan ini kitab “Tash-hih al-Tanbih” dicetak bersama “Matan al-Tanbih” dan juga kitab “Maqshadu  al-Nabih fi Syarhi Khuthbat al-Tanbih” karya Ibnu Jama’ah (w. 819 H).

Pada tahun 1417 H/1996, penerbit “Mu-assasah Ar-Risalah” di Beirut; Lubnan telah mencetak kitab “Tash-hihu al-Tanbih” dalam tiga jilid dengan menyertakan kitab “Tadzkiratu al-Nabih” karya al-Isnawi. Kitab “Tadzkirotu  al-Nabih” dimasukkan dalam jilid kedua mulai hlm 389. Muhaqqiqnya adalah Muhammad ‘Uqlah al-Ibrahim dari fakulti Syariah di The University of Jordan (الجامعة الأردنية).

Kitab Tash-hih al-Tanbih dan kitab huraian (syarah)nya Tazkiratu al-Nabih fi Tash-hih al-Tanbih, karya Jamaluddin al-Isnawi boleh dimuat turun di pautan تصحيح التنبيه، ويليه: تذكرة النبيه في تصحيح التنبيه.

Sumber: Artikel ini dipetik dengan sedikit pengubahsuaian dari pautan Mengenal Kitab Tash-hihu at-Tanbih karya An-NawawiBaca artikel asal untuk maklumat selanjutnya. 

Semoga bermanfaat.



[1] Huraian lebih jelas mengenai perkara ini boleh dibaca di pautan   “Urutan “Kekuatan” Kitab-Kitab An-Nawawi”.
[2] Definisi “kurrasah” boleh dibaca di pautan  “Produktivitas An-Nawawi”.  Dalam artikel tersebut dinyatakan bahawa satu “kurrosah” itu kira-kira sama dengan 16 halaman.