Wednesday, February 19, 2020

Tafsir Pedoman Muttaqin


Tafsir Pedoman Muttaqin ialah sebuah kitab tafsir dalam bahasa Melayu kontemporari yang disusun oleh Dr. Abdul Hayei bin Abdul Sukor (1947-). Beliau adalah salah seorang cendikiawan muslim termuka di Malaysia.

Tafsir ini ditulis sebagai kesinambungan kepada tafsir Pimpinan al-Rahman yang telah dirintis sebelumnya dan bertujuan untuk menjadi pedoman kepada umat Islam setelah mendapat bimbingan daripada tafsir Pimpinan al-Rahman. Penulisan Tafsir Pedoman Muttaqin bermula dengan saranan daripada Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi dalam pertemuan beliau dengan ulama yang diadakan di Bilik Mesyuarat Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putra Jaya pada 3 Oktober tahun 2006. Perdana menteri memberi pandangan dan menyarankan agar interpretasi terhadap isi kandungan al-Quran perlu sentiasa dinamik sejajar dengan keunggulan Islam. Berdasarkan saranan tersebut, kajian dan beberapa sesi perbincangan pun dilakukan yang akhirnya JAKIM memberikan mandat kepada Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor untuk menyusun kitab tafsir sebagai pedoman kepada ummah dan demi ketinggian Islam di Malaysia.

Penulisan Tafsir Pedoman Muttaqin masih dalam peroses penyusunan. Setakat maklumat yang diperolehi – hingga kini ia telah diterbitkan sebanyak 8 juzuk, iaitu juzuk 1, 2, 3, 4. 5 dan 6, serta juzuk 28 dan 29.

Penerbitan pertama Tafsir Pedoman Muttaqin juzuk 1 dan 2 pada tahun 2008 oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia). Manakala terbitan keduanya pada tahun 2010 oleh penerbit yang sama. Begitu juga penerbitan juzuk 3, 4, 5 dan 6  telah diterbitkan oleh pihak JAKIM (tahun penerbitannya –belum diperolehi).

Sementara itu, juzuk 28 dan 29 telah diterbitkan oleh Utusan Pulications lebih awal sebelum penerbitan juzuk 1 dan 2, iaitu juzuk 28 pada tahun 2003 dan juzuk 29 pada tahun 2005. Tafsir ini akan diterbitkan sebanyak 30 juzuk yang penerbitan terakhirnya dijangka pada tahun 2022.

Metodologi Penyusunan Kitab Tafsir Pedoman Muttaqin.

Kitab Tafsir Pedoman Muttaqin ditulis menggunakan bahasa Melayu tulisan rumi. Pengarang memulakan tafsirannya dengan mengemukakan sinopsis setiap surah yang akan ditafsirkan. Tafsiran surah biasanya diawali dengan penjelasan nama surah, masa nuzulnya serta munasabah antara surah dengan surah sebelum mahupun surah sesudahnya. Kemudian mengemukakan ikhtisar atau makna yang dikandung oleh setiap surah secara umum, dan pada akhir kupasan kelompok ayat yang ditafsirkan pengarang menyertakan saranan dan pengajaran sebagai intisari daripada ayat yang baru ditafsirkan. Pengarang dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Qur‟an menggunakan pendekatan Ma’thur dan Ma’qul. Pendekatan Ma’thur bermaksud menjelaskan makna ayat al-Quran dan menghuraikannya dengan ayat al-Quran, sunnah yang sahih, pendapat para sahabat dan tabi’in. Namun pentafsiran al-Quran berdasarkan pendapat tabi’in, para ulama berbeza pendapat. Sesetengah ulama mengatakan tidak termasuk dalam kategori Tafsir Bi al-Ma’thur tetapi ia digolongkan kepada Tafsir Bi al-Ra’y. Manakala Tafsir Bi al-Ra’y bermaksud usaha pentafsiran al-Quran secara rasional berpandukan kepada kaedah Bahasa Arab yang mesti diketahui oleh setiap mufassir sebelum menjelaskan maksud al-Quran. Seperti ilmu nahwu dan saraf, ilmu balaghah, ilmu qira‟at, ilmu usul al-din, usul al-fiqh, dan lain sebagainya. Pentafsiran seperti ini juga turut digunapakai oleh  Dr. Abdul Hayei dalam Tafsir Pedoman Muttaqin. Dalam Tafsir Pedoman Muttaqin ini, Dr. Abdul Hayei mentafsirkan ayat secara kelompok yang berasingan. Kemudian mentafsirkan ayat-ayat tersebut satu demi satu selepas mengemukakan munasabah dengan kelompok ayat sebelumnya dan mengemukakan sabab al-nuzul jika ada. Seterusnya, pada akhir pentafsiran pengarang mengemukakan saranan dan pengajaran sebagai intisari daripada kandungan ayat yang baru sahaja ditafsirkan. Dalam menghuraikan ayat pula pengarang mengambil kira pandangan para ulama silam dan semasa seperti Muhammad bin Jarir al-Tabari (w. 310 H), Sayyid Qutub (1906-1966 ), Wahbah al-Zuhayli (1937-2015) dan Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi (1911-1998).

Bagi memudahkan para pembaca, pengarang meletakkan beberapa tajuk khas berdasarkan kandungan ayat yang akan ditafsirkan. Kemudian mengemukakan fahrasat Hadith, athar dan syair yang dibawakan dalam pentafsiran pada akhir kitab setiap juzuk. Inilah di antaranya keistimewaan Tafsir Pedoman Muttaqin berbanding dengan kitab tafsir lain.

Berkenaan dengan penulisan hadith, hadith-Hadith dalam Tafsir Pedoman Muttaqin dinyatakan dalam pelbagai bentuk. Sebahagian hadith dinyatakan dengan mengemukakan sanad dan takhrijnya secara ringkas berkenaan dengan nama pengarang, kitab, bab dan nombor hadith. Sebahagian Hadith pula dinyatakan nama mukharrij tanpa sanad dan ada juga hadith dinyatakan dengan matan sahaja tanpa sanad dan mukharrij. Kajian mendapati, hadith-Hadith yang dinyatakan oleh pengarang tidak semuanya dalam kategori maqbul tetapi ada yang mardud. Walau bagaimanapun, kitab Tafsir Pedoman Muttaqin adalah kitab tafsir yang baik dan sewajarnyalah ia dimiliki oleh setiap muslim khususnya di Nusantara, kerana penjelasannya bersifat ilmiah, mudah difahami oleh masyarakat awam serta menyentuh perbahasan isu semasa yang relevan dengan cabaran dan situasi umat Islam masa kini. Apa yang lebih penting ialah tafsir ini tidak hanya dibanggakan dengan huraiannya yang menarik tetapi juga isi kandungan dan pesan-pesannya mesti dijadikan pedoman hidup seseuai dengan namanya.

Sebahagian besar artikel di atas dipetik dengan beberapa pengubahsuaian dari artikel di pautan http://studentsrepo.um.edu.my/5246/4/BAB_III.pdf.   Semoga bermanfaat.

Sunday, February 16, 2020

Fatwa Kontemporari


Buku Fatwa Kontemporari merupakan sebuah karya terjemahan bagi kitab Fatawa Mu’ashirah (فتاوى معاصرة karya al-‘Allamah Dr Yusuf bin Abdullah al-Qaradhawi (1926-).

Kitab Fatawa al-Mu’asharah ini adalah antara kitab-kitab fatwa yang terkenal pada masa kini, yang menjadi rujukan para ulama dan umat Islam dalam pelbagai pelbagai permasalahan agama. Kandungan kitab ini merupakan himpunan fatwa-fatwa yang pernah dikeluarkan oleh al-Qaradhawi, sama ada  yang pernah disiarkan dalam program “Huda al-Islam” , iaitu program soal jawab agama di radio Qattar, atau yang pernah disiarkan di surat khabar atau majalah. Al-Qaradhawi menamakan kitab fatwa beliau ini sebagai Huda al-Islam  atau Fatawa Mu’ashirah. Sehingga hari ini kitab ini telah diterbitkan dalam 4 jilid.

Buku Fatwa Kontemporari diterbitkan oleh PTS Islamika berdasarkan 4 jilid kitab Fatawa al-Mu’ashirah tersebut. Bagi menjadikan buku ini lebih mesra pengguna dari segi saiz, berat dan harga, pihak PTS Islamika telah membahagikan setiap jilid kepada 4 buah siri buku yang berasingan. Ini menjadikan keseluruhan siri buku adalah 16 buah. Namun begitu, sepanjang proses ini, susunan kandungan setiap bahagian dan bab dikekalkan.

Pembahagian 4 jilid kepada 16 buah siri buku berkenaan adalah seperti berikut;

1)      Jilid 1: 
Siri 1: al-Quran, Hadith & Akidah
Siri 2: Ibadah
Siri 3: Wanita dan Keluargaan
Siri 4: Hubungan Kemasyarakatan

2)      Jilid 2:
Siri 1: Al-Quran, Hadith, Fiqh, Ibadah dan Akidah
Siri 2: Wanita dan Keluargaan
Siri 3: Hubungan Kemasyarakatan
Siri 4: Fiqh Perubatan, Politik dan Pentadbiran

3)      Jilid 3:
Siri 1: Al-Quran, Hadith dan Usul Fiqh
Siri 2: Akidah, Ibadah, Wanita dan Keluarga
Siri 3: Hubungan Kemasyarakatan, Politik, Pemerintahan dan Perubatan
Siri 4: Fiqh Minoriti

4)      Jilid 4:
Siri 1: Al-Quran, Hadith dan Usul Fiqh
Siri 2: Akidah dan Perkara Ghaib
Siri 3: Ibadah, Wanita dan Keluarga
Siri 4: Masyarakat, Media, Politik, Pemerintahan, Perubatan dan Kesihatan

Pembahagian di atas merupakan pembahagian jilid dan siri buku ini sebagai yang ditetapkan oleh pihak penerbit. Namun begitu, berdasarkan maklumat yang diperolehi sehingga kini hanya 10 siri sahaja yang telah diterbitkan, iaitu keseluruhan jilid 1 ( 4 siri) dan jilid 2 (4 siri) dan sebahagian jilid 3 (hanya siri 1 dan 2 sahaja).

Penyusunan buku ini agak menarik dan menyenangkan pembaca untuk membuat rujukan dan mendapat maklumat. Namun begitu, satu kekurangan yang dirasai penulis ialah pihak penterjemah / penerbit hanya menyebutkan terjemahan hadis sahaja dalam buku ini, tanpa melampirkan teks (matan) hadis yang berbahasa Arab yang disebut dalam buku asalnya ini.  Mungkin perkara ini sengaja dilakukan bagi mengurangkan ketebalan buku ini.

Semoga penerbitan buku ini akan disambung lagi …. Semoga bermanfaat.

Wednesday, February 12, 2020

Adab Orang Islam


Buku “ Adab Orang Islam ”  merupakan sebuah buku yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Buku ini diterbitkan dengan cetakan pertama pada tahun 2014 dan cetakan kedua pada tahun 2017. Kedua-dua cetakan, buku ini diterbitkan dalam tulisan Jawi. Berdasarkan cetakan kedua 2017, ketebalan buku ini merangkumi 230 halaman.

Buku ini adalah terjemahan lengkap bagi bab “ Fi al-Adab (في الأدب)” dari buku Minhaj al-Muslim (منهاج المسلم), iaitu sebuah karya dalam bahasa Arab yang disusun oleh Abu Bakr al-Jazair – sebuah buku yang sangat popular di tengah masyarakat umat Islam masa kini. Isinya mengungkapkan perkara-perkara mengenai adab-adab yang perlu diamalkan dalam kehidupan harian seorang muslim, sama ada yang berkaitan dengan dirinya, keluarganya, jiran-jiranya maupun  hubungannya dengan sesama islam dan bukan islam.

Terjemahan buku ini diusahakan oleh al-Fadhil Tuan Haji Hasan bin Idris (2003), bekas pegawai pelajaran Majlis Agama Islam Kelantan – merangkap sidang pengarang Pengasuh. Selepas terjemahan ini selesai dikerjakan oleh penerjemahnya, ia telah disiarkan secara bersiri dalam Majalah Pengasuh pada masa hayat penerjemahnya, dan berakhir pada keluaran Pengasuh bilangan 576 (Okt-Nov. 2002).

Terjemahan ini kemudiannya telah diterbitkan kembali dalam bentuk yang tidak lengkap di bawah siri buku-buku percuma MAIK pada tahun 1991 dan 1992. Pada cetakan pertama (1991) buku ini hanya mengandungi sehingga bab Adab-adab Terhadap Binatang. Manakala pada cetakan kedua sehingga bab Adab-adab Makan dan Minum sahaja.

Kemudiannya, atas permintaan banyak pihak, naskhah terjemahan ini telah disemak dan disunting semula untuk dibukukan dengan kandungannya yang lengkap dalam sebuah buku khusus dengan judul “ Adab Orang Islam ”.

Karya asal yang lengkap dalam bahasa Arab boleh dimuat turun di pautan منهاج المسلم . Semoga bermanfaat.

Sunday, February 9, 2020

Mu'nis al-Jalis bi Syarh al-Yaqut al-Nafis


Kitab Mu'nis al-Jalis bi Syarh al-Yaqut al-Nafis  (مؤنس الجليس بشرح الياقوت النفيس) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Syaikh Abu Hamzah Mustafa bin Ahmad bin Abdul Nabiy al-Syafi'i.

Syaikh Mustafa menyusun kitab ini sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Yaqut al-Nafis fi Mazhab Ibn Idris (الياقوت النفيس في مذهب ابن إدريس)iaitu sebuah karya al-‘Allamah al-Sayyid Ahmad bin ‘Umar al-Syathiri (1312-1360H), seorang ulama mazhab al-Syafi’i yang terkenal pada zamannya.

Berdasarkan cetakan pertama (2020), terbitan Dar Tsamarat al-‘Ulum, Mesir - kitab Mu'nis al-Jalis ini telah diterbitkan dalam dua  jilid:  jilid 1: 618 halaman, manakala jilid 2: 527 halaman tidak termasuk halaman isi kandungannya.

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan telegram berikut;


Semoga bermanfaat..

Saturday, February 8, 2020

Al-KAFI LI AL-FATAWI (الكافي للفتاوي )


Karya yang dipilih kali ini berjudul Al-KAFI LI AL-FATAWI (الكافي للفتاوي ), iaitu sebuah karya yang diterbitkan di Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Ia merupakan himpunan kupasan ringkas persoalan-persoalan agama di media sosial alam maya yang dikemukakan oleh para netizen.

Laman Al-KAFI LI  AL-FATAWI ini dihidangkan kepada pembaca secara bersiri dalam bentuk soal jawab. Setiap persoalan yang dikemukakan dijawab oleh Sahibul  Samahah Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, iaitu Mufti Wilayah Persekutuan. Setiap persoalan dan jawapannya diterbitkan secara bersiri;

1)   Siri pertamanya pada 26 Mac 2015 – dengan permasalahan yang berjudul DUIT HASIL JUDI BELANJA MAKAN.

2)   Manakala siri terkini yang telah terbitkan ialah siri 1586 pada 7 Februari 2020 - dengan judul IMAM PAKAI BAJU SINGKAT NAMPAK AURAT SEMASA SOLAT.

Penerbitan laman ini sangat bermanfaat  kerana menjadi sumber rujukan umat Islam dalam merungkaikan permasalahan-permasalahan agama, khususnya yang berkaitan dengan ibadat dan permasalahan fiqh yang lain.

Menjadi harapan saya, semoga laman al-Kafi li al-Fatawi ini bukan hanya  diterbitkan secara atas talian, bahkan juga akan diterbitkan dalam bentuk percetakan pada masa akan datang. Semoga ia menjadi khazanah ilmiah yang berharga  sebagai rujukan umat Islam dan menjadi kajian para ulama dan pelajar pusat pengajian tinggi.

Bagi mendapat maklumat dan jawapan mengenai permasalahan hukum yang dikemukakan oleh Sahibul Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, pembaca boleh ikuti di pautan al-Kafi Li al-Fatawi

Semoga bermanfaat.