Showing posts with label aqidah. Show all posts
Showing posts with label aqidah. Show all posts

Tuesday, July 31, 2018

SIRAJUL HUDA (سراج الهدى)


Kitab Sirajul Huda (سراج الهدى) Pada Menyatakan `Aqidah Ahl al-Taqwa merupakan sebuah kitab Melayu (Jawi) dalam bidang akidah (tauhid) yang masih lagi berlegar di pasaran kitab dan menjadi teks pengajian akidah di masjid atau surau. Kitab ini telah dikarang oleh seorang ulama asal dari Sumbawa yang bernama Syaikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi al-Sumbawi.

Judul asal kitab ini sebagaimana yang disebutkan sendiri oleh Syaikh Mummmad Zainuddin al-Sumbawi di akhir kitab adalah Sirajul Huda ila Bayan ‘Aqa-idi al-Taqwa (سراج الهدى إلى بيان عقائد التقوى), yang diterjemahkan oleh beliau sebagai “ Pelita Petunjuk Kepada Menyatakan Segala Simpulan Segala Ahli Takwa ”. Kitab ini ditulis di kota Makkah, namun  tidak dinyatakan tarikh bila ia diselesaikan.

Kitab ini adalah huraian (syarah) bagi kitab Umm al-Barahin, karya Imam Muhammad bin Yusuf bin `Umar bin Syu’aib al-Sanusi al-Maliki al-Hasani al-Tilimsani (832-895H) dalam bahasa Melayu. Kata al-Syaikh Muhammad al-Sumbawi dalam muqaddimah kitab ini:

“ Dan kemudian daripada itu maka sungguhnya telah meminta akan hamba oleh setengah daripada orang yang tiada meluaskan akan hamba oleh menyalahi akan dia bahawa hamba surat akan risalah yang yang indah dengan bahasa Jawi hal keadaannya menjadi Syarah atas matan Umm al-Barahin ”.

Berikut dipetik tulisan al-Marhum Tuan Haji Mohd Shaghir Abdullah mengenai kitab Sirajul Huda ini;

“Kandungan karya Syeikh Muhammad Zainuddin Sumbawa yang nombor 1, iaitu Sirajul Huda, membicarakan tauhid atau akidah Ahli Sunah wal Jamaah, perbicaraannya biasa sahaja, sebagaimana kitab-kitab tauhid dalam bahasa Melayu yang lain-lainnya.

Sungguhpun begitu, ada dua hal yang menarik untuk dipetik, iaitu pertama terdapat dua tempat bahasa yang bercorak puisi dan yang kedua, kupasannya yang panjang mengenai satu istilah yang terdapat dalam usuluddin. Salah satu daripadanya tentang mukjizat Nabi Muhammad s.a.w menghidupkan ayah dan ibunya, terdiri enam bait, empat bait bahagian akhir sebagai contoh ialah:

Maka dihidupkan ayah dan bondanya  
                                                Supaya dengan dia percaya keduanya
Maka terima olehmu jangan ingkarnya 
                                                Kerana yang demikian itu kuasanya
Telah datang hadis dalil atasnya  
                                                Riwayat orang pendita rijalnya
Barang siapa berkata dengan  daifnya 
                                                Maka ialah daif, tidak hakikatnya.

Daripada contoh di atas, dapat dipastikan bahawa Syeikh Muhammad Zainuddin Sumbawa adalah termasuk ulama ahli penyair dunia Melayu".

Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan dan sampai sekarang masih beredar di pasaran kitab. Kitab ini dianggap antara kitab bidang tauhid yang paling banyak dijadikan teks pengajian di masjid atau surau.

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan سراج الهدى atau terus di pautan  سراج الهدىSemoga bermanfaat.

Wednesday, July 18, 2018

Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jama'ah: Sebuah Huraian dari Perspektif Sejarah dan Konsep


Buku Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jama'ah: Sebuah Huraian dari Perspektif Sejarah dan Konsep, merupakan sebuah buku yang menghimpunkan koleksi tulisan al-Marhum Dr. Muhammad ‘Uthman El-Muhammady (1943-2013), seorang tokoh pemikir dan intelektual terkenal di Malaysia. 

Buku ini diterbitkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), dengan cetakan pertamanya pada 2014. Ketebalan buku ini adalah 75 halaman, tidak termasuk halaman kata pengantar penyelenggara (2 halaman).

Kandungan buku ini asalnya adalah berupa siri-siri tulisan al-Marhum Dr. Muhammad ‘Uthman El-Muhammady dalam majalah Pengasuh sejak lebih dua dekad yang lalu. Bagi maksud agar supaya tulisan-tulisan ini dapat diabadikan dan lebih tersebar luas, penyelenggara bagi penerbitan buku ini, iaitu Ust. Abdul Razak Mahmud telah mengambil inisiatif bagi membukukan tulisan-tulisan ini.

Kandungan buku ini;

1)      Pengantar Penyelanggara.
2)     Definisi Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah.
3)     Punca Perselisihan Pendapat di Kalangan Umat Islam.
4)     Siapakah Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah.
5)     Dasar-dasar yang disepakati Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah.
6)     Ancaman Terhadap Aqidah.
7)   Epistemologi Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah dan Kepentingannya dalam Pembinaan Tamadun Dunia Melayu (Lampiran).  

Dengan membaca dan menghayati isi kandungan buku ini, insya Allah akan memantapkan pengetahuan dan pegangan kita yang berasaskan kepada akidah Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah. 

Semoga bermanfaat.

Tuesday, July 17, 2018

AQIDAH AL-NAJIN FI 'ILMU USHUL AL-DIN (عقيدة الناجين في علم أصولالدين)


Kitab ‘Aqidah al-Najin fi `Ilm Ushul al-Din (عقيدة الناجين في علم أصولالدين) merupakan sebuah karya dalam bidang aqidah dalam bahasa Melayu (Jawi). Kitab ini ditulis oleh Syaikh Zayn al-‘Abidin bin Muhammad al-Fathani, yang terkenal dengan gelaran Tuan Minal.

Syaikh Zayn al-‘Abidin al-Fathani menulis kitab ‘Aqidah al-Najin ini sebagai huraian bagi kitab Umm al-Barahin (أم البراهين), iaitu sebuah kitab dalam bidang akidah yang terkenal di kalangan para ulama Ahli Sunnah wa al-Jama’ah dari aliran al-Asya’irah.  Kitab ini adalah sebuah karya al-Imam Muhammad bin Yusuf bin `Umar bin Syu’aib al-Sanusi al-Maliki al- Hasani al-Tilimsani (832-895H).

Kitab 'Aqidah al-Najin adalah sebuah kitab yang boleh dikategorikan sebagai “muktabar” dalam bidang aqidah, khususnya di Nusantara. Kepentingan dan kedudukan kitab 'Aqidah al-Najin ini sebenarnya berkait rapat dengan kedudukan dan reputasi teks induknya iaitu kitab Umm al-Barahin di Nusantara.

Tujuan karya ini ditulis, sebagaimana yang dinyatakan oleh Syaikh Zayn al-'Abidin al-Fathani, adalah sebagai mengemukakan suatu terjemahan Melayu bagi kitab Umm al-Barahin karya Shaykh Sanusi untuk bacaan dan panduan pelajar dan umat Islam umumnya. Dalam hal ini Syaikh Zayn al-`Abidin al-Fathani menyebut dalam muqaddimah kitabnya;

Telah membaiki Allah Ta`ala bagiku dan bagi mereka itu akan bahawa aku suratkan bagi mereka itu suatu kitab pada menyatakan ilmu usuluddin pada hal aku terjemahkan daripada Muqaddimah Syaikh Sanusi serta aku tambahkan atasnya daripada beberapa kalam syarahnya dan hasyiahnya supaya nyata maksud daripada kalam syaikh itu dan jikalau tiada aku ahli bagi yang demikian itu sekali pun tetapi i`timadku kepada tawfiq al-Karim al-Wahhab[1].

Dari sini, jelas bahawa 'Aqidah al-Najin bukan sekadar terjemahan Umm al-Barahin, bahkan lebih dari itu, ia boleh dikategorikan sebagai suatu komentari dan olahan peribadi Syaikh Zayn al-'Abidin al-Fathani. Sumber olahan dan komentari ini, sebagaimana yang dinyatakan oleh Syaikh Zayn al-‘Abidin al-Fathani di atas, diambil dari syarah dan hashiyah Umm al-Barahin itu sendiri, sama ada yang dikarang oleh Syaikh Sanusi sendiri ataupun karya ulama lain seperti Syaikh Hudhudi dan sebagainya.

Kitab ini telah disempurnakan penulisannya oleh Syaikh Zayn al-‘Abidin pada hari Sabtu bulan Jamad al-Akhir, tahun 1308 Hijrah.

Kitab 'Aqidah al-Najin fi `Ilm Usul al-Din ini boleh dimuat turun di pautan عقيدة الناجين في علم أصولالدين atau  عقيدة الناجين في علم أصولالدين.

Catatan ringkas di atas dipetik dan diubahsuai dari artikel “ Beberapa Aspek Epistemologi al-Shaykh Zayn al-'Abidin B. Muhammad al-Fatani: Suatu Penelitian Awal Terhadap Karyanya 'Aqidah al-Najin fi `Ilm Usul al-Din”, karya Wan Suhaimi Wan Abdullah. Semoga bermanfaat.



[1] al-Syaikh Zayn al-`Abidin bin Muhammad al-Fathani (t.t), `Aqidah al-Najin fi `Ilm Usul al-Din, Thailand: Matba`ah bin Halabi, h. 2.

Wednesday, July 4, 2018

BIDAYAH AL-MUBTADI WA 'UMDAH AL-AWLADI


Kitab Bidayah al-Mubtadi wa ‘Umdah al-Awladi (بداية المبتدي وعمدة الأولادي) merupakan sebuah kitab menerangkan tiga bidang utama keilmuan Islam iaitu tauhid (akidah), fiqh, dan tasawuf. Kitab ini ditulis dalam bahasa Melayu beraksara Arab (Jawi).

Mengenai penyusun kitab ini, terdapat perbezaan pandangan di kalangan para pengkaji. Ini berlaku kerana penyusunnya tidak menyebutkan namanya, sama ada di bahagian pendahuluan kitab ataupun di bahagian akhir kitab sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para penulis kitab-kitab yang lain.

Berdasarkan beberapa cetakan kitab ini, di halaman depan kitab - nama pengarang tidak dicantumkan. Bahkan ada di bawah judul kitab ini keterangan berikut;

“  Pada bicara ‘aqaid al-Iman dan beberapa hukum bagi ibadat terjemah bahasa Melayu oleh setengah daripada mereka yang alim dan tiada disebutkan namanya kerana soleh dan waraknya

Menurut A. Ginanjar Sya’ban dalam bukunya, Mahakarya Islam Nusantara: Kitab, Naskah, Manuskrip dan Korespondensi Ulama Nusantara, penyusun kitab Bidayah al-Muhtadi ialah Syaikh Muhammad Shalih Rawah ibn Muhammad Murid al-Khalwati al-Sammani al-Rawi al-Jawi. Nama tokoh yang terkenal dengan panggilan Syaikh Shaleh Rawa ini ada disebutkan oleh editor di halaman terakhir bagi versi cetakan Maktabah Musthofa al-Babi al-Halabi, Kaherah - pada tahun 1374 H/ 1955 M[1].

Manakala menurut al-Marhum Haji Wan Muhd Shoghir bin Abdullah pula, penyusun kitab Bidayah al-Muhtadi  ini ialah Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah bin Abdur Rahman al-Banjari (1710-1812H)[2]. Sebagai makluman Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari  adalah guru kepada Syaikh Muhammad Shalih Rawa di atas.

Dalam kata pengantar kitab Bidayah al-Muhtadi, penyusunnya mengatakan  kitab ini merupakan sebuah risalah kecil yang ringkas, yang menghimpun kajian atas perkara-perkara yang harus diketahui oleh setiap muslim yang mukallaf, dari ilmu tauhid dan fiqh. Kitab ini diselesaikan oleh penyusunnya pada waktu pagi hari Ahad, awal bulan Jumadil Akhir tahun 1254 H.

Tujuan kitab ini disusun khusus sebagai panduan dan pegangan untuk mereka yang baru belajar dan kanak-kanak. Kata penyusun kitab; “ Dan aku namai akandia dengan Bidayah al-Mubtadi wa ‘Umdah al-Awladi (بداية المبتدي وعمدة الأولادي ) ertinya permulaan bagi segala orang yang baharu belajar dan perpegangan bagi segala kanak-kanak ”.

Muat turun kitab ini dipautan https://archive.org/details/BidayahAlMubtadi atau terus dipautan; 

Semoga bermafaat.

Monday, July 2, 2018

BIDAYAH AL-HIDAYAH SYARH MATN UMM AL-BARAHIN


Kitab Bidayah al-Hidayah Syarh Matn Umm al-Barahin (بداية الهداية شرح متن أم البراهين) adalah sebuah karya dalam bidang aqidah berdasarkan mazhab Ahli Sunnah wal Jama’ah. Kitab ini disusun oleh Syaikh Muhammad Zayn bin Faqih Jalaluddin al-Asyi (), seorang ulama terkenal dari Acheh, Indonesia.

Kitab ini merupakan himpunan huraian dan ulasan di dalam bahasa Melayu terhadap kitab Umm al-Barahin(أم البراهين) , iaitu sebuah kitab dalam bidang akidah yang terkenal, yang disusun al-Imam Muhammad bin Yusuf bin `Umar bin Syu’aib al-Sanusi al-Maliki al- Hasani al-Tilimsani (832-895H).

Kitab Bidayah al-Hidayah ini selesai disusun di Makkah pada malam Jumaat 24 Syaaban (1170H/1756M). Menurut Tuan Guru Wan Muhammad Shaghir Abdullah, kitab karya ulama Aceh ini merupakan kitab aqidah yang tertua yang masih berada di pasaran, adapun kitab aqidah yang lebih awal ataupun yang berdekatan tahun selesai penulisan dengannya sudah tidak diterbitkan lagi.

Menurut Ustaz Zaidi Abdullah dari Akademi Ulum Pondok dan Pencerahan Tamadun, kitab ini ada diberikan taqrir (catatan) oleh Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani yang diselesaikan pada hari Sabtu, 20 Rejab, 1303H.

Kitab Bidayah al-Hidayah boleh dimuat turun di pautan;

Semoga bermanfaat.

Wednesday, June 27, 2018

MASA'IL AL-MUHTADI LI IKHWAN AL-MUBTADI


Kitab Masa-il al-Muhtadi Li Ikhwan al-Mubtadi (مسائل المهتدي لاخوان المبتدي) adalah sebuah kitab yang ringkas,  yang membicarakan mengenai akidah dan hukum fiqh berdasarkan mazhab Syafi’i  yang disusun  dalam bentuk soal-jawab.

Penyusun kitab ini tidak diketahui dengan pasti, kerana penyusunnya tidak menyebutkan namanya, sama ada di bahagian pendahuluan kitab ataupun di bahagian akhir kitab sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para penulis kitab-kitab yang lain. Namun begitu, menurut beberapa sumber –kitab Masa-il al Muhtadi ini – merupakan karya Syaikh Muhammad Baba Daud Rumi atau Syaikh Baba Daud al-Jawi ibnu Ismail ibnu Agha Mustafa ibnu Agha Ali ar-Rumi[1], seorang ulama Aceh keturunan Turki yang yang kuburannya berada di Banda Aceh. Beliau merupakan murid langsung dari ulama besar Aceh, Syaikh Abdul Rauf al-Singkili (1615-1693), iaitu pengarang kitab tafsir Turjumanul Mustafid[2].

Judul kitab ini dengan jelas disebutkan oleh penyusunnya dalam pendahuluannya;

فـهذه رسالة مـخـتـصرة سـميـتها مـسائل الـمهـتدي لاخوان الـمبـتدى

maka inilah suatu risalah yang singkat dan kunamai akan dia MASA-IL AL- MUHTADI LI IKHWAN AL-MUBTADI artinya segala masalah yang menunjuki kami jalan yang betul bagi segala saudaraku yang baharu belajar ”.

Sebagaimana disebutkan sebelum ini, kitab ini disusun dalam bentuk soal-jawab, kata penyusunnya di akhir pendahuluan kitab ini;

bahwa kami bayankan (jelaskan) segala masalahnya dengan thariq (kaedah/cara) soal dan jawab supaya ingat segala orang yang menghafazkan (menghafal) dia, bahwa kepada Allah jua kita minta tolong akan ketetapan di dalam agama yang sebenar-benarnya iaitu agama Islam dengan berkat Nabi Saidil Mursalin Wa 'Ala Alihi Washahbihi Ajma'in ” .

Kandungan kitab ini memuatkan beberapa fasal sebagaimana yang disenarai oleh penyusunnya di awal kitab, iaitu;

a)   Pada menyatakan perkataan iman dan islam dan ihsan dan tauhid dan ma'rifat dan perkataan syahadat serta segala fardhunya dan segala rukunnya dan segala syarat  shahnya dan segala kesempurnaanya dan segala yang membinasakannya.

b)   Pada menyatakan rukun iman yang mujmal dan rukun iman yang mufash-shal serta segala fardhunya dan segala syaratnya dan segala kesempurnaanya dan segala yang membinasakan dia.

c)    Pada menyatakan rukun islam dan segala fardhu yang di dalamnya dan segala syaratnya dan segala kesempurnaanya dan segala yang membinasakan dia.

d)   Pada menyatakan fardhu istinja' dan segala syarat yang memfardhukan dia, mandi junub dan segala fardhunya.

e)    Pada menyatakan segala syarat yang dahulu daripada mengambil air sembahyang dan segala fardhunya dan segala yang membinasakan dia serta segala syaratnya.

f)       Pada menyatakan segala syarat yang dahulu daripada sembahyang dan rukunnya dan segala yang membinasakan dia serta segala syarat yang pada rukunnya.

g)     Pada menyatakan segala syarat yang memfardhukan puasa dan segala fardhunya dan segala sunatnya dan segala yang membinasakan dia.

Kitab ini masih dicetak dan tersebar di kalangan masyarakat Islam di Malaysia, Thailand dan Indonesia dan  menjadi rujukan di pondok-pondok, khususnya di dayah-dayah di Aceh, Indonesia.

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan





Semoga bermanfaat.
  


[2] Kitab yang dianggap kitab tafsir pertama dalam bahasa Melayu ini, sebenarnya tidak sempat diselesaikan oleh Syaikh Abdul Rauf al-Singkili. Ia kemudiannya telah diselesaikan dengan beberapa tambahan oleh murid beliau Syeikh Baba Daud Rumi ini.

Saturday, June 23, 2018

IRSYAD AL-MUBTADI ILA SYARH AL-KIFAYAH AL-MUBTADI


Kitab Irsyad al-Muhtadi ila Syarh al-Kifayah al-Mubtadi (إرشاد المهتدي إلى شرح كفاية المبتدي) adalah sebuah karya dalam bidang akidah yang disusun oleh al-‘Allamah Abdul Hamid bin ‘Ali bin Abdul Qadir Qudus al-Khathib (1335H), seorang tokoh ulama terkenal dari Makkah al-Mukarramah berketurunan Melayu (Indonesia).

Kitab Irsyad al-Muhtadi ini disusun oleh Syaikh Abdul Hamid Qudus sebagai huraian (syarah) bagi sebuah karya ayah beliau sendiri Syaikh al-‘Allamah ‘Ali bin Abdul Qadir Qudus, yang berjudul kitab Kifayah al-Mubtadi (كفاية المبتدي).

Kitab Irsyad al-Muhtadi ini boleh dimuat turun di pautan إرشاد المهتدي إلى شرح كفاية المبتدي.  Semoga bermanfaat. 

Monday, December 18, 2017

QATHR AL-GHAITS (قطر الغيث)


Kitab Qathr al-Ghaits Fi Syarh Masa-il Abi al-Laits (قطر الغيث في شرح مسائل أبي الليث) merupakan sebuah kitab yang menerangkan permasalahan akidah dan keimanan.

Kitab ini disusun oleh Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Jawi al-Bantani (1314H) sebagai huraian (syarah) bagi risalah yang berjudul Masa-il Abi al-Laits (مسائل أبي الليث), iaitu sebuah mukhtashar (ringkasan) mengenai akidah yang disusun oleh Abu al-Laits al-Samarqandi, atau nama lengkapnya Nashr bin Muhammad bin Ahmad bin Ibrahim al-Hanafi (373H). Abu al-Laits terkenal dengan gelaran Imam al-Huda (إمام الهدى).

Dalam kitab asalnya terdapat 17 permasalahan dan jawapannya yang disediakan oleh Imam Abu al-Laits dalam bentuk dialog (soal jawab). Setiap permasalahan yang ingin diterangkan akan didahului dengan kata [ Mas-alah : Iza qila laka (apabila kamu ditanya);  ………..diikuti dengan soalan) . Kemudian Imam Abu al-Laits membawakan jawapan, dengan kata [ Fal Jawab (Maka jawablah):  ………diikuti dengan jawapannya].

Oleh itu dalam kitab Qathru al-Ghaits ini, Syaikh Muhammad Nawawi al-Jawi telah mengekalkan susunan kitab asalnya yang disusun dalam bentuk soal jawab sebagaimana yang disebutkan di atas. Setiap jawapan bagi persoalan yang terdapat dalam kitab asalnya telah diberikan huraian dan penjelasan tambahan oleh Syaikh Muhammad Nawawi al-Jawi.

Berikut antara persoalan terkandungan dalam kitab ini;

1.       Apa itu iman ?
2.      Bagaimana beriman kepada Allah  dan Malaikat,
3.      Bagaimana beriman kepada Kitab-kitab dan berapa jumlahnya,
4.  Bagaimana beriman kepada para nabi, siapakah yang diberikan syariat, berapa jumlah mereka, berapakah yang menjadi Rasul, Apakah mengenali nama dan jumlah mereka semua menjadi syarat keimanan,
5.      Bagaimana beriman kepada hari akhir dan qadha qadar-Nya.
6.      Adakah iman itu mendapatkan ganjaran?
7.      Bagaimana jika seseorang shalat, puasa, zakat, mencintai malaikat, kitab, rasul, dan qadar- Nya, mengerjakan perintah-Nya dan menjauhkan larangan-Nya, dan mengikuti tradisi Nabi saw, apakah itu dapat disebut iman?
8.     Apakah iman dapat disifatkan suci dan apakah iman itu makhluk atau bukan.

Setiap jawapan yang diberikan Syaikh Abu Laits al-Samarqandi telah  diberikan huraian oleh Syaikh Muhammad Nawawi, yang disertakan dengan dalil-dalil dari al-Quran dan hadits, serta pendapat para ulama.

Sekalipun kitab ini relatif kecil, namun penting untuk kita kaji agar kita dapat meningkatkan kualiti keimanan.

Berdasarkan kitab Qathru al-Ghaits yang diterbitkan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah- Beirut pada tahun 2015, kandungan kitab ini merangkumi 48 halaman. 

Wednesday, September 27, 2017

SYARH AL-SHUDUR (شرح الصدور)


Kitab Syarh al-Shudur (شرح الصدور) atau judul lengkapnya Syarh al-Shudur bi Syarh Hal al-Mawta wa al-Qubur ( شرح الصدور بشرح حال الموتى و القبور ) adalah sebuah karya al-Imam al-Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman al-Suyuthi al-Syafi’i (849-911H).

Dalam buku ini, Imam Jalaluddin al-Sayuti mengajak pembaca menziarahi alam barzakh – sebuah alam penantian yang penuh misteri pasca-kematian yang diyakini akan menentukan nasib setiap manusia dalam menuju terminal akhir kehidupan akhiratnya: syurga atau neraka. Isi kandungan buku ini berbicara tentang seluruh realiti yang mungkin ditemui di alam barzakh. 

Di dalamnya dihuraikan pelbagai hal: masalah kematian, keutamaan dan metodenya, sifat malaikat maut dan bala tenteranya, perkara yang dapat memalingkan manusia menjelang sakaratulmaut, keadaan roh setelah meninggalkan jasad, keadaan di alam kubur, fitnah, seksaan dan sebagainya. Semua itu disajikan dalam pembahasan yang cukup menarik dan sarat dengan muatan sufistik. Oleh itu, buku ini sangat penting di baca sebagai bahan kontemplasi bagi siapa sahaja yang ingin mengharungi kehidupan ini dengan lebih bermakna.


Terjemahan kitab Syarh al-Shudur ( شرح الصدور);

Sekadar perkongsian maklumat, terdapat sebuah buku terjemahan kitab Syarh al-Shudur dalam bahasa Melayu yang telah diterbitkan oleh Inteam Publishing dengan judul “Ziarah Ke Alam Barzakh”

Kitab Syarh al-Shudur dalam edisi Arabnya boleh dibaca secara online di SINI. Bagi memuat turun kitab ini dalam bentuk file PDF, sila tekan pautan شرح الصدور atau di pautan  شرح الصدور. Boleh juga dimuat turun di SINI.


Semoga bermanfaat.

Monday, July 28, 2014

Qawa'id al-'Aqaid


Kitab Qawa’id al-‘Aqaid fi al-Tawhid  (قواعد العقائد فى التوحيد) merupakan sebuah karya al-Imam Abu Hamid al-Ghazali (505H) yang membincangkan mengenai akidah. Imam al-Ghazali telah menyusun kitab ini sebagai sebuah kitab yang khusus menghuraikan konsep akidah menurut Ahli Sunnah wal Jama’ah. Kitab ini agak nipis jika berbanding dengan karya-karya Imam al-Ghazali yang lain. Berdasarkan kitab yang telah diterbitkan, sama ada secara berasingan dari kitab Ihya’ ‘Ulumiddin atau yang terdapat dalam kitab al-Ihya’ – kandungan kitab Qawa’id al-‘Aqaid ini - hanya merangkumi 6 halaman sahaja.

Apabila Imam al-Ghazali menyusunkan kitab induk dan karya agungnya yang berjudul Ihya’  Ulumiddin (إحياء علوم الدين), beliau telah memasukkan kitab Qawa’id al-‘Aqaid fi al-Tawhid yang telah disusunkan sebelumnya ke dalam kitab al-Ihya’ sebagai fasal pertama bagi Kitab Qawa’id al-‘Aqaid, iaitu judul yang diberikan oleh Imam al-Ghazali bagi kitab yang kedua dalam Rubu’ al-‘Ibadat (الكتاب الثاني من ربع العبادات). Dalam al-Ihya’, Imam al-Ghazali meletakkan judul fasal pertama ini dengan ungkapan[1];

فى ترجمة عقيدة أهل السنة فى كلمتى الشهادة التى هى أحد مبانى الإسلام
(Menghuraikan akidah (iktikad) Ahlus Sunnah wal Jama’ah mengenai dua kalimah syahadah, iaitu salah satu dari dasar-dasar Islam)

Kitab ini terkenal di kalangan para ulama’ selepas al-Ghazali sebagai teks rujukan bagi konsep Ahli Sunnah wal Jama’ah. Kitab ini telah mendapat perhatian yang besar di kalangan para ulama Ahli Sunnah, di mana beberapa ulama telah menyusun kitab khusus bagi menghuraikan (syarah) isi kandungan kitab Qawa’id al-‘Aqaid ini. Antara ulama yang menghasilkan karya khusus bagi menghuraikan kandungan kitab Qawa’id al-‘Aqaid ialah;

a)     al-Sayyid Ruknuddin al-Istirabadi
b)     al-‘Allamah Muhammad ‘Amin bin Shadruddin al-Syarwani
c)      al-‘Allamah al-Sayyid Muhammad bin Muhammad al-Husaini al-Zabidi
d)     Dr al-Sayyid Muhammad ‘Uqail bin ‘Ali al-Mahdali[2]

Terdapat beberapa edisi kitab Qawa’id al-‘Aqa’id ini yang telah dicetak dan diterbitkan secara berasingan[3] dari kitab al-Ihya’. Manakala edisi yang menjadi rujukan saya bagi menyiapkan catatan ringkas ini adalah edisi yang telah diedit dan dihuraikan oleh Dr al-Sayyid Muhammad ‘Uqail bin ‘Ali al-Mahdali. Edisi ini diterbitkan Darul Hadis, Kaherah dengan ketebalan 79 halaman termasuk halaman kata pengantar pentahkik, pengenalan kitab, dan halaman rujukan dan isi kandungannya.

Kitab ini juga ada diterbitkan bersama karya-karya Imam al-Ghazali yang lain dalam sebuah buku yang diusahakan oleh beberapa ulama antara;

a)   Majmu’ah Rasa-il al-Imam al-Ghazali[4]. Kitab Qawa’id al-‘Aqaid merupakan risalah yang ke empat daripada 26 buah karya Imam al-Ghazali yang dihimpunkan dalam buku ini. Kitab ini disemak dan diedit oleh Ibrahim Amin Muhammad.

b)     al-Qushur al-‘Awali min Rasail al-Imam al-Ghazali[5].


Isi Kandungan Kitab Qawa’id al-‘Aqaid ( dalam Ihya ‘Ulumiddin)…..

Kitab Qawa'id al-'Aqaid yang terdapat dalam Ihya ‘Ulumiddin telah diterbitkan secara berasingan dari kitab induknya (al-Ihya') oleh beberapa penerbitan dalam bahasa Arab. Dalam kitab ini, Imam al-Ghazali telah membahagikan perbincangan mengenai konsep akidah Ahli Sunnah wa al-Jama’ah kepada empat fasal, iaitu;

a)  Menghuraikan akidah (iktikad) Ahlus Sunnah wal Jama’ah mengenai dua kalimah syahadah, iaitu salah satu dari dasar-dasar Islam ( فى ترجمة عقيدة أهل السنة فى كلمتى الشهادة التى هى أحد مبانى الإسلام )[6]

b)     Mengenai cara beransur-ansur memberi petunjuk dan susunan tingkatan iktiqad.    (    في وجه التدريج إلى الإرشاد وترتيب درجات الاعتقاد اعلم أن ما ذكرناه في ترجمة العقيدة)   

c)      Mengenai dalil-dalil yang terang bagi akidah  ( في لوامع الأدلة للعقيدة التي ترجمناها بالقدس)[7]

d)   Mengenai Iman dan Islam, serta hubungan antara keduanya dan berkaitan dengan bertambah dan berkurang nya iman.
)في الإيمان والإسلام وما بينهما من الاتصال وما يتطرق إليه من الزيادة والنقصان ووجه استثناء السلف فيه               (

Dalam kitab ini, al-Ghazali menerangkan mengenai pegangan sebenar golongan Ahli Sunnah wal Jamaah,  yang terdiri dari kalangan salaf dan khalaf. Imam al-Ghazali menerangkan cara yang telah diteladani golongan salaf dalam berakidah yang tepat sebagaimana yang diterima daripada Rasulullah saw.

Satu kitab yang patut dibaca dan dipelajari isi kandungannya. Sekadar pengamatan saya yang terhadnya ini, kitab al-Qawa’id al-‘Aqaid yang lengkap sebagaimana dalam kitab al-Ihya’ ini belum lagi diterbitkan dalam bahasa Melayu / Indonesia secara berasingan dari kitab al-Ihya’. Wallahu a’lam.

Saya berpendapat terjemahan kitab ini yang merangkumi semua fasal yang dibincangkan dengan panjang lebar oleh Imam al-Ghazali perlu diterbitkan segera secara berasingan dari kitab induknya, bagi memudahkan umat Islam mendapat manfaatnya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kitab ini, sila baca kitab Qawa’id al-‘Aqaid, terbitan Darul Hadis, Kaherah yang boleh dimuat turun di pautan

Semoga catatan ringkas ini bermanfaat.



[1] Ihya’ ‘Ulumiddin.Kaherah: Maktabah Mishr,1998,  hal. 120-125.
[2] Beliau telah membuat kajian dan tahqiq terhadap teks (nas) kitab Qawa’id al-‘Aqaid serta membuat huraian isi kandungannya. Lihat Kitab Qawa’id al-‘Aqaid, yang diterbitkan oleh Darul Hadis, Kaherah.
[3] Namun begitu setelah diteliti kandungan beberapa kitab yang diterbitkan ia merupakan Kitab al-Qawa’id al-‘Aqaid lengkap merangkumi 4 fasal yang terdapat dalam Ihya’ ‘Ulumiddin.
[4] Majmu’ah Rasa-il al-Imam al-Ghazali. Beyrut: Darul Fikr, cetakan 1 - 1996, hal. 160-164, Juga cetakan al-Maktabah al-Tawfiqiyyah, Mesir: hal. 174-177.
[5]  al-Qushur al-‘Awali min Rasail al-Imam al-Ghazali. Kaherah: Maktabah al-Jundi.
[6] Iaitu asalnya merupakan kitab Qawa’id al-‘Aqaid yang disusun oleh Imam al-Ghazali sebelum penyusunan kitab al-Ihya’ sebagaimana yang diterangkan sebelum ini.
[7] Kandungan fasal ke tiga ini juga asalnya merupakan sebuah kitab yang disusun oleh al-Ghazali secara berasingan sebelum penyusunan kitab al-Ihya’. Imam al-Ghazali menyebut judul kitab beliau ini nama al-Risalah al-Qudsiyyah fi Qawa’id al-‘Aqaid. Namun apabila beliau menyusun kitab al-Ihya’, kitab ini juga telah digabungkan ke dalam kitab ini.