Showing posts with label fiqh al-syafi'i. Show all posts
Showing posts with label fiqh al-syafi'i. Show all posts

Tuesday, October 23, 2018

Manzhumah fi al-Shuwar allati Yastahibb Fiha al-Wudhuk


Kitab Manzhumah fi al-Shuwar allati Yastahibb Fiha al-Wudhuk (منظومة في الصور التي يستحب فيها), adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Hafizh Zaynuddin  Abdul Rahim bin al-Husain al-‘Iraqi (806H) dalam bentuk nazam (syair) sebanyak 10 bait. Kandungan nazam ini secara khusus menyenaraikan 40 keadaan yang disunatkan bagi umat Islam mengambil wuduk.

Kitab ini kemudiannya telah diberikan huraian (syarah) oleh al-Imam Waliyuddin Abu Zur’ah Ahmad (826H), iaitu anak kepada al-Hafizh Zaynuddin al-‘Iraqi sendiri.

Kemudiannya, al-Hafizh Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Suyuthi (849-911H) telah menambahkan 6 keadaan lagi yang disunatkan berwuduk, yang tidak disebutkan oleh al-Hafizh al-‘Iraqi, maupun Imam Waliyuddin Abu Zur’ah ketika menghuraikan nazam susunan bapanya itu.

Berikut tambahan keadaan yang disunatkan berwuduk yang disebutkan oleh al-Suyuthi dalam bentuk nazam;

وأبرصَ خُذْ، أو مسِ أصنامٍ اعْدُدِ    #    ومِنْ سيل دمٍّ، أو مسيسٍ لكافر
لدَرِّ جزورٍ للذي قالهُ زد     #     ومِنْ أكلِ ما مسَّته نارٌ، وشربه

Imam al-Suyuthi kemudiannya telah memberikan huraian (syarah) bagi setiap bait nazam tambahan yang disusun oleh beliau tersebut dengan membawakan hadis-hadis sokongan. Baca huraian al-Suyuthi ini di pautan تذييل على منظومة العراقي في الصور التي يُستحبُّ فيها الوضوء للسيوطي.

Kitab Manzhumah fi al-Shuwar allati Yastahibb Fiha al-Wudhuk karya al-'Iraqi dan huraiannya oleh Imam Waliyuddin Abu Zur'ah ini boleh dimuat turun di pautan منظومة في الصور التي يستحب فيها 

Semoga bermanfaat.

Sunday, July 29, 2018

'UNWANUL FALAH WA 'UNWANUS SHALAH' (عنوان الفلاح و عنفوان الصلاح)


Kitab ‘Unwanul Falah wa 'Unfuwanus Shalah (عنوان الفلاح و عنفوان الصلاح) adalah sebuah karya dalam bahasa Melayu  (Jawi) susunan Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani (1856-1908M).

Kandungan kitab ini membincangkan mengenai aqidah, fiqh dan tasawuf.  Kitab ini selesai disusun sesudah Asar,  hari Jumaat, 7 Syawal 1319H bersamaan 16 Januari 1902 M di Mekah. Saya belum mendapat maklumat mengenai cetakan terawal kitab ini.

Di antara cetakan terbaharu kitab ini ialah yang telah diterbitkan al-Marhum Tuan Haji Mohd Shaghir Abdullah melalui syarikatnya Khazanah Fathaniyah. Di antara cetakan kitab ini yang tersebar luas hingga kini ialah yang diterbitkan oleh Mathba’ah Ben Halabi, Patani, Thailand.

Di bahagian muka hadapan kitab ini ditulis “ Inilah kitab yang bernama ‘Unwanul Falah pada menyatakan ilmu tauhid dan Ilmu feqah dan adat perangai yang elok dan ilmu pergaulan ”.

Di antara isi kandungannya;

1)       Muqadimah pada kelebihan ilmu dan menuntutinya dan ahlinya dan mengajarnya.
2)        Pada menyatakan bab Taharah.
3)        Pada menyatakan Bab Solat.
4)        Pada menyatakan Bab Zakat.
5)        Pada menyatakan Bab Puasa.
6)        Pada menyatakan Bab Haji dan Umrah.
7)        Pada menyatakan Bab Sembelihan dan makanan.
8)       Pada menyatakan Bab Bersumpah dan nazar.
9)        Pada menyatakan Bab Kira Bicara.
10)    Pada menyatakan Bab Membahagi Pusaka.
11)     Pada menyatakan Bab Bicara Nikah.
12)    Pada menyatakan Bab Segala Dosa besar serta Dera nya (siksaannya).
13)    Pada menyatakan Bab Beberapa Kebajikan.
14)    Pada menyatakan Katamah Pada menyatakan berperangai dengan segala perangai yang baik.

Sekadar ini sahaja catatan mengenai kitab ini. Semoga bermanfaat.

Thursday, October 12, 2017

AL-BASITH FI AL-MAZHAB (البسيط في المذهب)


Kitab al-Basith fi al-Mazhab  (البسيط في المذهب) adalah sebuah karya fiqh Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (450-505H), yang terkenal dengan gelaran Imam al-Ghazali. Kadang-kala Imam al-Ghazali juga menamakan kitab ini sebagai al-Basith fi al-Furu’ ( البسيط في الفروع.). Beliau ada menyebutkan judul kitab al-Basith ini di dalam beberapa karya beliau yang lain seperti al-Wasit dan Jawahir al-Quran.

Kitab al-Basith ini termasuk dalam rantaian siri karya fiqh al-Ghazali yang terkenal, iaitu al-Basith, al-Wasith dan al-WajizSumber penyusunan ketiga-tiga kitab tersebut berdasarkan kitab Nihayah al-Mathlab fi Dirayah al-Mazhab (نهاية المطلب في دراية المذهب)  karya agung guru kepada Imam al-Ghazali, iaitu al-Imam Ruknuddin Abu al-Ma’ali Abdul Malik bin Abdullah al-Juwaini (419-478H). Dalam kitab-kitab fiqh mazhab Syafi’i, jika disebutkan julukan “al-Imam” tanpa nama atau gelaran yang lain, maka ia merujuk kepada Imam al-Haramain ini. 

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haytami (973H), pada awalnya al-Imam al-Ghazali telah meringkaskan kitab Nihayah al-Mathlab melalui kitabnya al-Basith dan kemudiannya al-Ghazali telah meringkaskan kitab al-Basith pula melalui karyanya yang berjudul al-Wasith. Akhirnya al-Ghazali telah meringkaskan lagi kitab al-Wasith melalui kitabnya yang berjudul al-Wajiz.

Walaupun kitab al-Basith merupakan ringkasan kepada kitab Nihayah al-Mathlab, tidaklah bermakna semua kandungannya adalah daripada kitab tersebut,  malah Imam al-Ghazali turut memuatkan pandangan-pandangannya. Ini adalah manhaj ulama terdahulu dalam meringkaskan kitab. Sebagaimana Imam al-Nawawi (676 H) yang meringkaskan kitab al-Muharrar karya Imam al-Rafi'i dengan penambahan dan pembetulan.

Sekadar pengamatan dan rujukan penulis yang terhad pada ketika ini - mengenai keberadaan kitab al-Basith pada masa kini -  sebenarnya naskhah kitab ini masih  wujud dalam bentuk manuskrip tulisan tangan di beberapa buah perpustakaan besar di Timur Tengah. Sebahagian daripada kandungan manuskrip ini ada yang telah ditahkik oleh para pelajar ijazah tinggi sebagai kajian ilmiah (tesis). Namun begitu,  penulis dapati kitab al-Basith belum ada yang dicetak dan diterbitkan oleh mana-mana penerbitan[1]. Berbeza dengan kitab-kitab karya al-Ghazali yang lain seperti al-Wasith dan al-Wajiz telah dicetak dan diterbitkan sebagai rujukan umat Islam.



Ringkasan kitab al-Basith

Sebagaimana yang telah disebutkan di atas, kitab al-Basith telah diringkaskan oleh Imam al-Ghazali melalui karya beliau yang berjudul al-Wasith. Saya belum mendapat maklumat mengenai karya yang lain sebagai huraian atau ringkasan bagi kitab al-Basith. Wallahu a’lam. 


Sila baca maklumat lanjut mengenai kitab al-Basith di sini. Semoga bermanfaat.

[1] Mungkin kesimpulan awal yang penulis nyatakan ini tidak tepat. Saya sangat berharap para pembaca boleh membetulkan tanggapan ini, jika mempunyai maklumat mengenai kewujudan cetakan kitab al-Basith ini.

Friday, October 6, 2017

SABIL AL-MUHTADIN (سبيل المهتدين)


Kitab Sabil al Muhtadin ( سبيل المهتدين ) adalah nama sebuah kitab fiqh dalam mazhab Syafi’i yang disusun dalam bahasa Melayu. Judul lengkapnya adalah Sabil al Muhtadin li al-Tafaqquh fi Amriddin ( سبيل المهتدين للتفقه فى امر الدين ). Ia merupakan sebuah karya Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari (1122 – 1227 H),  seorang ulama terkenal dari Banjarmasin, Kalimatan Selatan, Indonesia.

Kitab ini ini ditulis atas permintaan Sultan Tahmidullah bin Sultan Tamjidullah pada tahun 1193 Hijriah bertepatan tahun 1779 Masihi. Penulisan kitab ini mengambil masa selama lebih kurang dua tahun. Kandungan kitab ini membicarakan permasalahan ilmu fiqh dalam mazhab Syafi’i, khususnya dalam bidang ibadat. Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari menyusun kitab ini dengan merujuk kepada beberapa buah kitab yang muktabar dalam mazhab Syafi’i, seperti Syarh al-Manhaj  oleh Syaikhul Islam Zakariyya al-Anshari (926H), Mughni al-Muhtaj oleh Syaikh Muhammad Khatib Syarbaini  (977H), Tuhfah al-Muhtaj oleh Syaikh Ibnu Hajar al-Haitami (973H), Nihayah al-Muhtaj oleh Syaikh Jamal al-Ramli (1004H) dan beberapa buah matan, syarah dan komentar (hasyiah) lainnya.

Kitab Sabil al Muhtadin terdiri  dari 2 (dua) juz. Kedua-dua juz ini merupakan satu kesatuan yang tak dapat dipisahkan. Bahkan ada topik yang dibicarakan pada akhir juz pertama diselesaikan pembahasannya pada juz kedua. Pembahagian isi dalam Sabil al Muhtadin ini dinyatakan dengan istilah kitab-kitab. Keseluruhannya ada 8 (lapan) kitab, iaitu:
  1. Kitab al-Taharah,  yakni suatu kitab yang menyatakan tentang bersuci.
  2. Kitab al-Shalah, yakni kitab yang menyatakan tentang shalat.
  3. Kitab al-Zakat, yakni kitab yang menyatakan hukum zakat.
  4. Kitab al-Shiyam, yakni kitab yang menyatakan puasa.
  5. Kitab al-I'tikaf, yakni kitab yang menyatakan i'tikaf atau berhenti di dalam masjid.
  6. Kitab al-Haji wa al-‘Umrah, yakni kitab pada menyatakan haji dan umrah.
  7. Kitab al-Shaid wa al-Dzaba-ih, yakni kitab pada menyatakan hukum binatang perburuan dan sekalian yang disembelih.
  8. Kitab al-Ith'amah, yakni kitab pada menyatakan barang yang halal dan barang yang haram memakannya.
Dalam beberapa tulisan tentang kehidupan ulama besar dari daerah Kalimantan Selatan ini, disebutkan bahawa penyebaran kitab Sabil al Muhtadin ini dimulai dari ruang pengajian Syaikh Muhammad Arsyad sendiri di Kampung Dalam Pagar (sebuah kampung di Martapura). Di mana berlakunya aktiviti penyalinan kitab Sabil al-Muhtadin dari naskah aslinya oleh murid-murid Syaikh Muhammad Arsyad sendiri. Kemudian naskah itu dibawa orang ke Makkah, di sana dilakukan penyalinan semula oleh para penuntut ilmu. Kitab ini kemudiannya menjadi terkenal di kalangan para penuntut ilmu di Makkah, apabila ia menjadi teks pengajian fiqh mazhab Syafi’i bagi para penuntut yang berbahasa Melayu yang berasal dari berbagai daerah di Nusantara (baca: Asia Tenggara).

Kitab Sabil al-Muhtadin dicetak pertama kali pada tahun 1300 Hijriah atau tahun 1882 Masihi serentak di tiga tempat, iaitu di Makkah, Istambul dan Mesir, dengan pentashihan al-‘Allamah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, seorang ulama yang terkenal berasal dari Patani (Thailand) yang mengajar di Makkah pada waktu itu. Dengan adanya cetakan ini maka Sabilal Muhtadin lebih tersebar dan terkenal di Asia Tenggara. Bahkan menurut keterangan penuntut-penuntut ilmu di Makkah sampai waktu itu masih banyak yang mempelajari Sabil al-Muhtadin sebelum mereka dapat membaca kitab berbahasa Arab.

Sebagai perkongsian, kitab Sabil al-Mutadin ini sudah ada yang diterbitkan dalam versi tulisan rumi untuk memudahkan para pelajar dan masyarakat membaca dan mempelajari isi kandungannya. Terdapat beberapa cetakan oleh pelbagai penerbit samada di Indonesia, maupun di Malaysia. Sekadar contoh, kitab Sabil al-Muhtadin ini ada diterbitkan oleh Syarikat Jahabersa, Johor Bahru.

Semoga bermanfaat.

Wednesday, August 30, 2017

KIFAYAH AL-NABIH (كفاية النبيه)


Kitab Kifayah al-Nabih fi Syarh al-Tanbihكفاية النبيه في شرح التنبيه) adalah sebuah rujukan fiqh dalam Mazhab Syafi’i. Ia merupakan sebuah karya Imam Abu al-‘Abbas Najmuddin Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali bin Murtafi’ bin al-Rif-‘ah al-Anshari (645-710H), yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Rif’ah.

Kitab ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Tanbih iaitu karya al-Imam Abu Ishaq Ibrahim al-Syairazi al-al-Fairuzabadi (393-476H). Dalam karya-karya fiqh mazhab Syafi’i, jika disebutkan kitab al-Kifayah[1] secara mutlak tanpa judul lengkapnya (Kifayah al-Nabih), maka ia merujuk kepada kitab ini.

Kitab ini dianggap sebuah kitab syarah bagi al-Tanbih yang paling baik berbanding kitab syarah yang lain Di antara keistimewaannya ialah;

  v  Kebanyakan istidlalnya merujukkan kepada  nas-nas al-Quran (الكتاب), al-Sunnah  dan al-Ijmak (الإجماع).
  v  Permasalahan (isu-isu) yang dibincangkan sangat yang luas dan banyak pecahannya.
  v  Memberi tumpuan kepada pendapat-pendapat (al-aqwal)  Imam al-Syafi’i dengan menerangkan perbezaan antara pendapat lama (qawl al-qadim) dan pendapat yang baru(qawl al-jadid), serta pendapat-pendapat (al-wujuh) para Ashhab al-Wujuh[2].
  v  Dalam kitab ini juga, Ibn al-Rif’ah memasukkan beberapa pandangan beliau yang  berbeza dengan pandangan Imam al-Nawawi (676H).
  v  Ibn al-Rif’ah juga banyak menaqalkan pandangan para fuqaha sebelum beliau dengan membuat penelitian setiap pandangan mereka.
  v  Ibaratnya jelas dan tidak terdapat lafaz-lafaz yang rumit.

Berdasarkan metodologi penulisan kitabnya, Ibn al-Rif’ah telah membahagikannya kepada beberapa “kitab” dan “bab”. Beliau telah memulakan setiap “kitab” (الكتاب) atau bab (الباب) dengan sebuah pengenalan (muqaddimah), yang mengandungi  definisi setiap judul kitab atau bab tersebut dari segi bahasa dan istilah. Kemudiannya disebutkan pula dalil-dalil pensyariatannya dari al-Quran dan al-Sunnah.

Setiap perbahasan dalam huraiannya (syarah), Ibn al-Rif’ah telah menguatkannya dengan dalil-dalil dari al-Quran dan al-Sunnah, di mana beliau banyak menggunakan pendekatan penggabungan antara nas al-Quran dan al-Sunnah. Apabila, beliau beristidlal dengan sesuatu hadis, beliau kerap membuat pentakhrijan terhadis tersebut, dengan menyebutkan kedudukannya berdasarkan pandangan ulama-ulama  hadis.

Beliau juga mengikuti jejak penyusun kitab al-Tanbih (al-Imam Abu Ishaq Ibrahim al-Syairazi ) dengan menyebut beberapa pendapat (أقوال) al-Syafi’i atau  pendapat (أوجه) para tokoh ulama mazhab Syafi’i mengenai sesuatu permasalahan yang tidak disebutkan oleh al-Syairazi di dalam kitab al-Tanbihnya.

Di antara kitab yang ada kaitan dengan kitab al-Kifayah, ialah;

     a)    Tashil al-Hidayah wa Tahshih al-Kifayah, karya Ibn Naqib al-Mishri, Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Lukluk (702-769H). Ia adalah sebuah ringkasan bagi kitab Kifayah al-Nabih.

     b) al-Hidayah ila Awham al-Kifayah, karya Jamaluddin Abu Muhammad Abdul Rahim bin al-Husain bin ‘Ali al-Qurasyi al-Isnawi al-Mishri (704-772H).

Berdasarkan kitab yang diterbitkan oleh Dar al-kutub al-Ilmiyyah, Bierut pada tahun 2009, kitab ini dicetak dalam 20 jilid. Bersama kitab ini juga, dicetak selepasnya kitab al-Hidayah ila Awham al-Kifayah, karya Imam Jamaluddin Abu Muhammad Abdul Rahim bin al-Husain bin ‘Ali al-Qurasyi al-Isnawi. Kitab ini dalam bentuk fail PDF boleh dimuat turun di Waqfeya atau terus di pautan;


Semoga bermanfaat.


[1] Terdapat beberapa kitab fiqh lain yang diawali judulnya dengan Kifayah, antaranya;

          a)    al-Kifayah, karya Abu al-Qasim al-Shaymiri, Abdul Wahid bin al-Hasan al-Shaymiri al-Bashri   (386H) 
         b)    al-Kifayah fi Masa-il al-Khilaf Bayna al-‘Ulama, karya Abu al-Hasan Ali bin                 Sa’id bin Abdul Rahman al-‘Abdari al-Mayuraqi al-Andalusi (493H).
c)     al-Kifayah fi al-Fara-id, karya Syihabuddin Ahmad bin Muhammad bin al-Ha-im al-Mishri al-Maqdisi.
d)    al-Kifayah fi al-Furuq wa al-Latha-if, karya Abu Abdullah al-Husain bin Muhammad al-Hannathi al-Thabari (495H)
e)     al-Kifayah, karya Syaikh Mu’inuddin Abu Hamid Muhammad bin Ibrahim al-Sahluki al-Jajarmi.
f)   Kifayah al-Akhyar fi Hall Alfaz Abi Syuja’ , karya  Syeikh al-Imam Taqiyuddin Abu Bakr bin Muhammad al-Husaini al-Hishni al-Dimasyqi al-Syafi’i (829H).
g)    Kifayah al-Muhtadi bi Syarh Sullam al-Muhtadi, karya Syeikh Muhammad Nur al-Fathani (1290-1363H/1873-1944M)). 

[2] Iaitu Ashhab al-Wujuh (أصحاب الوجوه) adalah para ulama yang boleh melakukan ijtihad dalam beberapa permasalahan tertentu berdasarkan kaedah usul fqh yang telah diasaskan oleh Imam Mazhab. Mereka juga dikenali sebagai Mujtahid al-Muqayyad atau Mujtahid fi al-Mazhab. Mereka dikategorikan sebagai ulama mujtahid di peringkat ketiga selepas Mujtahid Mutlaq Mustaqil dan Mujtahid Mutlaq Muntasib.

Monday, January 16, 2017

Kitab Munyah al-Mushalli (منية المصلي)


Kitab Munyah al-Mushalli (منية المصلي) merupakan sebuah karya fiqh yang masyhur dalam bahasa Melayu, yang khusus membicarakan perkara-perkara yang berkaitan tentang solat (baca: sembahyang).

Kitab ini disusun oleh al-‘Alim al-‘Allamah al-Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani  (1769-1847), seorang ulama yang terkenal dengan karya-karyanya  yang menjadi rujukan para ulama dan masyarakat Melayu di Nusantara hingga ke hari ini.

Di Malaysia, kitab ini sangat popular di kalangan para pelajar dan masyarakat Islam yang mendalami ilmu agama dan menjadi teks pengajian di pondok-pondok, surau-surau, masjid-masjid dan majlis-majlis ilmu.

Menurut al-Marhum Hj Wan Mohd Shaghir Abdullah; “ Munyatul Mushalli adalah karya Syeikh Daud bin Abdullah Fathani yang paling banyak diajarkan oleh tok guru dalam rangka memperkenalkan pengetahuan sembahyang. Sebelum ada buku-buku yang ditulis dengan aksara Latin/ Rumi, Munyatul Mushalli pula sebagai buku asas pelajaran sembahyang di seluruh dunia Melayu…[1]


Sejarah Penyusunan Kitab ini….

Berdasarkan kajian al-Marhum Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah, kitab Munyah al-Mushalli disusun oleh Syaikh Daud al-Fathani bagi memenuhi suatu permintaan salah seorang sultan yang memerintah sebuah negeri Melayu yang ketika itu datang menunaikan ibadah haji di Makkah. Oleh kerana itulah, di bahagian akhir kitab membicarakan mengenai sembahyang itu, beliau akhiri dengan sebuah “Tatimmul Faidah” yang membicarakan mengenai kewajipan raja terhadap rakyat[2].

Kitab ini selesai disusun oleh Syaikh Daud al-Fathani pada tahun 1242H /1826H ketika beliau berada di Makkah al-Musyarrafah. Beliau membuat catatan mengenai perkara ini di akhir kitab Munyah al-Mushalli, katanya;

Telah selesailah faqir ilaLlah Ta’ala Daud bin Abdullah Fathani menterjemahkan risalah yang bernama “Munyah al-Mushalli” di dalam negeri Makkah al-Musyarrafah pada waktu Dhuha, hari Selasa, lima belas hari (15) bulan Zulhijjah pada Hijrah Nabi  - ‘alaihi afdhal al-shalawat wa azka al-taslim -, seribu dua ratus empat puluh dua (1242) [3].


Cetakan kitab ini…

Munyah al-Mushalli adalah termasuk kitab yang paling banyak disalin dengan tulisan tangan sebelum ia dicetak dan terbitkan. Perkara ini terbukti dengan wujudnya banyak manuskrip-manuskrip tulisan tangan yang terdapat di pusat-pusat penyimpanan manuskrip klasik, seperti di Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia.

Menurut al-Marhum Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah, cetakan pertama kitab Munyah al-Mushalli belum beliau temui. Manakala kitab cetakan yang kedua, ada beliau miliki. Kitab ini dicetak oleh Matbaah al-Miriyah, Mekkah tahun 1313H (1895M) di bawah pembiayaan Syeikh Abdul Rahman Gudang bin Muhammad Ali bin Ismail al-Fathani. Cetakan-cetakan mutaakhir di Asia Tenggara pula dilakukan oleh beberapa percetakan di Surabaya, Cerebon, Singapura, Pulau Pinang, Kota Bharu, Patani dan Bangkok. Dari cetakan pertama hingga cetakan mutakhir, barangkali sudah ribuan kali cetakan dan sampai sekarang masih dicetak dan beredar di pasaran serta masih diajar kepada masyarakat di berbagai tempat di dunia Melayu.[4]


Kandungan kitab ini…

Berikut saya catatkan tajuk-tajuk utama kitab Munyah al-Mushalli, sebagaimana yang dicatatkan oleh al-Marhum Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah dalam karya beliau[5], iaitu;

1. Muqaddimah Kitab
2. Syarat-syaarat Sembahyang
3. Rukun-rukun Sembahyang
4. Sunat Ab’adh dan Sunat Hai-at
5. Asal Usul Sembahyang
6. Hikmah dan Kesempurnaan Pengamalan
7. Sujud Sahwi
8. Makruh Dalam Sembahyang
9. Sunat-Sunat Sesudah Sembahyang
10. Sembahyang Berjemaah (kelebihan sembahyang berjemaah)
11. Sembahyang Jumaat[6]
12. Sembahyang Sunat[7]
13. Tatimmah Faidah[8]


Rujukan utama Kitab al-Mushalli

Sebenarnya, Syaikh Daud Fathani tidak menyebut atau menyenaraikan secara khusus mengenai sumber rujukan beliau ketika penyusunan kitab Munyah al-Mushalli. Namun begitu, beliau ada menyebutkan beberapa nama kitab atau nama ulama yang menjadi rujukan bagi beberapa petikan dalam kitab Munyah al-Mushalli. Berikut judul-judul kitab dan nama ulama yang disebutkan dalam kitab Munyah al-Mushalli;

a) Abu Hamid al-Ghazali[9], merujuk kepada karya beliau yang berjudul– al-Ihya’ ‘Ulumiddin.

b)   Muhammad bin Ali al-Tirmizi (255H/869H). Nama lengkap beiau ialah Abū ʿAbd Allāh Muammad ibn ʿAlī bin Hasan al-Tirmidhī al-anafī. Beliau terkenal dengan gelaran al-Hakim al-Tirmizi. Seorang tokoh tasawwuf yang terkenal.

c)    Syaikh al-Bujairimi[10], tanpa menyebutkan kitab rujukannya. Kemungkinan merujuk kepada karya beliau yang berjudul “ Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Iqna’[11]. Kitab ini terkenal dengan judul al-Bujairimi ‘ala al-Khathib.

d)     Al-Arif al-Bakri[12]

e)    Sayyidi Muhammad Ghawtsullah, merujuk kepada karyanya yang berjudul “Jawahir al-Khamis”.

f)  Al-‘Arif billah Sayyidi al-Sanusi[13] , merujuk kepada karyanya yang berjudul al-Mujarrabat.

g)     Syaikh al-Ramli[14]

h)    Syaikh Ibnu Hajar al-Haytami[15]

i)   Imam Muhyiddin Zakariyya bin Syaraf al-Nawawi (676H), merujuk kepada karyanya yang berjudul al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab .

j)     Syarah al-Wasith[16]

k)   al-Khathib al-Syarbaini[17], melalui karyanya Mughni Muhtaj Syarh Minhaj al-Thalibin

l)       Imam Habib Abdullah bin ‘Alawi bin Ahmad al-Haddad (1044-1132H), melalui karya al-Nasha-ih al-Diniyyah wa al-Washya al-Imaniyyah[18].


Sekadar ini sahaja dahulu catatan mengenai kitab Munyah al-Mushalli ini. Jika diberi kesempatan oleh Allah SWT, saya akan menambah lagi beberapa catatan mengenai kitab-kitab atau penulisan-penulisan yang berkaitan dengan kitab ini, seperti ringkasan, syarah atau pengalihtulisannya dari jawi kepada tulisan rumi.

Semoga bermanfaat.




[1] Petikan daripada muqaddimah karya beliau yang berjudul “ Munyatul Mushalli Syeikh Daud al-Fathani – Pengetahuan Sembahyang Masyhur ”, terbitan Khazanah Fathaniyyah, tahun 1991. Dalam rujukan yang sama selanjutnya, akan disebut dengan “ Munyah Mushalli – Pengetahuan Sembahyang  ….”.

[2] Munyah Mushalli Pengetahuan Sembahyang, hal. 1.

[3] Munyah Mushalli – Pengetahuan Sembahyang, hal. 151.

[4] Munyah Mushalli – Pengetahuan Sembahyang, hal-3-4.

[5] Munyah al-Mushalli– Pengetahuan Sembahyang: Bahagian Isi Kandungan. Lihat tajuk-tajuk yang diletakkan bagi memisahkan teks-teks Munyah al-Mushalli. Perlu diketahui edisi asal kitab Munyah al-Mushalli dalam tulisan Jawi tidak diletakkan tajuk tertentu bagi memisahkan permasalahan yang dibicarakan.

[6] Dijelaskan mengenai kemuliaan hari Jumaat, mentakhir solat Jumaat, syarat sah Jumaat hukum mengiringi sembahyang zohor selepas sembahyang Jumaat.

[7] Disebutkan dalam Munyah al-Mushalli “ Dan setengah daripada kesempurnaan orang yang memelihara atas sembahyang dan mendirikan dia, membaikkan memeliharakan segala sunat rawatibnya dan segala sunat yang dituntut oleh syarak….” Lihat Munyah Mushalli – Pengetahuan Sembahyang, hal. 107. Terdapat 25 jenis solat sunat yang disebutkan dalam kitab ini.

[8] Tambahan Syaikh Daud al-Fathani mengenai tanggungjawab pemerintah.

[9] Iaitu Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad bin Ahmad al-Ghazali (505H), yang terkenal dengan gelaran Imam al-Ghazali.

[10] Nama penuh beliau ialah Syaikh Sulaiman bin Muhammad al-Bujairimi (1131-1221H).

[11] Kitab ini merupakan kitab hasyiah (huraian) bagi kitab al-Iqna’ li Hall Alfaz Abi Syuja’ karya Syaikh Muhammad bin Muhammad  Syarbini al-Khathib (977H).

[12] Beliau ialah al-Syekh Sayyid Muhammad Syamsuddin Ibn Abu al-Hasan al-Bakri. Beliau adalah seorang tokoh tasawwuf yang terkenal, Di antara amalan yang dinisbah kepada beliau ialah pengamalan  “Selawat al-Fatih”.

[13] Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Yusuf bin ‘Umar al-Sanusi al-Maliki al-Tilmisani (832-895H). Seorang tokoh yang terkenal dengan gelaran Imam al-Sanusi al-Asy’ari ini merupakan seorang tokoh terkenal Ahli Sunnah wa Jama’ah, yang mendokong fahaman akidah dari aliran al-Asya’irah. Di antara karya beliau yang terkenal ialah kitab Umm al-Barahin fi al-‘Aqa-id.

[14] Syaikh Syamsuddin Muhammad bin Syihabuddin Ahmad bin Hamzah al-Ramli, (919-1004H). Beliau terkenal dengan gelaran Imam al-Ramli al-Shaghir. Di antara karya beliau ialah Nihayah al-Muhtaj Syarh al-Minhaj.

[15] Beliau ialah Syaikhul Islam al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haytami al-Sa’di al-Anshari (974H). beliau adalah seorang tokoh mazhab Syafi’i yang terkenal, yang menghasil banyak karya ilmiah dalam pelbagai bidang. Antara karya beliau terkenal dalam bidang fiqh ialah Tuhfah al-MuhtajSyarh al-’Ubab dan  Manhaj al-Qawim .
 
[16] Kitab al-Wasith  adalah sebuah karya Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (505H). Kitab al-Wasith merupakan rujukan fiqh utama dalam mazhab al-Syafi’i. Terdapat dua kitab syarah (huraian) bagi kitab al-Wasith yang diketahui disusun dengan sempurna  oleh penyusunnya, iaitu al-Muhith fi Syarh al-Wasith karya Muhammad bin Yahya bin Mansur al-Naisaburi dan al-Bahr al-Muhith fi Syarh al-Wasith karya Ahmad bin Muhammad al-Qammuli. Tidak dipastikan antara kedua-dua kitab ini yang mana menjadi rujukan  pengarang kitab Munyah al-Mushalli.

[17] Beliau ialah Imam Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Khathib al-Syirbini al-Qahiri (977H). Di kalangan ulama mazhab Syafi’i beliau dikenali dengan gelaran Syamsuddin al-Khathib al-Syirbini.

[18] Berdasarkan penelitian saya terhadap sebahagian isi kandungan kitab Munyah al-Mushalli, saya dapati ia merupakan terjemahan beberapa petikan dari bab Solat yang terdapat dalam kitab al-Nasha-ih al-Diniyyah wa al-Washya al-Imaniyyah, yang disusun kembali oleh Syaikh Daud al-Fathani dengan beberapa pengubahsuaian. Hal ini boleh dilihat dari permulaan kitab Munyah al-Mushalli lagi. Petikan ini hanyalah melibatkan hikmat dan kelebihan solat sahaja, tidak melibatkan perkara hukum dan kaifiat solat. Di mana mengenai kaifiat solat Syaikh Daud banyak merujuk kepada beberapa kitab fiqh sebagaimana yang disebutkan dalam senarai rujukan di atas. Insya Allah, dengan izin-Nya dalam kesempatan yang lain, saya bercita-cita untuk memaparkan perkara ini secara bersiri untuk tatapan pembaca.