Monday, June 12, 2017

Cahaya Islam-Gugusan Maulid Saiyidil Anam

Kitab Cahaya Islam-Gugusan Maulid Saiyidil Anam ditulis oleh Tuan Guru asy-Syahid Haji Sulong @ Haji Muhammad Sulum bin 'Abdul Qadir al-Fathani rahimahullah, ulama dan mujahid Fathani Darus Salam sempena bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW pada tahun 1362 H/1943 iaitu dalam masa darurat suasana Perang Dunia Kedua.

Di bawah judul kitab, dinyatakan juga, “Dan perihal asal bagi berbuat Maulid Yang Karim. Dan Menyatakan kelebihan yang amim“.

Karya judul tersebut kemungkinan terdiri dari beberapa jilid, tetapi yang sempat diterbitkan hanya jilid yang pertama saja. Cetakan yang pertama oleh Mathba’ah Patani Press, pada 23 Rabiulakhir 1372 H, bererti 10 tahun setelah selesai ditulis.

Tumpuan utama kandungan kitab Cahaya Islam adalah tentang Maulid Nabi Muhammad SAW. Namun pendekatan yang digunakan jauh berbeza dengan penulisan-penulisan lain yang pernah dihasilkan oleh ulama dunia Melayu yang terdahulu daripadanya. Hampir separuh kandungan jilid pertama adalah membahas pembahagian bidaah.

Seterusnya dilanjutkan pula pendapat para ulama-ulama yang terkenal dunia Islam tentang hukum mengadakan Maulid Nabi Muhammad SAW.

Sebelum membahaskan lebih lanjut, Haji Sulong al-Fathani menyatakan abstrak karangannya terlebih dahulu, iaitu:

1. Kenyataan fasal bidaah, dan maknanya, serta segala bahagiannya.
2.Kenyataan fasal dalil bagi sunat berbuat maulid, dan sunat bangun berdiri.
3.Kenyataan fasal kelebihan berbuat maulid, dan kelebihan orang yang hadir pada majlisnya.

Mengenai yang pertama iaitu fasal bidaah yang terkandung pada halaman 4-5 kitab tersebut, Haji Sulong al-Fathani menulis, “Bahawa berbuat maulid itu bidaah, kerana tidak diperbuat oleh Nabi SAW, dan begitu juga sahabat-sahabat dan ulama-ulama yang kemudian daripada sahabat. Hingga sampai kepada tahun hijrah 300 tahun tiada ada siapa-siapa yang berbuat akan dia. Dan kemudian daripada hijrah yang tersebut itu barulah timbul maulid. Dan tatkala timbul maulid itu sentiasa orang-orang Islam pada tiap-tiap negeri mengadakannya, istimewa pula negeri yang besar-besar seperti Baghdad, negeri Syam, negeri Mesir, negeri Mekah, Madinah, pada tiap-tiap tahun menghimpunkan manusia serta diperbuat beberapa kebajikan daripada jamuan, dan membaca Quran, dan berzikir, dan membaca kisah maulid…”.

Namun, Haji Sulong al-Fathani menolak pendapat golongan tertentu yang mengatakan bahawa mengadakan perayaan maulid adalah bidaah yang keji (terlarang). Selanjutnya beliau menulis perkara tersebut yang terkandung pada halaman 5-6, iaitu “Maka sesungguhnya berbuat maulid itu bidaah. Akan tetapi masuk di dalam bahagian ‘bidaah hasanah’ diberi pahala akan orang yang mengerjakan dia, seperti memperbuat ibadat yang sunat … Maka perhamba sebutkan sedikit fasal bahagian bidaah kerana takut terkeliru di atas mereka yang tidak tahu bahagian bidaah, maka ia berkata bahawasanya berbuat maulid itu bidaah yang keji atau haram, seperti sangkaan mereka yang telah disesatkan…”

Haji Sulong al-Fathani berpegang bahawa merayakan maulid Nabi SAW adalah termasuk dalam kategori Bidaah Hasanah atau sunat dikerjakan. Untuk menguatkan pendapat tersebut, beliau memetik pendapat-pendapat di antaranya Sheikh Ibnu Hajar al-‘Asqallani, Imam as-Sayuthi, al-Muhaddits Muhammad bin Mas’ud al-Kazaruni dan ulama-ulama lainnya, sedangkan mereka adalah ulama ahli hadis yang sangat terkenal.

Semua pendapat ulama yang tersebut dilengkapi dengan petikan yang agak panjang dan pada beberapa tempat disebut pula kitab-kitab rujukan.

Pada penutup bahagian pengenalan Cahaya Islam di halaman 42, karya Haji Sulong menulis, “Dan telah lalu cerita Hikayat Raja al-Muzhaffar Abu Said, bahawasanya membelanjakan hartanya pada berbuat maulid di dalam setahun 30 laksa dinar.

Maka janganlah mengikut pengugut-pengugut iblis, yang ia berkata kepada seseorang, “Janganlah engkau belanjakan harta engkau kepada jalan kebajikan, lama-lama habis harta engkau jadi papa, maka jadilah engkau orang miskin”. Maka itulah jadi bakhil dan lokek tidak berbuat sesuatu kebajikan dengan hartanya. Maka minta Allah SWT menjauhkan hal yang semacam itu daripada kita

Artikel di atas, dipetik dengan sedikit kemaskini dari aktikel susunan al-Marhum Haji Mohd Shaghir Abdullah yang berjudul “Tuan Guru Haji Sulong al-Fathani ” di pautan  

Friday, June 9, 2017

Munyah al-Mushalli (منية المصلي)


01.  Kitab Munyah al-Mushalli wa Ghunyah al-Mubtadi (منية المصلي وغنية المبتدي) 

Ia merupakan antara kitab “matan” fiqh yang muktamad dalam mazhab Hanafi. Ia adalah sebuah karya al-Imam Sadiduddin Muhammad bin Muhammad bin ‘Ali al-Kasyghari (705H). Kandungan kitab ini membicarakan secara khusus mengenai ibadat solat berdasarkan mazhab Hanafi. Baca maklumat seterusnya di SINI.


02.  Kitab Munyah al-Mushalli (منية المصلي)

Ia adalah karya al-‘Alim al-‘Allamah al-Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani  (1769-1847), seorang ulama yang terkenal dengan karya-karyanya  yang menjadi rujukan para ulama dan masyarakat Melayu di Nusantara hingga ke hari ini. Kitab ini merupakan sebuah karya fiqh yang masyhur dalam bahasa Melayu, yang khusus membicarakan perkara-perkara yang berkaitan tentang solat (baca: sembahyang). Baca maklumat seterusnya di SINI.