Tuesday, May 26, 2020

Mawahib al-Dayyan Syarh Fath al-Rahman


Kitab Mawahib al-Dayyan Syarh Fath al-Rahman ( مواهب الديان شرح فتح الرحمن) merupakan sebuah karya yang menbincangkan mengenai akidah, fiqh al-ibadah dalam mazhab al-Syafi’i dan ihsan (adab hubungan dengan Allah SWT). Kitab ini disusun oleh Syaikh Sa’id bin Muhammad Ba ‘Ali Ba’asyan al-Daw’ani al-Hadhrami [1270H].

Kitab Mawahib al-Dayyan ini disusun sebagai huraian bagi kitab Fath al-Rahman (فتح الرحمن), iaitu karya al-‘Allamah al-Syeikh Muhammad bin Ziyad al-Wadhahi al-Syar’abi (1135H), Qadhi dan Mufti negeri Zabid, Yaman pada zamannya. Kitab Fath al-Rahman merupakan kitab yang menerangkan mengenai akidah, hukum hakam  (fiqh) dan ihsan. Kitab yang ringkas ini disusun berdasarkan sebuah hadis Rasulullah saw yang terkenal dengan  nama Hadis Jibril ‘a.s. (حديث جبريل عليه السلام), yang kandungannya memaparkan dialog antara Nabi Muhammad s.a.w. bersama Jibril ‘a.s. mengenai Islam (الإسلام), iman (الإيمان) dan ihsan (الإحسان) serta tanda-tanda kiamat.

Berdasarkan kitab yang dterbitkan oleh Darul Minhaj, pada tahun 2004, kandungan kitab ini merangkumi 415 halaman. Semoga bermanfaat.

Tuesday, May 19, 2020

Hukum & Persoalan Darah-Darah Haid, Nifas Dan Istihadah


Buku Hukum & Persoalan Darah-Darah Haid, Nifas Dan Istihadah adalah sebuah karya terjemahan dari sebuah buku berbahasa Arab yang berjudul al-Ihathah bi Ahamm Masa’il al-Hidh wa al-Nifas wa al-Istihadhah (الإحاطة بأهم مسائل الحيض والنفاس والاستحاض). Karya asalnya disusun oleh Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki, manakala edisi terjemahannya disusun oleh Ustaz Muhammad Ramzi Omar. Buku ini diterbitkan  oleh Sinar Media Services pada tahun 2007 dengan  151 halaman.

Buku ini disusun secara khusus membahaskan berkenaan persoalan-persoalan berkaitan haid, nifas dan istihadah serta hukum hakam yang dengannya - merangkumi hukum taharah, sembahyang, puasa, tawaf, membaca  al-Quran, talak, pergaulan suami isteri dan sebagainya.

Buku ini sangat perlu dibaca dan dipelajari kerana persoalan darah wanita adalah persoalan yang amat penting kerana ia membabitkan keabsahan ibadat utama yang dilakukan seperti solat dan puasa. Kejahilan seorang wanita tentang hukum-hukum yang berkaitan darah yang dilaluinya akan menyebabkan kedudukan ibadatnya tidak menentu sama ada sah atau tidak, dan apatah lagi mendapat penerimaan di sisi Allah S.W.T.

Dalam perbincangan isi kandungan buku ini, selain pandangan mazhab Syafi’i, pandangan para ulama mazhab lain juga turut dikemukakan sebagai perbandingan.

Semoga bermanfaat.

Monday, May 18, 2020

Cahaya Yang Menerangi


Buku Cahaya Yang Menerangi adalah karya yang menghimpunkan 200 soal jawab bersama Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki ()  dalam isu akidah dan hukum-hakam feqah. Soalan-soalan yang diajukan semasa sesi pengajian talaqqi ini dijawab oleh Syeikh Nuruddin secara spontan. Buku ini dterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn Bhd pada tahun 2017 dengan ketebalan merangkumi 164 halaman.

Usaha pembukuan soal jawab ini telah diambil inisiatif oleh Ustaz Muhadir Haji Joll  supaya manfaatnya dapat menyebar lebih luas kepada masyarakat.

 Antara permasalahan yang dijawab oleh Syeikh Nuruddin:
a)      Membawa atau memegang al-Quran digital.
b)      Solat menghormati waktu.
c)      Bangkai cicak dalam makanan.
d)     Air mata orang hidup menitis ke muka mayat.
e)   Pakaian bernajis disekalikan dengan pakaian lain di dalam mesin basuh dan banyak lagi. 

Semoga bermanfaat.

Kekeliruan Umat: Inilah Jawapannya


Buku Kekeliruan Umat: Inilah Jawapannya .. merupakan sebuah buku yang disusun oleh al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll. Seorang pensyarah di Jabatan Ilmu Wahyu dan Warisan Islam, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabanga, Petaling Jaya. Buku setebal 341 halaman ini telah diterbitkan oleh Galeri Ilmu pada 4 Julai 2014. 

Kandungan buku ini adalah himpunan 65 persoalan dan jawapan popular tentang perkara khilafiah yang sering diperdebatkan oleh masyarakat sehingga menimbulkan kekeliruan dalam memahaminya. Dihurai dalam bentuk soal jawab ringkas dan padat untuk lebih mudah difahami dan dihafal berserta dalil-dalil al-Quran, hadis dan juga pendapat ulama yang muktabar. Sesuai dibaca oleh para penuntut ilmu dan masyarakat awam. 

Menurut penyusunnya, buku ini merupakan ringkasan bagi sebuah karya beliau yang lain, iaitu buku yang berjudul Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’: Inilah Jawapannya.

Semoga bermanfaat.

Saturday, May 16, 2020

Qurrah al-‘Ain bi Fatawa al-Syeikh Ismail al-Zain


Kitab Qurrah al-‘Ain bi Fatawa al-Syeikh Ismail al-Zain (قرة العين بفتاوي الشيخ اسماعيل الزين) adalah sebuah karya yang menghimpunkan fatwa-fatwa yang pernah dikemukakan oleh Syeikh Ismail bin Ismail bin Utsman al-Zain al-Makki al-Yamani al-Syafi’i (1352-1414H) dalam pelbagai permasalahan agama. Beliau merupakan bekas Mufti Mazhab al-Syafi’i di Mekah al-Mukarramah.  

Penyusunan himpunan fatwa ini dalam sebuah kitab diusahakan oleh Syeikh al-Faqih Muhammad Nuruddin Merbu Banjar al-Makki. 

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan قرة العين بفتاوي الشيخ اسماعيل الزين.

Semoga bermanfaat.

Thursday, May 14, 2020

At-Tibyan: Panduan Berinteraksi Dengan Al-Quran


Buku At-Tibyan: Panduan Berinteraksi dengan Al-Quran adalah sebuah karya terjemahan ringkas yang diusahakan oleh Ustaz Mohd Hazri Hashim Al-Bindany bagi kitab al-Tibyan fi Adab Hamatil Quran (), iaitu sebuah karya al-Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (). Buku ini telah diterbitkan Galeri Ilmu Sdn. Bhd dengan cetakan pertama pada tahun 2017.

Buku ini disusun kembali oleh Ustaz Mohd Hazri dari kitab asalnya dengan menterjemah dan meringkaskan isi kandungannya, dengan beberapa perubahan kedudukan bab-babnya. Kandungan buku ini didahului oleh dua muqaddimah, iaitu Muqaddimah Penterjemah dan Muqaddimah Imam al-Nawawi.

Berikut adalah bab-bab atau tajuk-tajuk perbincangan dalam buku ini;

1.      Keutamaan Membaca dan Mengkaji Al-Quran
2.      Kelebihan Orang yang Membaca Al-Quran
3.      Menghormati dan Memuliakan Golongan Al-Quran
4.      Panduan Mengajar dan Belajar al-Quran
5.      Adab Murid dan penuntut Ilmu[1]
6.      Panduan Penghafaz al-Quran
7.      Adab dan Etika Membaca Al-Quran
8.      Adab-Adab Ketika Membaca Al-Quran
9.      Adab-Adab Khatam Al-Quran[2]
10.  Adab Berinteraksi Dengan Al-Quran[3]

Buku ini sesuai menjadi bacaan dan rujukan umat Islam kerana persembahannya agak menarik dan susunan bahasa mudah difahami. Semoga bermanfaat.


[1] Tajuk 4 dan 5 merupakan pecahan dari bab 4 dalam kitab asalnya.
[2] Tajuk 7, 8 dan 9 merupakan pecahan dari bab 6 dalam kitab asalnya.
[3] Dalam tajuk 10 ini digabungkan  isi kandungan bab 7, 8 dan 9 yang terdapat dalam kitab asalnya.

Mursyid al-Anam ila ma Yajib Ma’rifatuh min al-‘Aqa-‘id wa al-Ahkam


Kitab Mursyid al-Anam ila ma Yajib Ma’rifatuh min al-‘Aqa-‘id wa al-Ahkam (مرشد الأنام إلى ما يجب معرفته من العقائد والأحكام) adalah sebuah karya al-‘Allamah Syaikh  Muhammad bin Abdullah bin Abdul Lathif al-Jardani al-Husaini al-Diyamthi (1331H) yang menerangkan mengenai bidang akidah dan bidang fiqh berdasarkan mazhab al-Syafi’i. 

Syaikh Muhammad al-Jardani sendiri telah memberikan huraian (syarah) bagi  kitab Mursyid al-Anam ini melalui dua buah karya beliau yang lain, iaitu;

a) Kitab Mufid Awam al-Muslimin (مفيد عوام المسلمين) atau judul ringkasnya Mufid al-Awam (مفيد العوام), satu huraian yang agak ringkas.


Semoga bermanfaat.

Sunday, May 10, 2020

al-Kamil fi al-Fiqh (الكامل في الفقه)


Kitab al-Kamil fi al-Fiqh (الكامل في الفقه) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Imam Ibn al-Hadus, Abu Muhammad al-Mu’afa bin Ismail bin al-Husain bin Abu al-Sinan al-Mawshili al-Syafi’i (551-630H)[1].

Dalam kitab ini dihimpunkan permasalahan fiqh Syafi’i berdasarkan kitab-kitab dari dua tariqah, iaitu Tariqah Khurasan dan Iraq. Ia sebuah kitab yang agak tebal, hampir menyamai ketebalam kitab Rawdhah al-Thalibin (روضة الطالبين,  iaitu karya al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H).

Semoga bermanfaat.



[1] Di antara karya beliau yang lain ialah kitab Anis Munqathi’in (انيس المنقطعين الى عبادة رب العالمين), Nihayah al-Bayan fi Tafsir al-Quran, Mujiz fi al-Zikr  dan Nuzhah al-Muthi’in wa Rawdhah al-Muqthi’in.



al-Taqrib Syarh ‘ala al-Mukhtashar


Kitab al-Taqrib Syarh ‘ala al-Mukhtashar (التقريب  شرح على المختصر) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Abu al-Hasan al-Qasim bin Muhammad bin ‘Ali al-Syasyi , Ibn al-Qaffal al-Kabir[1] (400H). Jika disebutkan Shahib al-Taqrib (pengarang kitab al-Taqrib) dalam kitab-kitab fiqh mazhab Syafi’i terdahulu maka merujuk kepada beliau.

Kitab ini disusun sebagai huraian bagi kitab Mukhtashar al-Muzani (مختصر المزني), iaitu karya Imam Abu Ibrahim, Ismail bin Yahya bin Isma’il al-Mishri al-Muzani  (175-246H). 

Kandungan kitab ini banyak mengandungi hadis-hadis Nabi saw dan nas-nas (نصوص) Imam Syafi’i , yang dinukilkan oleh penyusunnya secara lafaz bukan secara makna. Di mana dalam permasalahan fiqh yang dibincangkan dalam kitab ini dihuraikan dengan kata-kata Imam Syafi’i yang asalnya, bukannya hanya secara maksud sahaja. Oleh itu para ulama yang merujuk kitab ini, tidak memerlukan kitab-kitab lain bagi mendapat pandangan Imam Syafi’i dalam permasalahan fiqh. Kitab ini dianggap sebagai kitab yang utama di antara kitab-kitab yang meriwayatkan nas-nas imam Syafi’i. 

Sekadar ini sahaja yang diperolehi kitab al-Taqrib ini. Semoga bermanfaat.



[1] Beliau merupakan anak kepada Imam al-Qaffal al-Kabir, Abu Bakr Muhammad bin Ali bin Ismail al-Syasyi (291-365H). Di antara karya Imam al-Qaffal al-Kabir kitab Syarh Kitab ar-Risalah lil-Imam asy-Syafi'i, Mahasin al-Syari’ah dan Adab al-Qadha.



Saturday, May 9, 2020

Biografi Agung Imam Syafi'i: Travelog Kesarjanaan Imam Mazhab Yang Genius


Buku Biografi Agung Imam Syafi'i: Travelog Kesarjanaan Imam Mazhab Yang Genius adalah sebuah karya mengenai biografi dan pemikiran Imam Syafi’i yang disusun oleh Prof. Emeritus Dato Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid (1945- ). Buku telah diterbitkan oleh Karya Bestari, Selangor dengan cetakan pertamanya pada 2014. Ketebalan buku ini merangkumi 580 halaman.

Kandungan buku ini dibahagikan kepada lima bahagian. Setiap bahagian pula dipecahkan kepada beberapa bab. Secara keseluruhannya dalam buku ini terdapat 19 bab.

Berikut dilampirkan tajuk-tajuk perbincangan dalam buku ini;

Bahagian 1;  Travelog Seorang Imam
            Bab 1: Kelahiran Seorang Imam Terulung.
            Bab 2: Pengembaraan Imam Syafi’i Menuntut Ilmu.
            Bab 3: Menempuh Alam Kerjaya  yang Mencabar.
            Bab 4: Destinasi Terakhir Seorang Imam.

Bahagian 2: Ar-Risalah, Karya Agung Syafi’i dan Metodeloginya Dalam Hukum
            Bab 5: Sejarah Pembentukan Ilmu Usul Fiqh
            Bab 6: Penyusunan Ilmu Usul Fiqh dalam ar-Risalah.
            Bab 7: Pandangan Imam Syafi’i Mengenai Pengambilan Hukum daripada 
                        Al-Quran.
Bab 8: Imam Syafi’i Pembela Sunnah.
Bab 9: Pandangan Imam Syafi’i Mengenai Sumber-sumber Hukum yang Lain.

Bahagian 3; Kontroversi Imam Syafi’i Mengenai Hadis
            Bab 10: Asas Kontroversi.
            Bab 11: As-Sunnah Sebagai Sumber Hukum.
            Bab 12: Taraf as-Sunnah Sebagai Sumber Hukum
            Bab 13: Penerimaan Terhadap Hadis-hadis Ahad dan Mursal.

Bahagian 4; Sejarah dan Realiti Mazhab Syafi’i di Malaysia.
Bab 14: Sejarah Kemasukan  Islam ke Malaysia.
Bab 15: Perkembangan Pengajian Syariah Berasaskan Mazhab Syafi’i di Tanah 
                          Melayu.
Bab 16: Kedudukan dan Survivor Mazhab Syafi’i di Malaysia.
Bab 17: Dilema Pembentukan Hukum antara Hadis dan Logik.

Bahagian 5:  Mazhab Syafi’i di Malaysia: Masalah Dan Kerangka Penyelesaian
Bab 18: Pengenalan Kedudukan Mazhab Syafi’i  di Malaysia.
Bab 19: Pembaharuan Dalam Mazhab Syafi’i.

Semoga bermanfaat.

al-Kamal fi Asma’ al-Rijal


Kitab al-Kamal fi Asma’ al-Rijal (الكمال في أسماء الرجال), merupakan karya dalam bidang ilmu hadis yang yang khusus mengenai ilmu al-jarh wa al-ta’dil (الجرح والتعديل). Kitab ini disusun al-Hafizh Abu Muhammad Abdul Ghani bin Abdul Wahid al-Maqdisiy (541-600H). Berdasarkan kitab yang diterbitkan oleh الهيئة العامة للعناية بطباعة ونشر القرآن الكريم والسنة النبوية وعلومه dengan cetakan pertama (2017), ia telah dicetak sebanyak 10 jilid. 

Kitab al-Kamal ini kemudiannya telah diringkaskan oleh al-Hafizh Jamaluddin Yusuf bin Abdul Rahman al-Mizzi al-Dimasyqi (654-742H) melalui karya beliau yang berjudul Tahzib al-Kamal fi Asma’ ar-Rijal ( تهذيب الكمال في أسماء الرجال). Dalam penyusunan kitab ini beliau telah meringkaskan kandungan kitab al-Kamal dan memasukkan pula beberapa tambahan lain. 

Berdasarkan kitab Tahzib al-Kamal pula, telah disusun sebuah kitab berjudul Tahzib al-Tahzib  Fi Asma’ al-Rijal (في أسماء الرجال تهذيب التهذيب) oleh al-Hafizh Ahmad Ibn Hajar al-‘Asqalani (773-852H). Dalam penyusunan kitab ini beliau telah meringkas kandungan kitab Tahzib al-Kamal dan memasukkan pula beberapa tambahan penting. 

al-Hafizh Ahmad Ibn Hajar al-‘Asqalani kemudiannya telah meringkaskan pula kitab Tahzib al-Tahzib  Fi Asma’ al-Rijal di atas melalui karya beliau yang lain yang berjudul Taqrib al-Tahzib fi Asma’ al-Rijal (في أسماء الرجالالتهذيب تقريب ).

Kitab al-Kamal  ini boleh dimuat turun di pautan  الكمال في أسماء الرجال. Semoga bermanfaat.

Friday, May 8, 2020

Jam'u al-Fawa'id wa Jawahir al-Qala'id


Kitab Jam'u al-Fawaid wa Jawahir al-Qalaid (جمع الفوائد وجواهر القلائد) adalah sebuah karya al-‘Allamah Syeikh Daud bin Syeikh 'Abdullah al-Fathani ().

Kitab ini selesai penulisannya di Makkah al-Mukarramah pada Jumaat, 27 Jumadilawal 1239. Di antara manuskrip salinan yang baik dan lengkap yang ditemui ialah salinan oleh 'Abdus Shamad Mahmud Jala, tinggal di Kampung Pusin, Patani. Tarikh selesai penyalinan pada Ahad selepas Asar, 8 Rabiulawal 1286. Tempat melakukan penyalinan di Kampung Pusin, Patani.

Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1303 Hijrah atas usaha dan tashhih Syeikh Ahmad al-Fathani. Ada beberapa lagi edisi cetakan lainnya di antaranya oleh Mathba'ah al-Maimuniyah, Mesir, di Zuqaq Saiyidi Ahmad Dardir, berhampiran Jami' Al-Azhar Al-Munir, pada Zulkaedah 1311.

Daripada cetakan pertama hingga terakhir dicantumkan pada bahagian tepinya ‘al-Fawaid al-Bahiyah’ karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri, membicarakan pelbagai hadis. Pentashhih pertama Syeikh Ahmad al-Fathani, cetakan 1311 Hijrah ditashhih oleh Syeikh Muhammad Tahir bin Muhammad Jalaluddin al-Minankabawi.

Kandungan secara umum membicarakan pelbagai ilmu pengetahuan: sejarah, akidah, fiqh, tasawuf, akhlak, hadis, tafsir, doa dan sebagainya. Kandungan dimulakan halaman depan cetakan 1311 Hijrah tercatat nama al-'Allamah al-Imam Bahjah Din al-Islam, kalimat ini jika diterjemahkan, maksudnya ialah ‘yang sangat alim, imam keindahan agama Islam’. Sesudah kalimat itu, disambung dengan nama beliau iaitu asy-Syeikh Daud ibnu as-Syeikh 'Abdullah al-Fathani.

Pada mukadimah Syeikh Daud as-Syeikh 'Abdullah al-Fathani menulis: “Maka inilah beberapa faedah yang amat nyata, dan beberapa kalimah yang tinggi dan beberapa nasihat yang amat nyata, dan beberapa hikayat bagi ahlillah, dan salihin yang elok. Telah mengasihani Allah akan seseorang yang mengira-girakan barang yang tersebut dalamnya dan iktibar, dan mengamalkan dengan barang yang terkandung padanya, dan mencubakan daripada beberapa hikmah yang dibangsakan daripada tuhan, dan beberapa nasihat yang amat nyata. Telah aku pungut akan dia daripada beberapa kitab kaum ahli tasawuf daripada beberapa hadis Nabi SAW, dan perkataan sahabat, dan ahli al-wilayat.”

Dua bab selepas mukadimah menekankan pengajaran supaya insan Muslim sentiasa memohon perlindungan daripada al-Khaliq (Allah) yang menjadikan sekalian alam. Selepasnya diterapkan pula supaya memulakan pekerjaan supaya membaca Basmalah. Pelbagai contoh kelebihan membaca kedua-duanya diperkenalkan dengan terperinci.

Dalam tasawuf memang ada konsep mahabbah (kasih sayang). Syeikh Daud 'Abdullah al-Fathani selepas kedua-dua bab itu, terus membicarakan bab al-Mahabbah. Beliau mulai dengan sepotong hadis lengkap dengan lafaz Arabnya dan beliau terjemahkan: “Bahawasanya Allah berfirman pada hari kiamat: “Di mana orang yang berkasih mereka itu dengan kebesaran-Ku? Pada hari ini Aku naungkan mereka itu dalam naungan-Ku, pada hari yang tiada naungan, melainkan naungan-Ku.”

Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani memberi pelbagai contoh mengenai mahabbah, yang boleh dikategorikan ke dalam sastera sufi. Beliau mengungkapkan berkasih-kasihan yang terjadi dalam peristiwa Zulaikha dengan Nabi Yusuf. ‘Hikayat Nabi Yusuf’ yang berdasarkan petikan beberapa ayat al-Quran beliau ungkapkan dengan panjang lebar. Dari bahagian ini pula dapat dibuktikan bahawa Syeikh Daud 'Abdullah al-Fathani adalah seorang ulama besar yang juga bijak dalam ilmu tafsir al-Quran.

Demikian panjang yang dibicarakan dalam bab al-Mahabbah, pada muka 61, baru memasuki bab Pada Menyatakan Berhadap Hamba Kepada Allah Dan Kembali Kepada-Nya. Mulai bab ini dan dua bab selepasnya semuanya membicarakan tasawuf, saya langkaukan saja, hingga masuk membicarakan bulan penting dalam Islam.

Selain terjadi pelbagai peristiwa, dianjurkan pula pelbagai amalan tertentu yang dikerjakan dalamnya. Mengenai ini dimulai mengenai pada muka 74. Perbicaraan mengenai Rejab termasuk peristiwa Israk dan Mikraj yang terjadi pada bulan ini.

Perbicaraan selanjutnya mengenai Syaaban dengan pelbagai kelebihannya, termasuk yang terkenal Nisfu Syaaban (muka 91 hingga 100). Seiringan Rejab dan Syaaban, puncak amalan ibadah kaum Muslimin ialah Ramadan, yang mana Muslimin wajib berpuasa. Semua kelebihan ibadah dalam bulan Ramadan disebut oleh Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani secara terperinci, termasuk bahasan mendalam mengenai "Lailah al-Qadar" yang disebut dalam al-Quran bahawa beribadah di dalamnya menyamai 1,000 bulan, iaitu lebih kurang 83 tahun. Zulhijjah juga dibicarakan. Ibadah dalam Zulhijjah selain wajib haji dan umrah, ada pelbagai amalan sunat seperti takbir dan puasa sunat 10 hari.

Mengenai Muharam, terutama hari Tasu'a dan 'Asyura (9 dan 10 Muharam) dibahas Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani secara khusus.

Masih banyak perkara yang dibicarakan dalam Jam'u al-Fawaid saya tinggalkan. Saya simpulkan bahawa khusus membicarakan kelebihan bulan Islam, ternyata karya Syeikh Daud 'Abdullah al-Fathani itu adalah satu-satunya dalam bahasa Melayu, tidak ada kitab lain seumpamanya.



Thursday, May 7, 2020

Panduan Fardu 'Ain


Sempena pemergian seorang tokoh dakwah terkenal Tuan Guru Dato’ Ismail bin Kamus (1948-2020) pada malam tadi, blog karya ulama ini ingin memaparkan sebuah karya beliau yang menjadi rujukan umat Islam suatu ketika dulu. Mungkin karya beliau ini sudah tidak lagi beredar di pasaran pada masa kini.

Karya beliau ini berjudul “PANDUAN FARDU ‘AIN”. Sebuah buku yang ringkas dan padat, yang didahului dengan perbincangan mengenai ilmu tauhid (akidah) dan dikuti perbincangan khusus mengenai ibadat solat. 

Kandungan buku ini dibahagikan kepada 10 bab, meliputi bab tauhid, bersuci, ibadat solah, solah berjemaah, solah jamak dan qasar, solah-solah sunat, solat jumaat, urusan jenazah, doa selepat solah dan tahlil.

Sekadar maklumat yang diperolehi, saya hanya menemui dua edisi cetakan buku ini, iaitu;

a)  Buku yang diterbitkan oleh Muafakat Enterprise Sdn. Bhd pada tahun 1992 dengan cetakan ke enam (edisi ke-4). Tebal buku 126 halaman.

b)   Buku yang diterbitkan oleh At Tafkir Enterprise pada tahun 1993 dengan cetakan pertama. Tebal buku 129 halaman.

Sebagaimana yang disebut di atas, saya belum menemui terbitan terbaharu buku ini di pasaran. Namun begitu, ketiadaan buku ini telah diganti dengan sebuah karya beliau yang lain dan terkini yang lebih lengkap dan sesuai sebagai bacaan dan rujukan umat Islam, iaitu buku yang berjudul “INDAHNYA HIDUP BERSYARIAT” . Buku ini disusun oleh Dato’ Ismail Kamus , serta dibantu oleh Ust. Mohd. Azrul Azlen Abd. Hamid, seorang pensyarah di Pusat Matrikulasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA). Buku ini diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn. Bhd dengan cetakan pertama pada Mac 2009. Buku ini masih ada di pasaran dan telah terbitkan edisi barunya yang telah dikemaskini. Ia masih  ada dijual di kedai-kedai buku agama di seluruh negara. 

Semoga bermanfaat.

Wednesday, May 6, 2020

Kajian Meyakini Kitab-Kitab Allah Dan Sikap Kita Terhadapnya


Buku “Kajian Meyakini Kitab-Kitab Allah Dan Sikap Kita Terhadapnya: Pembongkaran Kitab-Kitab Dari Langit Dan Kitab-Kitab Ciptaan Manusia” adalah sebuah karya yang sangat penting yang disusun oleh Almarhum Tuan Haji Abdullah Al-Qari bin Haji Salleh (1937-2020), seorang karyawan dan tokoh penulis yang terkenal dari negeri Kelantan. Buku ini telah diterbitkan dengan cetakan pertamanya pada tahun 1982 oleh penyusunnya sendiri melalui syarikatnya Pustaka ASA, Kubang Krian, Kota Bharu. Ketebalan buku ini adalah 189 halaman.

Kandungan buku ini membincangkan secara terperinci mengenai kitab-kitab yang yang telah diturunkan oleh Allah kepada para rasul-Nya. Perbincangan dalam buku ini telah dibahagikan kepada sembilan bahagian. Berikut dilampirkan ringkasan kandungan buku ini;

Bahagian 1: Mengenal Kitab, Lauh Mahfudz, Qalam dan Wahyu (Hal. 9-25)
1.      Kitab Allah Sebelum Diciptakan Alam.
2.      Lauh Mahfudz Dan Qalam.
3.      Pemindahan Kitab Dari Lauh Mahfudz.
4.      Menerima Kitab Dalam Bentuk Wahyu.

Bahagian 2: Kepentingan Kitab dan Pendapat Filsafah (Hal. 25-31)
1.      Kepentingan Cahaya kenabian dan Kitab Allah.
2.  Pendapat Sebahagian Ahli-ahli Filsafah Mengenai Kepercayaan Kepada Kitab-kitab Allah.
3.      Rahsia Dan Hikmat Kepercayaan Kepada Kitab-kitab Allah.

Bahagian 3: Kepercayaan Kepada Kitab-kitab Allah Secara Keseluruhan (Hal.31-44)
            1.      Kepercayaan Kepada Kitab-kitab Allah.
            2.      Perbedzaan Pokok Kitab-kitab Allah.

Bahagian 4: Kepercayaan Kepada Suhuf-Suhuf (Helaian Suci) (Hal. 38-44)
1.      Kepercayaan Kepada Suhuf-suhuf.
2.      Kandungan Suhuf Ibrahim.
3.      Kandungan Suhuf Musa.

Bahagian 5: Kepercayaan Kepada Kitab Taurat (Hal. 44-63)
1.      Erti Kata Taurat.
2.      Cara Diturunkan Taurat.
3.      Kandungan Kitab Taurat.
4.      Penyelewengan Kitab Taurat.

Bahagian 6: : Kepercayaan Kepada Kitab Zabur (Hal. 58-63)
1.      Pengenalan Kitab Zabur.
2.      Kandungan Zabur.
3.      Penyelewengan Ke atas Kitab Zabur.

Bahgaian 7: Kepercayaan Kepada Kitab Injil  (Hal. 63-100)
1.      Erti Kata Injil.
2.      Kandungan Injil.
3.      Perkembangan Agama Masehi yang Menyeleweng.
4.      Ajaran Triniti Bukan dari ajaran Allah.
5.      Sejarah Penulisan Injil dan Pemesongannya.
6.      Perjanjian Lama Dan Perjanjian Baru Kini.
7.      Injil Barnaba dan Hubungannya Dengan Kepercayaan Islam.
8.      Pertentangan Barnaba Dengan Lain-lain Injil.
9.      Penemuan Naskhah-naskhah Qumraan.
10.  Tipu daya Ahli Kitab: Yahudi dan Nasrani.

Bahgaian 8: Kepercayaan Kepada Kitab Suci Al-Quran (Hal. 100-152)
1.      Pengenalan Al-Quran.
2.      Kandungan Al-Quran.
3.      Pendapat al-Imam Ibnu Taimiyyah terhadap Al-Quran.
4.      Mempercayai Al-Quran Bererti Mempercayai seluruh Kitab-Kitab Allah.
5.      Al-Quran Sebuah Kitab Yang Terpelihara.
6.      Terjemahan kitab Suci Al-Quran Ke dalam Bahasa-bahasa Dunia.
7.      Adakah Al-Quran itu Makhluk?
8.      Keutamaan Kitab Al-Quran Lebih Dari Kitab-kitab Dari Langit.
9.      Pandangan As-Sayyid  Saabiq Mengenai Keistimewaan Al-Quran.
10.  Pandangan Al-Maududi Mengenai Keistimewaan Al-Quran.
11.  Kenyataan Ayat-ayat Al-Quran Tentang Berita Gembira Akan Kelahiran Nabi Muhammad saw, di dalam Kitab Dari Langit.
12.  Bukti-bukti Kebenaran Dan Kedatangan Nabi Muhammad saw Dalam Kitab-kitab Suci.
13. Dialog Antara Muqauqis Dan Hatiib Membuktikan Kebenaran Nabi Muhammad saw.
14.  Perbedzaan Antara al-Quran Dan Kitab-kitab Lain.
15.  Al-Quran Penggerak Perpustakaan Dunia.
16.  Kekufuran Kerana Salah I’tiqad Terhadap Al-Quran.
17.  Tuduhan Sarjana Barat Terhadap Al-Quran.
18.  Marilah mengamalkan Ajaran Al-Quran.

Bahagian 9: Berita, Seruan Dan Pandangan (hal.152-183)
1.      Kitab-kitab Agama Karya Nabi-nabi Palsu.
2.      Kitab-kitab Bacaan Iblis.
3.      Bolehkah Orang Islam Membaca Kitab-kitab Suci Yang Ada campur Tangan Manusia.
4.      Impikasi Mempercayai Kitab Allah.
5.    Apakah akibatnya manusia yang tidak sudi Membaca dan mengikuti Petunjuk Kitab-kitab Allah Taala?
6.      Ikutlah Arahan Allah SWT sendiri.
7.      Seruan Kepada Ahli Kitab.
8.      Segolongan Ahli Kitab Yang Jujur.
9.      Balasan Bagi Orang-orang Yang mempercayai  Kitab-kitab Allah 
10.  Lari Dari Fitnah Dengan memegangi Tali Allah.
11.  Al-Quran Sebagai Kitab Bacaan.
12.  Peminat Al-Quran Ialah Kekasih Allah.

Sekadar maklumat yang diperolehi, semenjak cetakan pertamanya (1982), buku ini belum lagi diterbitkan kembali, sama ada oleh penyusunnya ataupun penerbit yang lain. Semoga buku yang bermanfaat ini dapat diterbitkan kembali sebagai bahan bacaan dan rujukan umat Islam.

Semoga bermanfaat.