Thursday, June 27, 2019

Aqidah Ahl al-Islam (عقيدة أهل الإسلام)


Risalah Aqidah Ahl al-Islam (عقيدة أهل الإسلام) merupakan sebuah ringkasan (mukhtashar) mengenai akidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah (أهل السنة والجماعة) yang disusun oleh al-Imam Habib Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad al-Husaini al-Hadhrami al-Syafi’i (1044-1132H). Beliau adalah seorang ulama yang terkenal dalam bidang fiqh Syafi’i dan aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah aliran al-Asy'ariyah. Beliau digelar Syaikh al-Islam, Quthb ad-Da'wah wa al-Irsyad dan dikenali sebagai Pembaharu Tarekat Alawiyyah.

Risalah ini asalnya merupakan sebuah tulisan Imam Habib Abdullah al-Haddad yang disebutkan di akhir kitab beliau yang berjudul al-Nashaih al-Diniyyah wa al-Washaya al-Imaniyyah (النصائح الدينية والوصايا الإيمانية)[1]

Kemudiannya risalah ini ada diterbitkan secara berasingan daripada kitab induknya oleh Maktabah al-Hidayah, Beirut, Lubanan tahun 1993, yang disertakan Syarah Mufti Mesir, Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf (wafat tahun 1410/1990).

Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf rahimahullah mengatakan, “Kami menganjurkan seluruh orang islam, baik yang belajar di madrasah dan pondok pesantren, terutama generasi muda untuk mengkaji dan memahami kandungan makna kitab Aqidah Ahl al-Islam sehingga kitab ini menjadi benteng dari segala macam bentuk kesesatan dan racun". 

Risalah ini[2] boleh dibaca dan muat turun di pautan عقيدة أهل الإسلامSemoga bermanfaat.



[1] Kitab ini sudah diterjemahkan dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia. Terjemahan isi kandungan risalah Aqidah Ahlul Islam ini boleh dibaca di bahagian akhir buku terjemahannya.
[2] Risalah versi Arab ini dicetak dan diterbitkan bersama dengan huraian ringkasnya oleh al-‘Allamah Syaikh Hasanain Muhammad Makhluf (1410H/1990M), matan Mufti Mesir (1946-1950).

Friday, June 21, 2019

Qut al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj



Kitab Qut al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj (قوت المحتاج شرح المنهاج) adalah sebuah karya fiqh yang menjadi rujukan para ulama mazhab Syafi’i. Kitab ini disusun oleh al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas, Ahmad bin Hamdan bin Abdul Wahid al-Azra’i (708-783H) sebagai huraian (syarah) bagi kitab Minhaj al-Thalibin (منهاج الطالبين), iaitu sebuah karya al-Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H).

Berdasarkan kitab Qut al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj yang ditahkik oleh Eid Muhammad Abdul Hamid dan diterbitkan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah - Beirut, Lubnan (Cet. 1/ 2015), kandungan kitab ini merangkumi 7280 halaman yang dicetak dalam 12 jilid buku.

Kitab ini telah diringkaskan oleh Syaikh Nuruddin Abu  al-Tsana’ Mahmud bin Ahmad bin Muhammad al-Hamawi (760-834H) melalui karya beliau yang berjudul  I’anah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj[1] (إعانة المحتاج إلى شرح المنهاج).  

Kitab Qut al-Muhtaj ini boleh dimuat turun di pautan قوت المحتاج شرح المنهاج.

Semoga bermanfaat.



[1] Ia juga juga dikenali sebagai Ighatsah al-Muhtaj (إغاثة المحتاج) atau Lubab al-Qut (لباب القوت).

Sunday, June 16, 2019

Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih



Karya ulama yang ingin dikongsi bersama pembaca kali ini adalah sebuah buku karya ilmuan tempatan berjudul “Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih”. Buku ini disusun oleh Dr. Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari, seorang pensyarah di Universiti Terengganu Darul Iman. Buku ini telah diterbitkan - Darul Nu'man, Kuala Lumpur - dengan cetakan pertamanya pada tahun 1996. Ketebalan buku ini merangkumi 464 halaman.

Buku ini merupakan sebuah karya fiqh yang mengupas beberapa isu-isu terpilih yang menjadi amalan dan perbincangan di kalangan masyarakat Islam kini, khusus masyarakat Islam di Malaysia. Pada masa kini, terdapat pelbagai masalah isu-isu fiqh baru yang tidak ditemui dalam nas Al Quran dan Hadis secara jelas, namun memerlukan analisa yang lebih mendalam. Oleh sebab itu permasalahan ini memerlukan huraian yang tepat daripada kalangan ulama masa kini. Dengan kebijaksanaan para ulama menyelesaikan masalah ummah sesuai dengan ketentuan hukum Allah SWT, maka Islam akan sesuai menurut aliran zaman, baik dilihat dari kacamata umat Islam sendiri mahupun musuh-musuh Islam.

Sehubungan itu maka buku ini merupakan susunan isu-isu fiqh yang sering berlaku di zaman ini yang telah dihuraikan oleh para ulama dan cerdik pandai Islam.

Maklumat tambahan;

Memandangkan buku ini mendapat sambutan yang baik dan menggalakkan daripada pembaca, khususnya dari kalangan penuntut institut pengajian tinggi di tanah air, ia telah melahirkan satu inisiatif baru kepada penyusunnya untuk menyambung usaha murni ini dengan isu-isu yang lain pula. Berikut antara buku kajian mengenai isu-isu fiqh yang disusun Dr. Basri bin Ibrahim sebagai kesinambungan daripada buku beliau di atas;

1)   Buku Fiqh Perbandingan : Isu-Isu Fiqh Terpilih ”. Buku ini telah diterbitkan - Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur - dengan cetakan pertamanya pada tahun 2007. Ketebalan buku ini merangkumi 512 halaman.

2)   Buku “ Isu-Isu Fiqh Halal & Haram Semasa ”. Ia merupakan sebuah karya fiqh yang sangat luas dan mendalam yang membicarakan persoalan halal dan haram semasa, meliput persoalan ilmu, akidah, syariah dan akhlak.  Sekadar pengamatan dan pengetahuan saya, buku ini merupakan satu-satunya karya dalam bahasa Melayu yang membicarakan persoalan halal dan haram begitu menyeluruh sekali. Buku ini telah diterbitkan oleh Al-Hidayah Publication, Selangor – berdasarkan cetakan pertamanya pada tahun2009 - dalam dua jilid yang agak tebal. Jilid pertama setebal 790 halaman, manakala jilid kedua setebal 759 halaman.

Semoga bermanfaat.