Tuesday, September 15, 2020

Pohon Agama Bahagian Rukun Iman


Kitab Pohon Agama Bahagian Rukun Iman  merupakan sebuah kitab dalam bahasa Melayu yang membicarakan mengenai akidah berdasarkan manhaj Ahlu Sunnah wal Jamaah. Kitab ini disusun oleh Yang Maha Mulia Maulana al-Sultan al-Mu’azzam ‘Ala’eddin Sulaiman Shah, iaitu sultan yang memerintah negeri Selangor pada tahun 1898 hingga 1938.

Berdasarkan Kitab Pohon Agama Bahagian Rukun Iman pada bahagian kulit buku bertulisan jawi tertulis:

Kitab Pohon Agama, Bahagian Rukun Iman (yang menghantarnya) Yang Maha Mulia Maulana al-Sultan al-Mu’azzam ‘Ala’eddin Sulaiman Shah, Khaladallah Mulakah wa ‘Alahu Amin. Pelajaran Kanak-kanak di Dalam Tempat Pelajaran Ugama Islam di Dalam Jajahan Selangor Darul Ehsan. Mudah-mudahan Dijadikan Manfaat yang Berkekalan, Mada al-Zaman, 15 Jamadilakhir 1349/1930. Taba‘ yang Ketiga, ditaba‘ oleh New Klang Press, Klang”

Menurut al-Marhum Ustaz Haji Wan Mohd. Shaghir; Kitab Pohon Agama Bahagian Rukun Iman, diselesaikan pada 1337H/1919M. Cetakan ketiga, Mathba‘ah New Klang Press, Klang, 15 Jamadilakhir 1349H/1930M.

Kitab ini telah disemak oleh Mufti Selangor ketika itu, iaitu Tengku Mahmud Zuhdi. Berikut dilampirkan pandangan beliau tentang kitab ini dimuatkan dengan kata-katanya:

Terlihatlah hamba yang daif atas kitab ini, Pohon Ugama, karangan bagi Yang Maha Mulia Sultan Selangor Maulana al-Mu‘azzam Sir Alauddin Sulaiman Syah... Maka patut dijadikan pelajaran kanak-kanak yang mubtadi pada tiap-tiap sekolah ugama supaya berkekalan manfaatnya istimewa pula..”.

Kandungan yang menjadi topik perbahasan keseluruhan ialah mengenai akidah. Dalam kitab ini kita akan dapat mengetahui kecenderungan mazhab dalam akidah baginda iaitu berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Metodologi penulisan kitab ini adalah berdasarkan soal-jawab, iaitu simbul huruf (س ) mewakili soalan, huruf (ج ) pula mewakili jawapan, kecuali dalam Pelajaran 10, 11, 12, 13, 14, 15, 16, 17 dan 18, iaitu dengan pendekatan penerangan secara langsung. Di samping itu pengarang turut memberikan soalan pengukuhan di akhir perbincangan bagi setiap pelajaran kecuali Pelajaran 10.47.

Contoh soal jawab pada Bahagian Agama: [Soalan] Apa Awaluddin, ertinya pertama-tama yang diwajibkan pada agama itu? [Jawapan] Awaluddin itu ma’rifatullah, ertinya mengenal Allah Ta’ala.

Kitab Pohon Ugama ini telah disusun ringkasan dan syarah (huraian)nya oleh cicit baginda pengarangnya, iaitu YM Ustaz Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin al-Azhari. Berikut karya beliau yang berkaitan kitab Pohon Agama; 

1) Sharah Pohon Agama Sultan Ala’u al-Din Sulayman Shah Ibni Raja Muda Musa. 

2)  Aqidah Al-Sulaymaniyyah: Ringkasan Pohon Agama.

Kedua-dua kitab ini telah diterbitkan oleh Akademi Jawi Malaysia.

Semoga bermanfaat.