Saturday, December 19, 2020

Tafsir dari Perspektif Sains Dan Sejarah

Al-Hamdulillah saya dapat memiliki 4 buah buku tafsir karya Al-Fadhil Prof. Madya Dr. Zawawi Ahmad yang menghuraikan ayat-ayat al-Quran yang terdapat surah Yasin, al-Naml, al-Nahl dan al-‘Ankabut dari perspektif sains dan sejarah.  

Berikut adalah buku tafsir tersebut;


     Tafsir Surah Yasin dari Perspektif Sains dan Sejarah.

 Tafsir Surah an-Naml dari Perspektif Sains dan Sejarah.

Tafsir Surah an-Nahl dari Perspektif Sains dan Sejarah.

 Tafsir Surah al-'Ankabut dari Perspektif Sains dan Sejarah
 .

Buku-buku ini, adalah antara karya dalam bidang tafsir yang disusun dalam bahasa Melayu. Koleksi buku tafsir ini telah diterbitkan oleh Aras Mega (M) Sdn. Bhd, Kajang Selangor.

Dalam karya tafsir ini, pengarangnya cuba membongkar beberapa rahsia yang terkandung dalam surah Yasin, al-Naml, al-Nahl dan al-‘Ankabut dari dari sudut sains dan sejarah. Dengan memahami mesej sebenar yang terkandung dalam surah-surah ini, umat Islam akan sedar bahawa setiap surah yang diturunkan oleh Allah SWT bukan sahaja untuk dibaca tetapi yang lebih penting ialah memahami isi kandungannya agar dapat melaksanakan segala perintah-Nya dengan lebih taat.

Semoga bermanfaat 

Thursday, December 17, 2020

Sunan al-Imam al-Syafi'i

 

Ramai penulis yang membincangkan tentang kitab hadith susunan para imam mazhab fiqh yang empat hanya menyebut Imam Malik dan Imam Ahmad sahaja yang ada menyusun kitab hadith iaitu Imam Malik (w. 179H) menyusun kitab al-Muwatta’ dan Imam Ahmad (w. 241H) menyusun kitab al-Musnad. Manakala Imam Abu Hanifah (w. 150H) dan Imam as-Syafi‘i (w. 204H) disebut tidak menyusun sebarang kitab hadith. Adapun kitab Musnad Abu Hanifah dan Musnad al-Syafi‘i kedua-duanya dihimpun dan disusun oleh ulama lain yg datang kemudian. Manakala kitab al-Musnad (المسند) yang masyhur dinisbahkan kepada Imam al-Syafi‘i itu adalah disusun oleh Abu al-‘Abbas Muhammad bin Ya‘qub bin Yusuf al-Asom (w. 346H).

Berdasarkan kajian Syeikh Dr. Khalil Ibrahim Mulla Khatir serta penelitian terhadap dalil dan hujah yang dikemukakan oleh beliau, dapat dinyatakan bahawa Imam al-Syafi‘i sebenarnya juga mempunyai kitab hadith yang disusun oleh beliau sendiri, iaitu kitab al-Sunan (السنن). Ia merupakan sebuah kitab hadith yang lain daripada kitab al-Musnad yang dinisbahkan kepadanya, meskipun ada sebahagian orang yg terkeliru dan menganggap kedua-duanya sebagai kitab yang sama.

Menurut Dr. Khalil Ibrahim Mulla Khatir, bilangan hadith-hadith kitab al-Sunan ini adalah sebanyak 666 buah hadis. Meskipun saiznya agak kecil, namun faedahnya amat besar sekali. Antaranya ialah sanad-sanadnya agak tinggi dan kebanyakan hadith-hadithnya pula adalah sahih. Menurut beliau, kitab Sunan al-Syafi‘i yang sampai kepada kita pada hari ini adalah salah satu daripada enam buah kitab hadith yang disusun oleh Imam as-Syafi‘i dengan judul “asl-Sunan”.

Ada sebahagian ilmuwan yang mendakwa bahawa kitab Sunan al-Syafi‘ei ini sebenarnya adalah susunan Imam Abu Ja‘far Ahmad bin Muhammad bin Salamah al-Tahawi al-Hanafi (239 – 321H), bukannya susunan Imam al-Syafi’i sendiri. Namun, pendapat ini agak lemah kerana bertentangan dengan banyak bukti. Antaranya (seperti dalam mukadimah Sunan al-Syafi‘i oleh Dr. Khalil Ibrahim Mulla Khatir);

1.     Di awal kesemua manuskrip kitab jelas menyebut, Imam at-Tahawi mendengar kitab Sunan al-Syafi‘i ini daripada bapa saudaranya, Imam al-Muzani yang merupakan murid Imam al-Syafi‘i. Dicatatkan, at-Tahawi mendengarnya daripada Imam al-Muzani pada tahun 252 H melalui pembacaan beliau kepadanya atau bersama murid-murid yg lain (قراءة منه علينا). Jelas bahawa pada masa ini, at-Tahawi masih remaja lagi dalam usia sekitar 13 atau 14 tahun. Ini membuktikan bahawa Imam at-Tahawi hanya sebagai perawi kitab sahaja, bukannya pengarang kitab dengan usia yg semuda itu. Malah, banyak tempat di dalam kitab al-Sunan ini yg mengisyaratkan demikian. 

2.    Dalam setengah manuskrip, ada disebutkan Imam al-Muzani mendengarnya daripada Imam al-Syafi‘i secara imla’ (penuturan) daripada dirinya sendiri kepada beliau atau bersama murid-murid yang lain (إملاء منه علينا) (1/14). Ini juga membuktikan bahawa Imam al-Muzani hanya sebagai perawi kitab sahaja, bukannya pengarang kitab. 

3.  Ada terdapat di dalam manuskrip-manuskrip as-Sunan ini, ulasan2 daripada Imam at-Tahawi dan sebilangan hadith yang ditambah oleh beliau sebagai nota tepi atau nota kaki sahaja. Namun, sebahagian penyalin manuskrip telah memasukkan sebahagian ulasan2 Imam at-Tahawi itu ke dalam isi kandungan kitab, manakala sebahagiannya masih kekal sebagai nota tepi atau nota kaki. 

4.   Banyak fakta yang menunjukkan wujud periwayatan kitab al-Sunan ini oleh murid-murid Imam al-Syafi‘i, seperti Qahzam bin ‘Abdullah bin Qahzam al-Aswani, Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abd al-Hakam, Harmalah bin Yahya at-Tajibi, Abu Ibrahim Isma‘il bin Yahya al-Muzani, al-Hasan bin Muhammad bin al-Sabbah al-Za‘farani, al-Rabi‘ bin Sulaiman dll. 

5.   Imam al-Baihaqi di dalam kitabnya Manaqib al-Syafi‘i menyebut secara jelas bahawa Imam al-Syafi‘i ada mempunyai kitab al-Sunan. 

6.  Ibn Yunus pula menyebut di dalam kitabnya Tarikh Misr bahawa Imam at-Tahawi telah mendengar kitab al-Sunan daripada pakciknya, Abu Ibrahim Isma‘il al-Muzani, yang diriwayatkannya daripada Imam as-Syafi‘i. 

7.  Al-Hafiz Ibn Hajar merekodkan di dalam kitabnya (المعجم المفهرس) dua buah versi kitab Sunan al-Syafi‘i, iaitu riwayat al-Muzani daripada al-Syafi‘i dan riwayat Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abd al-Hakam daripada al-Syafi‘i. 

8.  Al-Hafiz Ibn Kathir di dalam Tabaqat al-Syafi‘iyyahnya turut menyebut ada meriwayatkan kitab Sunan al-Syafi‘i ini. Beliau menyebutnya sebagai al-Sunan a-Saghir (االسنن الصغير). 

9. Syeikh Muhammad bin Ja‘far al-Kattani (w. 1345H) turut merekodkannya di dalam kitab (الرسالة المستطرفة لبيان مشهور كتب السنة المشرفة), kata beliau: “Sunan al-Imam al-Syafi‘i; diriwayatkan oleh Abu Ibrahim Isma‘il bin Yahya al-Muzani, kemudian diriwayatkan oleh Abu Ja‘far Ahmad bin Muhammad bin Salamah al-Tahawi, di dalam satu jilid.” 

10.  Al-Hafiz as-Suyuthi dalam Husn al-Muhadharah menyatakan bahawa antara kitab-kitab edisi baru yang disusun oleh Imam al-Syafi‘i ketika di Mesir ialah kitab al-Sunan. 

11. Kesemua lafaz periwayatan kitab yang termaktub pada manuskrip jelas menyebutkan judulnya sebagai Sunan al-Syafi‘i, dan tiada yang menyebutnya sebagai Sunan at-Tahawi atau seumpamanya.

Menurut Syeikh Dr. Khalil Ibrahim Mulla Khatir, tidak ada di dalam kitab al-Sunan ini satu hadith pun yang tidak diamalkan atau ia daif yang tidak ada sebarang penguat mahu pun penyokong baginya, bahkan kesemuanya - kecuali yang telah diterangkan ilatnya dan wahamnya oleh Imam al-Syafi’i – adalah sahih secara zatnya atau pun sahih/sabit melalui riwayat-riwayat  sokongannya.

Berbeza dengan Musnad al-Syafi‘i, kitab Sunan al-Syafi‘i ini kurang disyarah dan diberi perhatian oleh ulama terdahulu. Usaha menggabungkan hadith-hadith al-Musnad dan al-Sunan ini pernah dilakukan oleh Syeikh Ahmad bin ‘Abd al-Rahman al-Banna al-Sa‘ati, bapa Syeikh Hasan al-Banna. Karyanya itu diberi judul: (بدائع المنن في جمع وترتيب مسند الشافعي والسنن). Beliau juga menyertakannya dengan syarah ringkas yg diberi judul: (القول الحسن شرح بدائع المنن).

Perlu ditegaskan juga bahawa bukan di dalam kedua-dua kitab ini sahaja hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Syafi‘i. Dr. Rif‘at Fauzi ‘Abd al-Muttalib telah berusaha menghimpunkan kesemua riwayat Imam al-Syafi‘i daripada berbagai sumber rujukan seperti kitab al-Umm dan lain-lain. Beliau mendapati jumlah hadish dan athar yang diriwayatkan oleh Imam al-Syafi‘i menurut semakannya berjumlah sebanyak 4,663 buah. Kesemua atau kebanyakannya di dalam bab hukum hakam. Jumlah ini boleh dikatakan setanding dengan jumlah riwayat yg terkandung di dalam kitab-kitab Sunan yang lain.

Sekurang-kurangnya kini terdapat dua buah versi cetakan kitab Sunan al-Syafi‘i, iaitu cetakan yang ditahkik oleh Dr. ‘Abd al-Mu‘ti Amin Qal‘aji dengan judul: al-Sunan al-Ma’thurah (السنن المأثورة) pada tahun 1986 dan cetakan yang lebih teliti ditahkik oleh Syeikh Dr. Khalil Ibrahim Mulla Khatir dengan judul: al-Sunan (السنن) pada tahun 1989. Justeru, diharapkan para penulis selepas ini, tidak hanya menyebut kitab al-Muwatta’ sebagai karya Imam Malik dan kitab al-Musnad sebagai karya Imam Ahmad sahaja, bagi kitab hadith yang disusun oleh imam mujtahid yang empat, tetapi turut menyatakan: kitab al-Sunan sebagai karya Imam as-Syafi‘i.

Kitab versi cetakan dengan judul al-Sunan al-Ma’thurah boleh dimuat turun di pautan https://archive.org/download/78808/78808.pdf . Manakala manuskripnya pula boleh dimuat turun di pautan https://www.alukah.net/Manu/Files/Manuscript_2812/ELMKTYIT222.pdf .


Sumber :

Dinukil dengan beberapa pengubahsuaian tanpa merubah isi kandungan asalnya dari pautan http://sawanih.blogspot.com .

Thursday, December 10, 2020

Nashaihul 'Ibad

 

Buku Buku Nashaihul ‘Ibad Imam Nawawi : Nasihat-nasihat Agama kepada Calon Penghuni Syurga merupakan sebuah karya terjemahan yang diusahakan oleh Abu Mazaya Al-Hafiz atau Masruhan Kyai Choteb al-Hafiz dan diterbitkan oleh Perniagaan Jahabersa. Berdasarkan cetakan ke-3 (2010), kandungan buku ini merangkumi 480 halaman.

Buku ini adalah terjemahan bagi Kitab Nasha-ih al-‘Ibad  fi Bayan Alfaz Munabbihat  ‘Ala  al-Isti’dad li Yawm al-Ma’ad (نصائح العباد في بيان ألفاظ منبهات على الاستعداد ليوم المعاد), iaitu sebuah karya al-Syeikh al-‘Allamah Abu Abd al-Mu’thi Muhammad Nawawi  bin ‘Umar al-Banteni al-Jawi. Seorang ulama nusantara yang terkenal pada abad ke 19 Masihi. Beliau dilahirkan  di Kampung Tanara, Serang, Banten, Indonesia pada tahun 1815 M/1230 H. Pada tanggal 25 Syawal 1314 H/1897 Syeikh Muhammad Nawawi telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 84 tahun. Ia dimakamkan di Perkuburan al-Ma’la dekat makam Siti Khadijah, Ummul Mukminin istri Nabi saw.

Manakala kitab Nasha-ih al-‘Ibad pula merupakan syarah atau huraian bagi  kitab Munabbihat  ‘Ala  al-Isti’dad li Yawm al-Ma’ad (منبهات على الاستعداد ليوم المعاد) karya ulama hadis terkenal al-Imam al-Hafiz al-Syeikh Syihabuddin Ahmad bin ‘Ali bin Muhammad bin Ahmad al-‘Asqalani al-Syafi‘i  (773-852 H ) yang mengandungi himpunan hadis dan atsar  yang disusun mengikut urutan angka.

Kandungan kitab ini menghidangkan nasihat-nasihat agama dan tuntunan bagi manusia menuju ke hadrat Allah swt. Ia sangat penting bagi siapa sahaja yang ingin selamat dalam merentasi pelbagai rintangan dan halangan di dunia menuju kehidupan yang bahagia di syurga.

 

Beberapa catatan mengenai buku terjemahan ini;

Disebutkan di bahagian kulit hadapan buku terjemahan ini dengan judulnya Nashaihul ‘Ibad Imam Nawawi (), di bahagian atas dengan tulisan Jawi/Arab dan diikuti dengan tulisan rumi di bawahnya. Berdasarkan judul buku ini, secara tidak langsung ia bermaksud kitab asalnya disusun oleh Imam Nawawi. Siapakah Imam al-Nawawi yang dimaksudkan?.

Pada pengantar penterjemah dicatatkan kitab ini adalah terjemahan  dari kitab “Nashaih al-Ibad fi Bayan Alfaz Munabbihat ‘Ala al-Isti’dad liyawn al-Maad” karya salah seorang  ulama terbilang dari Nusantara yang telah menjadi mufti tanah suci Mekkah tempoh dahulu.

Manakala dalam pengantar penyusun kitab Nashaihul ‘Ibad sendiri pula memperkenalkan dirinya sebagai Muhammad  Nawawi bin ‘Umar al-Jawi.  Oleh itu penyusun kitab ini bukanlah Imam al-Nawawi  atau nama penuhnya al-Imam Muhyiddin Abu Zakaria Yahya bin Syaraf al-Nawawi al-Syafi’i (631-676 H), yang terkenal sebagai ulama besar dan tonggak mazhab Syafi’i itu, tetapi  penyusun sebenar ialah al-Syeikh Muhammad Nawawi al-Banteni al-Jawi, seorang ulama mazhab Syafi’i yang  berasal dari Indonesia.

Saya terfikir juga kenapa dicatatkan Imam Nawawi?, kerana ia mungkin boleh mengelirukan pembaca yang baru mengenali buku ini. Namun begitu, mungkin boleh juga dikekalkan nama tersebut dengan tambahan al-Jawi di belakangnya (Imam Nawawi al-Jawi), bagi membezakannya dengan Imam Abu Zakariya Yahya al-Nawawi yang lebih terkenal dan rujukan para ulama mazhab Syafi’i. Tidak salah meletakkan gelaran Imam tersebut, kerana keilmuan dan ketokohan Syeikh Muhammad Nawawi al-Jawi sememangnya diakui oleh para ulama sezaman dan selepasnya. Bahkan ada ulama yang menggelar beliau dengan Imam Nawawi Tsani (Imam Nawawi yang kedua).

Kandungan kitab edisi Arabnya boleh dimuat turun di pautan https://ia600704.us.archive.org/21/items/book2_20140128_1312/book7.pdf

Semoga bermanfaat.

Tuesday, December 8, 2020

al-Tarkhish fi al-Qiyam Li Zawi al-Fadhl wa al-Maziyyah min Ahl al-Islam


Kitab al-Tarkhish fi al-Qiyam Li Zawi al-Fadhl wa al-Maziyyah min Ahl al-Islam (الترخيص بالقيام لذوي الفضل والمزية من أهل الإسلام) adalah sebuah karya al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H). 

Kandungan kitab ini menghimpunkan beberapa athar mengenai keharusan berdiri menghormati mereka yang mempunyai kedudukan dan kelebihan di kalangan umat Islam. 

Kitab ini dibahagi kepada dua bab. Dalam bab pertama disebutkan athar dan hadis-hadis yang menjadi dalil dan hujah tentang keharusan berdiri menghormati golongan yang mempunyai kedudukan dan kelebihan dalam Islam. Manakala dalam bab dua Imam al-Nawawi membawakan pula athar dan hadis-hadis yang menjadi dalil larangan berdiri sebagai penghormatan. Kemudian beliau membawakan pula jawapan-jawapan dan pandangan para ulama terhadap hadis-hadis tersebut. 

Semoga bermanfaat.