Saturday, August 21, 2021

Tazyil ‘ala Manzhumah al-‘Iraqi Fi al-Shuwar Allati Yustahabb al-Wudhu’

 

Risalah Tazyil ‘ala Manzhumah al-‘Iraqi Fi al-Shuwar Allati Yustahabb al-Wudhu’ (تذييل على منظومة العراقي في الصور التي يُستحبُّ فيها الوضوء) merupakan sebuah karya kecil susunan al-Imam al-Hafizh Jalaluddin Abdul Rahman al-Suyuthi (849-911H).

Risalah ini disusun oleh al-Hafizh al-Suyuthi sebagai tambahan bagi kitab Manzhumah fi al-Shuwar allati Yastahibb Fiha al-Wudhuk (منظومة في الصور التي يستحب فيها), iaitu sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Hafizh Zaynuddin  Abdul Rahim bin al-Husain al-‘Iraqi (806H) dalam bentuk nazam (syair) sebanyak 10 bait. Kandungan nazam ini secara khusus menyenaraikan 40 keadaan yang disunatkan bagi umat Islam mengambil wuduk.

Kitab Manzhumah fi al-Shuwar allati Yastahibb Fiha al-Wudhuk ini kemudiannya telah diberikan huraian (syarah) oleh al-Imam Waliyuddin Abu Zur’ah Ahmad (826H), iaitu anak kepada al-Hafizh Zaynuddin al-‘Iraqi sendiri.

Dalam risalah ini al-Hafizh  al-Suyuthi  telah menambahkan 6 keadaan lagi yang disunatkan berwuduk, yang tidak disebutkan oleh al-Hafizh al-‘Iraqi, maupun Imam Waliyuddin Abu Zur’ah ketika menghuraikan nazam susunan bapanya itu.

Berikut tambahan keadaan yang disunatkan berwuduk yang disebutkan oleh al-Suyuthi dalam bentuk nazam;

وأبرصَ أو مسٍّ للاصنامِ فاعْدُدِ          وسُنَّ وضوءٌ مِنْ مسيسٍ لكافرٍ

للحمِ جزورٍ شُرْبَ دَرٍّ لهُ زدِ         وسيلِ دمٍ معْ أكلِ ذي النار واضمما

Imam al-Suyuthi kemudiannya telah memberikan huraian (syarah) bagi setiap bait nazam tambahan yang disusun oleh beliau tersebut dengan membawakan hadis-hadis sokongan. Huraian al-Suyuthi ini oleh dibaca di pautan تذييل على منظومة العراقي في الصور التي يُستحبُّ فيها الوضوء للسيوطي.

Manakala kitab Manzhumah fi al-Shuwar allati Yastahibb Fiha al-Wudhuk karya al-'Iraqi dan huraiannya oleh Imam Waliyuddin Abu Zur'ah ini boleh dimuat turun di pautan منظومة في الصور التي يستحب فيها 

Semoga bermanfaat.

Monday, August 16, 2021

Syarh Manzhumah al-‘Azizi (شرح منظومة العزيزي)


Kitab Fath al-Karim al-Rahman Fi Ma Yughtafar  Li al-Muwafiq Min al-Arkan (فتح الكريم الرحمن فيما يغتفر للموافق من الأركان) merupakan sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-‘Allamah al-Syaikh al-Imam Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim al-Rais al-Zamzami al-Zubairi (1187 H/1773M M-1240 H/1824 M). Beliau merupakan seorang tokoh ulama mazhab Syafi’i yang terkenal di Makkah pada zamannya.

Kitab yang terkenal dengan judul Syarh Manzhumah al-‘Azizi (شرح منظومة العزيزي) ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi matan fiqh dalam bentuk nazam berjudul Manzhumah al-‘Azizi Fi al-Masail allati Yughtafar Li al-Muwafiq al-Takhalluf Fiha Bi Tsalatsah Arkan Thawilah (في المسائل التي يغتفر للموافق التخلف فيها بثلاثة أركان طويلة  منظومة العزيزي). Matan Manzhumah al-‘Azizi  “ yang membicarakan secara khusus mengenai beberapa permasalahan yang dibolehkan makmum muwafiq ketinggalan dari imammya dengan tiga rukun yang panjang” ini pula disusun al-‘Allamah al-Syaikh ‘Ali bin Ahmad al-‘Azizi al-Bulaqi al-Syafi’i (1070H/1660M).

Kitab Syarh Manzhumah al-‘Azizi ini kemudiannya telah diberikan huraian dalam bentuk hasyiah oleh Syeikh al-Haris bin Hummam, melalui karya beliau yang berjudul Nushrah al-Halim Hasyiah Manzhumah al-‘Azizi (نصر الحليم حاشية منظومة العزيزي). Syeikh al-Haris adalah murid kepada Syeikh Muhammad Shalih al-Rais.

Manakala Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani (1265H), seorang ulama terkenal di Nusantara yang berasal dari Patani, telah memetik (menukil) dan menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu kandungan kitab Syarh Manzhumah al-‘Azizi, iaitu karya gurunya al-Syaikh Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim al-Rais dan menghimpunkannya dalam sebuah  risalah yang diberi judul al-Bahjah al-Mardhiyyah Fi ‘Uzr Takhalluf al-Ma’mum ‘an al-Imam (البهجة المرضية فى عذر تخلف المأموم عن الإمام). 

Dalam risalah ringkas ini, Syaikh Daud memetik dan menterjemahkan kesemua 6 bait nazam daripada matan Manzhumah al-‘Azizi yang khusus menerangkan beberapa keadaan yang dibolehkan makmum yang muwafiq berbeza perlakuannya dengan imam atau disebutkan dalam kitab ini “ beberapa masa-il yang diuzurkan ketinggalan makmum yang muwafiq dengan imamnya dan yang tiada diuzurkan ”. Setiap bait nazam tersebut telah diberikan huraiannya berdasarkan kitab Syarh Manzhumah al-‘Azizi karya Syaikh Muhammad Shalih al-Rais tersebut[1].

Saya belum lagi menemui kitab Fath al-Karim al-Rahman / Syarh Manzhumah al-‘Azizi ini dalam bentuk cetakan yang tersendiri. Namun begitu, kandungan kitab ini boleh dibaca dan dimuat turun melalui sumber berikut;

1.     Manuskrip di pautan https://al-mostafa.info/data/arabic/depot/gap.php?file=m010066.pdf 

2.     Kandungan kitab yang ditahkik oleh Dr Ali Shiddiq Syakar al-Hayali yang terdapat dalam Majalah  مجلة جامعة كركوك للدراسات الإنسانيةmelalui pautan https://www.iasj.net/iasj/download/3bcd96ad2295e37b .

Semoga bermanfaat.

__________________________________

1]. Syeikh Daud al-Fathani menterjemahkan keseluruhan isi kandungan kitab Syarh Manzhumah al-'Azizi yang meliputi matan dan huraiannya. Hanya bahagian pendahuluan dan penutup sahaja yang ditinggalkan oleh beliau, kerana beliau meletakkan pendahuluan dan penutupnya yang sendiri bagi karya beliau tersebut.

Monday, August 9, 2021

al-Lubab Fi al-Fiqh

Kitab al-Lubab Fi al-Fiqh  (اللباب في الفقه) yang ingin diperkenal kali ini, adalah sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Najmuddin Abdul Ghaffar bin Abdul Karim bin Abdul Ghaffar al-Quzwaini al-Syafi’i (585-665H). Beliau terkenal sebagai penyusun kitab al-Hawi al-Shaghir  (صاحب الحاوي الصغير) , iaitu matan fiqh yang terkenal di kalangan para ulama mazhab Syafi’i.

Kandungan kitab al-Lubab ini memuatkan pendapat-pendapat mengenai permasalahan fiqh yang pernah dikeluarkan oleh para Ashab al-Wujud dan al-Aqawil dalam mazhab al-Syafi’i.

Imam Najmuddin al-Quzwaini kemudiaannya telah menyusun huraian (syarah) bagi kitab al-Lubab ini melalui karyanya yang berjudul al-‘Ujab Fi Syarh al-Lubab (العجاب في شرح اللباب) .

Perlu diketahui, selain kitab al-Lubab susunan Imam Najmuddin al-Quzwaini ini, terdapat sebuah kitab lagi yang berjudul al-Lubab, iaitu kitab al-Lubab fi al-Fiqh al-Syafi'i (اللباب في الفقه الشافعي) yang disusun oleh al-Imam al-Qadhi Abu al-Hasan Ahmad bin Muhammad bin Ahmad al-Dhabi al-Mahamili al-Syafi’i (368-415H ). Kitab al-Lubab karya Imam Abu Hasan al-Mahamili ini adalah kitab yang sangat terkenal di kalangan ulama mazhab Syafi’i. Isi kandungan kitab ini telah disebutkan oleh beberapa ulama terkemudian dalam beberapa karya mereka ketika menghuraikan masalah fiqh. Oleh itu, jika disebut kitab al-Lubab dalam kitab fiqh mazhab Syafi’i, maka ia biasanya merujuk kepada kitab al-Lubab susunan Imam al-Mahamili.

Semoga bermanfaat.

Sunday, August 8, 2021

al-Sirr al-Mashun fi Nazm al-Jawhar al-Maknun Fi Bayan al-Wajib wa al-Masnun

 

Kitab al-Sirr al-Mashun fi Nazm al-Jawhar al-Maknun  Fi Bayan al-Wajib wa al-Masnun  (السر المصون في نظم الجوهر المكنون في بيان الواجب والمسنون) atau  Manzumah al-Jawhar al-Maknun Fi Bayan al-Wajib wa al-Masnun (منظومة الجوهر المكنون فى بيان الواجب والمسنون) merupakan sebuah kitab fiqh mazhab syafi’i dalam bentuk nazam yang disusun oleh Syeikh Ahmad al-Musyairifi (المشيرفي) al-Syafi'i. Tahun kelahiran dan kewafatan beliau tidak dapat dipastikan, namun begitu beliau masih hidup sekitar tahun 1286H.

Kitab ini disusun berdasarkan kitab Jawhrar al-Maknun Fi Bayan al-Wajib wa al-Masnun (الجوهر المكنون في بيان الواجب والمسنون), iaitu sebuah karya guru beliau yang bernama Syeikh al-Abyari[1].

Kitab al-Sirr al-Mashnun ini, kemudiannya telah dihuraikan pula melalui sebuah karya yang berjudul al-Fath al-Maimun Fi Syarh al-Sirr al-Mashun fi Nazm al-Jawhar al-Maknun Fi Bayan al-Wajib wa al-Masnun (الفتح الميمون في شرح السر المصون في نظم الجوهر المكنون في بيان الواجب والمسنون على مذهب الإمام الشافعي)[2].

Manuskrip kitab ini boleh dimuat turun di pautan  https://www.alukah.net/library/0/80947/  atau juga di pautan السر المصون في نظم الجوهر المكنون في بيان الواجب والمسنون)

Semoga bermanfaat.


[1] Gelaran guru beliau ini ada disebutkan di awal nazam beliau ini. Namun saya tidak pasti nama sebenar guru beliau tersebut. Dari pencarian saya di antara ulama terkenal dari Mesir yang mempunyai gelaran al-Abyari yang hidup sezaman dengan Syeikh Ahmad al-Musyairifi ialah al-'Allamah al-Syaikh Abdul Hadi Naja bin Ridhwan Naja bin Muhammad al-Abyari al-Syafi’i al-Misri (1236H/1821M-1305H/1888M). Adakah beliau yang dimaksudkan oleh Syeikh Ahmad al-Musyairifi?. Wallahu a’lam.

[2] Tidak dapat dipastikan penyusun sebenar kitab ini. Namun begitu berdasarkan sumber di pautan almoqtabasmanuscripts dicatatkan ia disusun oleh Syeikh Ahmad al-Musyairifi sendiri.

Thursday, August 5, 2021

Ittihaf al-Raghib Ila Nahaj al-Thalib li Asyraf al-Mathalib

 

Kitab  Ittihaf al-Raghib  Ila Nahaj al-Thalib li Asyraf al-Mathalib  (اتحاف الراغب الي نهج الطالب لاشرف المطالب) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’I  yang disusun oleh Syaikh Abu Hadiy Muhammad bin Ahmad bin Hasan bin Abdul Karim al-Khalidi al-Jawhari (1215H). 

Syaikh Abu Hadiy al-Jawhari menyusun kitab Ittihaf al-Raghib ini sebagai huraian (syarah) bagi karya beliau sendiri yang berjudul Kitab Nahaj al-Thalib li Asyraf al-Mathalib (نهج الطالب لاشرف المطالب ). Manakala kitab Nahaj al-Thalib pula merupakan ringkasan (mukhtashar)  bagi kitab Manhaj al-Thullab (منهج الطلاب), iaitu sebuah karya fiqh yang disusun oleh Syaikhul Islam Abu Yahya Zakariyya al-Anshari (926H)

Kitab Ittihaf al-Raghib telah diberikan hasyiah (komentar/catatan pinggir) oleh beberapa ulama, iaitu;

i)   Syaikh Abdullah Suwaidan bin Ali al-Damliji al-Dharir al-Mishri (1234H).

ii)   Syaikh Muhammad Abdul Hayy al-Syubaini ( abad ke13 H).

Saya belum menemui maklumat cetakan keseluruhan kandungan kitab Ittihaf al-Raghib ini. Namun sebahagian kandungan kitab ini telah ditahkik oleh Abdullah Shidqi Abdul Mu’im sebagai kajian ilmiah “sarjana”nya. Kajian beliau ini bermula awal kitab al-Thalak (كتاب الطلاق) hingga akhir kitab al-Riddah كتاب الردة) .).  

Kandungan kajian ini boleh dimuat turun di pautan اتحاف الراغب الي نهج الطالب لاشرف المطالب Manakala manuskrip kitab Ittihaf al-Raghib boleh dimuat turun melalui pautan اتحاف الراغب الي نهج الطالب لاشرف المطالب.

Semoga bermanfaat.