Showing posts with label Imam al-Syafi'i. Show all posts
Showing posts with label Imam al-Syafi'i. Show all posts

Thursday, December 17, 2020

Sunan al-Imam al-Syafi'i

 

Ramai penulis yang membincangkan tentang kitab hadith susunan para imam mazhab fiqh yang empat hanya menyebut Imam Malik dan Imam Ahmad sahaja yang ada menyusun kitab hadith iaitu Imam Malik (w. 179H) menyusun kitab al-Muwatta’ dan Imam Ahmad (w. 241H) menyusun kitab al-Musnad. Manakala Imam Abu Hanifah (w. 150H) dan Imam as-Syafi‘i (w. 204H) disebut tidak menyusun sebarang kitab hadith. Adapun kitab Musnad Abu Hanifah dan Musnad al-Syafi‘i kedua-duanya dihimpun dan disusun oleh ulama lain yg datang kemudian. Manakala kitab al-Musnad (المسند) yang masyhur dinisbahkan kepada Imam al-Syafi‘i itu adalah disusun oleh Abu al-‘Abbas Muhammad bin Ya‘qub bin Yusuf al-Asom (w. 346H).

Berdasarkan kajian Syeikh Dr. Khalil Ibrahim Mulla Khatir serta penelitian terhadap dalil dan hujah yang dikemukakan oleh beliau, dapat dinyatakan bahawa Imam al-Syafi‘i sebenarnya juga mempunyai kitab hadith yang disusun oleh beliau sendiri, iaitu kitab al-Sunan (السنن). Ia merupakan sebuah kitab hadith yang lain daripada kitab al-Musnad yang dinisbahkan kepadanya, meskipun ada sebahagian orang yg terkeliru dan menganggap kedua-duanya sebagai kitab yang sama.

Menurut Dr. Khalil Ibrahim Mulla Khatir, bilangan hadith-hadith kitab al-Sunan ini adalah sebanyak 666 buah hadis. Meskipun saiznya agak kecil, namun faedahnya amat besar sekali. Antaranya ialah sanad-sanadnya agak tinggi dan kebanyakan hadith-hadithnya pula adalah sahih. Menurut beliau, kitab Sunan al-Syafi‘i yang sampai kepada kita pada hari ini adalah salah satu daripada enam buah kitab hadith yang disusun oleh Imam as-Syafi‘i dengan judul “asl-Sunan”.

Ada sebahagian ilmuwan yang mendakwa bahawa kitab Sunan al-Syafi‘ei ini sebenarnya adalah susunan Imam Abu Ja‘far Ahmad bin Muhammad bin Salamah al-Tahawi al-Hanafi (239 – 321H), bukannya susunan Imam al-Syafi’i sendiri. Namun, pendapat ini agak lemah kerana bertentangan dengan banyak bukti. Antaranya (seperti dalam mukadimah Sunan al-Syafi‘i oleh Dr. Khalil Ibrahim Mulla Khatir);

1.     Di awal kesemua manuskrip kitab jelas menyebut, Imam at-Tahawi mendengar kitab Sunan al-Syafi‘i ini daripada bapa saudaranya, Imam al-Muzani yang merupakan murid Imam al-Syafi‘i. Dicatatkan, at-Tahawi mendengarnya daripada Imam al-Muzani pada tahun 252 H melalui pembacaan beliau kepadanya atau bersama murid-murid yg lain (قراءة منه علينا). Jelas bahawa pada masa ini, at-Tahawi masih remaja lagi dalam usia sekitar 13 atau 14 tahun. Ini membuktikan bahawa Imam at-Tahawi hanya sebagai perawi kitab sahaja, bukannya pengarang kitab dengan usia yg semuda itu. Malah, banyak tempat di dalam kitab al-Sunan ini yg mengisyaratkan demikian. 

2.    Dalam setengah manuskrip, ada disebutkan Imam al-Muzani mendengarnya daripada Imam al-Syafi‘i secara imla’ (penuturan) daripada dirinya sendiri kepada beliau atau bersama murid-murid yang lain (إملاء منه علينا) (1/14). Ini juga membuktikan bahawa Imam al-Muzani hanya sebagai perawi kitab sahaja, bukannya pengarang kitab. 

3.  Ada terdapat di dalam manuskrip-manuskrip as-Sunan ini, ulasan2 daripada Imam at-Tahawi dan sebilangan hadith yang ditambah oleh beliau sebagai nota tepi atau nota kaki sahaja. Namun, sebahagian penyalin manuskrip telah memasukkan sebahagian ulasan2 Imam at-Tahawi itu ke dalam isi kandungan kitab, manakala sebahagiannya masih kekal sebagai nota tepi atau nota kaki. 

4.   Banyak fakta yang menunjukkan wujud periwayatan kitab al-Sunan ini oleh murid-murid Imam al-Syafi‘i, seperti Qahzam bin ‘Abdullah bin Qahzam al-Aswani, Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abd al-Hakam, Harmalah bin Yahya at-Tajibi, Abu Ibrahim Isma‘il bin Yahya al-Muzani, al-Hasan bin Muhammad bin al-Sabbah al-Za‘farani, al-Rabi‘ bin Sulaiman dll. 

5.   Imam al-Baihaqi di dalam kitabnya Manaqib al-Syafi‘i menyebut secara jelas bahawa Imam al-Syafi‘i ada mempunyai kitab al-Sunan. 

6.  Ibn Yunus pula menyebut di dalam kitabnya Tarikh Misr bahawa Imam at-Tahawi telah mendengar kitab al-Sunan daripada pakciknya, Abu Ibrahim Isma‘il al-Muzani, yang diriwayatkannya daripada Imam as-Syafi‘i. 

7.  Al-Hafiz Ibn Hajar merekodkan di dalam kitabnya (المعجم المفهرس) dua buah versi kitab Sunan al-Syafi‘i, iaitu riwayat al-Muzani daripada al-Syafi‘i dan riwayat Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abd al-Hakam daripada al-Syafi‘i. 

8.  Al-Hafiz Ibn Kathir di dalam Tabaqat al-Syafi‘iyyahnya turut menyebut ada meriwayatkan kitab Sunan al-Syafi‘i ini. Beliau menyebutnya sebagai al-Sunan a-Saghir (االسنن الصغير). 

9. Syeikh Muhammad bin Ja‘far al-Kattani (w. 1345H) turut merekodkannya di dalam kitab (الرسالة المستطرفة لبيان مشهور كتب السنة المشرفة), kata beliau: “Sunan al-Imam al-Syafi‘i; diriwayatkan oleh Abu Ibrahim Isma‘il bin Yahya al-Muzani, kemudian diriwayatkan oleh Abu Ja‘far Ahmad bin Muhammad bin Salamah al-Tahawi, di dalam satu jilid.” 

10.  Al-Hafiz as-Suyuthi dalam Husn al-Muhadharah menyatakan bahawa antara kitab-kitab edisi baru yang disusun oleh Imam al-Syafi‘i ketika di Mesir ialah kitab al-Sunan. 

11. Kesemua lafaz periwayatan kitab yang termaktub pada manuskrip jelas menyebutkan judulnya sebagai Sunan al-Syafi‘i, dan tiada yang menyebutnya sebagai Sunan at-Tahawi atau seumpamanya.

Menurut Syeikh Dr. Khalil Ibrahim Mulla Khatir, tidak ada di dalam kitab al-Sunan ini satu hadith pun yang tidak diamalkan atau ia daif yang tidak ada sebarang penguat mahu pun penyokong baginya, bahkan kesemuanya - kecuali yang telah diterangkan ilatnya dan wahamnya oleh Imam al-Syafi’i – adalah sahih secara zatnya atau pun sahih/sabit melalui riwayat-riwayat  sokongannya.

Berbeza dengan Musnad al-Syafi‘i, kitab Sunan al-Syafi‘i ini kurang disyarah dan diberi perhatian oleh ulama terdahulu. Usaha menggabungkan hadith-hadith al-Musnad dan al-Sunan ini pernah dilakukan oleh Syeikh Ahmad bin ‘Abd al-Rahman al-Banna al-Sa‘ati, bapa Syeikh Hasan al-Banna. Karyanya itu diberi judul: (بدائع المنن في جمع وترتيب مسند الشافعي والسنن). Beliau juga menyertakannya dengan syarah ringkas yg diberi judul: (القول الحسن شرح بدائع المنن).

Perlu ditegaskan juga bahawa bukan di dalam kedua-dua kitab ini sahaja hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Syafi‘i. Dr. Rif‘at Fauzi ‘Abd al-Muttalib telah berusaha menghimpunkan kesemua riwayat Imam al-Syafi‘i daripada berbagai sumber rujukan seperti kitab al-Umm dan lain-lain. Beliau mendapati jumlah hadish dan athar yang diriwayatkan oleh Imam al-Syafi‘i menurut semakannya berjumlah sebanyak 4,663 buah. Kesemua atau kebanyakannya di dalam bab hukum hakam. Jumlah ini boleh dikatakan setanding dengan jumlah riwayat yg terkandung di dalam kitab-kitab Sunan yang lain.

Sekurang-kurangnya kini terdapat dua buah versi cetakan kitab Sunan al-Syafi‘i, iaitu cetakan yang ditahkik oleh Dr. ‘Abd al-Mu‘ti Amin Qal‘aji dengan judul: al-Sunan al-Ma’thurah (السنن المأثورة) pada tahun 1986 dan cetakan yang lebih teliti ditahkik oleh Syeikh Dr. Khalil Ibrahim Mulla Khatir dengan judul: al-Sunan (السنن) pada tahun 1989. Justeru, diharapkan para penulis selepas ini, tidak hanya menyebut kitab al-Muwatta’ sebagai karya Imam Malik dan kitab al-Musnad sebagai karya Imam Ahmad sahaja, bagi kitab hadith yang disusun oleh imam mujtahid yang empat, tetapi turut menyatakan: kitab al-Sunan sebagai karya Imam as-Syafi‘i.

Kitab versi cetakan dengan judul al-Sunan al-Ma’thurah boleh dimuat turun di pautan https://archive.org/download/78808/78808.pdf . Manakala manuskripnya pula boleh dimuat turun di pautan https://www.alukah.net/Manu/Files/Manuscript_2812/ELMKTYIT222.pdf .


Sumber :

Dinukil dengan beberapa pengubahsuaian tanpa merubah isi kandungan asalnya dari pautan http://sawanih.blogspot.com .

Wednesday, January 16, 2019

Panduan Shalat Lengkap



Buku Panduan Shalat Lengkap : Tata Cara Shalat Sesuai Tuntunan Rasulullah merupakan sebuah karya terjemahan dalam bahasa Melayu (Indonesia) bagi Kitab al-Shalah (كتاب الصلاة), iaitu satu bahagian yang khusus membicarakan tatacara ibadat solat dari karya agung al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i (150-204H) yang berjudul al-Umm (الأم). Buku ini diterjemahkan oleh Abdul Rosyad Shiddiq dan diterbitkan oleh Khatulistiwa Press, Jakarta. Ketebalan buku ini merangkumi 349 halaman (tidak termasuk halaman daftar isi, pengantar penerbit dan biografi singkat Imam Syafi’i).

Sebagaimana karya-karya para ulama silam yang lainnya, isi kitab al-Umm merupakan kumpulan tulisan dan pendapat Imam al-Syafi’i mengenai bidang fiqh yang telah diriwayatkan, ditulis atau dicatat oleh para murid beliau. Oleh itu, dalam kitab asalnya terdapat banyak dipermulaan ayatnya perkataan ‘al-Syafi’i berkata (قال الشافعي), ‘al-Rabi’ berkata (قال الربيع)’ dan sebagainya. Namun begitu, dalam penyusunan kembali buku ini, penterjemah telah membuat beberapa pengubahsuaian bagi memudahkan para pembaca, di mana perkataan-perkataan dipermulaan ayat tersebut telah dibuangkan dari teks terjemahan ini, tanpa merubahkan isi kandungan kitab asalnya. Oleh itu, penyusunan buku ini, seolah-olah ditulis secara langsung oleh Imam Syafi'i sebagaimana penyusunan buku-buku yang diterbitkan pada masa kini.

Buku ini menuntun kita untuk dapat solat secara sempurna, dengan mengikuti aturan-aturan yang telah ditetapkan secara rinci oleh Allah dan Rasul-Nya. Di mana  Rasulullah saw. secara tegas memerintahkan kepada umatnya untuk mengerjakan solat seperti yang baginda lakukan. Solat yang berbeza dengan yang baginda lakukan adalah tertolak.

Berbeza dengan buku panduan solat lainnya yang banyak beredar dalam masyarakat, buku ini ditulis oleh Imam al-Syafi’i, iaitu salah seorang imam mazhab dan seorang tabi'it tabi'in, yang masa hidupnya tidak terlalu jauh dari masa hidup Rasulullah saw. sendiri. Beliau mengamati langsung para ulama dan warga Makkah dan Madinah solat pada masa itu, juga hadits-hadits tentang solat yang banyak beredar di kalangan ulama dua kota suci tersebut.

Berikut dilampirkan isi kandungan buku ini, yang dibahagikan kepada 22 bab;

Bab 1: Dasar Rakaat Shalat Fardu
Bab 2: Orang Yang Shalat
Bab 3: Waktu Shalat
Bab 4: Menjamak Shalat
Bab 5: Shalah Orang Sakit
Bab 6: Azan dan Iqamat
Bab 7: Pakaian Orang Yang Shalat
Bab 8: Tempat yang Boleh dan Tidak Boleh digunakan untuk Shalat.
Bab 9: Menghadap Kiblat
Bab 10: Gerakan dan Bacaan Shalat, Dari niat sampai Salam
Bab 11: Sujud Sahwi
Bab 12: Sujud Tilawah dan Sujud Syukur
Bab 13: Shalat Witir Minimal satu Rakaat
Bab 14: Waktu-waktu Yang Dimakruhkan Untuk Shalat
Bab 15: Shalat Jamaah
Bab 16: Shalat Orang Musafir
Bab 17: Shalat Jumaat
Bab 18: Shalat Khauf
Bab 19: Shalat Idul Fitri dan Idul Adha
Bab 20: Shalat Gerhana Matahari
Bab 21: Shalat Minta Hujan
Bab 22: Shalat Jenazah.

Semoga bermanfaat.

Sunday, April 24, 2016

Kitab al-Hujjah (الحجه)


Di antara karya fiqh al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i (150-204H) yang tidak sampai kepada kita ialah kitab al-Hujjah (الحجه). Kitab ini disusun oleh Imam al-Syafi’i, ketika beliau berada di Iraq. Kitab ini telah diriwayatkan oleh seorang murid Imam al-Syafi’i yang bernama al-Hasan al-Za’farani.

Isi kandungan kitab al-Hujjah inilah yang disebutkan oleh para ulama mazhab Syafi’i sebagai Qawl al-Qadim atau pendapat lama Imam Syafi’i. Sedangkan isi kandungan kitab al-Umm yang disusun oleh Imam Syafi’i di Mesir dianggap sebagai Qawl al-Jadid atau pendapat baru Imam Syafi’i.

Menurut para ulama, Imam al-Syafi’i sebenarnya tidak memberikan nama khusus bagi karya beliau ini, sedangkan al-Hujjah merupakan judul yang diberikan oleh Imam al-Za’farani. al-Za’farani memberikan judul kitab ini dengan al-Hujjah, barangkali kerana mengikut langkah seorang pemuka mazhab Hanafi, iaitu Muhammad al-Hasan al-Syaibani yang menulis kitab yang berjudul al-Hujjah ‘ala Ahli al-Madinah. Selain al-Hujjah, kitab ini juga dikenali sebagai al-Mabsuth.

Susunan bab-bab fiqh dalam kitab al-Hujjah mirip dengan susunan kitab Zahir al-Riwayah karya Imam Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani. Imam al-Syafi’i menyusun kitabnya ini sebagai sanggahan terhadap pandangan para ulama fiqh Iraq, khusus para ulama mazhab Hanafi  berkaitan metode mereka dalam penyimpulan hukum.

Menurut Imam Muhammad Abu Zahrah dalam karyanya al-Syafi’i dan sebahagian tokoh peneliti yang lain, bahawa kitab al-Hujjah, al-Mabsuth dan al-Umm sebenarnya merujuk kepada karya fiqh al-Syafi’i yang sama. Di mana karya Imam Syafi’i yang disusun di Iraq dan diriwayatkan oleh al-Hasan al-Za’farani diberi judul al-Hujjah dan al-Mabsuth. Manakala karya fiqh Imam Syafi’i di Mesir yang diriwayatkan oleh al-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi pula diberikan judul al-Umm, sekaligus juga berjudul al-Mabsuth.

Kitab al-Umm yang disusun oleh Imam Syafi’i ketika di Mesir bukanlah suatu penyusunan kitab baharu, bahkan ia merupakan kitab yang sama sebagaimana beliau susun di Iraq. Namun begitu, beberapa perubahan telah dibuat oleh Imam Syafi’i terhadap beberapa permasalahan fiqh dalam karya beliau tersebut kerana perubahan ijtihad dan kajian beliau ketika di Mesir. Menurut Muhammad Abu Zahrah, karya-karya baharu Imam Syafi’i adalah hasil pembetulan, penambahan, pengurangan serta revisi terhadap karya-karya lama beliau.

Semoga bermanfaat.

Saturday, May 10, 2014

Mukhtashar Kitab al-Umm Fi al-Fiqh (مختصر كتاب الأم في الفقه )


Mukhtashar Kitab al-Umm Fi al-Fiqh (مختصر كتاب الأم في الفقه) adalah sebuah kitab yang disusun kembali sebagai ringkasan kandungan asal kitab al-Umm, iaitu sebuah kitab fiqh yang menjadi induk rujukan bagi mazhab al-Syafi’i.  Kitab al-Umm merupakan karya fiqh terunggul al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i (150-204H). Manakala ringkasan kitab ini (Mukhtashar Kitab al-Umm) pula diusahakan oleh seorang ulama fiqh terkenal dari Universiti al-Azhar, Mesir, iaitu Syaikh Husain ‘Abdul Hamid Abu Nashir Nail.

Di samping membuat ringkasan isi kandungan kitab al-Umm, penyusun kitab ini juga telah membuat beberapa penelitian (tahqiq) terhadap isi kandungan dan nas-nas (al-Quran dan Hadis) yang terdapat dalam kitab ini - yang disertakan dalam catatan kakinya.

Sebagaimana kitab asalnya, kitab ini juga memuatkan pendapat dan fatwa-fatwa Imam al-Syafi’i dalam  skop kajian fiqh dan usul fiqh. Kitab ini dimulai dengan ringkasan biografi Imam al-Syafi’i dan diikuti dengan tajuk-tajuk perbahasan masalah fiqh sebagaimana dalam kitab asalnya, iaitu; perbahasan bersuci (thaharah), ibadat solat, zakat, puasa, iktikaf, haji, qurban, perburuan dan penyembelihan, nazar, pemerdekaan hamba dan sebagainya. Setiap permasalahan dibincangkan secara terperinci dalam bab-bab yang tersendiri.

Kaedah pembahasan dalam kitab ini banyak dilakukan dengan pola dialogis (soal-jawab) yang menunjukkan bahawa Imam al-Syafi'i seorang pendebat yang ulung. Barangsiapa membacanya nescaya ia akan menyaksikan kekuatan hujjah Imam al-Syafi'i dan ketajaman argumentasi berdasarkan al-Kitab dan al-Sunnah.                       

Mukhtashar Kitab al-Umm ini telah diterbitkan oleh Dar al-Arqam bin Abi al-Arqam, Beirut –Lubnan, dalam 4 juzuk yang dihimpunkan dalam sebuah buku setebal 807 halaman. Kitab ini dalam versi ebook (file pdf) boleh dimuat turun di pautan berikut;

Terjemahan kitab ini…

Kitab ini ada diterjemahkan dalam bahasa Melayu / Indonesia dan diterbitkan oleh beberapa buah syarikat penerbitan, antaranya;


a)     Ringkasan Kitab al-Umm: diterbitkan oleh Pustaka Azzam, Indonesia – dalam 3 jilid.



b)  Mukhtashar Kitab al-Umm: diterbitkan oleh Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru – dalam 2 jilid.

Semoga bermanfaat.

Thursday, September 12, 2013

Jima' al-'Ilm

 
Kitab Jima’ al-‘Ilm (جماع العلم) merupakan sebuah kitab yang membincangkan mengenai bidang usul fiqh, yang disusun oleh Imam Muhamad bin Idris al-Syafi’i (150-204). Beliau menyusun kitab ini di Mesir, setelah penulisan kitab al-Risalah al-Jadidah (iaitu kitab Risalah versi baru – setelah diubahsuai dari kitabnya yang lama). 
 
Dalam penyusunan kitab ini, al-Imam al-Syafi’i menjadikan kitab al-Risalah sebagai rujukan, misalnya beliau menyanggah orang yang menolak untuk menggunakan hadis ahad sebagai hujah dengan berkata; “Apa yang kami sampaikan di sini dan dalam al-Kitab (maksudnya al-Risalah) sebelum ini terdapat dalil yang membantah mereka dan orang selain mereka”.
 
Kitab al-Risalah dan Kitab Jima’ al-‘Ilm memiliki kaitan antara satu sama lain yang sangat kuat dan itu tidak sekadar menjadikan kitab al-Risalah sebagai rujukannya, malahan kitab Jima’ al-Ilm menjelaskan apa-apa yang disampaikan secara umum oleh Imam al-Syafi’i dalam kitab al-Risalah. Ada juga perkara yang disampaikan secara umum dalam kitab Jima’ al-Ilm, sudah ada penjelasannya dalam kitab al-Risalah sebelumnya. Adalah sangat bermanfaat jika kedua-dua kitab ini dicetak bersamaan, lalu dibuat ulasan dan kajian secara komprenhensif.
 
Tema utama kitab Jima’ al-‘Ilm ada tiga, iaitu;
 
  1. Menggunakan hadis ahad sebagai hujah, Sunnah menjelaskan hukum al-Quran dan kedudukan Sunnah terhadapnya.
  2. Menjelaskan kedudukan ijmak yang dapat dijadikan hujah dalam syari’at Islam.
  3. Apa yang dibolehkan dan apa yang tidak dibolehkan dalam perbezaan fiqh.
Kitab ini mengandungi banyak penerapan masalah-masalah fiqh. Ia ditulis menggunakan metode dialog-dialog dengan mengandaikan aspek-aspek yang diperselisihkan dan mengyanggah dalil-dalil yang kemungkinan besar dapat terjadi dalam dialog usul fiqh. Kitab ini termasuk dalam karya tulis yang bernilai tinggi dalam bidang usul fiqh.
 
Kitab Jima’ al-‘Ilm yang telah diterbitkan…..
 
Berdasarkan beberapa cetakan terawal, kitab Jima’ al-‘Ilm ini telah diterbitkan bersama dengan kitab al-Umm. Berikut dilampir beberapa versi cetakan kitab ini;
  1. Kitab Jima’ al-‘Ilm yang selesai ditahqiq oleh Syaikh Ahmad Muhammad Syakir pada tahun 1940M dan diterbitkan oleh Maktabah Ibn Taymiyyah. Kandungannya (teks kitab dan teks tahqiq sahaja) merangkumi 128 halaman tidak termasuk halaman isi kandungan.
  1. Kitab Jima’ al-‘Ilm yang dimuatkan dalam Mawsu’ah al-Imam al-Syafi’i,( موسوعة الإمام الشافعى ) cetakan Dar Qutaibah – kandungannya merangkumi dalam 70 halaman dan memuatkan 460 perenggan. Kitab ini ditahqiq Dr. Ahmad Badruddin Hassun.  
  1. Kitab Jima’ al-‘Ilm yang ditahqiq oleh Muhammad Ahmad Abdul Aziz Zaidan dan dicetakan oleh Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah di Beirut pada tahun 1405H/1985 dengan ketebalannya mencapai 100 halaman, termasuk halaman isi kandungannya.
 Kitab Jima’ al-‘Ilm yang ditahqiq oleh Syaikh Ahmad Syakir  (dalam file pdf) boleh di didownload di pautan berikut;


Semoga bermanfaat.

Wednesday, July 24, 2013

Kitab Ikhtilaf al-Hadith (اختلاف الحديث)


1.0 Pendahuluan

Kitab Ikhtilaf al-Hadith (اختلاف الحديث) karya Imam al-Syafi’i atau nama penuhnya Muhammad bin Idris bin Uthman al-Syafi’i (150-204H) merupakan sebuah karya perintis yang  membincangkan topik perbezaan hadis. Pengkaji barat Joseph Schacht (1950), dalam bukunya The Origin Of Muhammadan Jurisprudence[1] menyebut karya ini sebagai karya terakhir- yang ditulis oleh al-Syafi’i. Edisi terawal kitab Ikhtilaf al-Hadith ialah yang dicetak di tepi jilid ketujuh kitab al-Umm, yang diterbitkan oleh Dar al-Sya'b, Kaherah pada tahun 1968. Edisi kedua pula adalah yang diedit oleh 'Amir Ahmad Haydar dan diterbitkan oleh Mu'assasah al-Kutub al-Thaqafiyyah, Beirut pada tahun 1985. Edisi ketiga diedit oleh Muhammad Ahmad 'Abd al-'Aziz, diterbitkan oleh Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beyrut pada tahun 1986.


2.0 Nisbah Karya Kepada al-Syafi’i
Secara umum karya-karya al-Syafi’i yang diriwayatkan oleh para pengikutnya terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, kitab-kitab yang dinisbahkan secara langsung oleh sejarawan sebagai karangan atau penulisan beliau. Kedua, kitab-kitab yang dikarang oleh pengikut-pengikutnya[2]. Karya dalam kategori pertama adalah hasil olahan idea serta gaya penulisan beliau sendiri. Kitab al-Umm, al-Risalah dan Ikhtilaf Malik wa al-Syafi’i adalah antara karya dalam kategori ini. Manakala kategori kedua adalah hasil karya pengikutnya sama ada melalui metode ikhtisar mahupun huraian. Isi kandungan karya kategori ini bersandarkan gagasan al-Syafi'i tetapi mempersembahkan melalui gaya penulisan pengarangnya. Kitab Mukhtasar al-Buwayti dan Mukhtasar al-Muzani antara karya dalam kategori ini.

Merujuk kepada kitab Ikhtilaf al-Hadith, karya ini adalah karya dalam kumpulan pertama iaitu karangan al-Syafi’i. Walau bagaimanapun, jika diperhatikan pada permulaan setiap bab dalam kitab ini, ianya dimulakan dengan frasa akhbarana al-Rabi': qal al-Syafii atau haddathana al-Syafi'i. 

Siapakah al-Rabi'?

Bagaimanakah terbinanya frasa-frasa ini dan adakah frasa seperti ini secara tidak langsung menafikan karya Ikhtilaf al-hadith ditulis oleh beliau ?

Untuk menjelaskan persoalan ini, perlu diperhatikan kaedah pedagogi pendidikan pada abad kedua hijrah. Majlis-majlis ilmu atau kuliah-kuliah pengajian pada waktu ini didominasi perlaksanaannya melalui metode mendengar (periwayatan). Guru dan pelajar-pelajar berhalaqah dan proses pemindahan maklumat berlaku melalui pengucapan lisan atau pembacaan dari kitab, soal-jawab dan imlak. Implikasi daripada kaedah ini melahirkan rangkaian atau silsilah perawi kitab kerana para pelajar memindahkan maklumat dengan cara mendengar kemudian mencatat atau menyalin dan kemudian disemak semula oleh gurunya. Proses ini terlaksana pada peringkat al-Syafi’i dan murid-muridnya termasuk Rabi' bin Sulaiman dan berkesinambungan pada peringkat al-Rabi' bin Sulaiman dan murid-muridnya pula sehingga seterusnya[3]

Pernyataan di atas dianggap sebagai hipotesis yang tepat untuk menjelaskan penemuan frasa seperti haddathana al-Rabi' qal: qal al-Syafi'i dalam Ikhtilaf al-Hadith mahupun karya-karya yang lain seperti al-Risalah dan al-Umm. Implikasi daripada pendekatan pedagogi terdahulu yang memandang berat terhadap akuan meriwayatkan karya mewujudkan istilah haddathana atau akhbarana. Istilah ini mengisyaratkan akuan kebenaran yang menunjukkan seseorang perawi menerangkan bagaimana dia telah mendapat maklumat tersebut iaitu melalui kaedah mendengar tadi dan berhak untuk menyampaikannya.

Status maklumat dalam karya Ikhtilaf Hadith sama ada boleh dipertanggungjawabkan, dilihat kepada kredibiliti sumber maklumat, perawi kitab iaitu al-Rabi' bin Sulaiman. Ulama secara kolektif mengiktiraf al-Rabi' bin Sulaiman bin 'Abd al-Jabbar bin Kamil al-Muradi (174-270H) adalah sahabat dan murid yang dipercayai mempunyai autoriti terhadap pendapat al-Syafi’i. Beliau disifatkan sebagai perawi terbaik untuk kitab al-Syafi'i[4]

Beliau komited dalam meriwayatkan karya-karya al-Syafi’i[5] khususnya dalam tempoh enam puluh enam tahun selepas kewafatan al-Syafi'i. Malah beliau menjadi pakar rujuk kepada para ulama untuk mengetahui doktrin-doktrin pemikiran al-Syafi’i menerusi karya-karyanya[6].  Manakala Abu Zur'ah pula dilaporkan mendengar karya-karya al-Syafi’i melalui al-Rabi' bin Sulaiman[7].

Autoriti al-Rabi' bin Sulaiman sebagai jurutulis merangkap jurucakap al-Syafi'i dipertimbangkan melalui penghormatan al-Syafii sendiri yang dilaporkan berkata : "Aku sangat menyenangi dirimu," dan "Tiada seorang yang berkhidmat denganku sebaik khidmat al-Rabi' bin Sulaiman. al-Buwayti rakan seperguruan al-Rabi' bin Sulaiman antara lain mengulas bahawa al-Rabi' bin Sulaiman lebih berpengetahuan daripadanya berhubung hal-ehwal al-Syafi'i. Malah jika berlaku sebarang perbezaan maklumat di antara pengikut al-Syafi'i, akan didahulukan riwayat yang bersumberkan daripada al-Rabi' bin Sulaiman sekalipun ke atas riwayat al-Muzani, tokoh fiqh terkemuka mazhab al-Syafi’i.

Identiti sebagai perawi thiqah di kalangan muhaddithin turut mengukuhkan lagi kredibiliti beliau. al-Nasa'i mengisyaratkan beliau sebagai la ba'sa bih. aI-Khattab menyifatkan beliau thiqah. Ibn Abi Hatim mengistilahkan beliau sebagai saduq. Selain Ikhtilaf al-Hadith, al-Rabi' bin Sulaiman juga perawi kepada al-Risalah dan al-Umm.

Justeru ungkapan akhbarana al-Rabi' qal al-Syafi’i pada permulaan kandungan kitab atau di tengah-tengahnya, mengisyaratkan bahawa karya ini adalah karangan al-Syafi’i yang disebarkan oleh al-Rabi' bin Sulaiman dan mereka yang mendengarnya daripada al-Rabi' bin Sulaiman.

Karya Ikhtilaf al-Hadith secara lengkapnya diriwayatkan oleh Abu Muhammad al-Hasan bin 'All bin Muhammad bin al-Hasan al-Jawhari daripada Abu 'Umar Muhammad bin al-‘Abbas bin Muhammad bin Zakariyya bin Hayawiyyah daripada Abu Bakr Ahmad bin 'Abd Allah bin Sayf al-Sijistani daripada al-Rabi’ bin Sulaiman daripada al-Syafi’i. Silsilah perawi ini memperkukuhkan bahawa karya Ikhtilaf al-Hadith adalah salinan kenyataan-kenyataan al-Syafi’i dan boleh dipertanggungjawabkan.

Selain daripada itu tinjauan menyeluruh mendapati terdapat frasa-frasa seperti fi kitabi hadza dan wa katabi fi kitab khair hadza yang menunjukkan secara langsung bahawa karya ini adalah hasil karangan beliau. Transformasi maklumat berlaku ketika beliau merencanakan (mengimlakkan) semula kepada murid-muridnya.

Perbincangan di atas mengesahkan bahawa kitab Ikhtilaf al-Hadith dikarang oleh al-Syafi’i dan disebarkan melalui metode silsilah perawi kitab berteraskan kaedah pendengaran yang bercirikan aktiviti pembacaan dan rencana. Berasaskan persepsi yang menganggap sumber maklumat adalah parameter terpenting kepada nilai sesuatu maklumat melahirkan keperluan kepada pengetahuan silsilah perawi kitab. Pendekatan ini adalah dipengaruhi oleh sistem isnad dalam periwayatan hadis.

al-Suyuti dalam Tadrib al-Rawi mengulas bahawa al-Syafi'i tidak berhasrat untuk mengkhususkan karya ini sebagai satu buku berasingan, tetapi ia adalah sebahagian daripada kandungan al-Umm. Walau bagaimanapun, Ahmad Muhammad Syakir menafikan kenyataan ini. Beliau menjelaskan perbahasan yang begitu banyak berkenaan perbezaan hadis dikarang secara khusus oleh al-Syafi’i menerusi kitab Ikhtilaf al-Hadith sekalipun ia dicetak bersama-sama al-Umm di tepi jilid yang ke tujuh[8]. Muhammad bin Ishaq al-Nadim, antara pengarang terawal yang menulis berkenaan perkembangan ilmu-ilmu dan karya-karyanya, menerusi al-Fihris yang dikarang sekitar tahun 377 H, menyenaraikan kitab Ikhtilaf al-Hadith dalam kategori karya al-Syafi’i di samping al-Umm dan al-Risalah.

Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitab Tawali al-Ta’sis bersumberkan daripada al-Baihaqi turut menyenaraikan Ikhtilaf al-Hadith sebagai antara karya al-Syafi’i selain al-Risalah dan al-Umm. Umum mengetahui bahawa al-Baihaqi adalah tokoh yang berpengetahuan luas tentang hal-ehwal al-Syafl'i menerusi karyanya Manaqib al-Syafi'i. Manaqib al-Syafi’i oleh al-Bayhaqi menjadi rujukan utama para ulama untuk menyelidik latar belakang al-Syafi’i dalam pelbagai aspek bermula daripada salasilah keluarga sehingga peranan dan sumbangan al-Syafi’i dalam pelbagai disiplin ilmu. Kewibawaan sumber-sumber yang dibincangkan di atas menolak Ikhtilaf al-Hadith sebagai sebahagian daripada kandungan al-Umm seperti yang diulas oleh al-Suyuti. Sebaliknya Ikhtilaf al-Hadith adalah satu unit karya daripada karya-karya al-Syafi’i. 


3.0 Metodologi Penulisan Ikhtilaf al-Hadith

3.1 Objektif Penulisan

Dilihat kepada tajuk Ikhtilaf al-Hadith, al-Syafii sebenarnya berhasrat untuk menjelaskan pandangan dan pemikiran beliau berhubung isu hadis yang khilaf di antara satu sama lain. Beliau menyatakan di akhir mukadimah kitab ini bahawa khilaf yang berlaku terhadap hadis bukanlah berlaku secara hakiki tetapi secara zahir sahaja. Kemudian beliau mendedahkan  kaedah-kaedah yang menurut beliau berhasil dalam menangani isu.

3.2 Isi Kandungan dan Metodologi Penyusunan

Karya Ikhtilaf al-Hadith dimulakan dengan mukadimah yang panjang iaitu dalam tiga puluh dua muka surat daripada kandungan buku, tetapi tidak disertai penutup. Mukadimah karya ini banyak membincangkan autoriti hadis menerusi perspektif al-Qur'an, autoriti hadis ahad sebagai sumber hukum dengan mengemukakan hujah-hujah penerimaan hadis ahad oleh para sahabat, tabi'in dan tabi' tabi'in. Beliau mengakhiri mukadimah tersebut dengan menyebut beberapa prinsip yang menjadi teras dalam usaha atau percubaan beliau mengharmonikan mukhtalaf al-hadith.  al-Syafi’i menyenaraikan 79 bab berkaitan dengan permasalahan fiqh dalam kitab Ikhtilaf al-Hadith iaitu dimulakan dengan Bab Perbezaan Dalam Perkara Mubah dan ditamatkan dengan Bab Khilaf Pendapat Terhadap Bab Kemalangan Oleh Haiwan Tiada Ganti Rugi.

Justeru kitab Ikhtilaf al-Hadith tidak mengumpul sepenuhnya kes-kes khilaf antara hadis seperti persoalan akhlak, akidah, adab dan kezuhudan. al-Syafi’i didapati memilih sejumlah hadis-hadis yang berkaitan dengan isu-isu fiqh sebagai contoh kes untuk menangani mukhtalif al-hadith. Bab-bab fiqh ini tidak disusun menurut susunan bab-bab fiqh yang lazim sebaliknya persoalan-persoalan fiqh ini disentuh secara rawak. Misalnya selepas beliau membincangkan Bab Bacaan Dalam Solat dan disusuli oleh tajuk-tajuk lain dan kemudian beliau membincangkan Bab Solat Di belakang Saf  Bersendirian. Sedangkan kedua-duanya di bawah satu topik iaitu solat. Dengan perkataan lain bab-bab tersebut tidak disusun secara yang berhubung rapat antara suatu permasalahan dengan satu permasalahan yang lain. Kadang-kadang antara satu bab ke satu bab yang lain sangat jauh kaitannya.

Penulisan kitab Ikhtilaf al-Hadith juga tidak disusun menurut kategori penyelesaian mukhtalif al-hadith sama ada al-jami', al-naskh mahupun al-tarjih. Contohnya dalam bab pertama beliau membincangkan bab yang berkaitan al-jami' diikuti al-naskh dan kemudian kembali membincangkan al-jam' serta al-naskh. Ini menunjukkan al-Syafi’i mengabaikan penyusunan kitab Ikhtilaf al-Hadith secara efisien. Walau bagaimanapun diandaikan ketidaksusunan bab dan penulisan berpunca daripada al-Syafi'i tidak menulis serta merencananya dalam satu masa sekali gus. 

3.3 Penghuraian Topik 

al-Syafi’i memulakan penulisannya dengan menyatakan tajuk terlebih dahulu seperti Bab Tasyahhud. Kemudian disenaraikan hadis-hadis berkaitan topik yang tampak khilaf di antara satu sama ain. Beliau tidak menghadkan dengan mengemukakan dua hadis yang tampak khilaf, tetapi mengumpul sebanyak mungkin hadis yang berkaitan. Misalnya dalam topik perbuatan mandi hari Jumaat, beliau membawakan 5 hadis. Di samping hadis, al-Syafi’i juga mengukuhkan hujah beliau dengan ayat-ayat al-Qur'an yang berkaitan dengan topik. 

3.4 Periwayatan Hadis 

Hampir ratusan hadis yang dihujahkan dalam karya ini diberikan sanad lengkap melalui saluran beliau menerusi anak muridnya al-Rabi' bin Sulaiman. Antara contoh jalur periwayatan tersebut secara umumnya bermula seperti dari al-Rabi' bin Sulaiman daripada al-Syafi’i daripada 'Abd al-'Aziz bin Muhammad daripada Zayd bin Aslam daripada 'Atha' bin Yasar daripada Ibn 'Abbas berkata :

Rasulullah s.a.w berwuduk pada mukanya, kedua-dua tangannya dan menyapu kepalanya dengan sekali-sekali ”.

Status hadis-hadis tersebut adalah hadis yang diterima kecuali beberapa hadis yang sedia diketahui daif oleh al-Syafi’i yang dikemukakan untuk tujuan pendedahan dan penolakan. Selain itu kebanyakan hadis yang diriwayatkan turut diiringi oleh atsar yang berfungsi sebagai syawahid dalam memberikan tafsiran yang tepat terhadap makna sesuatu hadis. Justeru dalam satu-satu topik yang dibincangkan, al-Syafi’i secara tidak sengaja mengumpul sejumlah data yang penting berkenaan sesuatu topik yang menjadi sumber dalil untuk memutuskan jawapan yang tepat dalam menangani khilaf yang berlaku antara hadis-hadis tersebut. Misalnya lapan hadis dalam Bab Berpuasa Dan Berbuka Ketika Bermusafir dan tujuh hadis dalam Bab Puasa Hari 'Asyura


4.0 Perbandingan Antara Ikhtilaf al-Hadith Oleh al-Syafi’i, Ta'wil Mukhtalaf al-Hadith Oleh Ibn Qutaibah dan Musykil al-Atsar Oleh al- Thahawi.

Menurut Usamali' bin Khayyat, perbezaan dan persamaan antara Ikhtilaf al-Hadith oleh al-Syafi’i, Ta'wil Mukhtalaf al-Hadith oleh Ibn Qutaibah dan Musykil al-Atsar oleh al- Thahawi dapat dikenal pasti menerusi perkara-perkara berikut[9]

i. Objektif Penulisan

Objektif al-Syafi’i menulis kitab Ikhtilaf al-Hadith kerana ingin menjelaskan konsep sebenar hadis yang tampak berbeza antara satu sama lain serta menunjukkan kaedah-kaedah penyelesaiannya. Beliau membataskan perbincangan sekitar persoalan mukhtalaf al-hadith sahaja dan tidak membabitkan musykil al-hadith.

Manakala Ibn Qutaybah menyatakan bahawa kitab Ta 'wil Mukhtalaf al-Hadith dihasilkan sebagai maklum balas terhadap golongan yang memusuhi ahli hadis berhujah perbezaan antara hadis dan mendakwa hadis bercanggah dengan al-Qur'an, ijmak, qiyas dan akal. Justeru Ibn Qutaybah telah meluaskan penulisannya kepada musykil al-hadith sekalipun menamakan karyanya Ta'wil Mukhtalaf al-Hadith. Nafidh Hammad Husain berpendapat adalah lebih tepat jika beliau menamakan karyanya Ta'wil Musykil al-Hadith.

al-Thahawi pula menghasilkan kitab Musykil al-Atsar untuk memberi penjelasan terhadap kemusykilan hadis secara umum termasuk kemusykilan yang membabitkan mukhtalaf al-hadith. Secara komparatif objektif al-Syafi’i ialah untuk merintis kaedah yang sepatutnya dituruti untuk mengatasi perbezaan hadis. Objektif Ibn Qutaibah lebih responsif terhadap tohmahan ahli Kalam. Manakala al- Thahawi merangkumi kedua-dua objektif di atas malah lebih menyeluruh huraiannya. Daripada segi topik isi kandungan, perbincangan al-Syafi’i terhad kepada permasalahan fiqh. Ibn Qutaybah dan al-Thahawi meluaskan kupasan dengan membabitkan hadis tentang akidah, adab, sirah, iman, akhlak dan lain-lain di samping fiqh. 

ii. Metode Penyusunan lsi Kandungan  

al-Syafi’i, Ibn Qutaybah dan al-Thahawi tidak menyusun topik-topik isi kandungan penulisan mereka sama ada menurut susunan bab-bab fiqh atau huruf mu'jam mahupun metode susunan yang lain.  

iii. Mekanisme Penyelesaian Mukhtalaf al-Hadith khasnya atau Musykil al-Hadith umumnya. 

al-Syafi'i, Ibn Qutaibah dan al-Thahawi menggunakan kepakaran masing-masing dalam berhujah untuk mengatasi mukhtalaf al-hadith dan musykil al-hadith. Ibn Qutaibah merupakan tokoh dalam bidang sastera, bahasa dan syair. Justeru beliau lebih banyak berhujah dengan aspek-aspek tersebut berbanding penggunaan dalil-dalil al-manqul. Berkenaan hadis, Ibn Qutaibah dianggap bukan hafidz hadis oleh al-Dzahabi. Beliau tidak menyenaraikan Ibn Qutaybah dalam Tadzkirah al-Huffaz.

Sehubungan dengan itu Nafidh Hammad Husain mendapati Ibn Qutaybah menganggap hadis daif berbeza dengan hadis sahih. Sedangkan telah jelas bahawa hadis daif tidak dikira berbeza dengan hadis sahih kerana kedaifannya menyebabkannya tertolak sebagai hujah atau dalil. al-Syafi’i dan al-Thahawi merupakan tokoh fiqh dan hadis. Justeru hujah-hujah yang diutarakan lebih kepada penggunaan dalil-dalil seperti al-Qur'an, Hadis dan al-Atsar (manqul) di samping dalil-dalil ma'qul. Usamah bin 'Abd Allah al-Khayyat merumuskan bahawa ketiga-tiga pengarang bersamaan dalam penggunaan kaedah teras menangani mukhtalaf al-hadith dan musykil al-hadith iaitu al-jam', al-naskh dan al-tarjih tetapi ditulis menurut uslub dan gaya penulisan masing-masing. 


5.0 Kesimpulan 

Resensi di atas menjelaskan bahawa Ikhtilaf al-Hadith adalah karya al-Syafi’i yang pertama membincangkan tentang mukhtalaf al-hadith. Karya ini memfokuskan perbincangannya terhadap sejumlah hadis-hadis yang tampak berbeza tentang isu-isu fiqh. Berasaskan kepada pembahagian bab, karya ini tidak disusun menurut sistematik topik-topik fiqh yang lazim. Malah karya ini juga tidak mempunyai metode susunan penulisan yang khusus. Walau bagaimanapun dibandingkan dengan perkembangan penulisan ketika itu, karya ini boleh dianggap terkehadapan pada tahapnya. 


Nota:

Artikel di atas dipetik dan diedit dengan beberapa perubahan, namun tidak mengubah isi kandungan asalnya - dari satu artikel yang berjudul Ilmu Mukhtalif al-Hadith Asy-Syafi’i, yang disiarkan dalam beberapa bahagian, yang bermula bahagian 1 di pautan http://ibnnajib.blogspot.com/2011/04/ilmu-mukhtalif-al-hadith-asy-syafii.html. Manakala artikel di atas dipetik dari bahagian 4 dengan judul kecilnya Latar Belakang Kitab Ikhtilaf al-Hadith asy-Syafi’i yang boleh terus dilayari di pautan http://ibnnajib.blogspot.com/2011/07/ilmu-mukhtalif-al-hadith-asy-syafii.html. Sila layari artikel asalnya untuk manfaat yang lebih luas. 
Tambahan; 
1. Download dan baca artikel yang berkaitan  di pautan http://studentsrepo.um.edu.my/2790/
4. Kitab Ikhtilaf al-Hadith dalam bentuk  file elektronik boleh didownload di pautan berikut; http://adel-ebooks.sheekh-3arb.info/showthread.php?p=3519#post3519

Semoga bermanfaat.

[1] Joseph Schacht (1950), The Origin Of Muhammadan Jurisprudence. London : Oxford University Press, h. 99 dan 300.
[2] Muhammad Abu Zahrah (U), al-Syafi’i. Beyrut: Dar al-Fikr, h. 138-139.
[3] Abu Bakr Ahmad bin al-Husayn al-Bayhaqi (1970), Manaqib al-Syafi’i, j. 1, h. 37-40. 
[4] Abd al-Wahhab bin 'All bin 'Abd al-Kafi al-Subki (1964), Tabaqat al-Syafi'iyyah al-Kubra, j. 2 Kaherah : 'Isa al-Babi' al-Halabi, h. 133. Lihat juga Muhammad Abu Zahrah (U), op.cit., h. 145.
[5] Abu Zakariyya Muhi ad-Din bin Syaraf al-Nawawi (1966), Tahdhib al-Asma , wa al-Lughat, j.1 Kaherah : Idarat al-Tiba'ah al-Muniriyyah, h. 188. 
[6] Abu Bakr bin Hidayah Allah al-Husaini, (1971), Tabaqat al-Syafi'iyyah. Beirut : Dar al-Ataq al-Jadidah, h. 24.
[7] Abu Zakariyya Muhi ad-Din bin Syaraf al-Nawawi (1966), Tahdhib al-Asma , wa al-Lughat, j.1 h. 188.
[8] Ahmad Muhammad Syakir, (1983), al-Ba'ith al-Hathith Syarh Ikhtisar 'Ulum al-Hadith. Beirut: Dar al-Kutub al-'I1miyyah, h. 169.
[9] Usamah bin 'Abd Allah al-Khayyat (2001), Mukhtalaf al-Hadith Bayn al-Muhaddithin wa al-Usuliyyin al-Fuqaha', Beirut: Dar Ibn Hazm, h. 373.