Friday, May 21, 2021

Mathla' An-Najmain


Kitab Mathla’  An-Najmain () merupakan sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i yang disusun dalam bahasa Melayu oleh Ustaz Abdul Ghani Jabal Maraqy. 

Sebahagian besar kandungan kitab ini dipetik daripada kitab Mathla’ Al-Badrain wa Majma’ Al-Bahrain (), iaitu sebuah karya al-‘Allamah Syaikh Muhammad bin Ismail Daud Al-Fathani (). Walau bagaimana pun terdapat sedikit sebanyak tambahan sebagai penjelasan supaya mudah difahami oleh para pelajar dan juga orang awam. 

Kitab Mathla’ An-Najmain ini telah diterbitkan dalam dua jilid dengan edisi Rumi dan Jawi. Berikut disebutkan secara ringkas isi kandungan kedua-dua jilid tersebut;  

Mathla’ An-Najmain (1) – Membicarakan Tentang Bersuci, Solat, Orang Musafir dan Yang Keuzuran. Kitab ini mengandungi;

Bab bersuci (14 fasal) : Antaranya: *Cara bersuci.*Penggunaan bejana emas dan perak.*Hukum berwuduk. *Hukum istinja. *Adab melakukan qada hajat.*Yang membatalkan wuduk. *Wajib mandi dan fardu mandi.*Menyapu khof (moza). *Hukum tayamum. *Najis dan cara menghilangkannya.*Hukum haid, nifas dan istihadah. *Orang yang tiada dua pencuci (

فاقد الطَّهورَين). 

Bab solat jamak dan qasar (4 fasal) : Hukum solat jamak dan qasar.*Solat jamak ketika safar dan ketika hujan .*Jamak Asar bersama Jumaat. *Jamak takdim ketika hujan. 

Bab Solat Ketakutan. 

Bab Penggunaan Alkohol (2 fasal) : Penggunaan wangian yang bercampur alkohol. *Beberapa fatwa para ulama dahulu dan kini. 

 

Mathla’ An-Majmain (2) Membicarakan Ibadat Puasa, Zakat, Haji & Umrah. Kitab ini mengandungi lima bab ibadat iaitu; 

Bab Puasa - antara yang disentuh ialah syarat-syarat sah puasa, yang membatalkan puasa, orang yang harus berbuka, kifarat puasa dan fidyah. Pada iktikaf disentuh rukun-rukun dan syarat-syarat sah iktikaf. 

Bab Zakat --antara yang disentuh ialah ; orang yang wajib mengeluarkan zakat, jenis-jenis harta yang diwajibkan zakat, nisab zakat, zakat fitrah dan orang yang berhak menerima zakat. 

Bab Haji dan Umrah - Antara yang disentuh ialah syarat-syarat wajib haji, miqat haji dan umrah, rukun-rukun haji dan umrah, syarat-syarat tawaf dan sai’i, wajib-wajib haji dan umrah, ihram haji dan umrah, tawaf wida’, dam (fidyah) dan sekatan. 

Bab Korban - disentuh tentang syarat-syarat sah korban, binatang yang patut dibuat korban dan hukum daging korban. 

Semoga bermanfaat.


Thursday, May 20, 2021

al-Anwar al-Saniyyah 'ala al-Durar al-Bahiyyah


Kitab al-Anwar al-Saniyyah ‘ala al-Durar al-Bahiyyah (لأنوار السنية على الدرر البهية) merupakan sebuah kitab yang disusun oleh al-‘Allamah Syaikh Abdul Hamid bin Muhammad Ali Qudus bin Abdul Qadir al-Khathib (1280-1335/1863-1917), seorang ulama asal Nusantara (Indonesia) yang terkenal di Makkah al-Mukarramah pada zamannya.

Kitab ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Durar al-Bahiyyah fiima yalzamu al-Mukallaf min al-‘ulum al-syar’iyyah  (الدرر البهية فيما يلزم المكلف من العلوم الشرعية), iaitu sebuah kitab yang disusun oleh Syaikh al-‘Allamah Abu Bakr Utsman bin al-‘Arif Billah Sayyid Muhammad Zainuddin Syatha al-Dimyathi al-Syafi’i.

Syaikh Abu Bakr bin Muhammad Syatha al-Dimyathi (أبي بكر بن محمد شطا الدمياطي)  dilahirkan pada tahun 1266H/1850M dan wafat tahun 1310H/1893M. Beliau merupakan  seorang guru yang terkenal di Masjid al-Haram Makkah dan salah seorang murid al-‘Allamah Sayyid Ahmad Zaini Dahlan Mufti al-Syafi’iyyah di Makkah al-Mukarramah pada zamannya.

Kitab al-Anwar al-Saniyyah pula telah diberikan huraian (hasyiah) oleh Dr al-Nu'man al-Syawi dengan karyanya yang berjudul Hasyiah al-Aliy al-Mudhiyyah 'ala al-Anwar al-Saniyyah ( حاشية الآلي المضية علي الأنوار السنية ).

Kitab al-Anwar al-Saniyyah dan kitab al-Durar al-Bahiyyah boleh dimuat turun di pautan https://ia801005.us.archive.org/0/items/Figh16000/Figh17525.zip  (  لأنوار السنية على الدرر البهية  ( dan   https://ia800703.us.archive.org/24/items/feqh-02/1325-.zip     )  الدرر البهية  (.

Semoga bermanfaat,