Monday, May 27, 2019

Mutiara Minhajul ‘Abidin


Buku Mutiara Minhajul ‘Abidin (موتيارا منهاج العابدين) merupakan sebuah karya dalam bidang tasawwuf yang disusun oleh Raja Ahmad Mukhlis Raja Jamaludin. Buku ini diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn Bhd (cet-1/2019) dengan kandungannya meliputi 188 halaman, tidak termasuk halaman isi kandungan (4 halaman) dan pendahuluan penyusun (8 halaman).

Beberapa catatan mengenai buku ini...

Buku ini disusun berdasarkan kitab Minhajul ‘Abidin ila Jannati Rabbil ‘Alamin ( منهاج العابدين إلى جنة رب العالمين ), iaitu sebuah kitab tasawuf karya Imam al-Mujaddid Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (450-505H), yang terkenal dengan gelaran Imam al-Ghazali. Kitab ini adalah karya terakhir Imam al-Ghazali., sebagai peninggalan berharga yang menjadi wasiat bimbingan terakhir beliau bagi umat Islam, sebelum menjelang kewafatannya.

Sebagaimana judulnya, buku Mutiara Minhajul ‘Abidin ini boleh dianggap sebagai ringkasan bagi kandungan kitab Minhajul ‘Abidin. Berikut adalah antara kaedah-kaedah yang diambil oleh penyusun bagi menyempurnakan penyusunan karya beliau ini;

a)  Penyusun memetik dan mengekalkan kaedah-kaedah asas yang digariskan oleh al-Imam al-Ghazali rahimahullah dalam kitab beliau Minhajul ‘Abidin, tanpa mengubah kedudukan babnya.
b) Penyusun mengambil intipati perbahasan setiap bab, tanpa menyertakan perincian dalil-dalil dan kisah-kisah yang dinukilkan oleh Imam al-Ghazali sebagaimana yang terdapat dalam kitab tersebut.
c)  Penggunaan uslub (gaya penulisan dan penyampaian) yang lebih mudah kerana meraikan latar belakang pembaca semasa.
d) Penyusun telah membuat beberapa penambahan huraian yang dirasakan perlu untuk manfaat yang lebih sesuai bagi para pembaca.

Buku ini sesuai untuk pembaca yang baru ingin mengenali asas-asas ilmu Tasawuf Islam. Ia mengandungi panduan-panduan penting yang perlu difahami setiap muslim yang ingin meningkatkan kefahaman dalam usaha menjadi muslim sejati yang soleh dan mendapat keredaan Allah SWT.

Kandungan buku ini;

Permulaan Langkah
Pendakian Pertama: Ilmu dan Makrifat
Pendakian Kedua: Taubat
Pendakian Ketiga: Halangan-halangan
Pendakian Keempat: Rintangan-rintangan
Pendakian Kelima: Al-Bawa‘its atau Pendorong
Pendakian Keenam: Al-Qawadih (Perosak)
Pendakian Ketujuh: Syukur dan Puji
Kaedah-Kaedah Menyempurnakan Pendakian
Penutup

Semoga bermanfaat.

Tuesday, May 21, 2019

Dosa-Dosa Besar



Buku yang ingin dikongsi bersama pembaca kali ini adalah sebuah buku yang berjudul “ Dosa-Dosa Besar ”. Buku ini merupakan sebuah karya terjemahan  daripada sebuah kitab yang berjudul al-Kaba-ir (الكبائر), iaitu sebuah karya al-Hafizh Syamsuddin Muhammad bin Qaimaz al-Turkumani al-Fariqi al-Dimasyqi, al-Syafi’i, yang lebih lebih terkenal sebutan al-Dzahabi (). Manakala usaha pernerjemahannya dilakukan oleh al-Marhum Sayed Ahmad Semait (), seorang ulama dan penulis terkenal dari Singapura. Buku ini diterbitkan oleh Pustaka Nasional Pte Ltd, Singapura – dengan cetakan pertama pada tahun 1994. Buku yang saya miliki adalah edisi cetakan ke-6 (2005). Ketebalan buku ini merangkumi 598 halaman.


Beberapa maklumat mengenai buku ini...

Selain menterjemahkan kesemua kandungan (teks) kitab asalnya (Kitab al-Kaba-ir), penterjemah juga ada membuat beberapa penambahan bagi melengkapkan lagi isi kandungan buku ini, iaitu;

a)  Pendahuluan kata” di awal setiap tajuk dalam buku ini. Di akhir tambahan tersebut, diletakan tanda [pent.]

b)  Kesimpulan” di akhir setiap tajuk. Kata penterjemah: “ Saya juga berikan komentar dengan tanda [KESIMPULAN] di akhir setiap tajuk yang dibicarakan untuk mencungkil keinsafan para pembaca ”.

c)    Penerangan tambahan terhadap teks asal. Kata penterjemahan: “ mana yang dari peneranganku, saya tandakan dalam kurungan [pent.] untuk dikenal oleh pembaca dan supaya saya pikul tanggungjawabnya ”.

d) Penutup Bicara ”. Penterjemah telah mengakhiri buku ini sebuah penutup yang menerangkan secara ringkas mengenai pembahagian dosa kepada dosa besar dan dosa kecil. Diterangkan juga enam sebab yang membolehkan dosa kecil menjadi dosa besar. “Penutup Bicara” ini diakhiri dengan anjuran agar bersegera bertaubat. (hal. 589-598)

Sebagaimana buku asalnya kandungan buku ini membicarakan 70 dosa-d0sa yang dikategorikan sebagai dosa-dosa besar yang wajib diketahui dan dijauhi oleh umat Islam.

Semoga bermanfaat.

Friday, May 10, 2019

Ghayah al-Maram Fi Takhrij Ahadits al-Halal wa al Haram



Kitab Ghayah al-Maram Fi Takhrij Ahadits al-Halal wa al Haram  (غاية المرام في تخريج أحاديث الحلال والحرام) merupakan sebuah karya al-Muhaddits Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani (), seorang ulama hadis yang terkenal masa kini. Kitab ini disusun secara khusus bagi meneliti status hadits-hadits yang dimuatkan oleh al-‘Allamah Syaikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam karya beliau yang terkenal, iaitu kitab  al-Halal wa al-Haram (الحلال والحرام).

Namun begitu, Syaikh al-Albani bukan sekadar membuat penelitian terhadap hadis atau rujukan yang digunakan oleh al-Qaradhawi, malahan telah membuat beberapa kritikan terhadap beberapa pandangan al-Qaradhawi di dalam kitab tersebut[1]. Di antara yang dikritik hebat oleh Syaikh al-Albani adalah pandangan al-Qaradhawi yang membolehkan umat Islam mendengar nyanyian dan muzik. Berkata Syaikh al-Albani dalam kitab al-Ghayah al-Maram;

Penulis kitab itu (maksudnya: al-Qaradhawi) hanyalah mengulang-ulang pendapat dengan mengutip pandangan Ibn Hazm dan Ibn al-Arabi… padahal empat imam mazhab sepakat akan keharaman nyanyian dan muzik. Sunnah yang shahih juga menguatkan akan keharamannya. Oleh kerana itu, tidak sepatutnya seorang alim yang mulia (maksudnya: al-Qardhawi) melakukan yang sebaliknya ”.

Penelitian Syaikh al-Albani terhadap hadis-hadis yang terdapat dalam kitab ini telah disambut oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dengan  gembira dan menerimanya dengan dada yang lapang kerana hal ini menjadi suatu bukti penghargaan terhadap karya beliau tersebut.

Jawapan al-Qaradhawi[2] terhadap beberapa kritikan Syaikh al-Albani ini ada dijelaskan dalam kitab Fatawa al-Mu’ashir (jilid 2), terbitan Darul Wafa, Manshurah, cetakan ke-2, 1414H/1993M, halaman (97-107), atau boleh dibaca petikannya di pautan;   http://agungwi.files.wordpress.com/2012/05/komen-atas-takhrij-halal-dan-haram.pdf.   

Kitab  Ghayah al-Maram Fi Takhrij Ahadits al-Halal wa al Haram, karya Syaikh al-Albani ini boleh dimuat turun di pautan https://archive.org/download/WAQ6102/6102.pdf.

Semoga bermanfaat.



[1] Mengenai perkara ini, berkata al-Qaradhawi dalam kitab Fatawa al-Mu’ashir-nya;   “ Syaikh al-Albani tidak hanya ahli hadits, hanya mentakhrij hadits dan menetapkan kedudukannya, menshahihkan, dan melemahkannya, kemudian selesai peranannya. Tetapi, beliau adalah seorang tokoh yang memiliki banyak pandangan dan fiqihnya yang tersendiri. Hal ini dapat dilihat dalam takhrij-nya, sehingga mau tidak mau mempengaruhi pendapat beliau dalam masalah hadits yang di-takhrij-nya itu, seperti komentar beliau terhadap pendapat penulis yang beliau anggap kuat dan beliau setujui, atau beliau mengganggap pendapat beliau yang lebih kuat (yang berbeda dengan pendapat penulis). Misalnya terhadap masalah “nyanyian dengan alat muzik dan tanpa alat muzik”. Keterlibatan beliau dalam masalah ini lebih dekat kepada peranan ahli fiqh daripada ahli hadits. Lihat - Fatawa al-Mu’ashir, hal. 107.

[2] Bagi menanggapi secara khusus kritikan al-Albani terhadap tulisan beliau mengenai   “ nyayian dan muzik ” dalam kitab al-Halal wa al-Haram tersebut, al-Qaradhawi telah menyusun sebuah kitab khusus mengenainya, dengan karya beliau yang berjudul “ Fiqh al-Ghina’ wa al-Musiqi ala Dhaw al-Quran wa al-Sunnah  (Hukum Nyanyian dan Muzik menurut Perspektif al-Quran dan al-Sunnah). Buku setebal 255 halaman itu dilengkapi dengan pandangan para sahabat, tabi’in, tabi’ at-tabi’in, dan imam mazhab terhadap nyanyian dan muzik. Pada bagian penutup buku, al-Qardhawi menuliskan daftar karya-karya ulama tentang nyanyian dan musik, mulai dari ulama terdahulu sampai ulama masa kini. Karya al-Qaradhawi itu diterbitkan oleh penerbit Maktabah Wahbah di Kaherah, Mesir. Buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia dengan judul “ Menempatkan Lagu & Musik Dalam Timbangan Quran Dan Sunnah ”. Ia diterbitkan oleh Media Insani.