Showing posts with label akidah ahli sunnah. Show all posts
Showing posts with label akidah ahli sunnah. Show all posts

Wednesday, April 16, 2025

Aqidah Ahli Sunnah Menurut Al-Imam Al–Nawawi

Risalah yang diberi tajuk, “Aqidah Ahli Sunnah Menurut Al-Imam Al–Nawawi: Kefahaman Kerangka ‘Aqīdah Ahli Sunnah Berdasarkan Sharah Ṣaḥiḥ Muslim Dan Matan Al-Maqāṣid Al-Nawawiyyaholeh Al-Imām Abi Zakariyyā Yaḥyā Bin Sharaf Al-Nawawi Al-Dimashqī (W.676h) adalah usaha terjemahan dan susunan oleh Ustaz Mohd Saiful Aqil Naim Saful Amin al-Ṣiddiqi.

Karya ini merupakan karya pertama dalam bahasa Melayu yang menjelmakan kerangka umum ‘aqīdah ahli sunnah menurut Imam al-Nawawī. Penulis cuba menggali khazanah keilmuan Imam al-Nawawi dari dua karya beliau yang telah dinyatakan tersebut dalam usahanya menggambarkan pendirian Imam al-Nawawi dalam ilmu akidah.

Seterusnya penulis bukan sahaja sekadar menyenaraikan dapatan yang diperoleh malah mengolah semula gambaran umum tersebut dan memberi sentuhan baharu menjadikan karyanya lebih bermakna dan bermanfaat. Kitab ini memuatkan juga sedikit latar belakang Imam al-Nawawi untuk kita menelusuri hal-hal dan suasana yang melatari dan pengaruh dalam pembinaan manhaj dan pemikiran keilmuannya.

Sesungguhnya karya ini sangat bagus untuk perhatian para pengkaji dan juga golongan terpelajar mahupun penuntut ilmu untuk diteliti dengan tuntas kepada usaha memahami pandangan Imam al-Nawawi dalam bab aqidah ahli sunnah wal jamaah. Risalah ini juga amat sesuai dijadikan sebagai pengajian umum kepada masyarakat awam sebagai gambaran awal pandangan aqidah ahli sunnah wal jamaah yang amat bersepadu dengan manhaj pembelajaran aqidah ahli sunnah di bumi Nusantara ini.

Dinukilkan daripada https://ilhambooks.com/aqidah-ahli-sunnah-menurut-al-imam-al-nawawi/

Thursday, June 27, 2019

Aqidah Ahl al-Islam (عقيدة أهل الإسلام)


Risalah Aqidah Ahl al-Islam (عقيدة أهل الإسلام) merupakan sebuah ringkasan (mukhtashar) mengenai akidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah (أهل السنة والجماعة) yang disusun oleh al-Imam Habib Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad al-Husaini al-Hadhrami al-Syafi’i (1044-1132H). Beliau adalah seorang ulama yang terkenal dalam bidang fiqh Syafi’i dan aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah aliran al-Asy'ariyah. Beliau digelar Syaikh al-Islam, Quthb ad-Da'wah wa al-Irsyad dan dikenali sebagai Pembaharu Tarekat Alawiyyah.

Risalah ini asalnya merupakan sebuah tulisan Imam Habib Abdullah al-Haddad yang disebutkan di akhir kitab beliau yang berjudul al-Nashaih al-Diniyyah wa al-Washaya al-Imaniyyah (النصائح الدينية والوصايا الإيمانية)[1]

Kemudiannya risalah ini ada diterbitkan secara berasingan daripada kitab induknya oleh Maktabah al-Hidayah, Beirut, Lubanan tahun 1993, yang disertakan Syarah Mufti Mesir, Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf (wafat tahun 1410/1990).

Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf rahimahullah mengatakan, “Kami menganjurkan seluruh orang islam, baik yang belajar di madrasah dan pondok pesantren, terutama generasi muda untuk mengkaji dan memahami kandungan makna kitab Aqidah Ahl al-Islam sehingga kitab ini menjadi benteng dari segala macam bentuk kesesatan dan racun". 

Risalah ini[2] boleh dibaca dan muat turun di pautan عقيدة أهل الإسلامSemoga bermanfaat.



[1] Kitab ini sudah diterjemahkan dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia. Terjemahan isi kandungan risalah Aqidah Ahlul Islam ini boleh dibaca di bahagian akhir buku terjemahannya.
[2] Risalah versi Arab ini dicetak dan diterbitkan bersama dengan huraian ringkasnya oleh al-‘Allamah Syaikh Hasanain Muhammad Makhluf (1410H/1990M), matan Mufti Mesir (1946-1950).

Tuesday, June 7, 2016

Anak Kunci Syurga


Kitab “Anak Kunci Syurga” adalah sebuah kitab yang disusun dalam bahasa Melayu (tulisan Jawi) oleh Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muththalib bin Hassan al-Indunisi al-Mandili al-Makki al-Syafi’i. Seorang tokoh ulama Nusantara yang terkenal sebagai guru di Masjid al-Haram pada zamannya. Beliau dilahirkan di  Mandailing, Sumatera Utara pada tahun 1910 M dan wafat di kota Mekkah, Arab Saudi pada tahun 1965 M.

Isi kandungan kitab Anak kunci Syurga ini membahaskan secara ringkas mengenai akidah dan beberapa permasalahan hukum fiqh berdasarkan mazhab Syafi’i, seperti bersuci, sembahyang, sujud sahwi, sujud tilawah dan sujud syukur, puasa, iktikaf dan zakat fitrah. Kitab ini turut membahaskan berkaitan dengan sifat-sifat yang dicela dan dipuji pada akhir pembahasannya.

Kitab Anak kunci Syurga ini menjadi rujukan dan teks bagi kuliah agama yang diadakan di masjid-masjid, khusus bagi umat Islam di Indonesia dan Malaysia.

Sekadar makluman, kitab ini telah diterbitkan dengan versi tulisan rumi oleh beberapa syarikat penerbitan sama ada di Indonesia maupun di Malaysia. Sebagai contoh ia telah diterbitkan di Malaysia oleh Al-Hidayah Publications dengan ketebalan muka suratnya 193 halaman. Pengalihan tulisan jawi ke rumi telah diusahakan oleh Ustazah Noraine Abu.

Semoga bermanfaat. 

Monday, July 28, 2014

Qawa'id al-'Aqaid


Kitab Qawa’id al-‘Aqaid fi al-Tawhid  (قواعد العقائد فى التوحيد) merupakan sebuah karya al-Imam Abu Hamid al-Ghazali (505H) yang membincangkan mengenai akidah. Imam al-Ghazali telah menyusun kitab ini sebagai sebuah kitab yang khusus menghuraikan konsep akidah menurut Ahli Sunnah wal Jama’ah. Kitab ini agak nipis jika berbanding dengan karya-karya Imam al-Ghazali yang lain. Berdasarkan kitab yang telah diterbitkan, sama ada secara berasingan dari kitab Ihya’ ‘Ulumiddin atau yang terdapat dalam kitab al-Ihya’ – kandungan kitab Qawa’id al-‘Aqaid ini - hanya merangkumi 6 halaman sahaja.

Apabila Imam al-Ghazali menyusunkan kitab induk dan karya agungnya yang berjudul Ihya’  Ulumiddin (إحياء علوم الدين), beliau telah memasukkan kitab Qawa’id al-‘Aqaid fi al-Tawhid yang telah disusunkan sebelumnya ke dalam kitab al-Ihya’ sebagai fasal pertama bagi Kitab Qawa’id al-‘Aqaid, iaitu judul yang diberikan oleh Imam al-Ghazali bagi kitab yang kedua dalam Rubu’ al-‘Ibadat (الكتاب الثاني من ربع العبادات). Dalam al-Ihya’, Imam al-Ghazali meletakkan judul fasal pertama ini dengan ungkapan[1];

فى ترجمة عقيدة أهل السنة فى كلمتى الشهادة التى هى أحد مبانى الإسلام
(Menghuraikan akidah (iktikad) Ahlus Sunnah wal Jama’ah mengenai dua kalimah syahadah, iaitu salah satu dari dasar-dasar Islam)

Kitab ini terkenal di kalangan para ulama’ selepas al-Ghazali sebagai teks rujukan bagi konsep Ahli Sunnah wal Jama’ah. Kitab ini telah mendapat perhatian yang besar di kalangan para ulama Ahli Sunnah, di mana beberapa ulama telah menyusun kitab khusus bagi menghuraikan (syarah) isi kandungan kitab Qawa’id al-‘Aqaid ini. Antara ulama yang menghasilkan karya khusus bagi menghuraikan kandungan kitab Qawa’id al-‘Aqaid ialah;

a)     al-Sayyid Ruknuddin al-Istirabadi
b)     al-‘Allamah Muhammad ‘Amin bin Shadruddin al-Syarwani
c)      al-‘Allamah al-Sayyid Muhammad bin Muhammad al-Husaini al-Zabidi
d)     Dr al-Sayyid Muhammad ‘Uqail bin ‘Ali al-Mahdali[2]

Terdapat beberapa edisi kitab Qawa’id al-‘Aqa’id ini yang telah dicetak dan diterbitkan secara berasingan[3] dari kitab al-Ihya’. Manakala edisi yang menjadi rujukan saya bagi menyiapkan catatan ringkas ini adalah edisi yang telah diedit dan dihuraikan oleh Dr al-Sayyid Muhammad ‘Uqail bin ‘Ali al-Mahdali. Edisi ini diterbitkan Darul Hadis, Kaherah dengan ketebalan 79 halaman termasuk halaman kata pengantar pentahkik, pengenalan kitab, dan halaman rujukan dan isi kandungannya.

Kitab ini juga ada diterbitkan bersama karya-karya Imam al-Ghazali yang lain dalam sebuah buku yang diusahakan oleh beberapa ulama antara;

a)   Majmu’ah Rasa-il al-Imam al-Ghazali[4]. Kitab Qawa’id al-‘Aqaid merupakan risalah yang ke empat daripada 26 buah karya Imam al-Ghazali yang dihimpunkan dalam buku ini. Kitab ini disemak dan diedit oleh Ibrahim Amin Muhammad.

b)     al-Qushur al-‘Awali min Rasail al-Imam al-Ghazali[5].


Isi Kandungan Kitab Qawa’id al-‘Aqaid ( dalam Ihya ‘Ulumiddin)…..

Kitab Qawa'id al-'Aqaid yang terdapat dalam Ihya ‘Ulumiddin telah diterbitkan secara berasingan dari kitab induknya (al-Ihya') oleh beberapa penerbitan dalam bahasa Arab. Dalam kitab ini, Imam al-Ghazali telah membahagikan perbincangan mengenai konsep akidah Ahli Sunnah wa al-Jama’ah kepada empat fasal, iaitu;

a)  Menghuraikan akidah (iktikad) Ahlus Sunnah wal Jama’ah mengenai dua kalimah syahadah, iaitu salah satu dari dasar-dasar Islam ( فى ترجمة عقيدة أهل السنة فى كلمتى الشهادة التى هى أحد مبانى الإسلام )[6]

b)     Mengenai cara beransur-ansur memberi petunjuk dan susunan tingkatan iktiqad.    (    في وجه التدريج إلى الإرشاد وترتيب درجات الاعتقاد اعلم أن ما ذكرناه في ترجمة العقيدة)   

c)      Mengenai dalil-dalil yang terang bagi akidah  ( في لوامع الأدلة للعقيدة التي ترجمناها بالقدس)[7]

d)   Mengenai Iman dan Islam, serta hubungan antara keduanya dan berkaitan dengan bertambah dan berkurang nya iman.
)في الإيمان والإسلام وما بينهما من الاتصال وما يتطرق إليه من الزيادة والنقصان ووجه استثناء السلف فيه               (

Dalam kitab ini, al-Ghazali menerangkan mengenai pegangan sebenar golongan Ahli Sunnah wal Jamaah,  yang terdiri dari kalangan salaf dan khalaf. Imam al-Ghazali menerangkan cara yang telah diteladani golongan salaf dalam berakidah yang tepat sebagaimana yang diterima daripada Rasulullah saw.

Satu kitab yang patut dibaca dan dipelajari isi kandungannya. Sekadar pengamatan saya yang terhadnya ini, kitab al-Qawa’id al-‘Aqaid yang lengkap sebagaimana dalam kitab al-Ihya’ ini belum lagi diterbitkan dalam bahasa Melayu / Indonesia secara berasingan dari kitab al-Ihya’. Wallahu a’lam.

Saya berpendapat terjemahan kitab ini yang merangkumi semua fasal yang dibincangkan dengan panjang lebar oleh Imam al-Ghazali perlu diterbitkan segera secara berasingan dari kitab induknya, bagi memudahkan umat Islam mendapat manfaatnya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kitab ini, sila baca kitab Qawa’id al-‘Aqaid, terbitan Darul Hadis, Kaherah yang boleh dimuat turun di pautan

Semoga catatan ringkas ini bermanfaat.



[1] Ihya’ ‘Ulumiddin.Kaherah: Maktabah Mishr,1998,  hal. 120-125.
[2] Beliau telah membuat kajian dan tahqiq terhadap teks (nas) kitab Qawa’id al-‘Aqaid serta membuat huraian isi kandungannya. Lihat Kitab Qawa’id al-‘Aqaid, yang diterbitkan oleh Darul Hadis, Kaherah.
[3] Namun begitu setelah diteliti kandungan beberapa kitab yang diterbitkan ia merupakan Kitab al-Qawa’id al-‘Aqaid lengkap merangkumi 4 fasal yang terdapat dalam Ihya’ ‘Ulumiddin.
[4] Majmu’ah Rasa-il al-Imam al-Ghazali. Beyrut: Darul Fikr, cetakan 1 - 1996, hal. 160-164, Juga cetakan al-Maktabah al-Tawfiqiyyah, Mesir: hal. 174-177.
[5]  al-Qushur al-‘Awali min Rasail al-Imam al-Ghazali. Kaherah: Maktabah al-Jundi.
[6] Iaitu asalnya merupakan kitab Qawa’id al-‘Aqaid yang disusun oleh Imam al-Ghazali sebelum penyusunan kitab al-Ihya’ sebagaimana yang diterangkan sebelum ini.
[7] Kandungan fasal ke tiga ini juga asalnya merupakan sebuah kitab yang disusun oleh al-Ghazali secara berasingan sebelum penyusunan kitab al-Ihya’. Imam al-Ghazali menyebut judul kitab beliau ini nama al-Risalah al-Qudsiyyah fi Qawa’id al-‘Aqaid. Namun apabila beliau menyusun kitab al-Ihya’, kitab ini juga telah digabungkan ke dalam kitab ini.