Wednesday, May 30, 2018

IRSYAD AL-ANAM ILA SYARH FAIDH AL-MALIK AL-'ALLAM


Kitab Irsyad al-Anam ila Syarh Faidh al-Malik al-‘Allam  (إرشاد الأنام إلى شرح فيض الله الملك العلام) atau judul lengkapnya Irsyad al-Anam ila Syarh Faidh al-Malik al-‘Allam li ma Isytamala ‘alaihi al-Nusuk min al-Ahkam (إرشاد الأنام إلى شرح فيض الله الملك العلام لما اشتمل عليه النسك من الأحكام) adalah sebuah kitab yang menerangkan mengenai tatacara ibadat haji dan umrah berdasarkan mazhab Syafi’i.

Kitab ini disusun oleh al-'Allamah al-Sayyid Yusuf bin Muhammad bin Yahya bin Abu Bakr bin Ali al-Baththah al-Ahdal al-Husaini al-Zabidi (1246H) sebagai huraian (syarah) bagi sebuah karya guru beliau al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim al-Rayyis (1187-1240H), yang berjudul Faidh al-Malik al-‘Allam (فيض الله الملك العلام).

Selain kitab Irsyad al-Anam ini terdapat sebuah karya lain yang juga menghuraikan kitab Faidh al-Malik al-‘Allam, iaitu kitab ‘Umdah al-‘Awam fi Syarh  Faidh al-Malik al-‘Allam (عمده العوام في شرح فيض الملك العلام), yang disusun oleh al-‘Allamah Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani al-Jawi (1230-1314H). Beliau juga merupakan murid kepada al-Syaikh Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim al-Rayyis.

Kitab Irsyad al-Anam ini boleh dimuat turun di pautan إرشاد الأنام إلى شرح فيض الله الملك العلام. Manakala manuskrip kitab Faidh al-Malik al-'Allam di pautan فيض الله الملك العلام   dan kitab ‘Umdah al-‘Awam di pautan عمده العوام في شرح فيض الملك العلام . 

Semoga bermanfaat.

Monday, May 28, 2018

TATIMMAH AL-IBANAH (تتمة الإبانة)


Kitab Tatimmah al-Ibanah fi Fiqh al-Syafi’i (تتمة الإبانة في الفقه الشافعي) adalah sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i karya oleh al-Imam Abu Sa'id Abdurrahman bin Ma’mun al-Mutawali al-Naisaburi (478H).

Kitab Tatimmah al-Ibanah atau terkenal dengan judul ringkasnya al-Tatimmah (التتمة) disusun oleh Imam al-Mutawali sebagai ringkasan bagi sebuah karya gurunya al-Imam Abu al-Qasim Abdul Rahman bin Muhammad Ahmad bin Fawran al-Fawrani (461H), yang berjudul al-Ibanah ‘an Ahkam Furu’ al-Diayanah (الإبانة عن أحكاِم فروع الديانة).

Sebenarnya kitab Tatimmah al-Ibanah ini bukanlah sekadar ringkasan kitab al-Ibanah, kerana selain meringkas kandungan kitab al-Ibanah, Imam al-Mutawali telah membuat penambahan beberapa permasalahan hukum yang tidak terdapat dalam kitab asalnya. Penambahan ini dilakukan sebagai melengkapkan lagi kandungan kitab al-Ibanah, sehingga Imam al-Mutawali menamakan karya beliau ini sebagai Tatimmah al-Ibanah (Pelengkap kitab al-Ibanah).

Namun begitu, ada juga penulis yang menganggap kitab Tatimmah al-Ibanah ini sebagai kitab huraian (syarah) bagi kitab al-Ibanah, bukannya ringkasan, memandangkan isi kandungannya ada huraian tambahan dari Imam al-Mutawali, seperti penambahan dengan pendapat-pendapat lain dalam sesuatu permasalahan kerana adanya dalil-dalil yang sahih mengenainya.

Imam al-Nawawi ada menyebutkan dalam kitab al-Majmu’ petikan dari kitab Tatimmah al-Ibanah. Di mana beliau menyebutkan Imam al-Mutawali sebagai “Shahib al-Tatimmah” (Pengarang kitab Tatimmah al-Ibanah). Berikut contoh petikan tersebut;

وقال صاحب ” التتمة ” : لا يكره الخاتم من حديد أو رصاص ؛ للحديث في الصحيحين أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال للذي خطب الواهبة نفسها ” اطلب ولو خاتما من حديد ” قال : ولو كان فيه كراهة لم يأذن فيه.

Ertinya: “Pengarang kitab al-Tatimmah mengatakan: ‘Tidak makruh menggunakan cincin besi atau tembaga. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan dalam dua kitab shahih (al-Bukhari dan Muslim), bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah menyuruh orang yang melamar wanita untuk mencari cincin besi.  Jika cincin besi hukumnya makruh, tentulah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam tidak akan menyuruhnya ”. (al-Majmu’, 4/341).

Sayangnya kitab ini tidak sempat disempurnakan oleh Imam al-Mutawali, ia hanya sempat disiapkan setakat perbincangan mengenai Kitab al-Hudud dalam bab al-Saraqah (Mencuri). Bagi menyempurnakan kitab Tatimmah al-Ibanah ini, usaha telah dilakukan oleh al-Imam Muntajibuddin Abu al-Futuh, As’ad bin Mahmud bin Khalaf al-‘Ijliy al-Ashbahani (515-600H) dengan menyusun karya beliau yang berjudul Tatimmah al-Tatimmah (تتمة التتمة).

Secara umum kitab al-Tatimmah ini masih wujud dalam bentuk manuskrip, namun begitu sebahagian dari isi kandungannya telah ditahkik oleh beberapa orang mahasiswa pusat pengajian tinggi sebagai latihan ilmiah mereka.

Antara kandungan kitab ini boleh dimuat turun di pautan berikut;


Semoga bermanfaat.

Thursday, May 24, 2018

AL-TA'LIQAH AL-KABIRAH ( التعليقة الكبيرة)


Kitab al-Ta’liqah al-Kabirah (الكبيرة التعليقة) karya al-Qadhi  Husain, Abu ‘Ali al-Husain bin Muhammad bin Ahmad al-Marwarruzi (462H), adalah antara kitab-kitab huraian[1] (syarah) yang terkenal bagi kitab Mukhtashar al-Muzani.

Kitab Mukhtashar al-Muzani merupakan sebuah kitab fiqh utama dalam mazhab al-Syafi’i, yang disusun Imam Abu Ibrahim, Ismail bin Yahya bin Isma’il al-Mishri al-Muzani (175-246H), yang terkenal dengan gelaran Imam al-Muzani. Beliau merupakan murid dan sahabat utama kepada Imam al-Syafi’i.

Kitab al-Ta’liqah ( التعليقة) karya al-Qadhi Husain ini telah menjadi rujukan para ulama terdahulu dan isi kandungannya telah dipetik dan dirakamkan dalam kitab-kitab fiqh mazhab al-Syafi’i.

Berdasarkan kitab al-Ta’liqah yang telah ditahkik Ali Muhammad ‘Iwad dan ‘Adil Ahmad ‘Abdul Mawjud dan diterbitkan Maktabah Nizar Mustafa al-Baz, Makkah al-Mukarramah,  ia telah diterbitkan dalam dua jilid dengan 1136 halaman. Namun terbitan ini tidak merangkumi keseluruhan kandungan kitab al-Ta’liqah yang asal. Kandungannya hanya memaparkan mengenai bab Thaharah dan Solat sahaja. Kitab al-Ta’liqah versi ini boleh dimuat turun di pautan https://archive.org/download/WAQ26197/26197.pdf.

Semoga bermanfaat.




[1] Antara karya lain yang berjudul al-Ta’liqah yang disusun sebagai kitab huraian (syarah) kitab Mukhtashar al-Muzani ialah;
a) al-Ta’liqah al-Kabirah fi al-Fiqh ‘ala Mukhtashar al-Muzani, karya al-Qadhi Abu Hamid  al-Isfirayini, Ahmad bin Muhammad (344-406H)
b) al-Ta’liqah, karya Abu Hamid al-Maruzi (326H). Kitab ini kemudiannya telah diringkaskan oleh Abu Ishaq al-Syirazi dalam kitabnya al-Tanbih.
c) al-Ta’liqah al-Kubra fi Furu’ al-Syafi’iyyah (التعليقة الكبرى في فروع الشافعية), karya al-Qadhi    Abu   al-Thayyib, Thahir bin Abdullah al-Thabari (406H).

Tuesday, May 22, 2018

al-‘Umdah fi Tashhih al-Tanbih (العمدة في تصحيح التنبيه )


Kitab Tashhih al-Tanbih (تصحيح التنبيه) atau judul lengkapnya al-‘Umdah fi Tashhih al-Tanbih  (العمدة في تصحيح التنبيه ), adalah sebuah karya fiqh al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H).

Kitab ini disusun berdasarkan kitab al-Tanbih ( التنبيه), iaitu sebuah rujukan fiqh utama dalam Mazhab al-Syafi’i, yang disusun al-Imam Abu Ishaq Ibrahim al-Syairazi al-al-Fairuzabadi (393-476H). 

Sebagaimana judulnya, kitab ini disusun oleh Imam al-Nawawi bagi mentashih (membetulkan) beberapa kekeliruan yang terdapat dalam kitab al-Tanbih. Di samping itu, Imam al-Nawawi berusaha mentarjih dan menerangkan pendapat yang rajih dan muktamad mengikut mazhab Syafi’i.

Kitab Tashhih Tanbih ini boleh dimuat turun di  COVER - JUZ 1 - JUZ 2 - JUZ 3.

Semoga bermanfaat.

TUHFAH AL-HABIB BI SYARH NAZHM GHAYAH AL-TADRIB


Kitab Tuhfah al-Habib[1] bi Syarh Nazhm Ghayah al-Tadrib fi al-Fiqh al-Imam al-Syafi’i (تحفة الحبيب بشرح نظم غاية التقريب في فقه مذهب الإمام الشافعيmerupakan sebuah karya al-Imam Syaikh Ahmad bin al-Hijazi bin Badir al-Fasyani (978H). 

Kitab Tuhfah al-Habib ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab Nihayah al-Tadrib fi Nadzm Ghayah al-Taqrib (في نظم غاية التقريب نهاية التدريب)iaitu sebuah kitab karya al-Imam Syarafuddin Yahya bin Nuruddin bin Musa bin Ramadhan bin ‘Umairah al-‘Imrithi (988H) yang disusun dalam bentuk nazam berdasarkan matan Ghayah al-Taqrib karya al-Qadhi Abu Syuja’ Syihabuddin Ahmad bin al-Hasan bin Ahmad al-Ashbahani (434-500H).

Kitab Tuhfah al-Habib bi Syarh Nazhm Ghayah al-Tadrib ini boleh dimuat turun di sini

Semoga bermanfaat.


[1] Terdapat juga karya lain yang berjudul Tuhfah al-Habib, iaitu kitab  Tuhfah al-Habib 'ala Syarh al-Khathib atau terkenal dengan judul Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Khathib. Ia sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh  al-‘Allamah Syaikh Sulaiman bin Muhammad bin ‘Umar al-Bujairimi al-Azhari (1131-1221H).

Friday, May 18, 2018

HILYAH 'ULAMA' FI MA'RIFAH MAZAHIB AL-FUQAHA'


Kitab Hilyah al-‘Ulama’ fi Ma’rifah Mazahib al-Fuqaha’ (حلية العلماء في معرفة مذاهب الفقهاء) adalah sebuah karya al-Imam Fakhr al-Islam Abu Bakr Muhammad bin Ahmad bin al-Husain bin ‘Umar al-Syasyi al-Faraqy al-Syafi’i (429-507H), yang terkenal dengan gelaran al-Mustazhhari (المستظهري).

Kitab Hilyah al-‘Ulama’ ini disusun atas permintaan khalifah kerajaan ‘Abbasiyyah ketika itu, iaitu Khalifah al-Mustazhhar billah. Oleh itu kitab ini juga terkenal dengan judul al-Mustazhhari sempena nama Khalifah al-Mustazhhar billah tersebut. Secara tidak langsung, karya beliau ini telah memasyhurkan nama beliau di kalangan para fuqaha’. Sehinggakan beliau sendiri terkenal dengan gelaran al-Mustazhhari.

Kitab Hilyah al-‘Ulama’ merupakan sebuah kitab fiqh perbandingan mazhab. Ia disusun mengikut bab-bab fiqh yang memaparkan pendapat para ulama mazhab Syafi’i dan pendapat para ulama mazhab lain, khusus mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali mengenai pelbagai permasalahan fiqh. Terdapat juga dibawakan pendapat-pendapat ulama dari mazhab al-Zhahiri dan Syi’ah dalam beberapa masalah tertentu.

Kandungan kitab ini boleh dikatakan sebuah ensiklopedia fiqh yang sangat bernilai, yang ringkas dan mudah dirujuk. Namun begitu, perbincangan fiqh dalam kitab ini tidak menyebutkan dalil-dalil syarak dari al-Quran dan hadis, bahkan memadai dengan membawakan pandangan tokoh-tokoh mazhab yang yang terdapat dalam pelbagai kitab-kitab fiqh yang disusun oleh para ulama terkemuka.

Penyusunan kitab ini menunjukkan bahawa al-Imam Abu Bakr al-Syasyi merupakan seorang yang sangat jujur dalam membawakan pandangan para ulama terhadap pelbagai permasalahan fiqh yang dibincangkan. Keupayaan beliau membawakan pelbagai pendapat menunjukkan ketekunan dan ketinggian keilmuannya. Beliau bukan sahaja mendapat kedudukan yang tinggi di kalangan para ulama mazhab Syafi’i, bahkan para ulama mazhab yang lain pada zamannya.

Kitab Hilyah al-‘Ulama’ ini mempunyai sebuah kitab ringkasan (mukhtashar), yang disusun oleh Imam Muhammad bin Muhammad bin Bahram al-Dimasyqi (705H) melalui karyanya yang berjudul Tuhfah al-Nubaha’ fi Ikhtilaf al-Fuqaha’ (تحفة النبهاء في اختلاف الفقهاء).

Berdasarkan versi terbitan Maktabah Nazar Mustafa al-Baz, Arab Saudi pada tahun 1990 (cetakan 2), kitab Hilyah al-‘Ulama’ fi Ma’rifah Mazahib al-Fuqaha’ ini telah dicetak dalam 3 juzuk, yang merangkumi dalam 1283 halaman. Kitab ini boleh dimuat turun  di pautan حلية العلماء في معرفة مذاهب الفقهاء.

Semoga bermanfaat.

al-Bahr al-Muhith fi Syarh al-Wasith (البحر المحيط في شرح الوسيط)


Kitab al-Bahr al-Muhith fi Syarh al-Wasith (البحر المحيط في شرح الوسيط)[1] adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Najmuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Abu al-Hazm Makiy bin Yasin al-Qurasyi al-Makhzumi al-Qamuli (727H).

Kitab al-Bahr al-Muhith ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Wasith fi al-Mazhab (الوسيط في المذهب) karya Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (505H). Imam Abu al-‘Abbas al-Qamuli kemudiannya telah meringkaskan kitab al-Bahr al-Muhith ini melalui kitabnya yang berjudul Jawahir al-Bahr (جواهر البحر).

Kemudian al-Imam Sirajuddin ‘Umar bin Muhammad al-Yamani (887H) telah meringkaskan pula kitab Jawahir al-Bahr tersebut melalui kitabnya Jawahir al-Jawahir (جواهر الجواهر).

Semoga bermanfaat.


[1] Terdapat juga kitab lain yang berjudul al-Bahr al-Muhith yang disusun oleh para ulama, antaranya;
a)      al-Bahr al-Muhith, karya al-Imam Badruddin Muhammad Bahadur bin Abdullah al-Syafi’i al-Zarkasyi (745-794H). Kandungan kitab ini mengenai bidang Usul Fiqh.
b)   Tafsir al-Bahr al-Muhith (تفسير البحر المحيط), karya Abu Hayyan Muhammad bin Yusuf al-Andalusi (745H). Muat turun kitab ini di pautan http://waqfeya.com/book.php?bid=1230.

Wednesday, May 16, 2018

SHAFWAH AL-MAZHAB MIN NIHAYAH AL-MATHLAB


Kitab Shafwah al-Mazhab min Nihayah al-Mathlab (صفوة المذهب من نهاية المطلب) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Abu Sa’ad Syarafuddin Abdullah bin Muhammad bin Hibatullah bin al-Muthahhar bin  ‘Ashrun (493-585H), yang terkenal dengan julukan Ibn ‘Ashrun. 

Judul kitab ini dengan nama Shafwah al-Mazhab min Nihayah al-Mathlab ada disebutkan oleh Ibn Khalikan dan Haji Khalifah di dalam karya-karya mereka. Manakala Ibn Qadhi Syuhbah menyebutnya sebagai Shafwah fi Ikhtishar Nihayah al-Mathlab. Kitab ini merupakan ringkasan[1] bagi kitab Nihayah al-Mathlab fi Dirayah al-Mazhab (نهاية المطلب في دراية المذهب)karya al-Imam Haramain al-Juwaini (478H).

Selain daripada judul di atas, Imam al-Subki pula menyebutkannya dengan nama Shafwah al-Mazhab ‘ala Nihayah al-Mathlab. Berdasarkan judul yang diberikan oleh al-Subki, kitab ini merupakan huraian (syarah) bagi kitab Nihayah al-Mathlab fi Dirayah al-Mazhab (نهاية المطلب في دراية المذهب), bukannya ringkasan.

Namun begitu judul yang disebutkan oleh Ibn Khalikan, Haji Khalifah dan Ibn Qadhi Syuhbah lebih tepat berbanding dengan judul yang disebutkan oleh al-Subki, kerana kitab Nihayah al-Mathlab ditulis merangkumi 40 jilid. Sedangkan kitab Shafwah al-Mazhab ini hanya merangkumi 7 jilid sahaja. Berdasarkan realiti tersebut, terbukti bahawa kitab al-Shafwah al-Mazhab ini merupakan ringkasan bagi kitab Nihayah al-Mathlab dan bukannya kitab huraiannya.

Sekadar ini sahaja, maklumat yang diperolehi mengenai kitab Shafwah al-Mazhab min Nihayah al-Mathlab karya Imam Ibn ‘Ashrun ini. Saya belum mendapat maklumat cetakan bagi karya ini. Wallahu a’lam.

Semoga bermanfaat.


[1] Selain kitab Shafwah al-Mazhab min Nihayah al-Mathlab ini, terdapat karya lain yang disusun sebagai kitab ringkasan bagi kitab Nihayah al-Mathlab Fi Dirayah al-Mazhab, antaranya;
a)  Kitab al-Basith (البسيط), karya al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (505H).
b) Kitab al-Ghayah fi Ikhtishar al-Nihayah (الغاية في اختصار النهاية), karya al-Imam ‘Izzuddin bin Abdul Salam (660H).

Monday, May 14, 2018

AL-MUQADDIMAH FI AL-FIQH (المقدمة في الفقه)


Kitab al-Muqaddimah fi al-Fiqh (المقدمة في الفقهmerupakan sebuah karya fiqh yang ringkas yang disusun berdasarkan Mazhab al-Syafi’i. Kitab ini disusun oleh al-Imam Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Suyuthi (849-911H). 

Kandungan kitab ini dimulai di awalnya dengan ringkasan akidah mengenai rukun iman. Kemudiannya dikuti dengan penerangan ringkas mengenai;

a) Bersuci: yang terdiri beberapa fasal, iaitu adab masuk tandas dan istinjak, 
    berwuduk dan mandi.
b) Solat: yang terdiri beberapa fasal, iaitu rukun dan sunat solat, syarat sah solat, 
     solat-solat sunat, sunat-sunat hari jumaat, rukun khutbah dan solat jenazah.
c) Puasa:  rukun dan sunat puasa.
d) Zakat fitrah.
e) Adab memberi salam
f) Larangan mengumpat dan memfitnah
g) Anjuran membaca al-Quran, berzikir, berdoa dan beristighfar.

Saya belum menemui versi cetakan kitab ini. Namun begitu, isi kandungan kitab ini boleh dibaca di pautan http://www.alukah.net/sharia/0/107000/Semoga bermanfaat.

Friday, May 11, 2018

AL-KHULASHAH FI NAZHM AL-RAWDHAH (الخلاصة في نظم الروضة)


Kitab al-Khulashah fi Nazhm al-Rawdhah fi al-Fiqh (الخلاصة في نظم الروضة في الفقه) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam al-Hafizh Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Suyuthi (911H). Kitab ini disusun dalam bentuk nazam berdasarkan kitab Rawdhah al-Thalibin (روضة الطالبين), karya al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H). 

Imam Jalaluddin al-Suyuthi kemudiannya menghuraikan bait-bait nazam yang terkandung dalam kitab al-Khulashah ini, melalui karya beliau yang berjudul Raf’ al-Khashashah fi Syarh al-Khulashah (رفع الخصاصة فى شرح الخلاصة ).        

Sekadar ini sahaja, maklumat yang diperolehi mengenai kitab al-Khulashah fi Nazhm al-Rawdhah karya Imam Jalaluddin al-Suyuthi ini. Saya belum mendapat maklumat mengenai kewujudan manuskrip atau versi cetakan bagi karya ini. Namun begitu, beberapa petikan kandungan kitab ini ada disebutkan oleh Imam al-Suyuthi di dalam karya beliau yang berjudul al-Asybah wa al-Nazha-ir (الأشباه والنظائر).


Semoga bermanfaat.

         

Saturday, May 5, 2018

AL-'UDDAH AL-SHUGHRA (العدة الصغرى)


Kitab al-‘Uddah al-Shughra (العدة الصغرى) adalah antara kitab-kitab fiqh mazhab Syafi’i yang muktamad, yang menjadi rujukan para fuqaha’. Kitab ini disusun oleh al-Imam Abu Ishaq al-Ruyani Ibrahim bin Ali bin al-Husain al-Syaibani al-Thabari (523H), yang terkenal dengan gelaran Abu al-Makarim al-Ruyani. Dengan karyanya ini, beliau disebutkan dalam kitab-kitab fiqh dengan julukan Shahib al-‘Uddah (صاحب العدة)- pengarang al-‘Uddah.

Menurut al-‘Allamah Abdul Qadir al-Mandili, jika disebutkan kitab al-‘Uddah secara mutlak, maka yang dimaksudkan adalah kitab al-‘Uddah al-Shughra ini.  Haji Khalifah menyebutkan dalam kitabnya Kasyf al-Dzunun (2/1129) nama kitab ini adalah al-‘Uddah – tanpa perkataan al-Shughra. Kemungkinan perkataan al-Shughra tersebut ditambahkan di hujungnya bagi membezakannya dengan kitab al-‘Uddah al-Kubra Syarh al-Ibanah[1], iaitu karya Imam Abu Abdullah al-Husain al-Thabari (495H).

Sekadar ini sahaja, maklumat yang diperolehi mengenai kitab al-‘Uddah al-Shughra (العدة الصغرى) karya Imam Abu Ishaq al-Ruyani ini. Saya belum mendapat maklumat mengenai kewujudan manuskrip atau versi cetakan bagi karya ini.

Semoga bermanfaat.

[1] Kitab al-‘Uddah al-Kubra Syarh al-Ibanah adalah huraian (syarah) bagi kitab al-Ibanah fi Furu’ al-Syafi’i, iaitu sebuah kitab fiqh dalam mazhab Syafi’i karya al-Imam Abu al-Qasim Abdul Rahman bin Muhamad Ahmad bin Fawran al-Fawrani (461H). 

Thursday, May 3, 2018

AL-SYAMIL AL-KABIR (الشامل الكبير)


Kitab al-Syamil al-Kabir ‘ala Mukhtashar al-Muzani  (الشامل الكبير علي مختصر المزني), adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Abu Nashir Abdul Sayyid bin Abdul Wahid al-Baghdadi (400-477H), yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Shabbagh. Kitab al-Syamil al-Kabir ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab Mukhtashar al-Muzani, karya al-Imam Abu Ibrahim Ismail bin Yahya al-Muzani (264H). Kitab ini juga dikenali dengan judul al-Syamil fi al-Furu' (الشامل في الفروع).

Dalam kitab-kitab fiqh mazhab Syafi’i, jika disebutkan kitab al-Syamil (الشامل) secara itlaqnya, tanpa perkataan al-Kabir (الكبير), maka yang dimaksudkan adalah kitab ini.

Kitab al-Syamil ini menjadi rujukan penting para ulama mazhab Syafi’i, kerana isi kandungannya bukan sahaja memaparkan pandangan Imam al-Syafi’i dan pandangan para ulama’ mujtahid mazhab Syafi’i sahaja, bahkan memuatkan pandangan para imam mazhab yang lain. Kitab ini merupakan sebuah ensiklopedia fiqh yang sangat bernilai yang penuh dengan permasalahan fiqh.

Kitab al-Syamil telah diberikan huraian (syarah) oleh Imam Fakhr al-Islam Abu Bakr Muhammad bin Ahmad bin al-Husain bin ‘Umar al-Syasyi al-Qaffal al-Faraqy al-Syafi’i (429-507H), yang terkenal dengan gelaran al-Qaffal al-Mustazhhari - melalui kitabnya al-Syafi Syarh al-Syamil (الشافي شرح الشامل)[1]

Kitab al-Syamil ini masih dalam bentuk manuskrip yang tersimpan di beberapa perpustakaan di Timur  Tengah. Walau bagaimanapun, sebahagian kecil kitab ini telah dijadikan kajian ilmiah dan ditahkik oleh para pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi.

Sebahagian kandungan kitab ini boleh dimuat turun di
1. http://libback.uqu.edu.sa/hipres/ABS/ind13243.pdf (kitab Jenazah hingga permulaan bab puasa sunat ). 
2.  http://b7oth.com/?p=7759 ( Awal kitab Nikah hingga akhir bab larangan meminang atas pinangan orang lain)

Semoga bermanfaat.


[1] Beliau juga mempunyai kitab yang lain yang mempunyai judul yang sama, iaitu kitab al-Syafi Syarh Mukhtashar al-Muzani (الشافي شرح مختصر المزني ).

Tuesday, May 1, 2018

'UYUN AL-MASA-IL (عيون المسائل)


Kitab ‘Uyun al-Masa-il (عيون المسائل) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Abu Bakr Ahmad bin al-Hasan bin Sahl al-Farisi[1] (350H/961M). Beliau terkenal di kalangan para ulama dengan gelaran Shahib ‘Uyun al-Masa-il (عيون المسائل صاحب). Antara karya beliau yang lain ialah kitab al-Intiqad ‘ala al-Muzani.

Kitab ‘Uyun al-Masa-il telah menjadi rujukan para ulama mazhab Syafi’i, kandungan kitab ini telah dipetik dan dirakamkan dalam karya-karya fiqh mereka. Kitab ‘Uyun al-Masa-il, kemudiannya telah diberikan huraian (syarah)nya oleh al-Imam Abu Bakr Abdullah bin Ahmad bin Abdullah al-Marwazi al-Qaffal al-Shaghir (327-417H).

Sekadar ini sahaja, maklumat yang diperolehi mengenai kitab 'Uyun al-Masa-il karya Imam Abu Bakr al-Farisi ini. Saya belum mendapat maklumat mengenai kewujudan manuskrip atau versi cetakan bagi karya ini.

Riwayat hidup ringkas al-Imam Abu Bakr al-Farisi boleh dibaca di pautan

Semoga bermanfaat.



[1] Selain kitab ‘Uyun al-Masa-il, karya Imam Abu Bakr al-Farisi ini, terdapat juga karya ulama dari mazhab lain yang mempunyai judul yang sama, antaranya;

a)      ‘Uyun al-Masa-il (عيون المسائل), karya  al-Imam Abu Muhammad Abdul Wahhab bin ‘Ali bin Nashr al-Tsa’labi al-Baghdadi al-Maliki (422H). Kitab ini merupakan ringkasan bagi karya guru beliau al-Qadhi Ibn al-Qushshar Abu al-Hasan ‘Ali bin ‘Umar al-Baghdadi (398H) yang berjudul  ‘Uyun al-Adillah fi Masa-il al-Khilaf Bayna Fuqaha al-Ummah (عيون الأدلة في مسائل الخلاف بين فقهاء الأمة), iaitu sebuah kitab fiqh perbandingan (المقارن). Kitab ini boleh dimuat turun di pautan https://archive.org/download/FP109140/109140.pdf.

b)      ‘Uyun al-Masa-il fi Furu’ al-Hanafiyyah (عيون المسائل في فروع الحنفية), karya al-Imam Abu al-Laits Nashr bin Muhammad al-Samarqandi al-Hanafi (375H). kitab ini boleh dimuat turun di pautan