Pengenalan
Sejak Islam mula bertapak di
kepulauan nusantara Melayu, telah wujud keperluan yang mendesak untuk memahami
Al-Quran oleh golongan yang dipanggil Melayu Muslim. Ini disebabkan bahasa
pertuturan mereka adalah bukan bahasa Arab sedangkan Al-Quran diturunkan dalam
bahasa Arab. Realiti bahawa Melayu Muslim merupakan golongan terbesar
bilangannya berbanding masyarakat Islam lain seperti Arab Muslim, India Muslim,
Afrika Muslim dan Eropah Muslim menujukkan keperluan kepada suatu usaha yang
segera untuk memastikan hidayah Al-Quran sampai ke benak dan jiwa setiap
individu Melayu Muslim. Usaha yang dipelopori oleh ulama-ulama nusantara, dulu
dan kini untuk member tafsiran yang sahih tentang hidayah yang terdapat dalam
setiap ayat Al-Quran, kebanyakannya lebih kepada usaha secara ‘verbal’, seperti
melalui syarahan-syarahan agama atau kuliah-kuliah tafsir di masjid-masjid dan
surau-surau. Kitab-kitab tafsir berbahasa Melayu yang lengkap merangkumi ke
semua 30 juzuk amat sedikit bilangannya. Tafsir Al-Azhar karangan Haji Abdul
Malik Karim Amrullah (HAMKA) merupakan kitab tafsir Al-Quran yang lengkap dalam
bahasa Melayu yang boleh dianggap sebagai yang terbaik pernah dihasilkan untuk
masyarakat Melayu Muslim. Justeru, adalah penting bagi masyarakat Melayu Muslim
yang tidak berbahasa Arab agar mengenali kitab Tafsir Al-Azhar ini terutama
dari aspek metodologi tafsirnya untuk mereka lebih menghargai usaha yang
dilakukan HAMKA kerana bukan semua ulama boleh mengusahakan apa yang telah
beliau usahakan.
Sejarah penulisan
Usaha menghasilkan Tafsir
Al-Azhar telah pun dimulakan secara tidak formal oleh HAMKA sejak tahun 1958.
Beliau telah mengadakan kuliah tafsir Al-Quran setiap pagi selepas subuh di
Masjid Al-Azhar dari hujung tahun 1958 hingga Januari 1964. Siri kuliah subuh
itu turut ditulis dan diterbitkan dalam majalah Panji Masyarakat. Tetapi, usaha
secara formal oleh HAMKA untuk menyiapkan Tafsir Al-Azhar bermula apabila beliau
dipenjarakan dari tahun1964 sehingga 1966. Nama Tafsir Al-Azhar adalah
bersempena nama masjid di mana beliau mula menyampaikan kuliah tafsirnya itu
iaitu Masjid Al-Azhar.
Tujuan penulisan
HAMKA sebagai seorang tokoh ulama
yang merasai denyut nadi masyarakat sepanjang pembabitannya dalam kerja dakwah
mendapati wujud keadaan mendesak bagi beliau untuk menulis tafsir Al-Quran
dalam bahasa Indonesia yang lengkap. Pemangkin pertama yang membawa kepada
penulisan tafsir ini ialah kebangkitan golongan muda yang ingin mendekati
Al-Quran namun terbatas pengetahuannya kerana kekangan kemampuan berbahasa
Arab. Pemangkin kedua ialah wujudnya golongan pendakwah yang boleh berbahasa
Arab namun amat cetek pengetahuan umum dalam ilmu-ilmu berkaitan sejarah, sains
dan lain-lain. Mereka hanya membawa fahaman tradisi yang keras sehingga kurang
daya penarik di kalangan masyarakat yang semakin kritis dalam memahami sesuatu
isu.
Manhaj Tafsir
1. Manhaj Umum:
HAMKA memulai tafsirnya dengan
muqadimah yang agak panjang iaitu setebal 50 muka surat dengan 10 tajuk utama.
Dalam Pengantar Tafsir Al-Azhar, beliau memberi penghormatan kepada 4 individu
penting dalam penulisan tafsir ini iaitu Haji Abdul Karim, Ahmad Rashid Sutan
Mansur, Siti Raham dan Safiah. Kemudian, dalam bab Pendahuluan, HAMKA menyebut
keperluan menafsirkan Al-Quran dalam bahasa Melayu dengan syarat memenuhi
syarat-syarat asas tafsir seperti yang telah ditetapkan oleh para ulama. Dalam
tajuk ini juga beliau telah menyebut 2 tujuan utama penulisan
tafsir Al-Azhar ini. Dalam bab yang seterusnya, beliau secara panjang lebar
membincangkan segala isu berkaitan Al-Quran dan tafsir, iaitu dalam bab
Al-Quran, bab ‘Ijaz Al-Quran, bab Isi Mukjizat Al-Quran, bab Al-Quran Lafaz dan
Makna dan bab Menafsirkan Al-Quran. Namun, bab yang paling penting ialah Haluan
tafsir. Dalam bab ini, HAMKA menjelaskan manhaj beliau ketika menulis tafsir
ini. Terdapat 7 manhaj utama iaitu memelihara hubungan antara aqal dan naqal,
mengurangi persoalan pertikaian mazhab yang tidak membawa faedah, pengaruh
Sayid Rashid ridha, Syeikh Muhammad Abduh dan tafsir-tafsir moden dalam Tafsir
Al-Azhar, pengaruh latar belakang pembaca tafsir yang pelbagai latarbelakang
dan status mereka, merujuk kepada para ilmuwan dalam ilmu-ilmu fardu kifayah,
menyebut riwayat tafsir yang lemah sekadar untuk pengetahuan menilainya dan
sejumlah pendapat ulama Indonesia turut menjadi bahan untuk dimuatkan dalam
tafsir yang besar ini. Sejarah penulisan Tafsir Al-Azhar ditulis dalam dua tajuk
yang akhir iaitu Mengapa Dinamai Tafsir Al-Azhar dan Hikmat Ilahi. Keunikan
tafsir Al-Azhar berbanding kitab-kitab tafsir yang lain ialah penyusunan
kelompok-kelompok ayat Al-Quran mengikut tema ayat-ayat Al-Quran berdasarkan
Surah tertentu. HAMKA berjaya menunjukkan tema ayat-ayat Al-Quran yang
ditafsirkan. Hasilnya, pembaca dapat memahami maksud tafsiran ayat-ayat
tersebut dengan jelas serta kesinambungan yang wujud antara ayat tersebut. Ini
merupakan suatu bentuk tafsir maudui (tafsir tematik) yang membahagikan Surah
kepada tema-tema ayat yang lebih khusus. Selain itu, kebanyakan Surah dimulakan
dengan memberi tafsiran pendahuluan yang membincangkan tema umum Surah tersebut
serta isu-isu yang akan dibincangkan dalam tafsir Surah tersebut.
2. Manhaj Khusus:
Sebagai sebuah tafsir yang besar
dan lengkap, pendekatan HAMKA dalam memberi tafsiran ayat-ayat Al-Quran ialah
dengan memasukan sebanyak mungkin maklumat yang diperlukan untuk pembaca
mendapat maklumat dan dapat berfikir secara kritis serta mampu menilai segala
maklumat yang dibentangkan secara rasional. Beliau tidak mahu pembaca hanya
menerima secara membuta tuli segala yang ditafsirkan beliau. Berdasarkan
pendekatan tersebut, beberapa manhaj khusus dalam tafsiran beliau telah
digunakan:
- Tafsiran Al-Quran Dengan Al-Quran: HAMKA meletakkan keutamaan untuk mentafsir ayat Al-Quran dengan ayat Al-Quran yang lain. Kerana baginya, tiada yang lebih tepat penafsirannya melainkan menggunakan ayat Al-Quran sendiri disebabkan nilai ayat tersebut yang qat’ei. Bahkan, segala pendapat yang diberikan beliau mengenai sesuatu ayat akan disokong dengan membawa ayat lain yang akan mengukuhkan dan menjelaskan lagi ayat dan pendapat yang dibincangkan.
- Penggunaan Hadith: Selain menggunakan ayat Al-Quran sebagai rujukan utama, HAMKA turut memberi penekanan penggunaan hadith-hadith yang diambil dari kitab-kitab hadith yang muktabar dalam tafsirnya. Sebagai contoh, ketika menafsirkan ayat berkaitan kemuliaan akhlaq Rasulullah SAW dalam Surah al-Qalam ayat 4, beliau membawa sejumlah hadith yang berkaitan kemuliaan akhlaq baginda. Hadith-hadith ini ada yang disalin matan dan sumber kitabnya serta ada yang disebut sekadar makna hadith tanpa matan dan sanadnya. Kebanyakan hadith hanya disebut matannya tanpa rantaian sanadnya yang panjang kerana HAMKA lebih mementingkan kefahaman hadith tersebut berbanding pengetahuan rantaian sanad hadith tersebut. Beliau turut menyebut samada hadith itu sahih atau tidak dalam sesetengah hadith yang disalin beliau. Beliau hanya menyebut ulama yang meriwayatkan hadith tersebut. Sumber rujukan hadith dalam Tafsir al-Azhar kebanyakan dari Kutub Al-Sittah dan Musnad Ahmad disamping Mustadrak Al-Hakim dan sunan-sunan yang lain. HAMKA amat prihatin dengan status hadith samada sahih atau dhaif. Hadithhadith yang dhaif turut disalin sebagai ilmu untuk pengetahuan dan penilaian pembaca. HAMKA juga menuruti manhaj Syeikh Muhammad Abduh dalam isu hadith ahad yang sahih tetapi dinilai beliau sebagai bertentangan dengan dalil yang jelas dari Al-Quran.
- Pengaruh Syeikh Muhammad Abduh: Pemikiran pembaharuan yang dibawa Syeikh Muhammad Abduh turut mempengaruhi pendapat HAMKA dalam mentafsir ayat-ayat Al-Quran. Secara umumnya, banyak pendapat Syeikh Muhammad Abduh dan muridnya iaitu Sayid Rasyid Ridha dalam Tafsir Al-Manar yang disalin HAMKA samada sebagai salah satu riwayat tafsir dari sejumlah riwayat atau sebagai penguat kepada pendapat beliau sendiri. Khususnya proses salinan ini banyak terdapat dalam juzuk terakhir Al-Quran dan dalam isu-isu yang berbentuk merasionalkan suatu kisah sejarah. Walaubagaimanapun, terdapat juga keadaan di mana HAMKA tidak sependapat tafsiran dengan Syeikh Muhammad Abduh. Namun perbezaan pendapat ini tidak dinyatakan secara jelas dengan perkataan. Tetapi, HAMKA menggunakan ayat yang halus untuk menyatankan pendapatnya sendiri.
- Penggunaan Kitab Tafsir Klasik Dan Moden: HAMKA berkesempatan untuk mengkaji semua riwayat kitab tafsir klasik dan moden untuk membuat penilaian sendiri sehingga mampu memilih pendapat yang dipersetujuinya atau beliau memberi pendapat beliau sendiri sesuai dengan situasi semasa masyarakatnya. Dalam tafsiran sesuatu ayat Al-Quran, HAMKA akan membentangkan banyak riwayat tafsir klasik khususnya untuk dinilai. Beliau tidak sekadar menyalin tanpa penilaian. Kerana baginya perbuatan tersebut adalah ‘textbook thinking’ yang menjumudkan pemikiran masyarakat. Beliau juga menggunakan kitab tafsir yang tidak semazhab dengan beliau seperti tafsir golongan muktazilah dan syiah.
- Riwayat Israiliyyat: HAMKA turut menyebut dalam tafsirnya banyak kisahkisah Israiliyat bersama sumber riwayatnya dan mendidik masyarakat menilainya dari perspektif Al-Quran dan Sunnah serta logik aqal yang sihat. Sekiranya riwayat tersebut tidak bercanggah dengan Al-Quran dan tidak memberi apa-apa kesan terhadap aqidah seseorang maka beliau akan menyalinnya dan diingatkan pula kepada pembaca agar jangan mempercayainya. Contohnya dalam isu namanama individu yang didiamkan oleh Al-Quran. Namun, jika riwayat itu terlalu teruk sehingga menjatuhkan aqidah seseorang maka beliau akan turut menyalinnya dan diulas dengan tegas agar berhati-hati dengan kisah sebegini.
- Ayat Al-Kawniyyah: Keunikan yang terdapat dalam tafsir Al-Azhar ialah perhatian yang mendalam terhadap ayat-ayat Al-Kawniyyah. Perbincangan berkenaan ayat-ayat ini amat terperinci dengan disokong fakta-fakta sains dari buku-buku sains. Terdapat juga kajian-kajian saintis kontemporari yang disalin dalam tafsirnya sebagai bukti kehebatan Allah SWT. Kesemua perbincangan sains ini bukan bertujuan untuk membuktikan Al-Quran itu bertepatan dengan sains kajian manusia yang terhad ilmunya, tetapi fokus utama beliau adalah untuk menguatkan tawhid manusia kepda Allah SWT. Sebab itu, setiap kali fakta sains ini dibincangkan maka di akhirnya akan dikaitkan dengan Kehebatan, Kebesaran dan Kebijaksanaan Allah SWT dalam mencipta dan mengatur alam ini. Selain itu, tujuan HAMKA menekankan perbincangan fakta sains dalam ayat Al-Kawniyyah adalah untuk memotivasi pemuda dan pendakwah agar sentiasa berfikir secara objektif dan kritikal seperti pemikiran saintis dalam kajian mereka.
- Persoalan Fiqh: Seperti yang beliau sebutkan dalam Haluan Tafsir sebelum ini, beliau mengelak dari perbincangan fiqh yang akan mewujudkan puak-puak dalam isu perbezaan mazhab. Untuk itu, beliau menjelaskan bahawa beliau bermazhab salaf yang berpegang kepada Sunnah Rasulullah SAW, sahabat-sahabat baginda dan ulama-ulama yang mengikuti jejak baginda. Beliau tidak bertaqlid kepada mana-mana mazhab, tetapi lebih banyak meninjau pendapat ijtihad para ulama yang lebih dekat dengan kebenaran. Oleh itu, kita akan dapati, setiap kali HAMKA membincangkan ayat-ayat hukum, beliau akan terlebih dahulu membentangkan pendapat para ulama berbeza mazhab. Disertakan juga hujjah dan dalil ijtihad para ulama tersebut. Kemudian beliau memberikan penilaian dan hujjah beliau sendiri terhadap semua pendapat ulama tersebut. Akhirnya, beliau akan memilih pendapat mana yang lebih kuat dalilnya dan dekat dengan maqasid Al-Quran dan al-Sunnah.
- Rujukan Tafsir: HAMKA juga
merujuk kepada kitab-kita suci agama lain dalam melengkapkan tafsiran
beliau ke atas ayat Al-Quran. Namun, rujukan tersebut hanya sekadar
memberi maklumat tambahan kepada pembaca untuk dinilai dan dibuat
perbandingan. Ayat-ayat berkaitan agama Kristian dan Yahudi khususnya akan
turut disertakan dalil-dalil dari Taurat dan Injil. Rujukan ini dilakukan
sebagai medium dakwah khususnya dalam keadaan masyarakat yang berbilang
agama di Indonesia yang kadang-kadang menyebabkan berlaku salah faham
antara penganut agama Islam dan Kristian.
Penutup
Membaca kitab tafsir sebesar ini
menimbulkan rasa kagum terhadap ketokohan HAMKA dalam segenap ilmu pengetahuan.
Dari pembacaan ini juga membuktikan bahawa HAMKA merupakan seorang ulama,
sejarawan, sasterawan, ahli falsafah, ahli politik, aktivis sosial, yang faham
tanggungjawab dakwah beliau yang diamanahkan Allah ke atas beliau. Sudah
menjadi suatu kemestian pada zaman ini bagi orang Melayu yang ingin memahami
Al-Quran untuk memiliki tafsir ini, memahaminya, dan menghargai usaha HAMKA ini.
Perubahan yang dibawa beliau sepatutnya perlu diterima dengan hati dan minda
yang ikhlas dan bersih kerana perbezaan setiap pendapat tafsir oleh ulama
hakikatnya bukan bercanggah, tetapi perbezaan yang mempelbagaikan kefahaman dan
ilmu tentang Al-Quran.
* Diubahsuai artikel yang disusun oleh Mohd Syauqi Bin Md Zahir
Al-Kulimi, Pusat Asasi UIAM.
Beliau dianugerahkan Allah. Kesimpulan biarlah keutamaan kpd isinya justeru keberkesanannya cara Persembahannya. الله أكبر
ReplyDeletetafsir al azhar salah satu buku referensi di bidang tafsir alquran..
ReplyDeleteUsaha Hamka dalam bidang ilmu islam begitu penuh cabaran
ReplyDeleteWho is the old publisher?
ReplyDeleteThe new publisher only printed 1 to 6 and 30
The remaining 7 to 29 is unprinted
There are a few older editions available in Malaysia. The cheaper set is the one published by Victory Agency in KL, with a green spine. There is also a set published by Pustaka Nasional (PN) of Singapore; this is also a handsome set; the language is standard Malay. The price is a few hundred Ringgit for a complete set. Then I heard that there is also a new Indonesian set out that supposedly received the blessing of H. Irfan Hamka, the author's son; this may be available in Indonesia only. The latest edition seems to be PT Publishing who seems to have acquired the rights to publish Hamka's works in Malaysia. The rights used to be with Pustaka Dini of Selangor but I think that arrangement has been rescinded but you still find a few Hamka works published by Pustaka Dini. However they never got around to publishing the Al Azhar Tafsir, perhaps they were planning to but events overtook them.
ReplyDelete