Friday, May 1, 2020

Ithafu Ahli al-Islam Bi Khushushiyat al-Shiyam


Kitab Ithafu Ahli al-Islam Bi Khushushiyat al-Shiyam (إتحاف أهل الإسلام بخصوصيات الصيام) adalah sebuah karya al-Imam Syihabuddin Abu al-'Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Makki al-Haytami (909-973H), seorang tokoh ulama’ mazhab Syafi’i yang terkenal. Tokoh yang terkenal dengan gelaran Ibnu Hajar al-Haytami ini merupakan tonggak mazhab Syafi’i pada zamannya.

Dalam kitab ini Imam Ibn Hajar al-Haytami membincangkan mengenai keutamaan atau keistimewaan puasa dan hukum hakam berkaitan ibadat puasa. Beliau telah membahagikan kandungan kitab ini kepada 4 bab utama, iaitu;

Bab I :  Keutamaan Puasa
Bab II:  Hukum-Hukum Puasa
Bab III: Perkara yang membolehkan tidak berpuasa, Tata cara Mengganti Puasa, dan Fidyah.
Bab IV: Hukum berpuasa selain puasa Ramadhan.

Dalam bab pertama, beliau membahagikan perbincangan mengenai keutamaan puasa dalam dua kategori, iaitu :
i)                Keutamaan Puasa secara Umum
Untuk mengungkap keutamaan puasa  pada kategori yang pertama, Imam Ibnu Hajar al-Haitami menggunakan dua dasar utama, yakni ditinjau dari aspek dalil naqli, iaitu keutamaan  yang disebutkan oleh hadith-hadith Rasulullah saw, dan tinjauan dari aspek kesihatan.

ii)              Keutamaan Puasa Ramadhan
Manakala pada kategori kedua, penulis menyertakan banyak sekali hadith-hadith tentang keutamaan Puasa Ramadhan.

Dalam bahagian penutup (khatimah), Ibnu Hajar al-Haitami menyebutkan beberapa hadith yang berhubungan dengan zakat fitrah dan dua hari raya.

Berdasarkan kitab yang diterbitkan oleh Maktabah Thayyibah- Madinah (1990), kandungan kitab ini merangkumi 392 halaman.

Kitab ini telah diringkaskan oleh Syeikh Abdul Fattah Husain Rawah al-Makky melalui karya beliau yang berjudul al-Shiyam; Ahkamuhu wa khushushiyatihi wa ahkam muftariqat ukhra ()

Kitab ini boleh dimuat turun melalui pautan  إتحاف أهل الإسلام بخصوصيات الصيام.

Semoga bermanfaat.


No comments:

Post a Comment